Artifak Zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui di Pulau Melaka

 

Sebanyak 30 kepingan kayu dipercayai serpihan rangka atau struktur kapal yang karam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir di sini.


Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, serpihan struktur kapal daripada kayu merbau itu, dipercayai milik sebuah kapal perdagangan buatan tempatan yang digunakan untuk aktiviti perdagangan.



Beliau berkata, antara yang turut ditemui di tapak berkenaan ialah ratusan kepingan mata wang dipercayai digunakan pemerintahan Sultan Mahmud antara tahun 1488 hingga 1511, di samping pecahan atau taburan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming dan Qing, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.


"Kesemua penemuan itu ditemui menerusi kerja-kerja ekskavasi penyelamatan artifak, yang dilaksanakan Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), di Pulau Melaka bermula 25 Mac lalu.


"Justeru, kerajaan negeri menerusi Perzim akan mengambil langkah segera, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi kepada pencarian artifak atau khazanah negara dan negeri di Pulau Melaka dijalankan, agar harta itu dapat dilindungi," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pulau Melaka di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perzim Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Timbalan Pesuruhjaya Warisan JWN Mohamad Muda Bahadin, Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman, Ketua Penyelidik Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Rozairy Arbi.


Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang memberikan peruntukan kecemasan, bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan dapat diteruskan dengan lebih lancar, kerana dipercayai lebih banyak artifak atau penemuan bakal ditemui.


Katanya, peralatan khas seperti 'ground-penetrating radar' (GPR) digunakan bagi mengesan rangka atau serpihan lain artifak dan rangka kapal, yang mungkin masih berada di bawah tambakan pasir di kawasan itu ekoran perubahan paras air dan kerja-kerja penambakan laut di Pulau Melaka sejak 2015.


Muhammad Jailani berkata, kerja-kerja menganalisa artifak yang ditemui turut dijalankan bagi membuktikan kaitannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, dan aktiviti perdagangan pada zaman berkenaan.


Beliau berkata semua penemuan berkenaan akan dipamerkan di Kompleks Pelancongan Samudera Perzim untuk tatapan rakyat.

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.