Arkeologi temui mumia berlidah emas

 

Sekumpulan ahli arkeologi Mesir-Dominika yang menjalankan misi cari gali di Alexandria menemui mumia berusia sekitar 2,000 tahun lalu dengan lidah keemasan, baru-baru ini.


Penemuan mumia itu disahkan oleh pihak berkuasa Mesir kepada AFP, Rabu lalu.


"Misi itu menemui 16 kuburan di kuil Taposiris Magna yang terletak di sebelah barat Alexandria dekat utara Mesir," demikian kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Antikuiti Mesir berhubung penemuan itu.



Menerusi kenyataan sama, kementerian itu memaklumkan teknik pengebumian digunakan secara meluas pada zaman Yunani dan Rom.


"Terdapat beberapa mumia dalam kubur berkenaan yang tidak terpelihara dengan baik tetapi mempunyai saduran emas pada bahagian lidahnya.


"Emas diletakkan di mulut si mati kerana dipercayai supaya mereka dapat bercakap pada 'hari kebangkitan' nanti," katanya.


Sementara itu, ketua misi cari gali, Kathleen Martinez berkata, dua daripada mumia ditemui menarik perhatian kumpulan penyelidik.


"Salah satunya mempunyai pembalut dan bahagian kadbod bersama lapisan kain linen yang dilekatkan, disadur dan dicat pada keseluruhan badan mumia selain dihiasi dengan dengan patung Osiris, dewa kematian Mesir.


"Satu lagi mumia memiliki mahkota yang dihiasi dengan tanduk dan ular tedung serta kalung bersama loket dalam bentuk kepala helang yang mewakili dewa Horus, putra Isis dan Osiris," katanya.


Sementara itu, Ketua Antikuiti Alexandria, Khaled Abu al-Hamd berkata, pasukan misi berkenaan turut menemui topeng pengebumian wanita dan mahkota emas.


dan lapan topeng marmar.


Misi itu diadakan di sebelah barat Alexandria selama beberapa tahun dalam usaha mencari makam legenda, permaisuri Ptolemaic Cleopatra, meskipun terdapat keraguan dalam kalangan kalangan arkeologi mengenai kemungkinan kewujudannya di kawasan itu.


Kerajaan purba Ptolemaic berasal dari Yunani dan memerintah Mesir antara 323 dan 30 sebelum Masihi sebelum Rom mengambil alih pemerintahan dengan Cleopatra menjadi pemerintah terakhirnya. Agensi


Mumia berlidah keemasan

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/afrika/2021/02/671444/mumia-berlidah-keemasan

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.