13 Dis 2020

1000 pembayar zakat terawal melalui Shopee dapat 200 coins percuma

 

Umat Islam kini boleh membuat pembayaran zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi aplikasi Shopee apabila platform e-dagang tersebut dilantik sebagai ejen kutipan terkini LZS bagi memudahkan bayaran zakat secara dalam talian.




Menerusi aplikasi berkenaan, pengguna Shopee boleh menunaikan pembayaran zakat harta serta fitrah tanpa had kepada LZS pada bila-bila masa dengan lebih mudah dan pantas bermula 18 Disember ini.


Para pengguna hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui ‘Deals, Top-ups & Bills’ dalam aplikasi Shopee dan ikuti langkah-langkah mudah yang diberikan.

Pembayaran zakat boleh dilakukan melalui dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan atas talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop berkata, pelantikan Shopee yang merupakan platform e-dagang pertama seumpamanya bekerjasama dengan LZS adalah tepat pada masanya.


“LZS sentiasa mempelbagaikan saluran bayaran bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat dengan selamat, lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu pada masa kini.


"Kerjasama ini dijangka akan dapat membantu ramai pengguna Shopee terutamanya dalam kalangan Muslim menunaikan zakat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi aplikasi berkenaan, umat Islam berkemampuan dan memenuhi syarat zakat dapat bersama membantu kelangsungan hidup golongan asnaf di Selangor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.


"Pengeluar zakat yang menunaikan zakat di LZS melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan termasuk Shopee bermula 1 hingga 31 Disember berpeluang menyertai peraduan Jom Bayar & Menang dan memenangi hadiah menarik bersempena dengan Kempen My2.5.


"Maklumat terkini berkenaan kempen My2.5 akan sentiasa diwar-warkan di saluran rasmi LZS iaitu portal www.zakatselangor.com.my/my2point5 atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor," katanya.


Dalam pada itu, kempen zakat di platform Shopee juga akan berlangsung dari 22 Disember hingga 31 Disember 2020 di mana 1,000 pembayar zakat terawal setiap hari sepanjang tempoh kempen akan menerima 200 syiling Shopee.


Boleh bayar zakat melalui Shopee

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/114541/EDISI/Boleh-bayar-zakat-menerusi-Shopee

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks for your comment.