Amerika Syarikat syor tangguh suntikan vaksin Johnson & Johnson bimbang kesan sampingan darah beku

 

Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) semalam mengesyorkan pemberian suntikan vaksin Johnson & Johnson (J&J) ditangguhkan sementara susulan kebimbangan akan kesan darah beku.


Dalam pada itu, syarikat farmaseutikal berkenaan turut mengumumkan bahawa pihaknya akan menangguhkan pengedaran bekalan vaksin terbabit ke negara Eropah, sekali gus bakal merencatkan kempen imunisasi global bagi memerangi pandemik COVID-19.



Pihak berkuasa memaklumkan daripada hampir tujuh juta rakyat AS yang menerima suntikan vaksin dos tunggal itu, setakat ini, enam wanita berusia antara 18 hingga 48 tahun mengalami jenis darah beku jarang berlaku di otak, selain kandungan platelet rendah.


Seorang daripada mereka kemudian dilaporkan meninggal dunia, manakala seorang lagi sedang berada dalam keadaan kritikal.


Saintis Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), Peter Marks, berkata kesan sampingan sedemikian berkemungkinan dicetuskan oleh tindak balas sistem pertahanan badan yang jarang berlaku terhadap suntikan vaksin berkenaan, sebagaimana dialami beberapa ratus penerima suntikan vaksin AstraZeneca di Eropah.


Kedua-dua vaksin terbabit dihasilkan melalui teknologi vektor adenovirus.


"Kami sudah membuat keputusan untuk bertindak proaktif dengan menangguhkan pengedaran vaksin kami di Eropah," menurut J&J.


Perkembangan itu sekali gus bakal memberi tamparan hebat kepada benua berkenaan yang telah melepasi angka sejuta kematian akibat COVID-19.


Sebelum ini, Kesatuan Eropah memeterai perjanjian untuk memperoleh bekalan 200 juta dos vaksin J&J dan sedang meneliti keperluan untuk menambah jumlah sama pada masa akan datang.


Pihak berkuasa AS kini menjalankan siasatan yang berkemungkinan bakal menyaksikan keperluan untuk membuat keputusan kawal selia yang amat sukar, termasuk melarang pemberian suntikan J&J kepada golongan lebih berusia.


Individu menerima suntikan vaksin J&J dalam tempoh tiga minggu lalu, sudah diminta melaporkan kepada doktor jika mengalami kesan sampingan seperti sakit kepala, sakit perut, sakit kaki atau kesukaran bernafas.


Bagaimanapun, Rumah Putih menyuarakan keyakinan bahawa pelan imunisasi AS tidak akan berdepan 'kesan signifikan', berikutan hampir separuh daripada seluruh golongan dewasa di negara itu sudah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.


Dalam pada itu, Pfizer memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar bekalan 300 juta dos vaksin menjelang pertengahan Julai depan, iaitu dua minggu lebih awal daripada jadual sebenar.


Moderna pula dilaporkan berkata, pihaknya mampu menepati jadual penghantaran bekalan 300 juta dos menjelang penghujung Julai depan.


Sementara itu, Afrika Selatan menyusuli langkah AS dengan menggantung sementara pemberian suntikan vaksin J&J, meskipun negara berkenaan hanya menggunakan vaksin terbabit dalam kempen imunisasinya, setakat ini.


Bagaimanapun, Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) memaklumkan, pihaknya masih meneruskan siasatan tersendiri berhubung perkara itu.


Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pula memberitahu pemberita bahawa negara itu masih menunggu penghantaran pertama bekalan vaksin berkenaan menjelang akhir bulan ini. - AFP


AS tangguh sementara suntikan vaksin J&J

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/04/806718/tangguh-sementara-suntikan-vaksin-jj

2 comments:

Thanks for your comment.