• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

65 tahun tidak mandi takut air

 

Seorang lelaki dari Iran dilabel manusia paling kotor di dunia kerana tidak mandi selama 65 tahun.


Dilaporkan, lelaki itu tidak mandi dan takut dengan air berikutan dia jatuh sakit jika mandi.


Portal Business Today melaporkan, lelaki itu dikenali sebagai Amou Haji, 83, dilaporkan sangat takut dengan air hingga menghalangnya mandi lebih enam dekad.




Hidup secara nomad di padang pasir Iran dengan sajian makanan daging landak busuk sebagai kegemarannya adalah rutin dilalui untuk meneruskan kelangsungan hidup.


Untuk kekal sihat, dia minum lima liter air dari tin minyak berkarat setiap hari.


Malah, dia juga suka merokok, tetapi menggunakan tahi lembu kering sebagai bahan bakar bukan tembakau.


Penduduk percaya lelaki itu patah hati hingga Amou memilih gaya hidup tidak normal. Namun, dia belum berputus asa mencari cinta.


Amou tidak memiliki rumah dan mengembara di sekitar Kampung Dejgah yang terpencil di wilayah Fars di Iran Selatan dan membuat lubang di padang pasir di luar kampung sebagai tempat berteduh.


Walaupun penduduk membina pondok untuknya, dia memilih tidak tinggal di sana.


Berikutan Amou yang sudah lama tidak mandi menyebabkan warna kulitnya hampir sama dengan tanah di sekelilingnya


Penduduk sering menyangka Amou batu ketika duduk statik tanpa pergerakan.


Amou tidak peduli dengan keselesaan dunia dan puas menjalani gaya hidup nomad.


Lelaki paling kotor di dunia

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/668399/lelaki-paling-kotor-di-dunia

Percubaan seludup 61 tan ayam sejuk beku dari Thailand gagal

 

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas lebih 61 tan ayam sejuk beku dianggar bernilai RM495,608 yang cuba diseludup dari Thailand ke negara ini kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lori membawa ayam yang sudah dipotong kepada 5,161 bahagian itu ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.



Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul, berkata pemeriksaan mendapati keratan ayam itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import dan dipercayai dibawa dari pusat penyembelihan tidak diiktiraf serta meragukan.


"Kegagalan mengemukakan maklumat berkenaan adalah kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).


"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Sementara itu, pada kira-kira jam 6 petang di lokasi sama, MAQIS turut merampas 191 botol benih cendawan dan sembilan bungkus sosej dianggarkan bernilai RM854 selepas lori yang ditahan gagal mengemukakan permit import sah.


Lily berkata, MAQIS tidak akan memandang mudah terhadap perkara ini dan sentiasa komited memastikan keluaran pertanian diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar bagi memastikan sektor pertanian negara tidak terjejas.


MAQIS rampas ayam sejuk beku 61 tan

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/779959/maqis-rampas-ayam-sejuk-beku-61-tan

Kilang vaksin terbesar dunia terbakar

 

Kilang pembuat vaksin terbesar dunia, Institut Serum India, terbakar hari ini tetapi ia tidak menjejaskan penghasilan vaksin COVID-19 di premis berkenaan.


Menurut seorang Ketua Pegawai Eksekutif institut berkenaan, lima orang dilaporkan maut setakat ini, ketika kerja memadamkan api masih diteruskan


Siaran televisyen memaparkan asap tebal menjulang ke udara dari tapak institut itu di Pune, barat India.



Institut Serum India menghasilkan jutaan dos vaksin coronavirus Covishield yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford.


"Kebakaran ini tidak akan menjejaskan penghasilan vaksin COVID-19," kata sumber institut itu kepada AFP, memaklumkan kebakaran itu berlaku di kilang baharu yang masih dalam pembinaan.


Seorang pegawai di balai bomba tempatan memaklumkan kepada AFP, enam atau tujuh jentera dikerahkan ke lokasi kebakaran.


"Kami tiada maklumat lanjut, sama ada berhubung tahap kebakaran atau sekiranya terdapat individu terperangkap," katanya.


Sebelum ini, pihak berkuasa India meluluskan dua vaksin, iaitu Covishield yang dihasilkan Institut Serum India serta Covaxin yang dihasilkan firma tempatan, Bharat Biotech.


India memulakan antara pengagihan vaksin terbesar dunia Sabtu lalu, yang menyasarkan 300 juta penduduk negara itu disuntik menjelang Julai depan, menggunakan Covishield dan Covaxin.


Beberapa negara lain turut bergantung pada Institut Serum India selaku pembuat vaksin terbesar dunia dari segi jumlah pengeluaran, untuk membekalkan vaksin kepada mereka.


Institut itu turut merancang membekalkan 200 juta dos kepada COVAX, inisiatif disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan dan mengagihkan vaksin kepada negara miskin. - AFP


Kilang vaksin terbesar dunia di India terbakar, 5 maut

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/01/778604/kilang-vaksin-terbesar-dunia-di-india-terbakar-5-maut

Gadis pelihara nyamuk bagi makan darah sendiri

 

Seorang gadis di Indonesia membuatkan netizen kebingungan apabila mendedahkan dia menjadikan seekor nyamuk yang dinamakan Molly sebagai binatang peliharaan.


Menerusi satu video di laman TikTok, gadis yang menggunakan akaun @michelleeserafin itu menunjukkan cara-cara memberi makan kepada serangga peliharaannya itu, lapor Suara.com semalam.


“Ini adalah cara bagaimana saya memberi Molly makan,” tulisnya pada status video berkenaan.



Video yang memaparkan gadis itu mendekatkan botol yang menyimpan nyamuk itu di kakinya sebelum penutupnya dibuka bagi membolehkan Molly terbang keluar.


Serangga itu akan menghisap darah di kaki tuannya dan sebaik selesai, Michellee akan memasukkan Molly ke dalam botol.


Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa hairan dengan tindakan gadis itu yang memilih nyamuk sebagai binatang peliharaan.


“Kalau nyamuk itu boleh bercakap, pasti akan diberitahu bahawa ia mampu cari makan sendiri,” tulis seorang pengguna.


“Terima kasih untuk tutorial ini, sangat menyesatkan,” komen seorang lagi.


Video tular itu sudah ditonton sebanyak 8.8 juta kali dengan ribuan komen ditinggalkan. – Agensi


Netizen bingung gadis pelihara nyamuk

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/01/20/netizen-bingung-gadis-pelihara-nyamuk/

Wanita umur 109 tahun Individu tertua di dunia terima vaksin covid-19

 

Wanita warga emas yang menghuni rumah penjagaan orang tua di Milan menjadi individu tertua di dunia menerima vaksin Covid-19, beberapa bulan selepas dia pulih daripada jangkitan wabak itu.


Menurut jurucakap rumah penjagaan berkenaan, Fatima Negrini yang bakal genap 109 tahun pada 3 Jun ini, menerima suntikan kelmarin, bersama penghuni lain di Rumah Jagaan Anni Azzurri San Faustino.



"Pemberian vaksin buatnya dan semua tetamu serta kakitangan adalah saat menggembirakan dan langkah pertama ke arah menjalani kehidupan harian yang mendamaikan di fasiliti ini," kata Matteo Tessarollo.


Ketika Negrini terlepas daripada menerima vaksin itu tahun lalu, akhbar tempatan melaporkan dia sebagai berkata, "tuhan sudah melupakan saya."


Itali memulakan program vaksinasi koronavirus pada 27 Disember 2019 dan sehingga kini 1.15 juta rakyatnya sudah disuntik.


Wanita di Milan individu tertua terima vaksin

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/01/666056/wanita-di-milan-individu-tertua-terima-vaksin

Bank lanjut moratorium dan bantun bersasar kepada mangsa banjir

 

Pemain industri perbankan bersedia melanjutkan moratorium dan bantuan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan bersasar sedia ada kepada mereka yang layak dan terkesan susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.


Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dalam satu kenyataan bersama berkata, bank juga mengumumkan lanjutan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di beberapa negeri.


Beliau berkata, susulan itu, mereka yang terkesan diminta menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan bantuan terbabit.


Katanya, lanjutan itu terpakai kepada skim Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang diumumkan sebelum ini, terutama mereka yang kehilangan pekerjaan pada 2020 atau 2021, yang mana mereka boleh memohon bantuan pembayaran untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa, pada atau sebelum 30 Jun 2021.


"Selanjutnya adalah individu yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan berikutan pandemik boleh memohon untuk mengurangkan pembayaran balik sejajar dengan pengurangan pendapatan mereka.


"Bagi mereka yang berada dalam kumpulan M40, penerima Bantuan Prihatin Nasional, bank bersetuju untuk pengisytiharan sendiri.


"Bagi individu dalam kategori B40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat boleh meminta penangguhan ansuran selama tiga bulan, atau mengurangkan ansuran mereka sebanyak 50 peratus selama enam bulan," katanya.


ABM dan AIBIM berkata, bagi enterpris mikro dengan pinjaman atau pembiayaan, yang mana jumlah kemudahan asal sehingga RM150,000 boleh meminta untuk penangguhan ansuran tiga bulan atau mengurangkan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus untuk enam bulan.


Menurutnya, bantuan pembayaran balik bagi B40, M40 dan enterpris mikro layak untuk pinjaman atau pembiayaan diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari pada tarikh permohonan bantuan pembayaran balik dihantar kepada bank.


Semua peminjam atau pelanggan lain yang menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran juga dialu-alukan untuk menghubungi bank mereka bagi membincangkan pakej bantuan pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan tertentu mereka.


Pada 31 Disember 2020, lebih 1.3 juta permohonan bantuan pembayaran balik diterima, dengan kadar kelulusan 95 peratus.


Sementara itu, Pengerusi ABM dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata, bank kekal komited untuk membantu pelanggan yang terus berdepan cabaran persekitaran semasa.


Beliau berkata, bank dapat menyesuaikan skim bantuan kewangan khusus dengan keadaan peminjam supaya mereka dapat menstabilkan keadaan kewangan mereka dengan pantas dan menumpukan perhatian pada aspek lain dalam kehidupan mereka yang mungkin memerlukan lebih banyak perhatian.


Selain itu, Presiden AIBIM dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, beliau yakin negara lebih bersedia dan begitu juga peserta perbankan dan rakyat dalam menempuh tempoh mencabar ini.


Menurutnya, komunikasi antara pelanggan terjejas dan bank mesti berterusan bagi manfaat kedua-dua pihak.


"Bantuan pembayaran masih tersedia untuk mereka yang terjejas," katanya.


PKP 2.0: Bank sedia lanjutkan moratorium, bantuan bersasar

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/665396/pkp-20-bank-sedia-lanjutkan-moratorium-bantuan-bersasar


Naib Pengerusi Samsung dipenjara 2 tahun setengah

 

Ketua pemimpin dari kumpulan perniagaan paling berjaya Korea Selatan, Samsung; Lee Jae-yong, hari ini dijatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah, atas skandal rasuah dan jenayah lain.


Jae-yong, Naib Pengerusi Samsung Electronics, syarikat pengeluar telefon pintar dan pembuat cip memori terbesar dunia, didapati bersalah melakukan rasuah dan terbabit dalam pengubahan wang yang dikaitkan dengan Presiden yang dipecat, Park Geun-hye.



Jae-yong yang sering memberikan rasuah dan secara implisit meminta presiden menggunakan kuasanya untuk membantunya 'melancarkan proses' bagi beliau mengetuai konglomerat terbesar itu, kata Mahkamah Daerah Pusat Seoul dalam keputusannya.


"Malangnya Samsung syarikat teratas negara dan kebanggaan pereka dunia, berulang kali terbabit dalam jenayah setiap kali ada perubahan dalam pentadbiran politik," katanya.


Jae-yong yang sebelum itu dilihat hadir ke mahkamah dengan raut wajah muram dan memakai pelitup muka, tidak menjawab pertanyaan wartawan.


Beliau sebelum ini mengetuai pelbagai syarikat Samsung sejak bapanya terlantar sakit, berikutan serangan jantung dan meninggal dunia pada Oktober lalu.


Samsung ialah konglomerat dikuasai keluarga, mendominasi kedudukan ke-12 ekonomi terbesar dunia.


Perolehan setara satu perlima produk domestik kasar dan penting kepada ekonomi Korea Selatan.


Ia didorong kemampuannya melabur berbilion-bilion dalam sektor strategik teknologi utama.


Kalangan pakar mengatakan hukuman terbabit akan meninggalkan jawatan kosong dalam pentadbiran Samsung dan dijangka memberi kesan terhadap pelaburan berskala besar masa depan.


"Ia benar-benar memberi pukulan dan mencetuskan krisis besar bagi Samsung," kata profesor perniagaan di Universiti Sejong, Kim Dae-jong. - AFP


Naib Pengerusi Samsung dijatuhi hukuman penjara

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/01/777508/naib-pengerusi-samsung-dijatuhi-hukuman-penjara

Kes kematian pertama pesakit Covid-19 di China selepas 8 bulan

 

China melaporkan kes kematian akibat COVID-19 hari ini, kes pertama dalam tempoh lapan bulan ketika negara itu berusaha membendung lonjakan kes dan bersedia menerima pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)


Wilayah di China sebahagian besarnya berupaya mengawal penularan jangkitan menerusi pelaksanaan perintah berkurung yang ketat dan ujian saringan besar-besaran, bagaimanapun sejak beberapa minggu kebelakangan ini mengalami peningkatan kes terutama di bahagian utara negara itu.


Sebanyak 138 jangkitan baharu direkodkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini, angka harian tertinggi sejak Mac tahun lalu.




Tiada perincian mengenai kematian terbaru oleh pihak berkuasa kesihatan, kecuali kejadian dilaporkan di wilayah Hebei, di mana kerajaan meletakkan beberapa bandarnya di bawah perintah berkurung.


Minggu lalu, pihak berkuasa melancarkan ujian saringan besar-besaran dan menutup rangkaian pengangkutan, sekolah dan perniagaan di ibu kota Hebei, yang terletak di Shijiazhuang, pusat wabak terbaharu negara itu.


Negeri jirannya, Xingtai yang mempunyai penduduk seramai tujuh juta orang, juga diletakkan di bawah perintah berkurung sejak Jumaat dan begitu juga di bandar Langfang yang mempunyai lima juta penduduk.


Sementara itu semalam, Heilongjiang yang terletak di timur laut mengisytiharkan darurat dan mengeluarkan arahan kepada 37.5 juta penduduknya supaya tidak meninggalkan wilayah itu kecuali mempunyai urusan penting.


Kematian itu berlaku ketika China bersedia menerima kedatangan pasukan pakar dari WHO, yang akan memulakan penyelidikan terhadap asal usul wabak COVID-19.


Tiada kematian baharu dilaporkan di Tanah Besar China sejak Mei tahun lalu, dengan jumlah kematian rasminya berjumlah 4,635 orang. - AFP


COVID-19: China rekod kematian pertama dalam tempoh 8 bulan

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/01/776077/covid-19-china-rekod-kematian-pertama-dalam-tempoh-8-bulan

Cap dagangan Harimau Menangis belum diluluskan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO)

 

Ibu kepada Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed diminta tidak mendahului Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dalam mendakwa jenama Harimau Menangis telah didaftar sebagai cap dagangan selain menjadi hak ekslusif beliau.


Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, MyIPO menerima permohonan daripada Noor Kartini untuk mendaftarkan jenama Harimau Menangis baru diterima oleh MyIPO pada bulan November tahun lalu, dan ia masih lagi dalam peringkat pemeriksaan.



“Sehubungan itu, jenama Harimau Menangis yang dipohon oleh beliau belum lagi diluluskan dan belum menjadi hak eksklusif beliau.


“Permohonan beliau sama ada diluluskan ataupun tidak, bergantung kepada hasil pemeriksaan dan pertimbangan oleh MyIPO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau mengulas isu jenama Harimau Menangis keluaran Noor Kartini menerusi syarikatnya Noor Khan Enterprise.


Ujarnya, MyIPO akan memproses permohonan beliau sepertimana biasa di mana sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.


Beliau menambah, cap dagangan bererti apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.


Cap dagangan Harimau Menangis belum lulus, Noor Kartini jangan dahului MyIPO

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/01/13/cap-dagangan-harimau-menangis-belum-lulus-noor-kartini-jangan-dahului-myipo/

Balut dan ikat pada pokok gagal bayar hutang cacah tatu

 

Gambar seorang lelaki dibalut plastik dan diikat di sebatang pokok di Hanoi kerana didakwa gagal membayar tatu dibuatnya, tular di media sosial Vietnam.


Lebih malang, kejadian itu berlaku ketika negara itu sedang berdepan 'musim sejuk' dengan suhu di bawah 10 darjah Celsius.


Oddity Central melaporkan ketika kejadian, beberapa individu melihat seorang lelaki muda, tidak memakai baju dan hanya memakai topi keledar basikal.


Tubuhnya dibalut dengan plastik dan diikat pada pokok dengan kertas yang bertulis 'saya benci membayar tatu.'


Gambar lelaki itu disiarkan di media sosial dan menjadi viral.




Tidak lama kemudian, seorang lelaki dikenali sebagai NQT mengaku sebagai artis tatu yang bertanggungjawab atas kejadian itu.


Dalam catatan media sosial, pemilik kedai tatu menjelaskan lelaki dalam gambar itu hanya menyelesaikan sebahagian daripada wang khidmat mencacah tatu.


Rakannya berjaya menangkap lelaki itu dan membawanya ke kedai kemudian mahu memberinya pengajaran.


"Pemuda ini membuat tatu di tangannya, tetapi melarikan diri dan mengelak saya sehingga hari ini.


"Oleh itu, kami menanggalkan bajunya, membungkusnya dengan plastik dan mengikatnya di pokok sebagai hukuman," kata lelaki itu.


Tidak jelas berapa lama 'seksaan' dilalui lelaki itu, tetapi pemilik kedai tatu itu mendakwa dia kasihan dan akhirnya memutuskan untuk membebaskannya.


"Dia tidak mempunyai wang untuk membayar, tetapi saya memaafkannya," katanya.


Hukuman berhutang

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/663417/hukuman-berhutang

Pendakwah selebriti dipenjara 1,075 tahun

 

Seorang pendakwah televisyen terkenal di Turki dipenjara 1,075 tahun atas pelbagai kesalahan, sebahagian besarnya jenayah seksual.


Adnan Oktar, 64, dikenakan hukuman itu selepas disabitkan atas kesalahan serangan seksual, amang seksual, penipuan dan melakukan kegiatan pengintipan ketenteraan.


Pendakwah itu ditahan pada Jun 2018 oleh unit jenayah kewangan polis Istanbul dalam usaha pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan kumpulannya.


Seramai 236 suspek lain turut dituduh di mahkamah dengan 78 daripada mereka ditahan.



Perbicaraan kes membabitkan pendakwah itu turut mendedahkan perincian dakwaan jenayah seksual yang mengejutkan.


Dalam satu perbicaraan, Oktar memberitahu mahkamah pada Disember lalu bahawa beliau memiliki 1,000 teman wanita.


"Hati saya penuh dengan perasaan cinta terhadap wanita. Cinta adalah kualiti seorang manusia. Ia adalah kualiti sebagai seorang Islam," katanya.


Seorang daripada wanita yang memberi keterangan dalam perbicaraannya, yang hanya dikenali sebagai CC, memberitahu mahkamah Oktar berulang kali merogolnya dan beberapa wanita lain.


Katanya, beberapa wanita yang dirogol itu turut dipaksa memakan pil perancang keluarga bagi mengelakkan kehamilan.


Ditanya mengenai penemuan 69,000 pil perancang keluarga di kediamannya oleh polis, Oktar berkata ia digunakan bagi merawat masalah kulit dan ketidaktentuan haid.


Oktar turut menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) diketuai pendakwah, Fehullah Gulen, yang dituduh mendalangi cubaan rampasan kuasa pada 2016. - AFP


Pendakwah selebriti Turki dipenjara 1,075 tahun kerana jenayah seksual

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/01/775451/pendakwah-selebriti-turki-dipenjara-1075-tahun-kerana-jenayah-seksual

Murid sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Empat ikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 20 Januari 2021

 

Semua murid sekolah rendah dan Tingkatan Satu hingga Empat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 20 Januari ini.


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ketetapan itu juga terpakai kepada pelajar Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2 Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 di Kolej Vokasional.


"PdPR akan dijalankan mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari," kata kenyataan tersebut pada Isnin.



Kenyataan turut menyebut, sesi persekolahan hanya diadakan secara bersemuka melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).


"Pelajar DVM tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara turut mengikuti pembelajaran secara bersemuka," katanya.


Menurut kenyataan itu, murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama," katanya.


KPM berkata, calon berdaftar bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan Satu akan mengikuti pentaksiran antara 20 dan 29 Januari 2021.


Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan Empat pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 dan 25 Februari 2021.


"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan," katanya.


Bagi tujuan pengoperasian sekolah, KPM menjelaskan, semua guru dikehendaki kembali ke stesen tempat bertugas sebelum 20 Januari ini.


"Guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan PdP secara bersemuka.


"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya.


Bagi pelajar kolej matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di situ untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.


"Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.


"Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka," katanya.


Menyentuh mengenai negeri dan kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), KPM berkata, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.


"KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.


"KPM akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


"Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan," katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.


PKPB pula akan melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terangganu dan Kelantan, sementara PKPP akan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.


Pelaksanaan PKP itu dilakukan untuk tempoh 14 hari berkuat kuasa Rabu ini.


Murid sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Empat ikuti PdPR

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/118595/BERITA/Nasional/Murid-sekolah-rendah-Tingkatan-Satu-hingga-Empat-ikuti-PdPR

Mutasi varian UK B.1.1.7 dikesan di Malaysia

 

Satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 dikesan di Malaysia hari ini.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu dilaporkan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada Disember lalu.


"Pengembara ini didapati positif pada 28 Disember lalu dan (sudah) diasingkan untuk rawatan lanjut.



"Sejak Oktober 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara yang melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.


Satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 dikesan di Malaysia hari ini.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu dilaporkan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada Disember lalu.


"Pengembara ini didapati positif pada 28 Disember lalu dan (sudah) diasingkan untuk rawatan lanjut.


"Sejak Oktober 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara yang melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.


Menurutnya, setakat 11 Januari lalu, tiada penularan dalam negara dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 itu.


"KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.


"Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak didapati menyebabkan simptom yang teruk, ia boleh menular dengan mudah dan cepat," katanya.


Noor Hisham menasihati orang ramai sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.


Kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 dikesan di Malaysia hari ini

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/662897/kes-covid-19-varian-uk-b117-dikesan-di-malaysia-hari-ini

Penangguhan bayaran balik PTPTN ditambah lagi 3 bulan bagi yang layak

 

Kerajaan melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.


Katanya, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac ini.


"Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula daripada bulan permohonan perlanjutan diluluskan.


"Butiran berkenaan pelaksanaan perlanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN.


"Diharap pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPTN," katanya dalam kenyataan hari ini.



Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember lalu kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik.


Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.


Bayaran balik pinjaman PTPTN ditangguhkan 3 bulan lagi

Sumber asal : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/770949/bayaran-balik-pinjaman-ptptn-ditangguhkan-3-bulan-lagi