Empat beradik di Kampung Mentara Baru, Merapoh, Kuala Lipis ini (dari kanan) Mohd. Zulaidil Adha, Mohd. Fatihi, Mohd. Fakri dan Alatin Syafikah merindui kasih sayang ayah dan ibu mereka.
Kedatangan Syawal yang sepatutnya disambut penuh dengan keceriaan oleh kanak-kanak seusia mereka, sebaliknya suram tanpa baju dan kasut baru atau kuih-muih yang enak untuk dinikmati di hari lebaran.
Sudah lima tahun Aidilfitri dilalui sebegitu oleh Mohd. Zulaidil Adha, 13, Mohd. Fatihi, 11, Alatin Syafikah, 9, dan Mohd. Fakri, 7, lantaran penceraian ibu bapa yang masing-masing kemudian membawa haluan sendiri.
Empat beradik di Kampung Mentara Baru, Merapoh, Kuala Lipis ini (dari kanan) Mohd. Zulaidil Adha, Mohd. Fatihi, Mohd. Fakri dan Alatin Syafikah merindui kasih sayang ayah dan ibu mereka.
Mujurlah kesengsaraan empat beradik itu sedikit terubat apabila mereka dipelihara bapa saudara mereka, Mohamad Abdul Wahab, 27, yang tinggal berjiran dengan kanak-kanak berkenaan.
"Pulanglah ayah dan ibu. Kami amat rindu. Raya tidak lama lagi. Kami tiada baju baru."
Demikian rintihan empat beradik yang diibaratkan umpama 'anak ayam kehilangan ibu' itu.
Bagi mereka, ketiadaan ketupat dan rendang daripada air tangan ibunya serta baju raya daripada bapa mereka menjadi perkara biasa setiap kali pagi 1 Syawal.
Selama ini, bapa saudaranya memikul tanggungjawab dan mengambil alih tugas sebagai 'ibu bapa' mereka dengan memberi makan dan minum serta memenuhi segala kebajikan termasuk keperluan persekolahan.
Mohd. Zulaidil Adha ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, mereka amat merindui ibu bapa yang telah lama berpisah tanpa sebarang berita.
"Kali terakhir, saya dan adik-adik berjumpa dengan ayah kira-kira tiga bulan lalu. Selepas itu, ayah langsung tidak muncul dan tidak pulang ke rumah menjenguk kami.
"Walaupun kurang kasih sayang ibu bapa, namun saya bersyukur kerana bapa saudara saya sanggup mengambil tanggungjawab ini untuk menyara kehidupan kami empat beradik," katanya.
Apa yang menyedihkan, menurut Mohd. Zulaidil Adha, mereka tidak mempunyai wang untuk membuat persiapan raya, apatah lagi untuk membeli baju baru.
Namun di sebalik keperitan hidupnya, tegasnya, sebagai anak sulung, dia berazam belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-citanya sebagai seorang jurutera.
Mohd. Fakri turut melahirkan kesedihannya kerana masih tidak memiliki baju baru untuk hari raya tidak lama lagi sebagaimana rakan-rakannya.
"Kalau boleh, emak dan ayah balik ke rumah segera dan bawa baju baru serta kuih raya," katanya yang amat mengharapkan kepulangan ibu dan bapanya sekurang-kurangnya sehari sebelum hari raya.
Sementara itu, Mohamad memberitahu, selepas bercerai, ibu kanak-kanak terbabit kembali ke rumah keluarganya di Terengganu manakala bapa mereka yang juga abangnya gagal dikesan.
Sejak itu, katanya, dia memelihara kanak-kanak berkenaan dan menganggap mereka seperti anaknya sendiri.
"Oleh kerana tidak sanggup melihat penderitaan mereka, saya rela memelihara kerana tidak mahu membiarkan mereka hidup melarat," katanya.
Mohamad yang hanya bekerja sendiri di kampung itu memberitahu, setiap hari dia memastikan kebajikan makan, minum dan persekolahan empat beradik itu dipenuhi.
"Malah kadangkala saya menemani kanak-kanak itu tidur di rumah usang peninggalan ibu bapa mereka," katanya.
Pada bulan puasa ini, katanya, dia mengejutkan kanak-kanak berkenaan untuk bersahur selain menyediakan juadah berbuka setiap hari.
"Gaji bulanan RM500 untuk perbelanjaan empat beradik ini tidak mencukupi kerana harga barang agak mahal di sini dan jauh dari bandar Kuala Lipis," katanya.
Bagaimanapun, Mohamad bersyukur dan berterima kasih kerana UMNO Bahagian, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Mentara Baru dan orang perseorangan bergotong-royong membaik pulih rumah serta menyumbangkan makanan serta peralatan sekolah kepada empat beradik itu baru-baru ini.
sumber asal: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm
kepada sesapa yang kenal mak bapak budak² ni..tolong la sampai² harapan anak² mereka ni
sedihnyaaa.....
BalasPadam