Double Diamond bernilai RM1.8 juta biri biri paling mahal di dunia

 

Seekor biri-biri baka Texel menjadi biri-biri paling mahal di dunia apabila dijual dengan harga 368,000 euro (RM1.8 juta) dalam satu acara lelongan di Scotland.


Biri-biri diberi nama Double Diamond itu dijual di Jualan Texel Kebangsaan Scotland di Lanark, Khamis lalu.


Portal The Independent melaporkan biri-biri itu ditawarkan pada harga permulaan 10,500 euro (RM52,000).


Ia kemudian meningkat secara mendadak selepas proses pembidaan sengit antara pelbagai konsortium penternakan.



Menurut laman web Persatuan Biri-Biri Texel, tawaran terakhir dibuat tiga pembeli dengan menetapkan harga rekod baharu di United Kingdom dan dunia untuk seekor biri-biri.


Double Diamond yang dijual oleh Charlie Boden dari Cheshire adalah anak biri-biri dibiakkan menerusi teknik rawatan kesuburan in-vitro (IVF).


Jurucakap persatuan itu berkata, anak biri-biri itu dibiakkan menerusi pemindahan embrio. Selepas enam hari, embrio itu disuntik kepada ibu tumpang.


"Ini dilakukan untuk memanfaatkan kemajuan genetik dalam memastikan penghasilan baka terbaik," katanya.


Rekod biri-biri termahal yang pernah dijual sebelum ini adalah pada harga 231,000 euro (RM1.1 juta). dan biri-biri berusia lapan bulan itu dijual juga dalam acara lelongan di Lanark.


Dalam lelongan Khamis lalu, 19 ekor biri-biri terjual dengan harga lebih daripada 10,500 euro dan biri-biri termahal kedua dijual pada harga 68,250 euro (RM338,000).


Berasal dari pulau Texel di Belanda, baka biri-biri Texel sangat popular dalam kalangan petani Inggeris kerana dagingnya berkualiti tinggi.


Biri-biri RM1.8 juta

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/2020/08/615352/biri-biri-rm18-juta

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.