Pelaburan matawang kripto Bitcoin

Beberapa tahun kebelakangan pelaburan matawang kripto menjadi fenomena baru dunia dan di Malaysia matawang kripto Bitcoin agak ke depan berbanding matawang lain. Terlebih dahulu saya ingin memaklumkan bahawa entri kali ini agak berat dan terdapat banyak teks.

Pelbagai persoalan timbul berkenaan pelaburan Bitcoin pada suatu ketika sehingga menarik perhatian dan diulas secara terperinci oleh SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan) di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah persekutuan dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-153: Hukum pengguanaan matawang Bitcoin. Anda boleh baca kupasan terperinci dengan mengklik link pada tajuk artikel.

Kesimpulannya, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa Bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara. Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.

Walaupun pendirian jelas telah diberikan, masih terdapat sebilangan yang masih meneruskan pelaburan ini. Mungkin tawaran atau pulangan yang dijanjikan amat mempesonakan dan menyakinkan.

Saya pernah menjadi ejen pelaburan unit amanah bagi satu institusi kewangan yang menguruskan pelaburan unit amanah sejak lebih 20 tahun di Malaysia. Malangnya saya dah tinggalkan bidang ini beberapa tahun yang lepas ekoran komitmen pada kerja pertama, kekangan masa dan keluarga. Namun begitu, saya masih lagi membuat pelaburan hanya untuk diri sendiri melalui kwsp setiap 3 bulan.

Tuan Eza di dalam laman web majalahlabur.com dengan jelas mengatakan bahawa Bitcoin adalah sebahagian daripada mata wang digital atau cryptocurrency dan ia bukanlah sebuah instrumen pelaburan. Ramai orang telah mempunyai anggapan yang salah mengenai Bitcoin.
Baca di sini : Apa itu Bitcoin & Mengapa ianya bukan sejenis pelaburan

Sebagaimana telah dikongsi oleh Bank Negara Malaysia melalui entri Peringatan kepada semua pengguna di laman webnya, bagaimanakah untuk mengenalpasti skim tidak sah? Orang ramai dinasihati untuk berwaspada dan tidak terpedaya dengan skim tersebut. Sentiasa berhati-hati dan perhatikan ciri-ciri lazim yang terdapat pada skim ini seperti yang berikut: 
1- Pengendali mungkin berhubung melalui surat, telefon, Internet atau secara bersemuka, namun niatnya tetap sama iaitu mendapatkan wang daripada mangsa yang tidak menaruh syak wasangka untuk barangan atau perkhidmatan yang sememangnya tidak akan disediakan. 

2- Skim yang menjanjikan kadar faedah, pulangan atau keuntungan yang jauh lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen untuk wang deposit mereka.

3- Janji pulangan yang tinggi adalah bertujuan untuk menarik minat orang ramai supaya menyertai skim ini dan pelabur mungkin tidak diberikan sebarang salinan dokumen termasuk perjanjian dengan pengendali tersebut. 

4- Tiada jaminan bahawa pengendali dapat terus memberikan pulangan yang tinggi. 

5- Pada permulaan skim ini, pengendali akan menggunakan wang yang diterima daripada pendeposit baharu untuk memberikan pulangan tinggi atau membayar semula amaun prinsipal kepada pendeposit lama. 

6- Walau bagaimanapun, pengendali tidak dapat melaburkan deposit dalam usaha niaga atau pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang sama atau yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, pengendali tidak dapat mengekalkan pulangan yang tinggi atau membayar semula wang pelabur seperti yang dijanjikan. 

Sila ambil perhatian bahawa skim ini akhirnya akan gagal apabila pengendali tersebut tidak menerima deposit baharu secara berterusan. Pada masa itu, skim cepat kaya ini akan gagal dan pendeposit atau pelabur akan kehilangan wang pelaburan mereka. 


Mungkin disebabkan tahap kesedaran yang rendah menyebabkan ramai yang telah terpedaya namun apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Kehilangan wang simpanan malahan sehingga terpaksa menanggung hutang demi mengejar janji dan harapan palsu.

Terbaru petikan berita dari laman web Harian Metro, seorang mangsa pelaburan bitcoin telah kerugian sehingga RM1.3 juta. Beliau dikatakan telah jatuh ditimpa tangga kerana terpaksa menjual rumah dan kereta hanya untuk membuat bayaran balik kepada 60 pelabur yang beliau perkenalkan dengan jumlah mencecah RM500,000.


Baca di sini : Rugi RM1.3 juta

Terdahulu Harian Metro turut telah melaporkan terdapat beberapa artis tanah air yang juga tidak terlepas dari godaan bonus hasil mempromosikan pelaburan oleh sindiket pelaburan.


Baca di sini : Artis ditipu lima bonus

Saya mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada yang berminat melabur supaya terus ke mana-mana bank terdekat kerana pelbagai jenis pelaburan yang sah anda boleh dapati di sana. Saya hanya kongsikan beberapa petikan berita yang agak tidak baik berkaitan pelaburan bitcoin. Anda boleh meneruskan carian di internet.

Apa yang perlu anda ingat, pelaburan yang sah tidak akan sesekali menjanjikan pulangan yang lumayan dalam tempoh yang singkat.

Semoga bermanfaat.
Share on Google Plus

About simiey

Penulis merupakan seorang blogger separuh masa dan berminat untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan,kemahiran serta cerita-cerita menarik dengan masyarakat.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: