Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hukuman itu dilaksanakan berikutan peningkatan kes denggi sebanyak 14 peratus atau 4,448 kes sehingga 18 September lalu, berbanding 31,085 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Beliau berkata, tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975 itu membolehkan pemilik premis yang melakukan kesalahan berulang didakwa di mahkamah berbanding ketika ini, mereka hanya dikenakan kompaun minimum tanpa dihadapkan ke mahkamah.
Kerajaan merasakan sudah tiba masanya pemilik premis yang melakukan kesalahan berulang dikenakan hukuman tegas kerana ketika ini, mereka menganggap kadar kompaun yang dikenakan iaitu antara RM50 hingga RM300 tidak menggerunkan mereka.
Hukuman ini sudah ada dalam akta dan kerajaan bercadang untuk menguatkuasakannya kerana usaha menangani masalah denggi perlu ditangani secara bersama oleh Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat, katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Denggi di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Mengikut Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975, pemilik premis boleh dikompaun serta merta tidak melebihi RM500 dan jika gagal membayar kompaun mereka yang melakukan kesalahan berulang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu juga bersetuju supaya Program Komunikasi Melalui Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di bawah Kementerian Kesihatan diperluaskan dengan bantuan sebanyak RM500 bagi setiap program.
Katanya, ketika ini, kira-kira 600 program COMBI sudah dilaksanakan di seluruh negara dan jumlahnya akan ditambah sebanyak 1,000 dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai demam denggi.
Mesyuarat juga bersetuju supaya jawatankuasa untuk menangani penyakit di peringkat daerah diaktifkan semula untuk membantu PBT menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes.
Selain itu, kakitangan sementara untuk menangani masalah kesihatan yang dilantik oleh PBT juga akan dikekalkan untuk menangani masalah ini, katanya.
Mengulas mengenai Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengawal Denggi (2009-2013), Muhyiddin berkata, sejak dilancarkan pada April 2009, ia berjaya mengurangkan bilangan kes denggi sebanyak 16 peratus dan mengikut sasaran sebanyak 50 peratus kes denggi akan dikurangkan dalam tempoh lima tahun.
Ketika ditanya berhubung kajian mengenai genetik baru nyamuk Aedes, Muhyiddin berkata, ketika ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan kajian peringkat makmal mengenai genetik baru itu, sebelum dibentangkan ke Kabinet untuk kelulusan.
sumber asal: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HukumanlebihberatbiakAedes/Article
oleh: Azrina Ahzan
0 comments:
Catat Ulasan
Thanks for your comment.