Keutamaan vaksin Covid-19 kepada bakal Haji dari Malaysia

 

Mengambil kira pengumuman kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 terhadap seluruh bakal jemaah haji, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) berpendapat golongan berkenaan perlu diberi keutamaan dalam pemberian vaksin.


Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham turut menyeru pembabitan hospital swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi membantu bakal jemaah haji menerima suntikan vaksin tersebut lebih cepat.



"Bagi mendapatkan vaksin, kita kena daftar dan ikut giliran, jadi ini sudah pasti mengambil masa yang lama. Tak boleh potong barisan tapi sekiranya pemberian vaksin boleh dilakukan di hospital swasta, maka golongan ini boleh diberi keutamaan untuk dapatkan suntikan vaksin.


"Hospital swasta boleh membeli vaksin daripada kerajaan dan menjalankan proses vaksinasi sendiri dan secara tidak langsung dapat mempercepatkan imuniti kelompok selain menjimatkan masa dan kos kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama.


Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengumuman kerajaan Arab Saudi mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 bagi bakal jemaah haji tahun ini bertujuan memastikan kesihatan jemaah berada dalam keadaan yang terbaik serta kelancaran ibadah haji tahun ini.


Fasa 1 program imunisasi itu yang sedang berlangsung hanya membabitkan petugas barisan hadapan. Kerajaan menyatakan individu yang 'memotong barisan' untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.


Sementara itu, Razali turut merayu kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa bagi mereka yang ingin mengerjakan umrah sekali gus membantu agensi umrah yang kehilangan pendapatan sejak penularan Covid-19.


Beliau berkata, pihaknya juga memohon kerajaan membenarkan pemain industri membuat kunjungan teknikal ke Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat termasuk berkenaan garis panduan prosedur operasi standard sebelum jemaah dari negara ini dibenarkan ke Tanah Suci.


Pada November tahun lalu, kerajaan Arab Saudi memberikan kebenaran kepada umat Islam di negara ini menunaikan umrah selama 10 hari, bagaimanapun kerajaan Malaysia masih tidak membenarkannya selepas mendengar pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd Datuk Md Daud Che Ngah berpendapat pengumuman berkenaan adalah langkah yang amat wajar bagi mengekang penularan Covid-19.


Beliau berpandangan bahawa jemaah haji perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin, selewat-lewatnya menjelang Aidilfitri ini bagi memudahkan urusan perjalanan.


"Kita berharap sangat keutamaan diberikan kepada jemaah haji. Sebab kalau dilewatkan pemberian vaksin ini, sampai masa nak berlepas ke Tanah Suci, vaksin tak dapat lagi. Sudahlah kuota kita mungkin kecil saja, jadi ini peluang yang tak boleh disia-siakan," katanya.


Md Daud bagaimanapun berkata, suntikan vaksin sebolehnya perlu dibuat di hospital kerajaan sekali gus pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan untuk menentukan tahap kesihatan bakal jemaah haji secara lebih terperinci.


Mohon bakal jemaah haji diberi keutamaan vaksin Covid-19

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/680548/mohon-bakal-jemaah-haji-diberi-keutamaan-vaksin-covid-19

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.