28 Ogo 2021

Bekalan vaksin Moderna ke Jepun digantung kerana penemuan bendasing dipercayai unsur logam

 

Bendasing dalam bekalan vaksin Moderna yang dihantar ke Jepun dipercayai mengandungi unsur logam, lapor media rasminya, NHK, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.


Jepun semalam menggantung penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna, lebih seminggu selepas pengedar tempatannya menerima laporan terdapat bahan cemar dalam beberapa botol.



Laporan NHK yang disiarkan semalam memetik kenyataan Kementerian Kesihatan sebagai berkata, unsur itu bertindak balas terhadap magnet, justeru disyaki sebagai logam.


Moderna menjelaskan ia sebagai 'bahan zarah' yang tidak mengundang sebarang isu berkaitan keselamatan atau keberkesanan vaksin berkenaan.


Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, identiti bahan tercemar itu masih belum disahkan setakat ini.


Berita berkenaan dijangka memberi kesan kepada sambutan terhadap program vaksinasi di Jepun yang ketika ini bergelut untuk meyakinkan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda, untuk divaksinasi.


Hari ini, lapan lagi wilayah memasuki perintah darurat, menjadikan 80 peratus penduduk di Jepun kini berada di bawah sekatan bagi menangani penularan COVID-19.


Kerajaan melaporkan 25,000 jangkitan baharu dan 2,000 kes kritikal direkodkan setakat semalam.


Kementerian Kesihatan berkata, tindakan menggantung kumpulan vaksin Moderna itu adalah sebagai langkah berwaspada, namun ia mendorong beberapa syarikat membatalkan keputusan mevaksinasi pekerja mereka.


Perkara itu turut mendapat perhatian pengawal selia ubat-ubatan di Eropah, yang melancarkan siasatan mengenainya.


Sementara itu, syarikat farmasi Sepanyol, Rovi, yang melakukan pembungkusan vaksin berkenaan bagi pasaran selain Amerika Syarikat (AS), berkata pencemaran itu mungkin disebabkan isu pembuatan di salah sebuah kilangnya dan siasatan sedang dijalankan.


Dalam pada itu, pegawai Kementerian Kesihatan berkata ia mungkin mengambil masa untuk mengesahkan berapa banyak suntikan daripada kumpulan botol tercemar itu sudah diberikan di negara itu.


Menurut agensi berita Kyodo, sekurang-kurangnya 176,000 dos suntikan sudah digunakan berdasarkan jumlah yang dilaporkan oleh perbandaran tempatan.


Setakat ini, sekitar 54 peratus penduduk Jepun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin coronavirus. - AGENSI


Bendasing dalam vaksin Moderna dipercayai unsur logam

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/856754/bendasing-dalam-vaksin-moderna-dipercayai-unsur-logam

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks for your comment.