26 Mei 2021

Sindiket jual vaksin Covid-19 secara haram tumpas

 

Polis Indonesia menumpaskan sindiket penjualan haram vaksin Covid-19 bernilai 271,250,000 rupiah (RM78,179) dengan penahanan empat suspek.


Kegiatan haram itu didalangi dua doktor dan seorang pegawai perubatan kerajaan serta seorang ejen hartanah di Medan.



Ketua Polis Sumatera Utara, RZ Panca Putra Simanjuntak berkata, vaksin itu sepatutnya digunakan untuk program vaksinasi untuk pegawai dan tahanan awam di Pusat Tahanan Tanjung Gusta, Medan.


Namun, katanya vaksin itu diseleweng untuk kegiatan jual beli haram.


"Vaksin itu diberikan kepada masyarakat dengan setiap orang perlu membayar 250,000 rupiah (RM72) dan diberikan sijil.


"Mangsa dikumpulkan seorang suspek iaitu ejen hartanah itu yang mengetuai sindiket itu," katanya dalam portal Kompas.


Katanya, hasil kegiatan haram itu, mereka berjaya meraih keuntungan RM78,179 yang dibahagikan dua, RM68,797 untuk seorang suspek doktor RM68,797 dan bakinya RM9,381 kepada suspek utama, ejen hartanah itu.


Panca menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan pihak mengambil kesempatan kerana setiap rakyat layak mendapat vaksin secara percuma daripada kerajaan.


Polis Sumur mengesahkan, sindiket itu menyuntik 1,085 orang dalam 15 kali siri suntikan vaksinasi haram di beberapa kawasan sekitar Medan dan Jakarta sejak April lalu.


Sementara itu, seorang suspek mengaku mula terjebak dalam sindiket haram itu selepas mendapat permintaan tinggi daripada rakannya yang mahukan vaksin.


Katanya, dia mengupah dua orang suspek yang juga doktor kerajaan untuk mendapatkan bekalan vaksin dan menjalankan proses suntikan.


Indonesia memulakan program vaksinasi kepada rakyatnya sejak 13 Januari lalu dengan fasa pertama untuk petugas perubatan, sebelum fasa kedua membabitkan individu berusia 59 tahun dan ke atas pada 8 Februari


Setakat ini, negara itu merekodkan 1.76 juta kes Covid-19 dengan lebih 48,800 kematian.


Polis Indonesia tumpaskan sindiket jual vaksin secara haram

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/05/710322/polis-indonesia-tumpaskan-sindiket-jual-vaksin-secara-haram

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks for your comment.