Bekalan oksigen perubatan dunia meruncing disebabkan covid-19

 

Masalah bekalan oksigen untuk keperluan perubatan kini semakin meruncing susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.


Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kerjasama semalam memberi amaran bahawa sejumlah AS$1.6 bilion diperlukan bagi merungkai kecemasan global itu.


Penularan COVID-19 ternyata memberi tekanan besar terhadap sistem kesihatan seluruh dunia, terutama di negara miskin yang menyaksikan banyak hospital berdepan masalah kekurangan bekalan oksigen.



Keadaan itu sekali gus menyumbang kes kematian, selain waris pesakit di hospital pula terpaksa menampung kos lebih tinggi demi memastikan ahli keluarga mereka itu mendapat bekalan oksigen diperlukan untuk rawatan.


Akses kepada Pemacu Peralatan COVID-19 (ACT-Accelerator), iaitu usaha bersama global yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mendapatkan vaksin, diagnostik serta rawatan wabak terbabit, berkata pihaknya melancarkan Pasukan Petugas Khas Kecemasan Oksigen untuk menangani krisis semakin membimbangkan itu.


Pelbagai organisasi terbabit dalam pasukan petugas khas itu, termasuk WHO, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Dana Global, Bank Dunia dan Selamatkan Kanak-Kanak.


Ketua agensi kesihatan antarabangsa Unitaid, Philippe Duneton, menyifatkan masalah kekurangan bekalan oksigen bagi tujuan perubatan dan rawatan adalah isu kecemasan global yang memerlukan penyelesaian tuntas.


Kekangan bekalan oksigen global dilaporkan sudahpun berlaku sebelum pandemik COVID-19 melanda, kerana diperlukan untuk rawatan penyakit seperti radang paru-paru yang meragut kira-kira 2.5 juta nyawa setiap tahun.


Namun, kemunculan wabak COVID-19 menyaksikan isu berkenaan semakin genting, sekali gus mencetuskan kegusaran orang ramai.


Dianggarkan setengah juta pesakit COVID-19 di negara miskin dan berpendapatan sederhana, memerlukan 1.1 juta silinder oksigen setiap hari.


Pada masa sama, 25 negara yang kebanyakannya di Afrika, turut melaporkan lonjakan permintaan kepada bekalan itu bagi tujuan perubatan dan rawatan.


Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, berkata pandemik COVID-19 menyebabkan masalah bekalan oksigen kini menjadi isu kecemasan global.


Beliau menegaskan, usaha menangani masalah itu amat penting bagi membantu rawatan pesakit COVID-19, sekali gus boleh mengurangkan risiko kematian.


Selain itu, ia dapat memperbaiki sistem kesihatan dalam jangka panjang, termasuk untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan oksigen.


Pasukan petugas khas baharu itu menekankan, dana AS$90 juta diperlukan segera untuk menangani cabaran utama dalam penghantaran dan akses bekalan oksigen di 20 negara, termasuk Malawi, Nigeria serta Afghanistan. - AFP


Masalah bekalan oksigen untuk perubatan kian meruncing

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/02/790431/masalah-bekalan-oksigen-untuk-perubatan-kian-meruncing

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.