FELDA perlu bayar FGV pampasan sehingga RM4.3 bilion ambil semula 350,000 hektar tanah

 

FELDA perlu membayar pampasan dianggarkan sehingga RM4.3 bilion jika mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah ladangnya yang dipajakkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV).


Pampasan itu berikutan langkah menamatkan lebih awal tempoh pajakan 99 tahun tanah terbabit yang bermula pada 2012.


Mengikut bank pelaburan, AmInvest dalam nota penyelidikannya, anggaran itu berdasarkan liabiliti Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang berada pada paras RM4.3 bilion setakat akhir Disember 2019.



"Jika diteliti dalam LLA, pampasan yang perlu dibayar juga boleh ditentukan sebahagiannya oleh keuntungan setiap hektar matang dan saiz tanah. Jika FELDA mahu menamatkan LLA, ia perlu memberi notis 18 bulan kepada FGV.


"Selepas itu, jumlah pampasan akan dikira dan kemudian aset yang dipajak akan dikembalikan kepada FELDA," kata bank pelaburan berkenaan, semalam.


AmInvest menjelaskan, jika urus niaga itu terlaksana, FGV berpeluang menggunakan tunai daripada pampasan berkenaan untuk meninjau peluang pelaburan lain.


Sementara itu, sumber rapat FGV pula menganggarkan pampasan yang perlu dibayar FELDA jika meneruskan hasrat mengambil balik tanah yang dipajakkan itu, mungkin sekitar RM3 bilion.


Katanya, ini setelah mengambil kira kos penanaman semula RM300 juta setiap tahun, kerja pembajaan sehingga RM300 juta setahun, pembinaan kediaman pekerja RM270 juta dan gaji pekerja ladang RM590 juta.


Dalam maklum balas menerusi e-mel kepada BH, sumber berkenaan berkata, setakat ini, FELDA belum lagi menghubungi FGV untuk berunding mengenai LLA berkenaan.


"Sekiranya FELDA mengeluarkan notis mengenai perkara itu, FGV akan mengikut prosedur yang digariskan dari segi proses dan bayaran pampasan FELDA kepada FGV. Sebarang cubaan untuk membeli kilang sawit milik FGV juga harus berlaku atas dasar 'sedia beli, sedia jual'.


"Ia juga perlu merujuk kepada nilai pasaran terkini dan mendapat kelulusan pemegang saham lain melalui Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM). Dalam hal ini (EGM), FELDA tidak boleh mengundi kerana ia adalah pihak berkepentingan," katanya.


Selain itu, beliau berkata, semua kegiatan perniagaan di dalam kumpulan perladangan berkenaan akan berjalan seperti biasa.


Pada sesi temu bual bersama BH dan Harian Metro pada Ahad lalu, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata agensi berkenaan mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.


Beliau juga dilaporkan berkata, perkara itu sudah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FELDA dan kini sedang menunggu keputusan daripada kerajaan sebelum boleh memulakan rundingan dengan FGV.


Pengambilan balik tanah terbabit adalah sebahagian daripada transformasi yang ingin dijalankan FELDA menerusi pengenalan model perniagaan baharu dianggap lebih mampan dan berdaya saing untuk agensi itu.


Pada 2012, FELDA memajakkan 350,000 hektar tanah ladangnya kepada FGV menerusi LLA selama 99 tahun. Sebagai balasan, ia akan menerima RM250 juta setahun hasil pajakan itu dan perkongsian untung 15 peratus setahun daripada FGV.


FGV sudah membayar pajakan tetap dan perkongsian untung operasi ladang berjumlah RM1.9 bilion kepada FELDA sejak 2012 hingga 2017.


Sementara itu, ahli ekonomi secara umumnya menyokong langkah berkenaan yang menurut mereka memberi manfaat kepada semua pihak.


Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, antara lain mencadangkan FELDA mengambil alih FGV sepenuhnya, sekali gus menjadikannya anak syarikat 100 peratus milik FELDA.


Katanya lagi, cadangan itu memberi kelebihan kepada FELDA kerana pengurusan operasi FGV dapat disatukan dengan agensi berkenaan dan segala aktiviti syarikat perladangan terbabit adalah di bawah pemantauan FELDA.


Timbalan Presiden Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Dr Jamal Othman pula berpendapat, FELDA perlu memastikan langkah mengambil semula tanah itu dapat memberi pulangan lebih baik selepas mengambil kira semua aspek kos, termasuk bayaran pampasan, prasarana baharu dan risiko perolehan hasil.


FELDA dianggar perlu bayar pampasan lebih RM4 bilion

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/743965/felda-dianggar-perlu-bayar-pampasan-lebih-rm4-bilion

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.