Permohonan 260000 slot janji temu vaksin AstraZeneca penuh selepas 3 jam setengah dibuka

 Permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca ditutup kira-kira jam 3.20 petang tadi selepas semua tarikh janji temu ditempah.


Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara itu berkata, individu yang layak bagaimanapun masih boleh membuat tempahan janji temu menerusi senarai menunggu.



Katanya, tempahan slot senarai menunggu akan dibuka untuk tempoh beberapa jam, sebelum keseluruhan sistem pendaftaran menerusi vaksincovid.gov.my ditutup.


"Semua slot (janji temu bagi mendapatkan suntikan) AstraZeneca sudah ditempah.


"Maaf kerana berlaku beberapa kepincangan di peringkat awal dan ada yang terpaksa mengemaskini proses berulang kali.


"Kita akan mula memaklumkan pengesahan tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera atau secara khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya menerusi akaun Twitter, @Khairykj, hari ini.


Sistem permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca sesak sejak mula dibuka kepada orang ramai pada jam 12 tengah hari tadi.


Antara isu disuarakan pemohon ialah kesukaran mendapatkan slot janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas tertentu yang dipercayai paling dekat dengan tempat kediaman masing-masing.


Malah, ada yang mengeluh terpaksa menunggu hampir sejam sebelum dapat menembusi sistem permohonan dan disahkan sebagai bakal penerima suntikan pelalian dari United Kingdom itu.


Permohonan mendapatkan 260,000 janji temu suntikan vaksin AstraZeneca dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur.


Vaksin AstraZeneca 'laris'

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/812997/vaksin-astrazeneca-laris

0 comments:

Catat Komen

Thanks for your comment.