16 Mei 2021

KKM saran tidak ambil Ivermectin untuk rawat dan cegah Covid-19

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil produk Ivermectin untuk tujuan rawatan dan pencegahan Covid-19.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hal ini berikutan tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan dan pencegahan Covid-19.



Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan bahawa setakat ini tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.


"Untuk makluman, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan ataupun sebagai pencegahan Covid-19.


"Perkara ini dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent Covid-19 bertarikh 3 Mei 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, selain itu, European Medicines Agency (EMA) juga mengambil pendekatan yang sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk itu dalam merawat atau mencegah Covid-19 sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of Covid-19 Outside Randomised Clinical Trials pada 22 Mac 2021.


"Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian/percubaan klinikal sahaja berdasarkan penjelasan dalam artikel yang bertajuk WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat Covid-19 Within Clinical Trials pada 31 Mac lalu.


"Oleh itu, memandangkan penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Malaysia, KKM tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal sahaja di Malaysia," katanya.


Beliau berkata, KKM sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam mengharungi pandemik Covid-19 dengan memberikan perhatian penuh kepada rawatan dan pencegahan Covid-19 yang diluluskan untuk kegunaan rakyat di negara ini.


"Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah yang paling efektif pada masa ini untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di Malaysia," katanya.


KKM nasihatkan orang ramai usah ambil Ivermectin bagi rawatan Covid-19

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/706604/kkm-nasihatkan-orang-ramai-usah-ambil-ivermectin-bagi-rawatan-covid-19

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks for your comment.