Tengku Permaisuri hadiahkan Athirah motosikal

 

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi iaitu sebuah motosikal kepada Nur Athirah Abdul Latiff yang ditimpa musibah apabila motosikalnya dicuri ketika melakukan kerja penghantaran makanan di Batu Caves, Selangor, Rabu lalu.


Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office, Tengku Permaisuri Norashikin berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang menimpa Nur Athirah.


Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.


Nur Athirah adalah anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Batu Caves kini bertindak sebagai penyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.


Menurut kenyataan itu lagi, Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan sumbangan berkenaan, Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.


Titah baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, baginda amat berharap masyarakat di luar sana lebih bersifat berperikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.


Baginda turut mendoakan sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT.


Terdahulu, motosikal Yamaha 135LC milik Mur Athirah dengan nombor plat BQF2182 hilang di depan pasar raya Batu Caves.


Nur Athirah berkata, dia ke pasar raya itu pada jam 1.30 petang untuk mengambil makanan yang dipesan pelanggan dan meletakkan motosikal di kawasan berkenaan.


"Apabila kembali ke kawasan parkir tidak sampai 10 minit, saya dapati motosikal sudah tiada sebelum diberitahu ia dicuri," katanya.


Alhamdulillah, Tengku Permaisuri Selangor gantikan motosikal Athirah yang dicuri

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/638887/alhamdulillah-tengku-permaisuri-selangor-gantikan-motosikal-athirah-yang

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.