17 Sep 2021

Cuba mohon kelulusan vaksin Covid-19 Abdala dan Soberana 02

 

Cuba semalam berkata, pihaknya akan memohon kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi dua vaksin COVID-19 dibangunkannya untuk dikomersialkan secara meluas.


Proses pemeriksaan bermula hari ini, dengan pakar WHO memeriksa suntikan vaksin Abdala dan Soberana 02, kata Rolando Perez dari kumpulan farmasi negara BioCubaFarma.



Perez berkata, pakar akan memeriksa keselamatan, kekebalan (kemampuan vaksin memprovokasi tindak balas imun) dan keberkesanan vaksin.


Wakil WHO di Cuba, Jose Moya, memberitahu AFP akan ada 'pertemuan maya pertama' antara pakar di Havana, Geneva dan Washington, hari ini.


Cuba menggunakan vaksin dihasilkannya dalam kempen inokulasi COVID-19, termasuk bagi kanak-kanak.


Vaksin julung kali dibangunkan di Amerika Latin itu belum menjalani kajian antarabangsa.


Penghasilannya menggunakan teknologi gabungan semula protein seperti digunakan Novavax keluaran Amerika Syarikat (AS) dan Sanofi, Perancis.


Tidak seperti kebanyakan pelalian lain, vaksin gabungan protein tidak memerlukan penyejukan melampau.


Perez berkata, kemampuan Cuba menjual vaksinnya ke negara lain tidak bergantung pada persetujuan WHO, kerana ia adalah keputusan pihak berkuasa kesihatan nasional.


Bagaimanapun, ia akan 'memudahkan (vaksin) masuk ke pasaran negara lain, selepas keperluan pulau itu mencukupi'.


Beberapa negara termasuk Argentina dan Mexico menunjukkan minat untuk mendapatkan vaksin Cuba, manakala Venezuela sudah menandatangani kontrak pembelian, dan Iran pula menghasilkan Soberana 02 di negaranya.


Menerusi sekatan AS sejak 1962, Cuba mempunyai tradisi lama membuat vaksin sendiri, sejak 1980-an.


Hampir 80 peratus inokulasi dihasilkan secara tempatan.


Saintis Cuba berkata, Abdala dan Soberana 02 terbukti lebih 90 peratus berkesan mencegah kes COVID-19 bergejala.


Sebanyak 38.5 peratus daripada populasi 11.2 juta negara itu lengkap divaksinasi, yang turut menggunakan Sinofarm keluaran China.


Cuba mencatakjan 786,497 kes COVID-19 membabitkan 6,523 kematian. - AFP


Cuba mohon kelulusan WHO bagi vaksin COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/09/864745/cuba-mohon-kelulusan-who-bagi-vaksin-covid-19

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks for your comment.