Graduan akademi penerbangan dan kadet penerbangan boleh mohon lanjut moratorium

 

Graduan akademi penerbangan dan kadet juruterbang yang bermasalah membayar pinjaman boleh memohon lanjutan moratorium.


Wakil Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia berkata, pihak yang terjejas dengan keadaan sekarang boleh memohon lanjutan moratorium kepada bank.


"Setakat yang saya faham, sesiapa juga peminjam yang bermasalah membuat bayaran balik akibat terkesan dengan keadaan sekarang, boleh mohon (moratorium) kepada bank masing-masing untuk dipertimbang," katanya kepada BH, ketika dihubungi di sini, semalam.




Presiden Persatuan Juruterbang Malaysia, Kapten Abdul Manan Mansor, mengemuka empat syor kepada graduan akademi penerbangan dan kadet juruterbang yang gagal mendapat pekerjaan akibat sektor berkenaan malap kerana penularan COVID-19.


Beliau berkata, perkara pertama dicadangkan ialah berunding dengan bank mengenai bayaran balik pinjaman yang dibuat bagi membiayai kos latihan di akademi penerbangan.


Beliau juga menyarankan graduan akademi penerbangan dan kadet juruterbang tidak meletakkan gaji permulaan yang tinggi jika ditawarkan pekerjaan dalam sektor itu ketika ini, selain mempertimbang kerja berkaitan seperti jurulatih di akademi penerbangan.


"Mereka juga boleh melihat peluang dan memanfaatkan pertumbuhan dalam industri penerbangan kargo ketika ini," katanya, kelmarin.


Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia pada awal bulan lalu menyatakan kesediaan untuk memudahkan proses kelulusan bagi inisiatif yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021.


Persatuan itu dalam kenyataan memberitahu, pelanggan institusi perbankan Islam boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan bantuan pembayaran bersasar bermula 23 November ini sehingga 30 Jun 2021.


Sementara itu, graduan akademi penerbangan dan kadet juruterbang tidak akan memilih tawaran kerja atau gaji permulaan yang tinggi sekiranya mereka memperoleh peluang dalam industri penerbangan ketika ini.


Kadet juruterbang, Harith Hazran Kalam Azam, 30, berkata dalam waktu mencabar sekarang, perkara yang paling diutamakan ialah melunaskan komitmen yang ditanggungnya.


Katanya, kadet penerbangan juga mencari peluang dalam industri termasuk menjadi jurulatih penerbangan di akademi tempatnya belajar.


"Setiap orang mempunyai komitmen yang tinggi, malah gusar untuk menempuh masa depan disebabkan krisis COVID-19 yang kita sendiri tidak tahu bila akan berakhir.


"Ada yang mengintai peluang untuk menjadi jurulatih penerbangan atau ke syarikat penerbangan kargo.


"Semua itu perlu dilakukan demi pengalaman dan tuntutan komitmen masing-masing," katanya.


Harith Hazran berkata, sekiranya ditawarkan menjadi juruterbang pada masa terdekat, dia tidak akan meletakkan gaji permulaan yang tinggi kerana sedia maklum dengan keadaan industri.


"Industri terjejas dan menunggu masa untuk pulih. Jika saya ditawarkan kerja, cukuplah sekiranya tawaran itu mampu melunaskan komitmen yang ada," katanya.


Seorang lagi kadet, Erica Yap, berkata dia setia dengan syarikat AirAsia, namun tetap perlu mencari pekerjaan lain, sebelum ditawarkan untuk berkhidmat.


"Saya masih setia dengan tawaran yang diberikan AirAsia sebelum menyertai kursus ini dan tidak akan berpaling ke syarikat lain.


"Namun kita harus tahu realiti semasa disebabkan COVID-19 dan saya perlu mempunyai sumber kewangan untuk melunaskan hutang bank. Disebabkan itu saya perlu mendapatkan pekerjaan lain atau berkhidmat dalam industri sebelum mencapai cita-cita," katanya.


Sementara itu, juruterbang muda yang dikenali sebagai Hisham, 30, berkata dia sudah melunaskan bayaran pengajian, namun masih mempunyai tunggakan lain yang mencecah ratusan ribu.


"Tunggakan hutang berkaitan lesen penerbangan masih ada, namun bayarannya tidak banyak. Dengan komitmen harian dan keluarga, tekanan itu ada," katanya.


Hisham berkata, walaupun tidak diberhenti, pendapatannya sangat berkurangan dan mengusahakan perniagaan Laksa Kedah Makmu secara dalam talian bersama-sama isteri.


"Saya memahami kerisauan pelajar penerbangan dan begitu juga kami yang mempunyai komitmen yang terpaksa ditanggung setiap hari.


"Walaupun tidak diberhenti kerja, saya dibayar secara prorate sejak Mac lalu dan jika dihitung, sudah tentu ia tidak mampu untuk bertahan, hari demi hari. Kita juga tidak boleh menyerah kepada takdir, sebaliknya berusaha dengan apa yang kita ada," katanya.


Kadet juruterbang boleh mohon lanjut moratorium

Sumber asal : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/770081/kadet-juruterbang-boleh-mohon-lanjut-moratorium

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.