remaja lelaki di penjara dua tahun, teman wanita dihantar ke Sekolah Henry Gurney kerana buang bayi

MELAKA 28 Sept. - Seorang remaja lelaki dihukum penjara dua tahun manakala teman wanitanya yang berusia 17 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney kerana kesalahan membuang bayi mereka pada 1 Ramadan lalu.
MOHD. Zolhalmi Khamis diiringi polis di Mahkamah Majistret Melaka, semalam. - UTUSAN/ GAIE UCHEL

Perintah tersebut yang berkuat kuasa hari ini dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini setelah Mohd. Zolhalmi Khamis, 18, dan pesalah juvenil itu mengekalkan pengakuan bersalah mereka.

Majistret Mohd. Fairuz Johari memerintahkan gadis bawah umur itu dihantar ke sekolah tersebut sehingga berusia 20 tahun mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001.


Mengikut pertuduhan, pasangan muda itu didakwa telah membuang bayi perempuan mereka di kawasan kilang Daibochi, Ayer Keroh di sini pada pukul 1 pagi, 11 Ogos lalu.

Dakwaan terhadap mereka mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, remaja perempuan itu melahirkan bayi tersebut di dalam sebuah tandas di kilang berkenaan sebelum memasukkan bayi itu ke dalam sebuah beg.

Mohd. Zolhalmi kemudian meletakkan beg tersebut ke dalam tong sampah di kawasan kilang itu.

Dalam keputusannya, Mohd. Fairuz menyatakan, kesalahan yang dilakukan oleh pasangan kekasih tersebut adalah kesalahan yang serius.

"Walaupun kamu berdua membuat rayuan, kamu mesti ingat setiap perbuatan itu ada akibatnya. Mahkamah memandang berat ke atas apa yang telah kamu lakukan," tegas beliau.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman terhadap mereka dengan alasan telah insaf dengan perbuatan yang dilakukan.

Remaja perempuan itu turut memberitahu mahkamah, dia tidak boleh berpisah dengan bayinya apatah lagi anaknya itu sedang menyusu badan.

Mohd. Zolhalmi pula berjanji akan bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan termasuk bernikah dengan teman wanitanya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md. Nor yang mengendalikan pendakwaan pula berkata, kes menyembunyikan kelahiran dan pembuangan bayi tidak boleh dipandang ringan kerana ia seolah-olah menjadi satu trend remaja sekarang.

"Sekurang-kurangnya dengan hukuman yang berat, ia dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi masyarakat juga akan gentar melakukan perkara yang sama," katanya.

Akhbar pada 11 Ogos lalu melaporkan penemuan seorang bayi perempuan yang masih hidup di dalam tong sampah di sebuah kilang di Ayer Keroh ketika umat Islam memulakan ibadat puasa hari pertama Ramadan.

Bayi itu dijumpai oleh pengawal keselamatan kilang tersebut yang kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian.

sumber asal: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm
Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID


2 comments:

  1. mudah-mudahan lepas ni mereka ber2 akan jadi insan yang paling baik akhlaknya di muka bumi...

    BalasPadam

Thanks for your comment.