Kisah 25 Rasul : Nabi Shu’aib ‘Alaihissalam

1) Nabi Shuaib tinggal di kota Madyan, di mana penduduknya sangat bijak dalam perniagaan. Disebabkan mereka ahli perniagaan, mereka sentiasa berfikir cara untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan soal undang-undang. Korupsi sana sini.

2) Kaum Madyan juga dikenali dengan kepercayaan mereka yang menyembah sebuah pokok yang digelar Al-Ayka. Oleh kerana penyembahan pokok ini, nama lain bagi kaum Madyan ialah kaum Ayka.

3) Kaum Madyan ini suka menipu dalam perniagaan. Antara contoh penipuan yang biasa dilakukan adalah mereka menipu timbangan - contohnya mereka mengenakan harga 3 kilo gandum tetapi menipu dengan hanya memberi 2 kilo sahaja. Mereka mencampurkan air ke dalam susu supaya menjadi banyak kemudian dijual susu tersebut. Mereka mengenakan cukai kepada setiap orang yang lalu atau singgah di kota mereka. Mereka memaksa kaum nabi Shuaib untuk ‘bend the rules’ dan ikut peraturan mereka dan banyak lagi.



4) Nabi Shuaib berusaha mengajak kaum Madyan kembali ke jalan Allah. Nabi Shuaib berkata, “Sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi seseorang sesuatu yang menjadi haknya. Dan jangan lah membuat kerosakan di muka bumi kerana Allah telah menjadikannya sebaik-baiknya.” - Rujuk al Quran (7:85). Dan jangan lah kamu duduk di setiap jalan dan mengugut atau menghalang orang daripada beriman kepada Allah, dan kamu mahu mereka untuk membengkokkan peraturan Allah untuk mengikut peraturan kamu pula. Ingatlah semasa bilangan kamu sedikit, Allah telah menggandakan bilangan kamu sehingga menjadi ramai.” (7:86)



5) Selepas nabi Shuaib mengajak mereka untuk kembali ke jalan Allah, baginda pula diajak untuk menyertai mereka membuat pelaburan kerana mereka boleh menjadikan nabi Shuaib kaya. Baginda berkata kepada mereka, “Walaupun hartaku tidak sebanyak kekayaan kamu namun harta yang aku ada ini halal. Jika kamu fikir kamu boleh membeli aku dengan kekayaan, kamu salah. Tujuanku hanyalah untuk berbuat sebanyak mungkin kebaikan.”

6) Nabi Shuaib terus-terusan berdakwah namun kaum Madyan membenci dengan tawaran nabi Shuaib yang mengajak mereka untuk berniaga secara jujur dan menggunakan harta untuk kebaikan. Mereka merasakan nabi Shuaib ini bagaikan menjaga tepi kain orang. Mereka mahu menikmati harta kekayaan itu ke arah kemaksiatan dan mereka percaya bahawa agama dengan perniagaan tidak ada kaitan. Mereka berkata, rugilah sesiapa yang ikut nabi Shuaib - Rujuk al Quran (7:90).

7) Nabi Shuaib berpesan kepada kaum Madyan untuk takut kepada hukuman Allah dan mengingatkan mereka tentang apa yang terjadi kepada kaum Ad, kaum Thamud dan paling dekat dengan mereka ketika itu, kaum Luth. Nabi Shuaib juga mengingatkan kembali bagaimana Allah telah menghancurkan mereka. Nabi Shuaib berkata, “Bertaubatlah sebelum terlambat! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.” - Rujuk al Quran (11:90).

8 ) Kaum Madyan menjawab kepada nabi Shuaib, “Kami rasa kau sama sahaja seperti kami. Tidak kuat malah tiada yang istimewa pun. Kami tidak hormat pada kau. Jika bukan disebabkan keluarga dan pengikut kau, sudah lama kami rejam kau sehingga mati.” Nabi Shuaib mempunyai ramai pengikut. Jika mereka membunuh nabi Shuaib, pengikutnya akan memberontak dan perniagaan mereka akan lingkup. Kemudian mereka mencabar nabi Shuaib, “Jika kau benar nabi yang diutuskan Tuhan, minta sahaja Tuhan kau hukum kami!” Nabi Shuaib tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama seperti kisah nabi-nabi sebelum ini, apabila sesebuah kaum itu mencabar kekuasaan Tuhan, maka sampai disitu sahaja. Oleh itu, nabi Shuaib pun berdoa, “Wahai Tuhan kami, hukumlah antara kami dan kaum kami dengan keadilan, kerana Engkau sebaik-baik Hakim.” - Rujuk al Quran (7:89).



9) Kemudian Allah menurunkan kemurkaan-Nya yang amat menyeksakan. Allah datangkan cuaca panas yang melemaskan. Kaum Madyan tidak dapat bernafas dalam kepanasan yang kurang udara itu. Mereka bagaikan mendidih akibat kepanasan yang amat sangat. Kemudian dalam kepanasan itu, Allah datangkan sebuah awan. Mereka berlari-lari ke bawah awan itu untuk berteduh namun mereka tidak tahu apa yang Allah akan turunkan daripada awan tersebut. Allah menurunkan bunyi Al-Saihah yang terlalu kuat seperti letupan sehingga menggoncang bumi di bawah awan tadi. Lalu matilah seluruh kaum Madyan dan jadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. - Rujuk al Quran (11:94).

10) Sebelum itu, Allah telah menyelamatkan Nabi Shuaib dan pengikutnya. Apabila nabi Shuaib kembali ke Madyan dan melihat apa yang telah terjadi, baginda berkata, “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu).” - Rujuk al Quran (7:93).

11) Seperti kaum Ad, kaum Thamud dan kaum Luth, binasalah kaum Madyan akibat mencabar kemurkaan Allah. Betapa bijaknya kita rasa kita ini sehingga boleh memutar belit undang-undang namun ingatlah Allah itu jauh lebih bijaksana dan Allah sentiasa memerhati.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.