Kisah 25 Rasul : Nabi Musa & Harun ‘Alaihissalam (Bahagian 2)


15) Firaun berkata, “Berani kamu beriman kepada Allah sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya nabi Musa itu ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; maka tahulah kamu akibatnya nanti. Aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semua!” - Rujuk al Quran (26:49). Ahli-ahli sihir dan rakyat Mesir yang baru sahaja dapat hidayah Allah itu pun membalas, “Kami tidak takut dengan ugutanmu! Kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.” - Rujuk al Quran (26:50). Kemudian kesemua mereka yang sudah beriman dengan Allah ditangkap, dipotong kaki, dipalang dan dibunuh. Selepas kejadian itu, untuk mengelakkan nabi Musa dan pengikutnya untuk terus menggoyahkan takhta firaun, tentera firaun dikerah untuk membunuh setiap anak lelaki dari Bani Israel dan membiarkan wanita mereka hidup. Dan firaun meminta nabi Musa juga dibunuh kerana takut akan lebih ramai orang yang menjadi pengikutnya.

16) Kemudian datang seorang ahli keluarga firaun yang dalam diam telah beriman kepada Allah. Dia cuba menasihatkan firaun dan untuk tidak membunuh nabi Musa. Dia berkata, “Kau bersusah mahu menbunuh seorang lelaki hanya kerana dia berkata Allah itu tuhannya? Biarkan dia hidup. Jika dia menipu, penipuannya akan memakan dirinya sendiri. Tapi jika dia berkata benar dan kau pula membunuhnya, habislah kau nanti.” Maka firaun dan penasihatnya memutuskan untuk tidak membunuh nabi Musa.



17) Pada waktu ini, Bani Israel sudah semakin hilang semangat. Mereka tertekan kerana semakin ramai orang mereka dibunuh. Nabi Musa berkata, "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa" - Rujuk al Quran (7:128). Kemudian mereka berkata kepada nabi Musa, “Apa bezanya? Sebelum kau datang kepada kami, firaun menyeksa kami dengan membunuh bayi kami kerana tidak mahu kau lahir ke dunia. Dan selepas kau datang kepada kami, firaun masih menyeksa kami dengan membunuh anak-anak lelaki kami, juga disebabkan kau.” Nabi Musa pun menenangkan mereka dengan berkata, “Allah akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi. Tengoklah nanti.” - Rujuk al Quran (7:129).

18) Kemudian Allah menurunkan satu persatu hukuman ke atas firaun dan pengikutnya. Pertama, Allah menurunkan kemarau yang amat dahsyat. Ladang tanaman rakyat Mesir tidak berbuah tetapi ladang Bani Israel berbuah seperti biasa. Kemudian orang Mesir berjumpa dengan nabi Musa dan berkata, “wahai ahli sihir, minta dari tuhanmu untuk hilangkan kemarau ini. Jika hilang kemarau ini, kami akan beriman dengan tuhanmu.” Maka nabi Musa pun berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kemarau di Mesir. Setelah cuaca Mesir kembali normal, orang Mesir tidak beriman pun kepada Allah, malah ketawakan nabi Musa sambil berkata, siapa suruh percaya kami? Kemudian Allah menurunkan pula bencana banjir. 




Habis musnah semua rumah rakyat Mesir dilanda banjir namun rumah Bani Israel tidak terkesan langsung. Orang Mesir memanggil nabi Musa lagi, “Minta pada tuhan kau untuk menghilangkan banjir ini, kali ini kami tidak akan mungkir janji untuk beriman kepadanya.” Maka nabi Musa pun berdoa kepada Allah. Setelah banjir surut, orang Mesir enggan juga beriman kepada Allah dan tertawakan nabi Musa sekali lagi. Kemudian Allah menurunkan berjuta belalang perosak sehinggakan waktu siang menjadi gelap kerana terlalu banyak belalang berterbangan menutupi langit. Sekali lagi mereka meminta nabi Musa menghilangkan bencana itu dan tetap tidak beriman kepada Allah. Kemudian Allah menurunkan malapetaka kutu. Berjuta kutu menyerang orang Mesir dan membawa penyakit kutu. Sekali lagi mereka meminta nabi Musa untuk menghilangkan malapetaka itu dan setelah hilang, mereka tetap tidak beriman kepada Allah. Kemudian Allah datangkan pula malapetaka katak. Katak di dalam rumah, luar rumah, dalam makanan, bantal, baju, penyakit katak, hujan katak, segalanya katak. Begitu juga, mereka meminta tolong nabi Musa dan setelah malapetaka itu hilang, enggan beriman kepada Allah. Dan akhirnya, Allah menurunkan malapetaka darah. Setiap kali orang Mesir mahu menyentuh air, air itu bertukar menjadi darah. Apabila mereka mahu minum, terminum darah. Mahu mandi, mandi darah. Sehingga kehidupan harian mereka bergelumang dengan darah. Sepanjang hukuman Allah ini, Bani Israel tidak terkena satu pun. Merek hidup seperti biasa ditengah rakyat mesir yang sedang hidup huru hara. Kemudian sama seperti ini, mereka meminta tolong daripada nabi Musa dan setelah malapetaka itu hilang, mereka mungkir janji untuk beriman kepada Allah.

19) Raja-raja Mesir zaman dahulu mereka sentiasa berhias dengan segala jenis barang kemas - emas, intan, berlian, batu permata - diatas kepala mereka tidak sah jika tidak bertakhtakan emas. Dan mereka mengikat hamba-hamba abdi dan mengerah mereka membina piramid dan segala benda yang ada di Mesir. Firaun yang bongkak berkata kepada pengikutnya. “Mengapa Musa tidak ada satu pun emas di badannya? Dan mengapa dia tidak mengikat para malaikat dengan tali untuk menyembahnya? Lihatlah aku! Aku mengikat hamba-hambaku dan mereka semua menyembahku, melakukan segala yang aku perintahkan!”

20) Nabi Musa kesal dengan betapa bongkaknya firaun. Dan baginda berdoa kepada Allah, sambil nabi Harun mengaminkan doanya, "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” - Rujuk al Quran (10:88). Kemudian Allah berfirman, “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua” - Rujuk al Quran (10:89).

21) Kemudian Allah mengilhamkan kepada nabi Musa untuk membawa Bani Israel keluar dari Mesir pada waktu malam ke tepi lautan. Maka nabi Musa dengan secara senyap mengumpulkan Bani Israel pada waktu malam untuk lari dari Mesir. Mereka bertanya, “Kita mahu ke mana?”, nabi Musa berkata, “Ikut sahaja. Cepat!”. Berita ini sampai ke telinga firaun dan dia menjadi marah. Firaun berkata, “Tidak mengapa, pagi nanti saja kita kejar mereka.” Kenderaan firaun dan tenteranya jauh lebih laju jadi pagi itu sekejap sahaja mereka dapat mengejar Bani Israel di tepi laut.




22) Firaun datang dengan lebih 1.5 juta askarnya untuk mengejar Bani Israel seramai 600,000 orang. Apabila firaun dan tenteranya semakin menghampiri, ada di kalangan Bani Israel berkata, “Habislah kita!” Mereka sudah mula risau. Nabi Musa tercari-cari dari arah timur dan barat pantai, di mana mereka boleh lalu untuk menyeberangi laut. Kemudian Allah mengilhamkan kepada nabi Musa untuk mengetuk laut menggunakan tongkatnya. Apabila diketuk air laut itu, dengan kuasa Allah maka terbelah laut itu menjadi dua, membentuk laluan untuk nabi Musa dan kaumnya berlari ke seberang laut.

23) Firaun dan tenteranya menjadi takut. Apabila nelihat dua bahagian laut yang terbelah itu tinggi menggunung. Bani Israel pula sudah jauh berlari, ada di antara mereka yang telah sampai di seberang laut. Firaun pun berkata, “Apa tunggu lagi? Kejar!” Dan mereka pun meluru masuk ke dalam belahan laut itu. Firaun sangat bongkak, dia yakin bahawa dia boleh sampai ke seberang laut. Nabi Musa telah sampai di seberang, lalu baginda mengetuk semula air laut itu maka tertutup laluan tadi membanjiri askar-askar firaun. Mereka menjerit terlolong dan akhirnya semua sekali tenggelam ke dasar laut.

24) Di saat akhir nyawa firaun ketika dia sedang lemas, firaun berkata dalam hatinya, “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri” - Rujuk al Quran (10:90). Namun pintu taubat telah pun tertutup untuk firaun dan Allah tidak menerima taubatnya.

25) Kemudian bumi bagaikan tidak menerima mayat firaun. Dalam berjuta orang yang tenggelam di dalam laut, mayat firaun seorang sahaja yang terapung. Allah berfirman, "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" - Rujuk al Quran (10:92). Mayat firaun diawet dan disimpan di keranda dalam piramid di Mesir, dan ia kekal sehingga sekarang untuk tontonan kaum manusia sebagai pengajaran tentang kekuasaan Allah.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.