Salah satu buah tangan beliau ialah drama bersiri bertajuk Ripin Mugha Batu yang mula ditayangkan di TV2 bermula 28 Ogos yang lepas. Sehingga kini sudah menginjak ke episod 10 bermakna hanya tinggal 3 episod sahaja lagi. Drama bersiri ini sudah mula menjadi bualan dan menarik minat peminat-peminat cerita arahan beliau, namun kali ni beliau tidak melakonkan watak utama namun pengalaman beliau nyata diterjemahkan dengan baik apabila kesemua watak-watak dilihat seimbang dan memberikan impak yang besar kepada keseluruhan cerita.
Drama Ripin Mugha Batu diinspirasikan dari novel bertajuk Jogho yang Tewas hasil nukilan satu nama besar Rohani Deraman dengan nama jolokan Fida Rohani Novelis Alaf 21 dan beliau merupakan penerima Anugerah Sastera Kelantan 2015. Berdasarkan carian yang dibuat melalui Google Search, jelas sekali terdapat 2 blog yang telah membuat review novel tersebut beberapa tahun lepas dan nyata maklumbalas yang diberikan sangat memuaskan.
Penulis blog Nukilanku Asmah Hashim yang dimuatnaik pada 11 Disember 2014 memberikan 5 bintang dan satu lagi review oleh akuzle ayu di blog beliau Nasi Kerabu Buah Tanjung yang dimuatnaik pada 12 Jun 2013.
Berikut merupakan sinopsis yang dikongsi di laman sesawang RTM bertajuk SIARAN MEDIA - Ripin Mugha Batu dan selamat menonton episod seterusnya di TV2 dan berhubung terus dengan penulis sekiranya berminat untuk memiliki buku Jogho yang Tewas.
Kisahnya tentang Aripin yang mempunyai dua orang isteri yang sering iri hati dan bermusuhan. Aripin juga mempunyai seorang anak yang bernama Setopa. Aripin kurang senang dengan Setopa kerana Syura, isteri Setopa yang tidak suka mendengar irama Dikir Barat kerana berpendapat Dikir Barat digunakan menyindir dan menceritakan hal peribadi orang lain sesuka hati. Setopa hanya mengikut kata isterinya membuatkan hubungannya dengan Aripin menjadi renggang. Adik Setopa, Marini tidak selesa dengan kakak iparnya, Syura.
Satu hari kedua-dua isteri Aripin, Mek Nab dan Mek Siah bergaduh menyebabkan Aripin memarahi mereka. Kawan Ripin, Seman baru berkahwin dengan wanita muda namun anaknya Sudin tidak menyokongnya. Mek Siah, cuba berbaik-baik dengan Mek Nab, tetapi Mek Nab menolak. Marini minta izin Setopa untuk tinggal menyewa diluar. Setopa pula ke Kuala Lumpur tanpa ajak Syura yang tengah sarat mengandung.
Hubungan Ripin dengan Setopa semakin meruncing hingga ketika pulang ke kampung kerana mengurus hal-hal jualan kereta terpakai miliknya, Setopa enggan bertemu ayahnya. Dia hanya singgah menemui Mek Nab ketika Ripin tiada. Ripin sangat kecewa dengan sikap Setopa hingga terbawa-bawa ke dalam mimpinya.
Sudin tertekan apabila melihat ayahnya yang sangat memanjakan ibu tirinya. Sudin cuba minta wang daripada Seman tetapi dia tidak diendahkan membuatkan Sudin mengamuk. Amukan Sudin itu berjaya dileraikan oleh Ripin. Anak Ripin, Marini dan Husni berdoa agar hubungan antara Setopa dan Ripin kembali bertaut.
Fikiran Ripin semakin berkecamuk tambahan bila Mek Nab sering memarahinya dan Setopa juga menjauhkan diri daripadanya. Ripin juga runsing tentang tanah yang dipajaknya lima tahun yang lalu yang harus ditebusnya dengan segera. Ripin sering kelihatan murung dan jarang berkunjung ke bangsal dikir barat. Zarif bertemu dengan Setopa memberitahu niatnya untuk berkahwin dengan Marini.
Ripin tertekan dan jatuh sakit. Dia banyak menghabiskan masa di rumah Mek Siah membuatkan Mek Nab mengamuk besar membuatkan Ripin pengsan. Walau bagaimanapun, sikap Mek Nab terus sombong dan berdegil. Manakala, di Kuala Lumpur, Marini memujuk Setopa untuk pulag ke Kelantan, tetapi tidak membenarkan kerana Setopa mahu Marini menjaga Syura yang sedang sarat mengandung. Di bangsal dikir barat, Sudin, Husni dan Azli terus berlatih berdikir barat walaupun Ripin dan Seman tiada.
Azli, anak Mek Jah baru pulang dari Singapura setelah tujuh tahun merantau. Keadaan menjadi kacau bilau kerana dendam lama Sudin kepadanya mereka sama-sama meminati Marini. Azli melaburkan wang menubuhkan perniagaan dengan Pak Soh. Selain itu, Husni dan ahli kumpulan dikir barat sering menjalankan latihan di bangsal dan Husni sangat rajin mencipta lirik lagu yang baharu.
Fikiran Ripin semakin bercelaru kerana sukar menangani sikap kedua-dua isterinya. Dia ingin menemani Mek Siah yang terseliuh kaki tetapi takut dimarahi Mek Nab hingga dia tertidur di kedai guntingnya. Sudin berselisih faham dengan Pak Seman berpunca daripada ibu tirinya yang mengikis wang ayahnya sahaja. Husni memperkenalkan Khatijah gadis Melayu keturunan Siam kepada ibunya Mek Siah dan Mek Siah berkenan.
Anak-anak Ripin berbincang cara mengatasi masalah ayah mereka. Marini pulang ke kampung menjaga syarikat kereta terpakai Setopa. Kebetulan Azli membeli kereta daripada Marini dan hubungan mereka kembali rapat yang menimbulkan cemburu Marini.
Pihak Jabatan Kebudayaan mengundang Kumpulan Dikir Ripin Mugha Batu untuk mengadakan persembahan dikir barat. Ripin gembira dan merancang membawa Pak Seman dan Sudin dalam persembahan itu nanti. Husni pula menemui bapa Khatijah.
Berlaku perselisihan faham antara Sudin dan ibu tirinya kerana sikapnya mengambil kesempatan atas kebaikan ayahnya. Azli pula bertemu dengan Che Soh dan meluahkan rasa tidak puas hati kerana perniagaannya tidak menghasilkan sebarang pendapatan. Ripin berjumpa Che Soh menasihatinya menjalankan perniagaan dengan jujur dan tidak menipu.
Setopa pulang ke kampung dengan tujuan untuk memohon maaf kepada Ripin. Setopa mendapat tahu ayahnya sedang pening memikirkan hutang menyebabkan dia sering sakit. Mek Nab salah faham mengatakan wang itu digunakan untuk membesarkan rumahnya.
Kumpulan dikir Ripin Mugha Batu terus berlatih setiap malam sebagai persiapan untuk pergi membuat persembahan di Kuala Lumpur. Kumpulan ini semakin ceria dengan adanya Husni, Azli dan Sudin. Walau bagaimanapun, persaingan antara Azli dan Sudin untuk menambat hati Marini tidak pernah reda. Pak Seman telah menceraikan isterinya dan hubungan antara Pak Seman dengan Sudin kembali baik.
Setopa memohon maaf daripada ayahnya. Hal ini menggembirakan hati semua ahli keluarga Ripin. Cuma Syura yang masih tersinggung dengan Ripin. Kumpulan Dikir Barat Ripin Mugha Batu telah berangkat menuju Kuala Lumpur. Kumpulan ini diketuai oleh Ripin dan Azli dilantik sebagai juru acara. Sepeninggalan Ripin ke Kuala Lumpur, Mek Nab mengimbas kembali saat-saat dia mula bermadu dengan Mek Siah dan Mek Nab seolah-olah menyesal atas semua tuduhannya kepada Mek Siah selama ini.
Dikir Barat Kumpulan Ripin Mugha Batu telah dipersembahkan. Secara sembunyi Setopa datang menyaksikan persembahan tersebut dan terharu dengan lirik ciptaan Ripin tentang kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Sementara itu Mek Siah dan Mek Nab telah berunding untuk membantu Ripin menebusnya tetapi Ripin membantah.
simieY: baru start tengok episod 9 dah takleh move on. agak terkilan sebab jarang tengok siaran rtm. salah saya...
0 comments:
Catat Ulasan
Thanks for your comment.