29 Sep 2010

klik video hina Islam di laman youtube disiasat

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Rais berkata, beliau mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol dikeluarkan oleh paderi terbabit dalam klip video itu.

“Kita akan buat siasatan secepat mungkin mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, saya sendiri akan tentukan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika di sini, semalam.


Semalam, seorang penulis blog yang juga Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen mendedahkan tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.

Paderi terbabit dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Zainol dalam blognya http://mahaguru58.blog-spot.com turut meminta pihak berkuasa bertindak pantas sebelum umat Islam bertindak sendiri.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata beliau sangat kecewa dan dukacita terhadap sikap biadap paderi berkenaan malah, tidak bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian agama antara masyarakat Malaysia.

“Tindakan paderi menghina agama Islam adalah tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kemarahan serta pertelingkahan antara penganut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula meminta individu yang bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan disiasat malah dihukum mengikut undang-undang dalam kadar segera.

Ahmad Maslan berkata, siasatan menyeluruh membabitkan perbuatan paderi sama ada secara sengaja merakam, bercakap di khalayak ramai dan motif menyebarkan video perlu diselesaikan segera.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali mendesak kerajaan supaya menyelesaikan isu ini secara habis-habisan.

Katanya, semua pihak jangan hanya tahu menyiasat tanpa diselesaikan.

Sementara itu, Persatuan Pemuda Kristian (YMCA) Kuala Lumpur mengutuk sebarang tindakan penghinaan agama di negara ini kerana hanya akan mencetuskan perbalahan antara penganut agama sekali gus merosakkan perpaduan negara.

Setiausaha Agungnya, Richard Yeoh, berkata setiap individu yang menghina agama sewajarnya diambil tindakan tegas dan segera daripada pihak berkuasa supaya ia tidak mencetuskan huru-hara.

“Kita kena saling hormat-menghormati antara satu sama lain tidak kira dari segi agama ataupun kebudayaan dan tindakan menghina anutan agama lain hanya akan merosakkan imej negara.

“Kalau orang luar tengok, mereka akan fikir negara kita suka berbalah dan ini tidak akan mencerminkan keharmonian negara kita yang kecapi,” katanya ketika dihubungi.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, pula berkata umat Islam berasa sangat kecewa dan dukacita terhadap sikap biadab dan tidak bertanggungjawab paderi terbabit.

“Ketika Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berusaha mempromosikan keharmonian antara agama dan menyeru Barat meredakan Islamofobia, jelas wujud sekelompok pihak merobek keharmonian beragama dengan menghina dan meremehkan agama Persekutuan,” katanya.

sumber asal: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KlipvideohinaIslamdisiasat/Article/index_html
oleh Nadia Hamid, Sukhairi Abd Thani dan Faridzwan Abdul Ghafar

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks for your comment.