8 Mei 2021

Vietnam lapor kematian pertama penerima vaksin AstraZeneca akibat reaksi alahan anafilaksis

 

Kementerian Kesihatan melaporkan seorang pekerja kesihatan wanita berusia 35 tahun maut selepas menerima vaksin AstraZeneca, kematian pertama dikaitkan dengan vaksin itu di Vietnam.


Wanita berasal dari wilayah Selatan An Giang itu meninggal dunia sehari selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 pertamanya, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan sambil menambah wanita berkenaan meninggal dunia akibat reaksi alahan yang dikenali sebagai anafilaksis.



"Ini adalah kes yang sangat jarang terjadi dalam pengambilan vaksin COVID-19," kata kementerian itu.


Seramai 750,000 orang di negara itu sudah divaksin sejak kerajaan memulakan kempen vaksinasi pada awal Mac, menurut kementerian terbabit. Ia membabitkan penggunaan vaksin jenis AstraZeneca.


Vietnam sebelum ini menerima pujian kerana berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 menerusi pelaksanaan ujian saringan yang pantas serta program kuarantin yang ketat dan berpusat.


Kematian yang berlaku pada Jumaat, ketika negara itu sedang menghadapi wabak berkenaan sejak awal minggu lalu, dengan penularan secara meluas berlaku di banyak bahagian negara, termasuk ibu kota Hanoi.


Kementerian melaporkan, sebanyak 47 jangkitan baharu direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,137 kes dengan 35 kematian di negara itu. - Agensi


Vietnam lapor kematian pertama dikaitkan vaksin AstraZeneca

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/05/814856/vietnam-lapor-kematian-pertama-dikaitkan-vaksin-astrazeneca

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks for your comment.