WHO istihar Koronavirus Kecemasan Kesihatan Global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membuat satu pengumuman penting berkaitan dengan koronavirus. Beberapa akhbar online dan juga berita telah mula menyiarkan mengenainya. 

WHO telah secara rasminya mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan global. Semoga kita semua dilindungi dari malapetaka ini. Saya tidak berminat untuk memberi komen atau pandangan dari mana-mana kumpulan kerana apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah sama-sama menyekat penularannya dan mengelakkan daripada dijangkiti. 


Berikut saya sediakan petikan berita daripada website Astro Awani yang saya rasa lebih terperinci sebagai maklumat tambahan.


Astro Awani : WHO isytihar koronavirus darurat kesihatan global 

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebentar tadi mengisytiharkan wabak koronavirus yang telah meragut sekurang-kurangnya 170 nyawa sebagai kecemasan kesihatan global. 

Perkara berkenaan diumumkan WHO selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat pertubuhan itu di Geneva pada Khamis. Ini berikutan kes berkaitan wabak berkenaan meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh seminggu. 

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata perkara yang amat membimbangkan adalah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya. "Sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana situasi di China, tetapi kerana negara lain. "Terdapat 98 kes di 18 negara di luar China, termasuk lapan kes jangkitan manusia ke manusia di empat negara iaitu Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam video yang dikongsi menerusi Twitter rasmi WHO. 

Berdasarkan data terkini, ketika ini terdapat 7,834 kes 2019-nCoV yang disahkan termasuk 7,736 jangkitan di China dengan 170 orang meninggal dunia di republik itu. “Setakat ini tiada kematian dilaporkan di luar China dan kita semua perlu bersyukur. Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding jumlah kes di China, kita semua perlu bekerjasama untuk mengehadkan penularan penyakit itu,” katanya. 

Novel koronavirus mula dikesan pada Disember di Wuhan, China yang menyebabkan radang paru-paru dan gejala lain seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas. Setakat semalam, Malaysia mempunyai lapan kes jangkitan yang disahkan. BACA: WHO Director-General's statement on IHR Emergency Committee on Novel Coronavirus (2019-nCoV) Badan Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendefinisikan darurat global sebagai peristiwa luar biasa yang merupakan risiko kepada negara-negara lain dan memerlukan koordinasi tindak balas antarabangsa. 

China telah memaklumkan kepada WHO kes mengenai patogen baharu itu pada lewat Disember lalu. Sehingga kini, China telah melaporkan lebih 8,243 kes dikesan termasuk 171 kematian direkodkan setakat 31 Januari. Sebanyak 22 negara telah melaporkan mempunyai kes koronavirus dengan para saintis ketika ini sedang membuat kajian untuk memahami cirinya dan bagaimana ia tersebar. 

Pakar berkata terdapat bukti signifikan jangkitan manusia ke manusia. Virus yang tersebar di China terutama di pusat epidemik Wuhan itu turut mencetuskan kebimbangan dunia susulan kes jangkitan yang dikesan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Jerman, Kanada dan Vietnam.

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.