Melaka jadi lubuk pemburu artifak

 

Bukan hanya terkenal sebagai negeri pelancongan dengan pelbagai tinggalan binaan bersejarah malah Melaka semakin digilai golongan pemburu artifak serta kumpulan pemburu harta karun tinggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka.


Difahamkan sekeping pinggan seramik yang ditemui golongan ini mampu dijual di pasaran gelap mencecah sehingga RM15,000.


Golongan ini yang bergerak secara berkumpulan atau solo akan menjadikan lokasi di pulau terpencil serta pesisir Sungai Melaka untuk mencari tinggalan perkakas, siling emas atau artifak sama ada untuk koleksi peribadi atau untuk dijual kepada pengumpul barangan antik.


Hanya segelintir sahaja dikesan jujur dan bertindak menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab.


Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Nurman Mohd Baroldin berkata, kumpulan ini dikatakan menggunakan peralatan metal detector (pengesan logam) sensitif untuk mencari artifak bernilai ini.


"Saya percaya ada penemuan (artifak) dalam kalangan mereka. Sebelum wujudnya kumpulan ini, pernah terdapat individu yang kerjanya menyelam untuk mencari tinggalan sejarah ini di Sungai Melaka.


"Adakalanya kita dapat maklumat berlaku penemuan artifak tertentu. Tetapi apabila ditanya, mereka menafikannya selain ada juga yang turut merahsiakan lokasi penemuan," katanya.


Beliau berkata, pihaknya turut mendapat maklumat terdapat individu yang bertindak menjual artifak ditemui seperti seramik di pasaran gelap negara jiran.


"Selain permintaan tinggi, nilai harga ditawarkan juga lumayan. Maklumat diterima, sekeping pinggan seramik lama ditemui boleh dijual mencecah sehingga RM15,000.


"Bila disimpan atau dijual, sudah pasti kajian tidak dapat dijalankan. Sekiranya penemuan itu disimpan di dalam muzium, masyarakat dan generasi akan datang lebih menghargainya dan mengetahui susur galur sejarah ketamadunan dan kegemilangan Melaka sebelum ini," katanya.


Menurut beliau, terdapat juga orang awam dan penduduk setempat yang menemui artifak bersejarah ini namun segelintirnya mengambil sikap mendiamkan diri serta tidak melaporkan kepada PERZIM mahupun Jabatan Warisan Negara (JWN).


"Mungkin mereka bimbang artifak dijumpai itu akan dirampas. Sebenarnya kami hanya ingin mendapatkan maklumat berhubung barangan yang ditemui sama ada peninggalan sejarah atau koleksi belum terdapat dalam simpanan kami.


Lubuk pemburu artifak

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/04/698852/lubuk-pemburu-artifak

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.