Bekas pelajar SESMA menang kes buli RM616,634.20

Buli menjadi igauan ngeri bagi yang pernah melaluinya. Malah bagi sesetengah mangsa, mereka terpaksa mengambil masa yang lebih lama dan rawatan intensif untuk mengurangkan kesan trauma.

Pernah suatu ketika aktiviti berunsur buli menjadi aktiviti yang terpaksa diharungi bagi pelajar baru pusat pengajian tinggi.


Namun kebanyakan kes yang dilaporkan pembuli bertindak bagi tujuan menghukum mangsa atau sebagai salah satu jalan siasatan kononnya.

myMetro telah melaporkan keputusan mahkamnah bagi satu kes buli yang berlaku pada April 2015. Berita lengkap seperti di bawah dan boleh dibaca secara terus di laman web myMetro.


MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu, hari ini, memerintahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) membayar tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar sekolah itu yang menjadi mangsa buli, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan difailkan plaintif ketika kejadian berusia 14 tahun menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 50, pada 2 April 2017. Zainal Azman memerintahkan lima pembuli yang juga bekas pelajar sekolah itu selaku defendan pertama hingga lima yang kini berusia 21 tahun; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (defendan keenam), bekas pengetua SESMA, Meriam Jusoh (defendan ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (defendan kelapan) dan kerajaan Malaysia (defendan kesembilan) membayar tuntutan itu.

Dalam penghakimannya, Zainal Azman berkata, kejadian buli pada 26 April 2015 membabitkan plaintif yang ketika itu berusia 14 tahun menampakkan kecuaian pihak sekolah dan seperti dirancang kerana ia berlaku di bilik asrama ketua pengawas. “Pihak sekolah dilihat begitu cuai kerana tidak membuat kawalan sedangkan kejadian berlaku di dalam bilik asrama ketua pengawas, bukannya di tepi longkang atau di kaki lima. “Jadual warden bertugas sudah disusun begitu cantik, tetapi tidak berguna jika tak menjalankan tugas diamanahkan.

Lebih baik letak jawatan dan jadi guru biasa sahaja. “Bagi defendan keenam dan ketujuh pula, mereka cuai dalam menjalankan tanggungjawab memastikan kebajikan warga sekolah terutama keselamatan pelajarnya,” katanya. Plaintif diwakili peguam, Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof dari W A Wan Adnan & Assoc. Akibat dipukul, ditendang dan ditampar oleh pelajar Tingkatan Lima dalam kejadian buli itu, mangsa yang ketika itu pelajar Tingkatan Dua kehilangan pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinga pecah menyebabkannya tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup, selain mengalami beberapa kecederaan lain.

 Malah, plaintif yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada 2013 turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015. Sementara itu, ibu plaintif, Rusaila Abdullah, 43, yang hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan hari ini bersyukur kerana keputusan memihak kepada anak lelakinya.

 “Alhamdulillah bersyukur semuanya sudah selesai. Apa yang kami lakukan ini (tuntutan) bukan untuk wang, tetapi demi pembelaan anak kami yang masih trauma sehingga hari ini dan hilang pendengaran akibat dibuli,” katanya. Media pada April 2017 melaporkan, seorang pelajar yang menjadi mangsa buli memfailkan tuntutan sebanyak RM2 juta terhadap sembilan pihak termasuk lima pembulinya di Mahkamah Tinggi.


simieY: tuntutan lebih bersifat harga bagi sebuah pengajaran..