• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Makan tikus dan ular untuk hidup

 

Selepas gelombang pandemik koronavirus (Covid-19) melanda Myanmar, Ma Suu, 36, terpaksa menutup kedai ulam-ulaman dan menggadaikan barang kemas untuk membeli makanan.


Semasa gelombang kedua apabila pemerintah mengeluarkan perintah 'duduk dalam rumah' pada September lalu, Ma Suu terpaksa menutup kedai untuk kali kedua dan menjual pakaian, pinggan mangkuk dan periuk demi kelangsungan hidup.


Sekarang tiada apa-apa lagi untuk dijual, suaminya seorang buruh binaan yang tidak mempunyai kerja terpaksa keluar mencari makanan di longkang berhampiran tempat tinggal mereka di pinggir bandar Myanmar.


"Orang ramai makan tikus dan ular. Tanpa wang, bagaimana mereka hendak memberi makan anak-anak," kata Ma Suu sambil mengelap air mata.



Mereka tinggal di Hlaing Thar Yar, sebuah kejiranan paling miskin di Yangon dan penduduk terpaksa menyuluh bawah rumah mencari haiwan-haiwan kecil untuk dijadikan makanan keesokan harinya.


Tikus, ular dan serangga seringkali menjadi lauk-pauk keluarga yang tinggal di kawasan luar bandar, sementara penduduk bandar pula terpaksa mengikat perut semampu boleh.


Dengan lebih 40,000 kes dan 1,000 kematian akibat Covid-19, Myanmar antara negara di Asia Tenggara yang paling terjejas teruk dan penguatkuasaan perintah berkurung menyebabkan ratusan ribu penduduk seperti Ma Suu hidup dalam kesempitan.


Pentadbiran tempatan, Nay Min Tun berkata, kira-kira 40 peratus isi rumah di kawasan Hlaing Thar Yar menerima bantuan.


Myat Min Thu, ahli Parlimen parti pemerintah di kawasan itu berkata, bantuan dari pemerintah dan derma peribadi sudah diedarkan, namun tidak cukup untuk semua orang. - Agensi


Makan tikus, ular demi kelangsungan hidup

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/106690/GLOBAL/Makan-tikus-ular-demi-kelangsungan-hidup

Selamat tinggal Yahoo! Mesengger

 

“Jujur saya akan merindui ruangan chat atau sembang Yahoo! Messenger (YM) kerana daripada medium itulah saya menemui jodoh bersama suami beberapa tahun lalu.


“Medium itu jugalah antara platform media sosial pertama dan terawal yang memperkenalkan saya dengan dunia maya sewaktu memasuki usia remaja.


“Emoji smiley, lovestruck, call me, hug me, blushing, clown dan surprise pasti akan saya rindui.”


Itu luahan sedih Nadia Ilani Hasbullah kepada K2 renteten keputusan konglomerat ternama Verizon, pemilik platform Yahoo! Groups memberhentikan operasinya bermula 15 Disember depan.


Yahoo! Groups merupakan laman web komuniti digital yang boleh disifatkan antara perkhidmatan utama Yahoo!.


Biarpun beberapa servis Yahoo! dikatakan masih diteruskan, namun banyak pihak mengibaratkan Yahoo! sudah terkubur disebabkan pengumuman terbaharu itu.


Jelas Nadia Ilani lagi, dia seakan-akan tidak menyangka bahawa medium internet popular seperti Yahoo! yang terkenal satu masa dahulu dan mempunyai kira-kira 200 juta akaun pengguna itu kini berdepan nasib sebegini.


Yahoo! sebenarnya sudah bergelut untuk terus ‘hidup’ sebelum tahun 2015 lagi apabila sebuah buku berjudul Marissa Mayer and the Fight to Save Yahoo! diterbitkan pada tahun tersebut mendedahkan bagaimana Yahoo! berdepan kesulitan untuk terus bertahan beberapa tahun kebelakangan itu.


Pun begitu, beritahu wanita berusia 30 tahun itu, kenangan manis sewaktu awal berkenalan, bercinta sekali gus memeterai pernikahan bersama suami tercinta, Muhammad Bazli yang dikenali menerusi laman sembang YM pasti tidak akan dilupakan dan kekal terpahat selamanya.


Menyorot kembali sejarah perjalanan Yahoo!, ia mula ditubuhkan pada tahun 1994 oleh dua orang pelajar Stanford University, Amerika Syarikat iaitu David Filo dan Jerry Yang.



Ceritanya, kedua-dua mereka memulakan Yahoo! disebabkan minat mereka terhadap internet dan langsung tidak pernah menyangka ia menjadi salah satu jenama paling diterima pada masa itu.


Pada waktu itu, Yahoo! mencecah capaian hingga jutaan pengguna sehari dengan lebih 100,000 pengguna setia. Ia mencatatkan 345 juta pengunjung setiap bulan.


Sepanjang 26 tahun kewujudannya, Yahoo! telah melalui beberapa pertukaran logo utama. Tidak terhad kepada Yahoo! Mail, Yahoo! telah berkembang dan menawarkan pelbagai kemudahan seperti portal atas talian terbesar, portal beli-belah, penstriman video, podcast kewangan, berita, hartanah dan perkhidmatan persendirian.


Tamparan hebat

Jenama Yahoo! dikatakan ‘dibunuh’ oleh Google apabila pekerja Yahoo! sendiri mendedahkan mereka sendiri menggunakan carian Google dan pihak Yahoo! tidak melihat perkhidmatan carian suatu yang penting berbanding perniagaan berasaskan iklannya.


Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Verizon baru-baru ini, syarikat tersebut terpaksa menutup Yahoo! Groups selepas memberhentikan salah satu segmen terkenalnya, YM pada Julai dua tahun lalu.


“Yahoo Groups telah mengalami penurunan penggunaan yang berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


“Walaupun keputusan ini tidak mudah, kadang-kadang kita harus membuat keputusan yang sukar mengenai produk yang tidak lagi sesuai dengan strategi jangka panjang perniagaan,” jelas kenyataan ringkas tersebut beberapa minggu lalu.


Pastinya keputusan yang mungkin dianggap agak drastik itu memberikan satu tamparan hebat buat legasi dan empayar penyedia perkhidmatan enjin pencarian popular itu. Pemberitahuan mengenai pemberhentian dan penutupan operasi Yahoo! Groups dihebahkan menerusi e-mel kepada semua pengguna selain turut disiarkan di laman web rasminya.


Tambah kenyataan itu lagi, YM yang satu ketika dahulu pernah menguasai dunia media sosial sekitar era awal tahun 2000 terpaksa ditamatkan operasinya selepas kemunculan pelbagai platform interaktif dan mesra pengguna lain seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan seumpamanya.


Perkhidmatan web Yahoo! Groups yang dilancarkan 19 tahun lalu iaitu pada 2001 menghadapi tempoh suram dan platform berkenaan semakin dilupakan selepas kemunculan beberapa medium baharu sesuai dengan evolusi serta teknologi tanpa sempadan kini.


“Syarikat juga tidak mempunyai perancangan untuk melakukan sebarang pemulihan kepada segmen perkhidmatan berkenaan dan ia bakal ditutup untuk kebaikan semua pihak.


“Keputusan ini juga sekali gus menyebabkan pengguna tidak lagi boleh memuat naik kandungan baharu seperti perbincangan menerusi platform berkenaan bermula 21 Oktober lalu.


“Oleh kerana landskap komunikasi yang kian membangun dari semasa ke semasa, kami lebih memfokuskan untuk mencipta dan memperkenalkan rekaan aplikasi terbaharu yang lebih memenuhi kehendak semasa pengguna,” kata kenyataan itu lagi.


Walaupun begitu, masih ada sedikit harapan buat pengguna setia jenama Yahoo! selepas Verizon menyatakan masih belum ada keputusan untuk menghentikan perkhidmatan Yahoo! Mail.


Terkuburnya komuniti digital Yahoo!

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2020/10/23/terkuburnya-komuniti-digital-yahoo/

Belanja RM53,833 cacah tatu satu badan mahu jadi zombie

 

Seorang lelaki sanggup membelanjakan sehingga 11,000 euro (kira-kira RM53,833) untuk mencacah tatu di seluruh badan dan mukanya demi untuk kelihatan seperti zombie.


Model dan pelakon dari London itu, Anderson Garcia Rodrigues, 31, dikatakan mencacah tatu pertamanya pada usia 17 tahun.


Dia bertekad menutup sebahagian badannya dengan tatu apabila mencacah 13 kali tatu lebih besar.


Portal Lad Bible melaporkan dia juga mencacah tatu di salah satu bola matanya dan ia dipercayai sangat menyakitkan.


Lelaki punk yang mengakui gemarkan perhatian itu juga teruja apabila melihat ramai orang yang memandangnya apabila dia keluar bersiar-siar.

Tidak cukup dengan penampilan seperti 'mayat hidup' itu, Anderson menindik pipi, mengubah lidahnya supaya terbelah dan tampil dengan potongan rambut gaya mohawk.


Menurutnya, penampilan peliknya itu mengundang ramai orang menghampirinya dan mahu bergambar.


Anderson berkata, dia sukakan perkara yang di luar kebiasaan sama ada dari segi pilihan muzik dan gaya penampilan.


"Ketika saya masih remaja, saya mempunyai sekumpulan rakan yang memperkenalkan saya dengan dunia tatu dan tindik.


"Saya tidak pernah mahu menjadi konvensional dan oleh itu, pada usia 17 tahun saya berbohong dengan artis tatu mengenai usia saya dan membuat tatu pertama iaitu imej Kurt Cobain.


"Pada mulanya, ibu bapa saya tidak menyukainya tetapi lama-kelamaan mereka terbiasa dan hari ini mereka menyokong saya.


"Orang memanggil saya jelik dan gila dan bertanya apakah ada yang tidak kena dengan diri saya kerana memilih untuk menjadi seperti ini," katanya.


"Saya juga menerima komen daripada sesetengah orang yang mengatakan mereka menyukai penampilan dan keperibadian saya serta memberi inspirasi kepada mereka," katanya.


Tatu RM53,833

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/2020/10/634043/tatu-rm53833

FELDA perlu bayar FGV pampasan sehingga RM4.3 bilion ambil semula 350,000 hektar tanah

 

FELDA perlu membayar pampasan dianggarkan sehingga RM4.3 bilion jika mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah ladangnya yang dipajakkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV).


Pampasan itu berikutan langkah menamatkan lebih awal tempoh pajakan 99 tahun tanah terbabit yang bermula pada 2012.


Mengikut bank pelaburan, AmInvest dalam nota penyelidikannya, anggaran itu berdasarkan liabiliti Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang berada pada paras RM4.3 bilion setakat akhir Disember 2019.



"Jika diteliti dalam LLA, pampasan yang perlu dibayar juga boleh ditentukan sebahagiannya oleh keuntungan setiap hektar matang dan saiz tanah. Jika FELDA mahu menamatkan LLA, ia perlu memberi notis 18 bulan kepada FGV.


"Selepas itu, jumlah pampasan akan dikira dan kemudian aset yang dipajak akan dikembalikan kepada FELDA," kata bank pelaburan berkenaan, semalam.


AmInvest menjelaskan, jika urus niaga itu terlaksana, FGV berpeluang menggunakan tunai daripada pampasan berkenaan untuk meninjau peluang pelaburan lain.


Sementara itu, sumber rapat FGV pula menganggarkan pampasan yang perlu dibayar FELDA jika meneruskan hasrat mengambil balik tanah yang dipajakkan itu, mungkin sekitar RM3 bilion.


Katanya, ini setelah mengambil kira kos penanaman semula RM300 juta setiap tahun, kerja pembajaan sehingga RM300 juta setahun, pembinaan kediaman pekerja RM270 juta dan gaji pekerja ladang RM590 juta.


Dalam maklum balas menerusi e-mel kepada BH, sumber berkenaan berkata, setakat ini, FELDA belum lagi menghubungi FGV untuk berunding mengenai LLA berkenaan.


"Sekiranya FELDA mengeluarkan notis mengenai perkara itu, FGV akan mengikut prosedur yang digariskan dari segi proses dan bayaran pampasan FELDA kepada FGV. Sebarang cubaan untuk membeli kilang sawit milik FGV juga harus berlaku atas dasar 'sedia beli, sedia jual'.


"Ia juga perlu merujuk kepada nilai pasaran terkini dan mendapat kelulusan pemegang saham lain melalui Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM). Dalam hal ini (EGM), FELDA tidak boleh mengundi kerana ia adalah pihak berkepentingan," katanya.


Selain itu, beliau berkata, semua kegiatan perniagaan di dalam kumpulan perladangan berkenaan akan berjalan seperti biasa.


Pada sesi temu bual bersama BH dan Harian Metro pada Ahad lalu, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata agensi berkenaan mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.


Beliau juga dilaporkan berkata, perkara itu sudah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FELDA dan kini sedang menunggu keputusan daripada kerajaan sebelum boleh memulakan rundingan dengan FGV.


Pengambilan balik tanah terbabit adalah sebahagian daripada transformasi yang ingin dijalankan FELDA menerusi pengenalan model perniagaan baharu dianggap lebih mampan dan berdaya saing untuk agensi itu.


Pada 2012, FELDA memajakkan 350,000 hektar tanah ladangnya kepada FGV menerusi LLA selama 99 tahun. Sebagai balasan, ia akan menerima RM250 juta setahun hasil pajakan itu dan perkongsian untung 15 peratus setahun daripada FGV.


FGV sudah membayar pajakan tetap dan perkongsian untung operasi ladang berjumlah RM1.9 bilion kepada FELDA sejak 2012 hingga 2017.


Sementara itu, ahli ekonomi secara umumnya menyokong langkah berkenaan yang menurut mereka memberi manfaat kepada semua pihak.


Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, antara lain mencadangkan FELDA mengambil alih FGV sepenuhnya, sekali gus menjadikannya anak syarikat 100 peratus milik FELDA.


Katanya lagi, cadangan itu memberi kelebihan kepada FELDA kerana pengurusan operasi FGV dapat disatukan dengan agensi berkenaan dan segala aktiviti syarikat perladangan terbabit adalah di bawah pemantauan FELDA.


Timbalan Presiden Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Dr Jamal Othman pula berpendapat, FELDA perlu memastikan langkah mengambil semula tanah itu dapat memberi pulangan lebih baik selepas mengambil kira semua aspek kos, termasuk bayaran pampasan, prasarana baharu dan risiko perolehan hasil.


FELDA dianggar perlu bayar pampasan lebih RM4 bilion

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/743965/felda-dianggar-perlu-bayar-pampasan-lebih-rm4-bilion

Malaysia akan isytihar darurat?

 

Segalanya masih belum terjawab di sebalik spekulasi yang tersebar tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat hari ini.


Bermula dengan mesyuarat khas Kabinet pada kira-kira 9.30 pagi tadi di bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang dilaporkan turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.


Semua menteri dilihat berdiam diri mengenai isu yang dibincangkan pada mesyuarat selama dua jam itu, yang berlangsung dua hari selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada Rabu.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.


Sesetengah organisasi media mula membuat spekulasi tentang kemungkinan langkah-langkah darurat, manakala yang lain pula menjangkakan perisytiharan darurat di negara ini di tengah-tengah ketidaktentuan politik serta penularan pandemik COVID-19.


Spekulasi itu juga dibincangkan secara meluas oleh netizen menerus media sosial masing-masing.


Desas-desus itu bertiup semakin kencang apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Affendi kemudian berlepas ke Pahang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Muhyiddin dilihat memasuki perkarangan Istana Abdulaziz di Kuantan pada jam 4.40 petang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, dan hanya keluar pada kira-kira 7.10 malam.


Setakat berita ini ditulis masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu, baik oleh Istana Negara mahupun Pejabat Perdana Menteri, menyebabkan sebilangan besar rakyat semakin tertanya-tanya dan organisasi media pula terus menyiarkan laporan bersifat spekulasi mereka.


Semua ini berlaku dalam tempoh tidak sampai 48 jam selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan 'gencatan politik' sebagai menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang berusaha membantu rakyat ketika negara mendepani pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi.


Sebelum ini, "suhu" situasi politik negara agak "panas" apabila UMNO yang mempunyai 39 daripada 222 kerusi Parlimen mengancam untuk menarik balik sokongannya terhadap kerajaan PN beberapa minggu selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau memperoleh sokongan "kukuh dan meyakinkan" untuk mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan.


Sementara itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 4.16 mata ketika ditutup petang ini kepada 1,494.64 berbanding 1,498.80 semalam.


Penganalisis berkata penyusutan pasaran hari ini ialah susulan ketidaktentuan yang menyelubungi ekonomi dan politik negara dengan pelabur runcit bertindak meninggalkan pasaran.


Semua ini berlaku ketika negara terus merekodkan kes baharu harian COVID-19 pada tiga angka, katanya.


Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Dr Shamrahayu A. Aziz berkata darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.


Beliau berkata perisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.


Perlembagaan membenarkan perisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.


Beliau berkata tiga asas atau alasan yang boleh digunakan oleh Yang di-pertuan Agong bagi membuat perisytiharan darurat iaitu ancaman ke atas keselamatan negara atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam. – BERNAMA


Adakah Malaysia akan isytiharkan darurat?

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/745533/adakah-malaysia-akan-isytiharkan-darurat

Perdana Menteri Korea Selatan arah siasatan kematian 32 orang terima suntikan vaksin influenza

 

Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun hari ini mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kematian 32 orang selepas menerima suntikan vaksin influenza, lapor Agensi Berita Yonhap.


Jumlah korban itu dicatatkan sehingga tengah malam Khamis, tetapi pihak berkuasa kesihatan setakat ini tidak menemui sebarang kaitan antara vaksin dengan kematian berkenaan.


"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," kata Chung ketika mesyuarat di ibu pejabat Pusat Keselamatan dan Pencegahan Bencana.


"Pihak berkuasa perlu menyiasat secara terperinci mengenai kaitan vaksin dengan kematian dan membuat pengumuman terbuka berhubung perkembangan siasatan itu."


Beliau berkata, masyarakat masih takut walaupun pakar menafikan kes kematian itu mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin influenza.


"Saya meminta Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea berunding dengan pakar dan melakukan yang terbaik untuk mengambil langkah-langkah proaktif dan segera menjelaskan mengenai keadaan itu supaya rakyat tidak takut dapatkan suntikan vaksin," tambahnya.


Semalam, kerajaan mengesahkan program imunisasi tetap akan dilaksanakan.


Korea Selatan menggesa rakyatnya termasuk remaja dan warga emas mendapatkan suntikan bagi mencegah dijangkiti demam selesema selain bertujuan mengekang kemungkinan munculnya "pandemik berkembar".


Ketakutan mengenai vaksin influenza mula tercetus pada Jumaat lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di bandar pelabuhan barat Incheon meninggal dunia, dua hari selepas menerima suntikan berkenaan.


Kejadian serupa juga dilaporkan, kebanyakannya membabitkan warga emas. - BERNAMA


PM Korea Selatan arah siasatan menyeluruh

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/10/745478/pm-korea-selatan-arah-siasatan-menyeluruh

Berpurdah fenomena positif selebriti popular

 

Perubahan positif yang dilakukan pengacara yang juga usahawan terkenal, Neelofa dengan memakai purdah telah mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan selebriti wanita tanah air.


Tinjauan Kosmo! Ahad di laman media sosial mendapati beberapa selebriti wanita telah berkongsi dan memuat naik foto masing-masing dalam keadaan berpurdah.


Antara yang mencuri tumpuan ialah penyanyi, Ifa Raziah selain bekas ahli kumpulan Elite, Linda Rafar dan pelakon, Yatt Hamzah.


Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik oleh selebriti berkenaan, rata-rata mereka menyambut baik perubahan yang ditunjukkan Neelofa selain memohon doa daripada peminat agar diberikan kekuatan untuk menjadi yang lebih baik.


Yatt atau nama sebenarnya, Hayati Hamzah yang memuat naik gambar dirinya mengenakan purdah berwarna putih me­nyatakan, dia begitu teruja melihat beberapa sahabat yang telah mengenakan purdah.


“Lihat para sahabat sekeli­ling sudah mulakan dulu. Diri jadi teruja. Masha-Allah kuatnya mereka. Jadi inspirasi dan motivasi buat diri ini.


“Mohon doakan bonda bernama Haryati Hamzah ini dan semua wanita lain yang sedang berusaha untuk jadi lebih baik diberikan kekuatan dalam perjuangan ini. Mohon sokongan dan doa semua terutama daripada suami,” tulis pelakon yang mula bertudung sekitar tahun 2012 itu.


Sementara itu, bekas peserta Gegar Vaganza, Ifa Raziah juga tidak ketinggalan untuk bergambar dengan mengenakan purdah.


“Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT,” tulisnya dalam satu hantaran Instagram semalam.


Tidak cukup dengan itu, bekas ahli kumpulan Elite, Linda Rafar turut memuat naik seke­ping gambar memakai purdah dan berjubah.


Linda turut menjadikan Neelofa sebagai inspirasi kepada diri­nya untuk terus menjadi seorang hamba Allah yang bertakwa.


“Linda masih terkejut dengan hidayah yang Allah berikan kepada Neelofa. Dalam masyarakat sibuk mengejar duniawi, dia te­rus istiqamah ke jalan Allah dan menjadi contoh yang baik kepada semua.


“Saya sayangkan awak Nee­lofa. Doakan Linda juga kekal beriman dan terus fokus ke jalan yang diredai Allah,” katanya.


Untuk rekod, sebelum Nee­lofa, Fynn Jamal, Ardell Aryana, Natasha Hudson antara selebriti tanah air yang telah mengenakan purdah.


Selebriti popular mula berpurdah

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2020/10/18/selebriti-popular-mula-berpurdah/

Pusat asuhan percuma anak frontliners

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Aliakbar bercadang menyediakan pusat asuhan khas untuk anak petugas barisan hadapan secara percuma bagi membantu mereka kerana sedang berusaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah.


Bagaimanapun, Aliakbar berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



"Di Sabah ada banyak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), sekarang murid dan guru tengah cuti jadi guru kita tiada kerja ketika ini.


"Jadi sebagai alternatif kita mahu memberi penjagaan percuma kepada anak-anak barisan hadapan tetapi masih dalam perbincangan dan di peringkat awal," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk di gereja Kampung Keliangau, Manggatal di sini semalam.


Aliakbar yang juga Setiausaha Pas Sabah berkata, cadangan itu meliputi petugas barisan hadapan di kawasan Kota Kinabalu, Putatan dan Papar.


"Kita kasihan melihat petugas barisan hadapan kita yang hampir sibuk setiap hari dan mereka juga kelam kabut dalam menguruskan anak.


"Jadi apabila mereka letakkan anak mereka di situ, kita tidak kira masa akan beri penjagaan secara percuma.


"Sekarang kita tengah bincang dengan KKM sebab mereka pun ada Prosedur operasi standard (SOP) tersendiri, kita jangka ia dapat dilaksana dalam masa terdekat ini," katanya.


Sedia pusat asuhan percuma untuk anak 'frontliners'

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/105748/EDISI/Sabah-Sarawak/Sedia-pusat-asuhan-percuma-untuk-anak-frontliners

Pihak berkuasa rampas 5 tan ganja

 

Pihak berkuasa Maghribi merampas hampir lima tan ganja dalam sebuah kenderaan utiliti dan menahan pemandunya berhampiran Casablanca, kelmarin.


Ketua Pengarah Keselamatan Negara (DGSN) dalam kenyataan berkata, seorang lelaki membawa 4.96 tan ganja ditangkap pada Jumaat lalu di pintu masuk bandar pelabuhan Mohammedia menerusi operasi pengintipan.


"Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terbabit dalam rangkaian jenayah dan kesannya kepada negara," kata kenyataan itu.


Awal bulan ini, pihak berkuasa mengumumkan mereka berjaya merampas lebih 11 tan ganja di bandar pelabuhan utara Tangier.


Maghribi adalah antara negara pengeluar ganja tertinggi di dunia, walaupun pihak berkuasa mengatakan mereka menghentikan dan merampas hampir 180 tan ganja pada tahun lalu.


DGSN juga mengumumkan menyita dadah secara berasingan dalam satu operasi semalam, di Meknes dengan tiga orang berusia antara 20 hingga 22 tahun ditangkap kerana disyaki membawa dadah.


Agensi keselamatan mengatakan dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas 2,543 pil ecstacy dan ubat Rivotril, bersama dengan kokain, senjata tajam, telefon bimbit dan wang tunai. - AFP


Ganja lima tan dirampas di Casablanca

Sumber : https://www.bharian.com.my/dunia/afrika/2020/10/743261/ganja-lima-tan-dirampas-di-casablanca

Percubaan seludup keluar wang tunai RM10.25 juta gagal

 

Seorang wanita Britain ditahan di Lapangan Terbang Heathrow kerana cuba menaiki satu penerbangan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu sambil membawa wang tunai £1.9 juta (RM10.25 juta) di dalam beberapa bagasi, lapor Daily Mail hari ini.


Tara Hanlon, 30, dari Yorkshire, England ditahan sekumpulan Pengawal Sempadan di Terminal 2 lapangan terbang berkenaan kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan), Sabtu minggu lalu.


Anggota Pengawal Sempadan memeriksa lima bagasi wanita berkenaan dan menemui wang tunai £1.9 juta, hasil penemuan wang paling besar sepanjang tahun ini.


Hanlon dihadapkan ke Mahkamah Majistret Uxbridge atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 5 Oktober lalu. Dia kini ditahan sehingga dibawa ke Mahkamah Diraja Isleworth pada 5 November ini.


Menteri Kepatuhan Imigresen dan Mahkamah, Chris Philp berkata:


“Ini adalah penemuan dan rampasan wang tunai terbesar daripada seseorang individu di sempadan bagi tahun 2020 dan saya berbangga dengan usaha Pengawal Sempadan.


“Mencegah eksport wang tunai yang tidak diisytiharkan dari UK (United Kingdom) adalah satu langkah penting membanteras geng jenayah terancang.” – Agensi

Cara mengeluarkan anak kunci tersekat pada pintu

 

Pagi ni agak kelam-kabut sebab nak hantar anak ke sekolah (hari ahad). Kalau weekday agak smooth sebab saya bangun awal dan bersiap2 untuk ke tempat kerja.

Dah siap kunci grill boleh pulak anak kunci tersekat tak mau keluar. Kemurungan terus...😌


Balik dari hantar anak ke sekolah macam-macam usaha dan cara telah dicuba, namun tak dapat mengeluarkan kunci yang tersekat tu. Berikut kronologi kes anak kunci tersekat ni, saje nak berkongsi..


1. Goyang-goyangkan anak kunci sambil tarik..tak mau keluar.

2. Masukkan anak kunci pendua dari dalam rumah..tak boleh pusing pulak.

3. Buka skru pemegang pintu, tolak dari arah luar dan dalam..takde apa kesan.

4. Whatsapp tuan rumah..takde contact no. tukang pintu. Seawal jam 8 pagi dah gegar tuan rumah. Sorry3 kacau hari minggu akak.. 😅

5. Cari nama tukang rumah dan seangkatan dengannya di Kulai kat google. Jumpa contact person Pak Ali. Sedap caller ringtone abang, lagu Achik-Nana..😅



Pak Ali pun tak boleh tolong setelkan dan rekomen cari kat internet "en. taib tukang pintu/kedai pintu kulai" atau "en taip tukang pintu/kedai pintu kulai" melalui voice message, saya tak pasti mana satu. Saya segan nak tanya2 banyak kali..tapi search kat internet dua-dua kombinasi pun takde.. 😟 apa2cpun terima kasih bang.

6. Telefon teknisyen kilang..cadangannya drill ja pintu tu. aduhhai.. rumah sewa ni bang 😄

7. Spray WD-40..pun takde efek.

Berhenti dulu sarapan laksam beli kat kedai Selera Pantai Timur Indahpura, Kulai..sambil fikir langkah seterusnya 😆


8. Whatsap kat group whatsap tempat kerja "Group jual-beli" tanya sape2 kenal tukang pintu/kunci.. then, someone share contact no. Locksmith Kulai (Mr. Foong). Terus whatsapp dia..beserta gambar anak kunci yang tersekat pada pintu. Jom support side project x-colleague saya tu ☺️



Sementara tunggu reply, main game cam candy crush kat Shopee apps, dah level terakhir (160) 😎..


Mr. Foong anta voice message advice suh ketuk kunci perlahan-lahan sehingga masuk habis..kemudian pusing anak kunci ke kedudukan melintang dan tarik keluar. Iye, kunci tu tersekat pada kedudukan menegak dan nak keluarkan kena dalam kedudukan melintang. Terima kasih sir untuk advise..


9. Ketuk kunci guna tukul agak berhati-hati..takut rosak pintu. cam takde efek pun. kunci boleh tarik lagi tapi sangkut.. 😓 

10. Teruskan ketuk guna tukul, tapi kali ni lagi kuat.. dan anak kunci jongketkan ke atas sikit. cam engineering instinct yang bagitau try je la buat camni mungkin hujung anak kunci boleh capai ape2..bukan saka yer 😅

11. Rasanya lebih 10 kali ketuk, berhenti dan cuba tarik anak kunci..anak kunci tak bergerak langsung bila ditarik, nak pusing pun tak mau gerak cam tersangkut kat sesuatu.

12. Ketuk lagi dengan tukul tapi lagi laju dan perlahan..anak kunci didorong masuk dan terus masuk kesemuanya.

13. Inilah detik kejayaannya, cuba pusing anak kunci ke kedudukan melintang dan tarik perlahan-lahan. Terasa agak kasar sikit pergerakan anak kunci dan berjaya!!!! 😱😱😱


Untuk meraikan kejayaan ni, saya terus ke meja makan dan brunch nasi kerabu+solok lada+telur asin-ayam bakar. takleh makan time berduka tadi..



Begitulah ceritanya dan cara untuk mengeluarkan anak kunci yang tersekat pada pintu.