Kerajaan guna picagari low dead-volume elak pembaziran vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech

 

Malaysia akan menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech esok, dan untuk itu sebanyak 12 juta picagari jenis low dead-volume dijangka digunakan bagi suntikan vaksin tersebut pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


Mengapa penggunaan jenis picagari itu amat ditekankan pada program yang akan bermula 26 Februari dan apakah kepentingan serta kelebihannya berbanding picagari lain?


Pensyarah Farmasi Klinikal Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry, berkata picagari itu mempunyai saiz 'hub' (penghubung antara picagari dan jarum) yang minimum untuk mengurangkan pembaziran vaksin berbanding picagari biasa.


Katanya, ini sekali gus dapat memaksimumkan jumlah dos yang boleh dihasilkan daripada sebotol vial (bebuli) vaksin, iaitu untuk vaksin COVID-19 sebanyak enam dos suntikan dapat dihasilkan dengan penggunaan picagari berkenaan.


Menurut langkah persediaan vaksin Pfizer di laman web Centers for Disease Control and Prevention, setiap bebuli vaksin yang dilarutkan dengan 0.9 peratus sodium chloride (natrium klorida) sebanyak 1.8 mililiter (ml), akan dapat menghasilkan lima dos suntikan.


"Isipadu mati (dead volume) adalah jumlah cecair yang tertinggal di dalam picagari dan jarum selepas suntikan.


"Maka sekiranya picagari low dead-volume digunakan untuk vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech ini, ia membolehkan setiap vial vaksin menghasilkan sebanyak enam dos suntikan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.


Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang pula berkata tanpa penggunaan picagari berteknologi tinggi itu, sebanyak 0.08 ml akan terbuang untuk setiap bebuli vaksin berkenaan.


Maka katanya, memandangkan vaksin itu amat bernilai tinggi dan mahal ketika ini, penggunaan picagari tersebut amat penting bagi memastikan tidak berlaku pembaziran dan kerugian.


"Jika menggunakan picagari biasa, di penyambung antara picagari dan jarum akan ada dead space, yang mana apabila kita tekan picagari, tidak semua cecair vaksin itu akan keluar daripada picagari itu dan masuk ke badan manusia," katanya.


"Jadi kalau gunakan picagari dengan teknologi yang bagus, dead space ini akan kurang... mengikut pengalaman kami menggunakan picagari, jika low dead space, ia selamatkan 0.08 ml vaksin untuk setiap vial," katanya.


Katanya memandangkan picagari berkenaan membabitkan penggunaan teknologi tinggi, harga picagari itu juga mahal sedikit berbanding picagari biasa.


"Picagari ini biasanya digunakan untuk ubat atau vaksin yang mahal bagi memastikan tidak berlakunya pembaziran... kalau normal saline, tidak apalah gunakan picagari biasa dan hilang 0.08 ml pun tidak apa, tetapi tidak pada vaksin COVID-19," katanya.


Sementara itu, Mohd pula berkata picagari low dead-volume tersebut jarang digunakan, kecuali untuk produk ubat suntikan tertentu seperti ubat antikoagulan (pencair darah), insulin dan sebagainya.


"Itu pun kebanyakan disediakan secara praisian (prefilled) satu dos, dan dalam kebanyakan keadaan, picagari biasa akan digunakan," katanya sambil menambah terdapat dua jenis picagari low dead-volume iaitu jarum kunci boleh tanggal (luer lock) dan jarum tertanam.


Pada 17 Februari, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kerajaan mendapatkan jumlah picagari yang diperlukan bagi melaksanakan suntikan vaksin Pfzer-BioNTech.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pula dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan memerlukan 12 juta picagari jenis low dead-volume bagi membuat suntikan terhadap 20 peratus atau enam juta penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula hujung bulan ini.


Beliau berkata picagari jenis itu amat diperlukan kerana vaksin perlu disuntik dalam dos tertentu kepada setiap individu bagi memastikan keberkesanannya. – BERNAMA


Mengapa guna picagari low dead-volume untuk suntik vaksin COVID-19?

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/788272/mengapa-guna-picagari-low-dead-volume-untuk-suntik-vaksin-covid-19



Terperinci berkenaan picagari low dead dan high dead boleh baca di sini.

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.