Hong Kong tunda penghantaran vaksin AstraZeneca

 

Hong Kong semalam mengesahkan ia memohon kepada AstraZeneca untuk menangguhkan penghantaran vaksin AstraZeneca berikutan kebimbangan mengenai kesan sampingan dan keberkesanannya terhadap varian baru coronavirus.


Pengawal selia ubat-ubatan Eropah (EMA) minggu ini berkata, vaksin AstraZeneca boleh menyebabkan pembekuan darah yang sangat jarang terjadi pada beberapa penerima, sekali gus mendorong beberapa negara menghentikan pemberiannya kepada orang dalam kelompok usia tertentu.



Sebaliknya Britain enggan terpengaruh dengan situasi itu dan menyatakan bahawa kesan sampingan yang berpotensi itu sangat jarang berlaku dan risiko jatuh sakit teruk akibat COVID-19 jauh lebih besar.


Semalam, Ketua Kesihatan Hong Kong, Sophia Chan, berkata bandar itu telah meminta AstraZeneca untuk tidak menghantar vaksin seperti yang dirancang akhir tahun ini.


"Kami rasa tidak perlu bagi AstraZeneca untuk menghantar vaksin kepada kami dalam tahun ini," katanya sambil menambah, Hong Kong ingin mengelakkan sebarang pembaziran berikutan kekurangan bekalan vaksin di seluruh dunia.


Hong Kong yang kaya telah memperoleh bekalan vaksin yang baik untuk 7.5 juta penduduknya dengan menandatangani perjanjian dengan BioNTech/Pfizer dan Sinovac China, yang sudah memulakan penghantarannya.


Chan berkata, Hong Kong juga ingin melihat vaksin lain yang mungkin mempunyai hasil lebih kuat terhadap rantaian coronavirus baharu.


Awal minggu ini Pakar Kesihatan Awam terkemuka dan penasihat kerajaan, David Hui, meminta Hong Kong untuk menggantikan AstraZeneca dengan vaksin dos tunggal baharu yang dihasilkan oleh Johnson dan Johnson.


Hong Kong dengan kepadatan penduduk yang tinggi, antara yang terawal dijangkiti coronavirus, tetapi peraturan penjarakan fizikal yang ketat dan pemakaian pelitup muka membantu mengelak jangkitan apabila hanya mencatatkan lebih 11,000 kes dengan 205 kematian.


Meskipun persediaan vaksinnya stabil, program vaksinasinya perlahan berikutan ketidakpercayaan terhadap kerajaan apabila Beijing membanteras penyokong demokrasi.


Sehingga kini, hanya 529,000 orang yang mendapat dos pertama dan keyakinan masyarakat juga terhalang oleh pesanan kerajaan.


Sinovac China mendapat kelulusan pantas walaupun tidak menerbitkan data percubaan klinikalnya dalam jurnal yang dikaji oleh penyelidik lain.


Pentadbiran vaksin BioNTech juga ditangguhkan sebentar selepas beberapa botol didapati rosak walaupun pihak berkuasa menyatakan bahawa mana-mana botol yang rosak dibuang sebelum digunakan dalam vaksinasi. - AFP


Hong Kong gantung tempahan vaksin AstraZeneca

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/04/805680/hong-kong-gantung-tempahan-vaksin-astrazeneca

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.