• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Bekalan oksigen perubatan dunia meruncing disebabkan covid-19

 

Masalah bekalan oksigen untuk keperluan perubatan kini semakin meruncing susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.


Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kerjasama semalam memberi amaran bahawa sejumlah AS$1.6 bilion diperlukan bagi merungkai kecemasan global itu.


Penularan COVID-19 ternyata memberi tekanan besar terhadap sistem kesihatan seluruh dunia, terutama di negara miskin yang menyaksikan banyak hospital berdepan masalah kekurangan bekalan oksigen.



Keadaan itu sekali gus menyumbang kes kematian, selain waris pesakit di hospital pula terpaksa menampung kos lebih tinggi demi memastikan ahli keluarga mereka itu mendapat bekalan oksigen diperlukan untuk rawatan.


Akses kepada Pemacu Peralatan COVID-19 (ACT-Accelerator), iaitu usaha bersama global yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mendapatkan vaksin, diagnostik serta rawatan wabak terbabit, berkata pihaknya melancarkan Pasukan Petugas Khas Kecemasan Oksigen untuk menangani krisis semakin membimbangkan itu.


Pelbagai organisasi terbabit dalam pasukan petugas khas itu, termasuk WHO, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Dana Global, Bank Dunia dan Selamatkan Kanak-Kanak.


Ketua agensi kesihatan antarabangsa Unitaid, Philippe Duneton, menyifatkan masalah kekurangan bekalan oksigen bagi tujuan perubatan dan rawatan adalah isu kecemasan global yang memerlukan penyelesaian tuntas.


Kekangan bekalan oksigen global dilaporkan sudahpun berlaku sebelum pandemik COVID-19 melanda, kerana diperlukan untuk rawatan penyakit seperti radang paru-paru yang meragut kira-kira 2.5 juta nyawa setiap tahun.


Namun, kemunculan wabak COVID-19 menyaksikan isu berkenaan semakin genting, sekali gus mencetuskan kegusaran orang ramai.


Dianggarkan setengah juta pesakit COVID-19 di negara miskin dan berpendapatan sederhana, memerlukan 1.1 juta silinder oksigen setiap hari.


Pada masa sama, 25 negara yang kebanyakannya di Afrika, turut melaporkan lonjakan permintaan kepada bekalan itu bagi tujuan perubatan dan rawatan.


Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, berkata pandemik COVID-19 menyebabkan masalah bekalan oksigen kini menjadi isu kecemasan global.


Beliau menegaskan, usaha menangani masalah itu amat penting bagi membantu rawatan pesakit COVID-19, sekali gus boleh mengurangkan risiko kematian.


Selain itu, ia dapat memperbaiki sistem kesihatan dalam jangka panjang, termasuk untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan oksigen.


Pasukan petugas khas baharu itu menekankan, dana AS$90 juta diperlukan segera untuk menangani cabaran utama dalam penghantaran dan akses bekalan oksigen di 20 negara, termasuk Malawi, Nigeria serta Afghanistan. - AFP


Masalah bekalan oksigen untuk perubatan kian meruncing

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/02/790431/masalah-bekalan-oksigen-untuk-perubatan-kian-meruncing

Murai kulit hitam ditemui selepas 170 tahun

 

Seekor burung yang kali terakhir dilihat lebih 170 tahun lalu ditemui semula di hutan hujan Borneo.


Sebelum ini, ahli konservasi burung percaya spesies burung itu sudah pupus.


Murai berkulit hitam pernah didokumentasikan sekali ketika pertama kali ditemui sekitar tahun 1848 - yang selepas itu tiada usaha untuk mencarinya.



Namun, akhir tahun lalu, dua lelaki di Borneo Indonesia melihat seekor burung yang tidak mereka kenali dan mengambil gambarnya sebelum melepaskan makhluk berukuran telapak tangan itu kembali ke hutan, menurut Global Wildlife Conservation.


Ahli pengkaji burung terkejut apabila mendapati bahawa Murai berkulit hitam masih hidup dan sihat, sebagaimana yang pernah dicatatkan Charles Darwin dalam bukunya 'On the Origin of Species'.


"Rasanya seperti 'Eureka!' seketika," kata pengarang utama rencana berita itu, Panji Gusti Akbar, dalam jurnal BirdingASIA.


"Burung ini sering kali disebut 'teka-teki terbesar dalam ornitologi Indonesia.'


"Sukar untuk percaya ia tidak pupus dan masih tinggal di hutan dataran rendah ini," katanya.


Menurut artikel itu, burung berkenaan memiliki bulu coklat dan kelabu, 'hilang' lebih lama daripada kebanyakan burung Asia lain, menurut artikel itu.


Penyelidik berharap dapat kembali ke kawasan di mana burung itu kali terakhir dilihat, tetapi sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19 menyebabkan usaha itu terbantut.


Pengarang akhbar yang juga ahli konservasi burung, BirdLife International yang berpangkalan di Singapura, Ding Li Yong berkata; "Sekarang adalah kesempatan yang sesuai untuk melindungi hutan itu dan memastikan burung Murai itu terus dilindungi begitu juga spesies lain."


Menurut pakar pemuliharaan, lebih 150 spesies burung di seluruh dunia dianggap 'hilang' tanpa jejak dalam dekad yang lalu.


Pengarah kanan pemuliharaan spesies Global Wildlife Conservation, Barney Long berkata; "Penemuan seperti ini sangat luar biasa dan memberi kita harapan yang besar untuk mencari spesies lain yang telah hilang selama beberapa dekad atau lebih lama." - AFP


Burung Murai berkulit hitam muncul selepas 170 tahun

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/02/790219/burung-murai-berkulit-hitam-muncul-selepas-170-tahun

Peruntukan RM19.2 juta bagi Projek Fenomena Air Pasang Besar di Batu Pahat

 

Sebanyak RM19.2 juta diperuntukkan kerajaan persekutuan bagi menaik taraf benteng di pantai sekitar daerah ini dan dijangka siap pada 2023.


Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, Projek Fenomena Air Pasang Besar itu akan memberi manfaat kepada puluhan ribu penduduk di jajaran pantai sepanjang 34.6 kilometer terbabit.


"Projek berkenaan bertujuan membina dan menaik taraf ban atau penghadang air supaya kemasukan air laut ke kawasan perumahan serta pertanian dapat dikawal.

"Terdapat beberapa kawasan sudah dikenal pasti tempat berisiko berlakunya air pasang besar setiap tahun iaitu di sekitar Tampok, Rengit, Senggarang, Minyak Beku dan Peserai," katanya pada sidang media selepas lawatan tapak di beberapa kawasan terjejas air pasang, di sini, hari ini.


Menurutnya, pembinaan berkenaan dijangka bermula penghujung tahun ini dengan peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


"Benteng sebelum ini setinggi 3.7 meter namun akibat fenomena alam seperti peningkatan paras air laut menyebabkan benteng berkenaan perlu dinaik taraf.


"Kejadian itu ditambah dengan faktor angin dan hujan lebat menyebabkan limpahan air laut ke kawasan darat termasuk perumahan dan pertanian," katanya.


Beliau berkata, selain daerah Batu Pahat, jajaran pantai di Pontian hingga Muar turut terbabit dalam projek peringkat persekutuan itu.


"Sebanyak RM200 juta diperuntukkan kerajaan pusat dalam projek ini yang sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11.


"Jajaran pantai di tujuh negeri lain termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak," katanya.


Batu Pahat dapat RM19.2 juta naik taraf benteng

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/676809/batu-pahat-dapat-rm192-juta-naik-taraf-benteng

Kerajaan guna picagari low dead-volume elak pembaziran vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech

 

Malaysia akan menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech esok, dan untuk itu sebanyak 12 juta picagari jenis low dead-volume dijangka digunakan bagi suntikan vaksin tersebut pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


Mengapa penggunaan jenis picagari itu amat ditekankan pada program yang akan bermula 26 Februari dan apakah kepentingan serta kelebihannya berbanding picagari lain?


Pensyarah Farmasi Klinikal Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry, berkata picagari itu mempunyai saiz 'hub' (penghubung antara picagari dan jarum) yang minimum untuk mengurangkan pembaziran vaksin berbanding picagari biasa.


Katanya, ini sekali gus dapat memaksimumkan jumlah dos yang boleh dihasilkan daripada sebotol vial (bebuli) vaksin, iaitu untuk vaksin COVID-19 sebanyak enam dos suntikan dapat dihasilkan dengan penggunaan picagari berkenaan.


Menurut langkah persediaan vaksin Pfizer di laman web Centers for Disease Control and Prevention, setiap bebuli vaksin yang dilarutkan dengan 0.9 peratus sodium chloride (natrium klorida) sebanyak 1.8 mililiter (ml), akan dapat menghasilkan lima dos suntikan.


"Isipadu mati (dead volume) adalah jumlah cecair yang tertinggal di dalam picagari dan jarum selepas suntikan.


"Maka sekiranya picagari low dead-volume digunakan untuk vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech ini, ia membolehkan setiap vial vaksin menghasilkan sebanyak enam dos suntikan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.


Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang pula berkata tanpa penggunaan picagari berteknologi tinggi itu, sebanyak 0.08 ml akan terbuang untuk setiap bebuli vaksin berkenaan.


Maka katanya, memandangkan vaksin itu amat bernilai tinggi dan mahal ketika ini, penggunaan picagari tersebut amat penting bagi memastikan tidak berlaku pembaziran dan kerugian.


"Jika menggunakan picagari biasa, di penyambung antara picagari dan jarum akan ada dead space, yang mana apabila kita tekan picagari, tidak semua cecair vaksin itu akan keluar daripada picagari itu dan masuk ke badan manusia," katanya.


"Jadi kalau gunakan picagari dengan teknologi yang bagus, dead space ini akan kurang... mengikut pengalaman kami menggunakan picagari, jika low dead space, ia selamatkan 0.08 ml vaksin untuk setiap vial," katanya.


Katanya memandangkan picagari berkenaan membabitkan penggunaan teknologi tinggi, harga picagari itu juga mahal sedikit berbanding picagari biasa.


"Picagari ini biasanya digunakan untuk ubat atau vaksin yang mahal bagi memastikan tidak berlakunya pembaziran... kalau normal saline, tidak apalah gunakan picagari biasa dan hilang 0.08 ml pun tidak apa, tetapi tidak pada vaksin COVID-19," katanya.


Sementara itu, Mohd pula berkata picagari low dead-volume tersebut jarang digunakan, kecuali untuk produk ubat suntikan tertentu seperti ubat antikoagulan (pencair darah), insulin dan sebagainya.


"Itu pun kebanyakan disediakan secara praisian (prefilled) satu dos, dan dalam kebanyakan keadaan, picagari biasa akan digunakan," katanya sambil menambah terdapat dua jenis picagari low dead-volume iaitu jarum kunci boleh tanggal (luer lock) dan jarum tertanam.


Pada 17 Februari, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kerajaan mendapatkan jumlah picagari yang diperlukan bagi melaksanakan suntikan vaksin Pfzer-BioNTech.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pula dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan memerlukan 12 juta picagari jenis low dead-volume bagi membuat suntikan terhadap 20 peratus atau enam juta penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula hujung bulan ini.


Beliau berkata picagari jenis itu amat diperlukan kerana vaksin perlu disuntik dalam dos tertentu kepada setiap individu bagi memastikan keberkesanannya. – BERNAMA


Mengapa guna picagari low dead-volume untuk suntik vaksin COVID-19?

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/788272/mengapa-guna-picagari-low-dead-volume-untuk-suntik-vaksin-covid-19



Terperinci berkenaan picagari low dead dan high dead boleh baca di sini.

Mutiara oren Melo bernilai RM1.39 juta ditemui pada pelampung hanyut

 

Tuah bagi seorang nelayan di Thailand apabila menemui mutiara yang jarang ditemui dianggarkan bernilai kira-kira 250,000 Pound Sterling (RM1,397,860).


Mutiara berwarna oren memiliki berat 7.68 gram.



Semuanya bermula apabila Hatachai Niyomdecha, berjalan bersama keluarganya di pantai sebelum terlihat satu pelampung hanyut berhampiran pantai wilayah Si Thammarat.


Lelaki berusia 37 tahun itu membawanya ke rumah dan mahu mengetahui isi dalamnya selepas mendapati tiga cengkerang tersangkut padanya.


Hatachai dan adiknya membawa cengkerang itu kepada bapa mereka, Bangmad, 60, yang kemudian membersihkannya sebelum menemui mutiara berkenaan.


Mutiara itu sebenarnya dikenali oren Melo antara yang jarang dijumpai.


Ia biasa ditemui dalam cengkerang siput dikenali Melo Melo namun mereka menemuinya dalam cengkerang tiram.


Hatachai dan isterinya merancang menjual mutiara itu dengan nilai tinggi dan mengesahkan sudah ada senarai pembeli yang berminat.


"Saya mahu menjual mutiara itu dengan harga paling tinggi. Wang itu tidak akan mengubah hidup saya, tetapi nasib saya.


"Seluruh keluarga saya akan mempunyai kehidupan lebih baik," katanya seperti dilaporkan Daily Star.


Temui mutiara RM1.39 juta

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/02/672375/temui-mutiara-rm139-juta

Arkeologi temui mumia berlidah emas

 

Sekumpulan ahli arkeologi Mesir-Dominika yang menjalankan misi cari gali di Alexandria menemui mumia berusia sekitar 2,000 tahun lalu dengan lidah keemasan, baru-baru ini.


Penemuan mumia itu disahkan oleh pihak berkuasa Mesir kepada AFP, Rabu lalu.


"Misi itu menemui 16 kuburan di kuil Taposiris Magna yang terletak di sebelah barat Alexandria dekat utara Mesir," demikian kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Antikuiti Mesir berhubung penemuan itu.



Menerusi kenyataan sama, kementerian itu memaklumkan teknik pengebumian digunakan secara meluas pada zaman Yunani dan Rom.


"Terdapat beberapa mumia dalam kubur berkenaan yang tidak terpelihara dengan baik tetapi mempunyai saduran emas pada bahagian lidahnya.


"Emas diletakkan di mulut si mati kerana dipercayai supaya mereka dapat bercakap pada 'hari kebangkitan' nanti," katanya.


Sementara itu, ketua misi cari gali, Kathleen Martinez berkata, dua daripada mumia ditemui menarik perhatian kumpulan penyelidik.


"Salah satunya mempunyai pembalut dan bahagian kadbod bersama lapisan kain linen yang dilekatkan, disadur dan dicat pada keseluruhan badan mumia selain dihiasi dengan dengan patung Osiris, dewa kematian Mesir.


"Satu lagi mumia memiliki mahkota yang dihiasi dengan tanduk dan ular tedung serta kalung bersama loket dalam bentuk kepala helang yang mewakili dewa Horus, putra Isis dan Osiris," katanya.


Sementara itu, Ketua Antikuiti Alexandria, Khaled Abu al-Hamd berkata, pasukan misi berkenaan turut menemui topeng pengebumian wanita dan mahkota emas.


dan lapan topeng marmar.


Misi itu diadakan di sebelah barat Alexandria selama beberapa tahun dalam usaha mencari makam legenda, permaisuri Ptolemaic Cleopatra, meskipun terdapat keraguan dalam kalangan kalangan arkeologi mengenai kemungkinan kewujudannya di kawasan itu.


Kerajaan purba Ptolemaic berasal dari Yunani dan memerintah Mesir antara 323 dan 30 sebelum Masihi sebelum Rom mengambil alih pemerintahan dengan Cleopatra menjadi pemerintah terakhirnya. Agensi


Mumia berlidah keemasan

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/afrika/2021/02/671444/mumia-berlidah-keemasan

kitar hidup seekor burung bermula daripada telur

Subhanallah!!~
Gambar² di bawah memaparkan proses kejadian seekor burung kakak tua bermula daripada sebiji telur sehingga menjadi seekor burung yang cantik.

American Airlines jangka akan buang 13,000 pekerja

 

American Airlines Group Inc memberi amaran kepada 13,000 kakitangan bahawa mereka mungkin akan diberhentikan, kebanyakannya buat kali kedua dalam tempoh enam bulan.


Syarikat penerbangan itu berkata, perjalanan musim panas yang amat diharap akan meningkatkan perjalanan udara tidak menjadi kenyataan.



Ia diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Doug Parker dan Presiden, Robert Isom dalam satu e-mel kepada pekerja.


Amaran itu dikeluarkan kurang seminggu selepas United Airlines Holdings Inc memberitahu 14,000 kakitangan bahawa jaminan pekerjaan mereka berada dalam bahaya.


Risiko pembuangan pekerja ini mencerminkan tinjauan lemah permintaan bagi perjalanan di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia dan sekatan lebih ketat oleh kerahaan.


Memandangkan proses vaksinasi masih di peringkat awal, penumpang penerbangan domestik adalah kurang daripada 40 peratus paras 2019.


Perjalanan antarangbangsa hanya kira-kira 15 peratus, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pada Rabu.


"Setakat akhir 2020, kami percaya sepenuhnya terhadap jadual musim panas di mana kita akan menerbangkan semua pesawat syarikat dan memerlukan kekuatan pasukan sepenuhnya," kata Parker dan Isom.


"Malangnya, ia tidak lagi berlaku. Vaksin tidak diedarkan sepantas yang kami yakini, malah sekatan baharu ke atas atas perjalanan antarabangsa yang memerlukan penumpang diuji negatif COVID-19 telah menjejaskan permintaan."


Lima minggu pertama tahun ini, mereka berkata 'situasinya sama dengan hampir seluruh 2020'.


Saham American Airlines susut 1.7 peratus kepada AS$17.30 selepas dagangan di New York ditutup.


Saham syarikat itu menjunam 35 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu, kemerosotan kedua terbesar indeks Standard & Poor's dalam kalangan sembilan syarikat penerbangan AS.


-Bloomberg


American Airlines dijangka buang 13,000 pekerja

Pautan : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/02/782809/american-airlines-dijangka-buang-13000-pekerja

Arkeologi temui cebisan kain zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman

 

Arkeologi di Israel mendakwa menemui cebisan kain yang diwarnai dengan pewarna ungu dikatakan berasal dari zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman di selatan negara itu.


"Mereka terkejut ketika menemui sisa kain tenunan, rumbai dan serat daripada benang 'wool' berwarna ungu diraja," menurut Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, Universiti Tel Aviv dan Universiti Bar Ilan.



Penemuan itu dibuat ketika ahli arkeologi itu memeriksa tekstil berwarna dari Lembah Timna, sebuah daerah pengeluaran tembaga purba, menurut mereka dalam satu kenyataan bersama.


"Tarikh radiokarbon langsung mengesahkan bahawa penemuan itu berasal dari sekitar tahun 1,000 sebelum masihi (SM), sesuai dengan kerajaan (Nabi) Daud dan (Nabi) Sulaiman di Baitulmaqdis mengikut kitab Injil," katanya.


Beliau berkata, itu juga adalah kali pertama tekstil Zaman Besi berwarna ungu ditemui di Israel atau kawasan Levant.


Warna itu dikaitkan dengan kerabat diraja, bangsawan dan paderi dan pewarna itu "sering berharga lebih mahal daripada emas", kata , Kurator Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, Naama Sukenik.


"Sehingga penemuan baru-baru ini, kami hanya menemui sisa kulit moluska dan serpihan tembikar dengan tompok pewarna, yang membuktikan kewujudan industri tekstil dan penghasilan warna ungu pada Zaman Besi," katanya.


"Buat kali pertamanya, kami mempunyai bukti langsung kain yang dicelup itu sendiri, kekal selama kira-kira 3,000 tahun.


"Juga dipanggil sebagai ungu Tyria, bersempena sebuah kota di selatan Lubnan yang terkenal dengan penghasilannya, pigmen ini masih tinggi nilainya hingga ke hari ini.


"Pewarna ini yang dihasilkan dari spesies moluska yang terdapat di Mediterranean, lebih dari 300 kilometer dari Timna, sering disebut dalam kitab Injil dan muncul dalam pelbagai konteks Yahudi dan Kristian," menurut kenyataan itu.


Erez Ben-Yosef dari Jabatan Arkeologi Universiti Tel Aviv berkata penemuan itu akan 'merevolusikan konsep pemahaman kita terhadap masyarakat nomad pada Zaman Besi'.


"Penemuan ini mengukuhkan tanggapan kami bahawa ada golongan elit di Lembah Timna, yang membuktikan masyarakat yang berstrata," katanya. - AFP


Cebisan fabrik zaman Nabi Daud, Nabi Sulaiman ditemui

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/02/781724/cebisan-fabrik-zaman-nabi-daud-nabi-sulaiman-ditemui