Amerika Syarikat digesa ketepi peraturan harta intelek vaksin Covid-19

 

Kira-kira 170 bekas pemimpin negara dan pemenang hadiah Nobel meminta Amerika Syarikat (AS) mengetepikan peraturan harta intelek untuk vaksin COVID-19 bagi memberi negara miskin akses lebih cepat kepada inokulasi.


Menerusi surat terbuka kepada Presiden AS, Joe Biden, yang diterbitkan semalam, kumpulan itu menyatakan mereka sangat prihatin dengan kemajuan yang amat perlahan bagi meningkatkan akses dan inokulasi vaksin global di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.



Biarpun pelancaran vaksinasi di AS dan banyak negara kaya memberi harapan kepada warganegaranya - "bagi sebahagian besar dunia harapan yang sama belum dapat dilihat," kata mereka yang menandatangani surat terbabit termasuk pemenang Nobel Muhammad Yunus, Joseph Stiglitz dan Mohamed ElBaradei serta bekas pemimpin dunia seperti Mikhail Gorbachev, Francois Hollande dan Gordon Brown.


Kumpulan itu menyatakan supaya pentadbiran Biden mempertimbang mengenepikan sementara peraturan harta intelektual Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ketika pandemik COVID-19, seperti diusulkan Afrika Selatan dan India.


Langkah mengenepikan peraturan itu akan menjadi langkah penting dan perlu untuk mengakhiri pandemik berkenaan terutama bagi memperluas kapasiti pembuatan global, tidak terganggu oleh monopoli industri yang mendorong kekurangan bekalan, sekali gus menyekat akses vaksin.


Perlindungan penuh harta intelek dan monopoli akan memberi kesan negatif terhadap usaha memvaksinasi dunia.


Surat itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam kekurangan bekalan dos COVID-19 bagi negara miskin.


"Masih ada ketidakseimbangan mengejutkan dalam pengedaran vaksin global," kata Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, Jumaat lalu.


Pada masa itu, lebih 732 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan di sekitar 195 wilayah di seluruh dunia, menurut laporan AFP.


Sebanyak 49 peratus dos suntikan sudah diberikan di negara berpendapatan tinggi yang menyumbang 16 peratus dari populasi global. - AFP


AS digesa ketepikan peraturan harta intelek vaksin

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/04/807294/digesa-ketepikan-peraturan-harta-intelek-vaksin

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.