Pelaksanaan PKPB seluruh kampus UMS sehingga 18 April 2021

 Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diumumkan semalam diperluaskan ke seluruh kampus universiti itu bermula hari ini.


Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata langkah itu diambil berdasarkan penilaian semasa risiko penularan COVID-19 di lokaliti berkenaan yang dilakukan pihak berkuasa.



Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) setuju PKPD dikuatkuasakan di kampus UMS Kota Kinabalu selama dua minggu, hingga 18 April ini.


"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu sudah mengatur gerak dan menyelaraskan keperluan kawalan pergerakan keluar masuk di lokaliti berkenaan," katanya dalam kenyataan, malam ini.


Berikutan pelaksanaan PKPD di seluruh kampus UMS Kota Kinabalu itu, pelajar dan kakitangan universiti dilarang keluar dari kediaman masing-masing kecuali ada keperluan penting dengan kebenaran pihak polis.


Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD itu turut ditutup manakala polis bertanggungjawab melaksanakan kawalan di kawasan jangkitan dengan kerjasama agensi lain.


Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di tiga Kolej Kediaman UMS iaitu Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.


Sementara itu, Sabah hari ini merekodkan 65 kes baharu COVID-19 dengan dua kematian di Tawau, manakala 61 pesakit dilaporkan sembuh.


PKPD seluruh kampus UMS Kota Kinabalu

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/803859/pkpd-seluruh-kampus-ums-kota-kinabalu

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.