Kisah 25 Rasul : Nabi Musa & Harun ‘Alaihissalam (Bahagian 1)


1) Nabi Musa digelar Kalimullah yang bermaksud ‘orang yang bercakap dengan Allah’ kerana nabi Musa seorang nabi yang sangat istimewa yang sering bercakap dengan Allah. Warna kulit nabi Musa tidak cerah, agak gelap. Mempunyai rambut yang tebal dan badannya sasa dan baginda sangat kuat sehingga digambarkan tumbukan baginda boleh menyebabkan seseorang itu mati walau dengan hanya sekali tumbukan. Bukan itu saja, pertutura. nabi Musa tidak berapa jelas kerana baginda gagap. Nabi Musa lahir dari kalangan Bani Israel.

2) Siapakah Bani Israel? Bani Israel berasal daripada keturunan 12 orang anak nabi Yaakub (salah seorangnya nabi Yusuf) yang tinggal di Palestin, betul-betul di sebelah Mesir. Nabi Yaakub sebenarnya mempunyai dua nama, Yaakub dan Israel. Oleh itu, mereka mengambil nama Israel itu untuk dijadikan nama kelompok atau etnik mereka. Jika dilihat dalam kisah nabi Yusuf ada menceritakan bahawa nabi Yusuf telah mengajak keluarganya untuk tinggal di Mesir. Maka Bani Israel ini bukan sahaja tinggal di Palestin namun di Mesir juga. Beberapa generasi selepas itu, lahirlah nabi Musa. Namun ketika nabi Musa lahir, Bani Israel tidak ramai sekadar 600,000 orang sahaja jika dibandingkan dengan rakyat Mesir yang berjuta-juta orang ramainya.



3) Pada satu zaman itu, Mesir diperintah oleh seorang firaun yang kaya, kejam dan menganggap dirinya tuhan. Rakyat Mesir dipaksa menyembahnya. Satu hari, firaun telah bermimpi api marak telah datang dari Baitul Maqdis di Palestin menuju ke Mesir dan membakar semua rumah di Mesir kecuali rumah orang-orang Bani Israel. Firaun jadi tidak keruan dan memanggil semua ahli tilik dan penasihatnya untuk mentafsir mimpinya. Ahli tilik mentafsirkan bahawa akan lahir seorang bayi lelaki berketurunan Bani Israel dan suatu hari nanti firaun akan mati di tangan bayi lelaki itu. Firaun terus membuat undang-undnag baru iaitu setiap kali Bani Israel melahirkan bayi lelaki, bayi itu mesti dibunuh. Maka firaun menghantar askarnya untuk menggeledah rumah Bani Israel dan membunuh semua kanak-kanak lelaki. Askarnya akan membuat ‘pembersihan’ itu setiap 2 tahun.

4) Ibu nabi Musa pada masa itu sedang hamil. Sepanjang 9 bulan, dia mengelak daripada berjumpa dengan orang dan hanya duduk di rumah, bimbang jika diketahui orang bahawa dia sedang mengandung. Apabila lahirnya nabi Musa, dia sangat sedih dan risaukan nyawa anaknya. Allah telah mengilhamkan kepada ibu nabi Musa untuk menyusukan bayinya sehingga kenyang dan hanyutkan bayi itu di sungai. Allah telah berjanji kepada ibu nabi Musa akan bertemu kembali dengan bayinya. Maka si ibu memasukkan bayinya ke dalam sebuah kotak dan menghanyutkan kotak itu di sungai. Ibunya menyuruh kakak kepada nabi Musa untuk melihat ke mana kotak itu pergi kerana bimbang kotak itu hanyut ke arah orang yang akan membunuhnya. Kakak nabi Musa pun berlari-lari mengikut kotak tersebut sehingga setakat mana yang boleh dilihat.



5) Takdir Allah, kotak itu hanyut ke istana firaun dan ditakdirkan juga yang menjumpai bayi itu adalah isteri firaun. Apabila melihat muka bayi itu, timbulnya rasa sayang dan disebabkan mereka tidak mempunyai anak sendiri, isteri firaun memutuskan untuk membelanya seperti anak sendiri. Firaun semestinya tidak membenarkan kerana dia telah mengarahkan askarnya untuk membunuh semua bayi lelaki Bani Israel tetapi di istananya sendiri ada bayi lelaki Bani Israel. Lihat warna kulit bayi itu sahaja telah menunjukkan ia daripada Bani Israel. Isteri firaun berdegil dan mengatakan bahawa bayi itu membuatkan dia gembira dan tidak mungkin bayi ini boleh berbuat apa-apa pada firaun. Firaun amat cintakan isterinya dan melihat isterinya begitu bahagia, dia pun terpaksa membiarkan bayi itu membesar di istananya, tanpa menyedari bahawa satu hari nanti bayi itulah yang akan menjadi musuhnya.

6) Firaun mengupah ramai ibu susuan di Mesir untuk menyusukan Musa namun Musa menolak kesemuanya. Allah telah menghalang Musa dari menyusu dari perempuan-perempuan itu. Semakin lama bayi itu semakin lemah dan firaun telah menghantar orang-orangnta untuk mencari lagi perempuan yang boleh menjadi ibu susuan. Berita telah sampai kepada keluarga nabi Musa dan ibunya telah dibawa ke istana. Nabi Musa pun meminum susu ibunya. Firaun berasa pelik dan bertanya, “Kenapa dia minum dari kamu? Siapa kamu?” dan ibu Musa berkata, “Susu aku manis, tidak ada bayi yang pernah menolak susu badanku.” Di sini Allah telah menunaikan janjinya untuk mempertemukan semula nabi Musa dengan ibunya namun tidak ada sesiapa pun yang tahu. Malah Allah melindungi ibu nabi Musa kerana setiap kali dia keluar masuk istana, sentiasa ada yang mengiringinya.

7) Nabi Musa membesar dengan sempurna di dalam istana dan di saat orang ramai menyembah firaun walaupun mereka tidak pernah berjumpa dengannya, nabi Musa mengetahui bahawa l firaun itu hanya manusia biasa dan tidak layak disembah. Dalam hati baginda sentiasa tahu bahawa Allah satu-satunya tuhan yang layak disembah. Pada suatu petang, nabi Musa sedang berjalan di kota Mesir dan terserempak dengan dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Seorang daripada Bani Israel dan seorang lagi orang Mesir. Nabi Musa cuba untuk meleraikan pergaduhan itu namun secara tidak sengaja baginda telah menumbuk lelaki Mesir itu dan lelaki tersebut terus mati secara langsung. Nabi Musa berkata, “Ini kerja syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang menyesatkan” - Rujuk al Quran (28:15). Dalam pada itu, nabi Musa melarikan diri kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa. Sudahlah selama 18 tahun orang Mesir berdendam dengannya kerana baginda satu-satunya Bani Israel yang tinggal di dalam istana. Terutamanya firaun yang hanya menunggu untuk menghalaunya dari istana. Apabila nabi Musa melakukan satu sahaja kesilapan, itulah peluang mereka untuk membalas dendam kepadanya.

8 ) Keesokan harinya, sedang nabi Musa melarikan diri, baginda terserempak lagi dengan lelaki Bani Israel tersebut sedang bergaduh dengan lelaki lain pula. Nabi Musa tidak berpuas hati kerana lelaki itu selalu mencetuskan pergaduhan dan disebabkan lelaki itu juga baginda telah terbunuh seseorang tanpa sengaja. Nabi Musa menarik baju lelaki itu dan hampir menumbuknya kemudian lelaki itu pun berkata, “Tunggu dulu! Kau nak bunuh aku seperti kau bunuh lelaki semalam?!” Disebabkan itu, orang ramai telah mengetahui bahawa nabi Musa telah membunuh seseorang. Nabi Musa pun melepaskan lelaki tadi. Tiba-tiba datang seorang pegawai istana yang rapat dengan nabi Musa dan memberitahu bahawa orang Mesir telah mula mencari baginda dan dia menasihatkan nabi Musa untuk melarikan diri. Nabi Musa menjadi takut dan berdoa kepada Allah untuk melindunginya - Rujuk al Quran (28:21).



9) Nabi Musa terus melarikan diri ke Madyan, kota nabi Shuaib. Baginda berjalan beratus-ratus kilometer tanpa henti sehingga koyak kasutnya. Baginda tidak mempunyai makanan, sekadar memakan daun-daun sehingga bibirnya menjadi hijau. Baginda sampai di Madyan dengan tidak berkasut, kelaparan dan kepenatan. Kemudian baginda terjumpa telaga air di mana orang-orang lelaki Madyan berkumpul untuk mengambil air bagi kambing biri-biri mereka. Jauh di belakang, baginda ternampak dua orang gadis. Nabi Musa pergi kepada mereka dan bertanya, “Mengapa dengan kamu berdua?” Mereka berkata mereka sedang menunggu giliran untuk mengambil air bagi ternakan mereka. Mereka tidak dapat meminta bantuan orang lelaki dalam keluarga mereka kerana bapa mereka sudah tua - Rujuk al Quran (28:23). Apabila melihat pada keadaan, barangkali mereka tidak akan dapat air tersebut kerana mereka hanyalah dua gadis, susah untuk berebut dengan lelaki. Oleh itu nabi Musa membantu mereka mengambil air.

10) Salah seorang gadis tadi berjalan malu dan berkata bapa mereka ingin membalas budinya. Nabi Musa menjaga pandangan daripada melihat gadis tersebut dan meminta mereka untuk mengikutnya di belakang dan menunjukkan jalan. Sejak mula nabi Musa memulakan perjalanannya dari Mesir, baginda terus-terusan berdoa kepada Allah untuk mengampunkan dosanya dan meminta Allah permudahkan segalanya. Dan satu persatu Allah bantu dan berjumoa dengan dua orang gadis adalah salah satu daripada bantuan Allah. Nabi Musa ceritakan kepada bapa gadis tadi iaitu nabi Shuaib tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan nabi Shuaib pun berkata, “Jangan kamu risau, sekarang kamu sudah selamat dari kaum yang zalim itu.” - Rujuk al Quran (28:25). Gadis-gadis tadi mencadangkan kepada nabi Shuaib untuk mengambil nabi Musa bekerja kerana mereka perlukan tenaga kerja yang gagah perkasa dan amanah - Rujuk al Quran (28:26). Nabi Shuaib melamar nabi Musa untuk berkahwin dengan salah seorang anak perempuannya, dengan syarat baginda perlu bekerja mengembala kambing ternakan keluarga itu sekurang-kurangnya 8 tahun sebagai mas kahwin - Rujuk al Quran (28:27).

11) Setelah selesai perjanjian 8 tahun itu, nabi Musa pun berkahwin dengan salah seorang gadis tadi dan membawa isterinya pulang ke Mesir. Pada satu malam, semasa dalam perjalanan, nabi Musa terlihat ada api yang sangat terang di atas gunung Tursina. Baginda sangat tertarik untuk pergi melihatnya. Hanya nabi Musa sahaja yang dapat melihat. Cahaya api itu seolah-olah panggilan khas untuk nabi Musa. Baginda meminta keluarganya untuk tunggu di bawah sementara baginda berlari panjat ke atas gunung malah baginda berkata bahawa baginda akan membawa turun sedikit api itu untuk keluarganya. Nabi Musa pun panjat dan panjat dan panjat sampai ke atas - Rujuk al Quran (28:29).

12) Tiba-tiba terdengar satu suara, “Wahai Musa, sesungguhnya Aku Allah Tuhan sekalian alam.” - Rujuk al Quran (28:30). Jika dikaji lenggok bahasa ayat Quran ini, kita boleh rasakan perasaan nabi Musa pada ketika itu. Baginda sangat terkejut, takut, gementar. Tuhan yang sentiasa di minta bantuan dalam doa sepanjang hidupnya telah bercakap secara langsung dengannya! Kemudian Allah bertanya, “Apa di tanganmu?” Jika diikutkan, Allah itu Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang nabi Musa sedang pegang. Tujuan Allah bertanya adalah untuk menenangkan nabi Musa yang sedang dalam keadaan terkejut. Nabi Musa menjawab, “Ini tongkatku. Kadang aku bersandar kepadanya. Aku gunakan ia untuk memukul lalang. Dan ada banyak lagi perkara yang aku buat dengan tongkat ini”. Nabi Musa menjawab panjang kerana baginda teruja. Bukan selalu dapat bercakap dengan penciptanya dan baginda menjawab panjang dengan harapan dapat berbual dengan lebih lama. Kemudian Allah mengarahkan, “Campakkan tongkatmu”. Tanpa berlengah, nabi Musa terus mencampak tongkat itu dan secara tiba-tiba tongkat itu terus bertukar menjadi ular yang sangat besar dan bergerak laju. Nabi Musa yang baru sahaja bertenang tadi terus ketakutan! Kemudian Allah berkata lagi, “Ambil ular itu dan jangan takut.” - Rujuk al Quran (28:31). Maka nabi Musa terus memegang ular itu dan ia kembali menjadi tongkat. Mengapa Allah melakukan semua ini kepada nabi Musa? Kerana Allah ingin baginda menjadi berani dan sentiasa percayakan bantuan Allah. Kemudian Allah memerintahkan nabi Musa untuk berdepan dengan firaun yang zalim untuk bertaqwa kepada Allah. Kemudian nabi Musa meminta kepada Allah kalau baginda boleh membawa saudaranya Harun untuk bertutur bagi pihaknya (nabi Harun kekuatannya adalah pandai bercakap). Allah berkata, “Pergilah kamu berdua bersama ayat-ayat keterangan Kami, kamu berdua serta pengikutmu akan beroleh kemenangan.” - Rujuk al Quran (28:35). Allah mengizinkan nabi Musa untuk membawa nabi Harun bersama. Allah memberi kepastian bahawa mereka akan menang.



13) Nabi Musa dan nabi Harun memasuki Mesir dan terus dibawa mengadap firaun. Setelah sekian lama, akhirnya dapat juga firaun menangkap dan bercakap dengan nabi Musa. Nabi Musa dan nabi Harun perdengarkan ayat-ayat keterangan Allah kepada firaun dan berdakwah kepadanya untuk beriman kepada Allah. Firaun menolak dan berkata tiada tuhan lain yang lebih agung dari dirinya. Firaun berkata kepada menterinya, Haman untuk membina bangunan batu bata yang tinggi supaya dia dapat melihat tuhan Musa - Rujuk al Quran (28:38). Itulah asalnya pembinaan piramid di Mesir. Firaun mencabar nabi Musa untuk menunjukkan kekuasaan Tuhannya. Nabi Musa mencampakkan tongkatnya dan ia bertukar menjadi ular yang sangat besar dan panjang sehinggakan lidahnya boleh mencecah siling istana. Orang ramai berteriak ketakutan. Firaun pun berkata, “Sihir! Ini hanyalah sihir!” Kemudian firaun memanggil semua ahli sihir di Mesir untuk menyaingi Musa. Persaingan itu ditetapkan pada hari perayaan Mesir di tengah kota, di mana orang ramai akan berkumpul untuk menyaksikan acara tersebut.

14) Pada hari persaingan antara ahli sihir itu, ada 70 ahli sihir yang datang. Secara serentak, mereka mencampakkan tongkat mereka dan tongkat itu bertukar menjadi ular kecil. Seluruh kota menjerit ketakutan. Bagi mereka itu sudah cukup hebat. Kemudian nabi Musa mencampakkan tongkatnya yang bertukar menjadi ular yang paling besar di situ dan ia memakan semua ular kecil yang ada. Semua yang melihat terkejut dan menjadi takut. Firaun turut menyaksikan kejadian itu. Semua ahli sihir menjadi takut dan berkata, “Itu bukanlah sihir! Itu sesuatu yang lain. Kuasa yang lebih agung. Kami akan mengikut ajaran Musa dan beriman dengan Tuhannya!” Kemudian ramai orang Mesir juga turut beriman kepada Allah. Firaun tidak berpuas hati dan berkata bahawa semua ahli sihir menipu dan mereka dari awal lagi sudah berkonspirasi dengan nabi Musa untuk menipunya.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.