Percubaan seludup 61 tan ayam sejuk beku dari Thailand gagal

 

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas lebih 61 tan ayam sejuk beku dianggar bernilai RM495,608 yang cuba diseludup dari Thailand ke negara ini kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lori membawa ayam yang sudah dipotong kepada 5,161 bahagian itu ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.



Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul, berkata pemeriksaan mendapati keratan ayam itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import dan dipercayai dibawa dari pusat penyembelihan tidak diiktiraf serta meragukan.


"Kegagalan mengemukakan maklumat berkenaan adalah kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).


"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Sementara itu, pada kira-kira jam 6 petang di lokasi sama, MAQIS turut merampas 191 botol benih cendawan dan sembilan bungkus sosej dianggarkan bernilai RM854 selepas lori yang ditahan gagal mengemukakan permit import sah.


Lily berkata, MAQIS tidak akan memandang mudah terhadap perkara ini dan sentiasa komited memastikan keluaran pertanian diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar bagi memastikan sektor pertanian negara tidak terjejas.


MAQIS rampas ayam sejuk beku 61 tan

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/779959/maqis-rampas-ayam-sejuk-beku-61-tan

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.