Projek penambahbaikan dan naiktaraf Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dijangka bermula Julai 2021

 

Projek penambahbaikan dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Kem Terendak, Melaka kini di peringkat penilaian teknikal tender dan dijangka akan bermula pada penghujung Julai ini.


Ia dimaklumkan ketika lawatan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di kem berkenaan dengan tumpuan lawatan di 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Terendak dan ketumbukan pasukan 10 Briged Para (10 Bgd Para).



Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu bertujuan mendapatkan perkembangan terkini rancangan kerja naik taraf bakal dilaksanakan di hospital berkenaan.


"Sepanjang lawatan di hospital itu, beliau ditaklimatkan oleh Pegawai Memerintah 94 HAT, Brigedier Jeneral Dr Mohamed Hatta Manis diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan.


"Panglima Angkatan Tentera diberi taklimat khusus berkenaan kerja naik taraf kemudahan di hospital berkenaan meliputi kerja naik taraf keseluruhan Dewan Bedah, kerja naik taraf keseluruhan Wad ICU dan kerja naik taraf keseluruhan Jabatan Kecemasan.


"Selain itu, turut ditaklimatkan adalah kerja naik taraf keseluruhan Jabatan Bekalan Steril (CSSD), kerja penambahbaikan bumbung bangunan utama hospital, kerja naik taraf sistem bekalan air yang melibatkan pembinaan menara tangki air," katanya.


Menurutnya, lawatan itu turut memberi penerangan berhubung kerja naik taraf sistem lif utama pesakit iaitu penggantian lif penumpang, lif sisa klinikal dan lif ICU serta naik taraf sistem bekalan elektrik utama kompleks hospital melibatkan pembinaan pencawang elektrik baharu serta penggantian sistem janakuasa siap sedia.


Katanya, turut ditaklimatkan adalah kerja naik taraf sistem melawan kebakaran di blok pembedahan, ICU, Dewan Bedah dan Jabatan Bekalan Steril dan kerja naik taraf sistem bekalan gas perubatan.


"Semua kerja penambahbaikan dan naik taraf ini berdasarkan peruntukan RM40 juta untuk proses menaik taraf dan menyelenggara hospital berkenaan yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan pada 28 November lalu.


"Peruntukan itu bagi menampung keperluan semasa hospital berkenaan dalam menyediakan kemudahan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan komuniti setempat yang memerlukan," katanya.


Dalam pada itu, Affendi turut mengadakan lawatan di 10 Briged Para bagi melihat keupayaan atur gerak pasukan berkenaan sebagai salah satu elemen dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).


Beliau kemudian dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.


"Penganugerahan beret dan sayap yang menjadi kebanggaan 10 Briged Para ini adalah penghormatan dan pengiktirafan briged berkenaan kepada individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada di dalam atau luar negara," katanya.


Hospital Angkatan Tentera dinaik taraf bermula Julai ini

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/689374/hospital-angkatan-tentera-dinaik-taraf-bermula-julai-ini

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.