Kisah 25 Rasul : Nabi Zulkifli ‘Alaihissalam

1) Nabi Zulkifli merupakan anak kepada nabi Ayub dan Rahma. Nama sebenarnya ialah Basyar dan baginda digelar Zulkifli yang bermaksud ‘bertanggungjawab’ kerana sifatnya. Nabi Zulkifli merupakan seorang yang sangat bertaqwa kepada Allah dan sering beribadat.

2) Nabi Zulkifli berasal dari Damaskus, Sham (Syria) dan hidup pada zaman pemerintahan seorang raja yang sangat alim. Raja tersebut amat disayangi rakyatnya. Ketika nabi Zulkifli masih muda, raja alim tersebut sudah sangat tua dan baginda tidak mempunyai waris. Pada satu hari, raja itu mengumpulkan rakyatnya untuk membuat pengumuman. Raja itu berkata, “Aku sudah tua, tidak lama lagi aku akan pergi. Dan aku tidak mempunyai waris untuk menurunkan takhta ku. Jadi aku akan pilih di antara kamu untuk menggantikan aku sebagai raja.”

3) Raja tersebut menetapkan syarat kepada sesiapa yang ingin mewarisi takhtanya. Syaratnya: orang itu perlu memiliki sifat yang sangat sabar, sanggup berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malam.



4) Sang raja meminta sesiapa yang sanggup menjalani hari-harinya sebegitu untuk mengangkat tangan. Diantara rakyat jelata yang datang berkumpul, tidak ada seorang pun yang mengangkat tangan kerana mereka merasakan syarat yang ditetapkan terlalu berat. Tiba-tiba seorang anak muda mengangkat tangan iaitu nabi Zulkifli, anak kepada nabi Ayub. Kemudian dengan suara yang lantang, nabi Zulkifli berkata, “Hamba sanggup berpuasa di siang hari dan beribadah sepanjang malam.” Raja itu melihat pemuda itu dan berkata, “Wahai anak muda, kamu jangan permainkan kata-kataku. Perkara ini penting untuk menentukan masa hadapan rakyat dan negeri ini.” Dengan tenang, nabi Zulkifli pergi ke hadapan sang raja dan berkata, “Wahai raja junjungan hamba, hamba bukan main-main. Hamba akan melakukan syarat-syarat tersebut.” Raja tadi mengulangi syaratnya sebanyak 3 kali dan pemuda yang sama berjanji akan mematuhi syarat-syarat tersebut. Sang raja pun bersetuju untuk mengambil nabi Zulkifli sebagai penggantinya.





5) Tidak lama kemudian, raja tua itu pun wafat dan seluruh rakyat bersedih. Nabi Zulkifli diangkat menjadi raja dan menjalani kehidupannya di dalam istana dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketaatan beribadah kepada Allah seperti yang disyaratkan kepadanya. Nabi Zulkifli berpuasa di siang hari sambil menguruskan pentadbiran negerinya dan waktu malamnya dihabiskan dengan beribadah kepada Allah sehingga tinggal hanya sedikit masa untuk tidur. Negerinya aman damai dan nabi Zulkifli disenangi rakyatnya kerana sifatnya yang tenang dan sabar.

6) Pada suatu malam, iblis menyamar sebagai seorang lelaki tua dan telah datang ke istana untuk berbuat onar. Dia mengadu bahawa dia mempunyai masalah di salah satu wilayah di bawah naungan negeri nabi Zulkifli. Dia sengaja berbuat kecoh, tidak mahu berjumpa dengan penasihat raja dan hanya mahu berjumpa dengan raja secara langsung. Ketika itu nabi Zulkifli sedang tidur. Nabi Zulkifli pun berjumpa dengan orang tua itu dan mendengar aduannya. Nabi Zulkifli berkata kepada orang tua itu untuk datang kembali keesokan malamnya, supaya nabi Zulkifli dapat menyelesaikan isu tersebut pada siang hari. Keesokannya, orang tua tersebut berdegil tidak mahu datang oada waktu malam dan datang pada waktu siang hari malah berbuat kecoh pada si raja. Nabi Zulkifli dengan tenang meminta orang tua itu untuk berjumpanya pada waktu malam setelah isu yang diadukan dapat diselesaikan. Namun pada malam itu dia tidak datang. Masuk hari ketiga, orang tua itu datang lagi untuk berbuat kecoh. Kali ini dia tidak dapat melepasi pengawal istana maka dia berubah ke bentuk asalnya dan menyelinap masuk menembusi pintu2 istana dan berdepan dengan raja Zulkifli. Raja Zulkifli terkejut melihat rupa asal orang tua tadi yang rupa-rupanya adalah Iblis. Iblis sebenarnya sedang berusaha untuk membangkitkan kemarahan nabi Zulkifli. Nabi Zulkifli berjaya menahan kesabarannya seperti janjinya kepada raja sebelumnya.





7) Ada suatu ketika, Allah menurunkan ujian kepada nabi Zulkifli. Ada sekumpulan pemberontak yang telah melanggar perintah Allah dan melakukan kerosakan di negeri nabi Zulkifli. Untuk melawan kumpulan ini, satu-satunya cara adalah dengan berperang. Nabi Zulkifli memerintahkan rakyat dan tenteranya untuk ke medan perang. Namun mereka semua takut mati dalam peperangan. Mereka akan menuju ke medan perang juka nabi Zulkifli dapat menjamin bahawa mereka tidak akan mati. Nabi Zulkifli sangat sabar dan tidak marah dengan kedegilan rakyatnya. Kemudian nabi Zulkifli berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan mereka ketika dalam peperangan. Allah menurunkan wahyu kepada nabi Zulkifli, “Aku telah mengetahui apa permintaan mereka dan aku telah mendengar akan doamu, maka semua itu akan Aku kabulkan.” Akhirnya peperangan itu dimenangi oleh nabi Zulkifli dan pengikutnya. Tiada seorang pun pengikutnya yang gugur dalam peperangan.

8 ) Nabi Zulkifli wafat pada usia 95 tahun di Damaskus, Syria. Namanya disebut beberapa kali di dalam Al Quran. Allah berfirman, “Dan (ingatlah kisah) nabi Ismail, Idris dan Zulkifli. Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar.” - Rujuk al Quran (21:85). “Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik.” - Rujuk al Quran (38:48).

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.