Hasil kajian ubat nyamuk lingkaran sangat berbahaya kepada kesihatan

 

Sekeping ubat nyamuk lingkaran mampu melepaskan partikel halus PM2.5 yang bersamaan dengan membakar 75 hingga 137 batang rokok.


Demikian dapatan kajian betapa bahayanya penggunaan ubat nyamuk lingkaran kepada kesihatan.


Bagaimanapun, berdasarkan data hasil kajian terkini penggunaan ubat nyamuk lingkaran, sekitar 7.1 peratus dalam kalangan komuniti bandar Kuala Lumpur dan 10.8 peratus di kawasan pinggir bandar seperti Hulu Langat masih menggunakan ubat nyamuk lingkaran.



Manakala di kawasan pantai timur, ia merekodkan sekitar 17.6 peratus dalam komuniti pinggir bandar dan 23.2 peratus bagi luar bandar yang masih menggunakan bahan ini sebagai kaedah untuk kawalan nyamuk di rumah.


Profesor di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Juliana Jalaludin antara yang aktif mengkaji kesan penggunaan ubat nyamuk lingkaran dalam kalangan komuniti di Malaysia terutamanya membabitkan kanak-kanak sejak 2001.


"Hasil kajian mendapati penggunaan ubat nyamuk lingkaran selama tiga malam berterusan boleh meningkatkan risiko asma dan kesesakan nafas.


"Manakala kajian dalam komuniti Hulu Langat, Selangor pula mendapati pendedahan selama seminggu meningkatkan risiko kahak kronik serta penggunaan yang berterusan pula boleh menyebabkan kejejasan fungsi paru-paru obstruktif dan restriktif dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun.


"Penemuan hasil kajian terkini dalam kalangan komuniti kanak-kanak di pinggir bandar Malaysia pula mendapati ada hubungan yang signifikan antara pendedahan asap ubat nyamuk secara berterusan dengan kerosakan DNA," katanya.


Timbalan Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) itu berkata, antara pencemar yang boleh dihasilkan daripada proses pembakaran termasuk formaldehid, acrolein, partikel ultra-halus dan polisiklik aromatik hidrokarbon (PAH).


"Kajian juga mengenal pasti sebilangan besar sebatian organik yang mudah meruap dihasilkan, ia termasuk yang bersifat karsinogenik dan disyaki karsinogenik di dalam asap ubat nyamuk lingkaran.


"Penemuan daripada kajian ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada asap ubat nyamuk lingkaran yang diuji dapat menimbulkan risiko kesihatan akut dan kronik yang ketara seperti asma, bronkitis dan juga barah dalam jangka masa panjang," katanya.


Beliau berkata, kajian penilaian kadar pelepasan pencemar mendapati kepekatan pencemar kesan daripada pembakaran ubat nyamuk jauh melebihi standard kesihatan atau garis panduan kualiti udara yang ditetapkan.


Ditanya berkaitan ubat nyamuk lingkaran tidak berdaftar yang mudah diperoleh secara dalam talian, Juliana berpandangan, ia jauh lebih bahaya kerana tidak diketahui kandungan bahan yang digunakan.


"Produk ini berada di bawah kawalan Lembaga Racun Makhluk Perosak dan perlu penguatkuasaan serta pemantauan.


"Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat yang jelas dan tepat kesan penggunaan produk yang mengandungi bahan Class 1A Carcinogen ini.


"Ia berpotensi menyebabkan kesan akut dan kronik dalam penggunaan jangka masa panjang khususnya membabitkan kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap imun sistem yang rendah," katanya.


Justeru, berdasarkan penilaian risiko dan implikasi jangka panjang terhadap kesihatan, beliau melihat amalan penggunaan ubat nyamuk lingkaran ini patut dihentikan.


"Komuniti sewajarnya menukarkannya kepada produk yang lebih mesra alam dan kurang berisiko terhadap kesihatan.


"Paling penting adalah kawalan dengan menguruskan persekitaran rumah dengan baik bagi menghalang tempat pembiakan nyamuk dan semua haiwan perosak," katanya.

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.