• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label AstraZeneca. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AstraZeneca. Papar semua catatan

8 Mei 2021

Vietnam lapor kematian pertama penerima vaksin AstraZeneca akibat reaksi alahan anafilaksis

 

Kementerian Kesihatan melaporkan seorang pekerja kesihatan wanita berusia 35 tahun maut selepas menerima vaksin AstraZeneca, kematian pertama dikaitkan dengan vaksin itu di Vietnam.


Wanita berasal dari wilayah Selatan An Giang itu meninggal dunia sehari selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 pertamanya, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan sambil menambah wanita berkenaan meninggal dunia akibat reaksi alahan yang dikenali sebagai anafilaksis.



"Ini adalah kes yang sangat jarang terjadi dalam pengambilan vaksin COVID-19," kata kementerian itu.


Seramai 750,000 orang di negara itu sudah divaksin sejak kerajaan memulakan kempen vaksinasi pada awal Mac, menurut kementerian terbabit. Ia membabitkan penggunaan vaksin jenis AstraZeneca.


Vietnam sebelum ini menerima pujian kerana berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 menerusi pelaksanaan ujian saringan yang pantas serta program kuarantin yang ketat dan berpusat.


Kematian yang berlaku pada Jumaat, ketika negara itu sedang menghadapi wabak berkenaan sejak awal minggu lalu, dengan penularan secara meluas berlaku di banyak bahagian negara, termasuk ibu kota Hanoi.


Kementerian melaporkan, sebanyak 47 jangkitan baharu direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,137 kes dengan 35 kematian di negara itu. - Agensi


Vietnam lapor kematian pertama dikaitkan vaksin AstraZeneca

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/05/814856/vietnam-lapor-kematian-pertama-dikaitkan-vaksin-astrazeneca

2 Mei 2021

Permohonan 260000 slot janji temu vaksin AstraZeneca penuh selepas 3 jam setengah dibuka

 Permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca ditutup kira-kira jam 3.20 petang tadi selepas semua tarikh janji temu ditempah.


Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara itu berkata, individu yang layak bagaimanapun masih boleh membuat tempahan janji temu menerusi senarai menunggu.



Katanya, tempahan slot senarai menunggu akan dibuka untuk tempoh beberapa jam, sebelum keseluruhan sistem pendaftaran menerusi vaksincovid.gov.my ditutup.


"Semua slot (janji temu bagi mendapatkan suntikan) AstraZeneca sudah ditempah.


"Maaf kerana berlaku beberapa kepincangan di peringkat awal dan ada yang terpaksa mengemaskini proses berulang kali.


"Kita akan mula memaklumkan pengesahan tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera atau secara khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya menerusi akaun Twitter, @Khairykj, hari ini.


Sistem permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca sesak sejak mula dibuka kepada orang ramai pada jam 12 tengah hari tadi.


Antara isu disuarakan pemohon ialah kesukaran mendapatkan slot janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas tertentu yang dipercayai paling dekat dengan tempat kediaman masing-masing.


Malah, ada yang mengeluh terpaksa menunggu hampir sejam sebelum dapat menembusi sistem permohonan dan disahkan sebagai bakal penerima suntikan pelalian dari United Kingdom itu.


Permohonan mendapatkan 260,000 janji temu suntikan vaksin AstraZeneca dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur.


Vaksin AstraZeneca 'laris'

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/812997/vaksin-astrazeneca-laris

23 Apr 2021

United Kingdom lapor 32 penerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca meninggal dunia

 

United Kingdom (UK) melaporkan 168 penerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca mengalami kesan sampingan pembekuan darah termasuk 32 yang maut akibatnya.


Menurut Agensi Kawal Selia Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA), mereka yang mengalami pembekuan darah atau 'thromboembolic event' meningkat sehingga 14 April lalu, apabila 21.2 juta orang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.



"Ia menunjukkan peningkatan sepuluh kematian berbanding tempoh sehingga 5 April dan tambahan 68 kes.


"Berdasarkan tinjauan yang kami jalankan sekarang, nasihat kami kekal bahawa manfaat vaksin ini melebihi risiko dalam kalangan majoriti penerima," katanya.


Bertindak atas nasihat badan pengawalselia itu, kerajaan UK pada bulan ini bersetuju menawarkan vaksin alternatif selain AstraZeneca kepada penerima berusia bawah 30 tahun, susulan kebimbangan mengenai pembekuan darah.


Daripada 168 kes dalam penemuan terbaru, 'cerebral venous sinus thrombosis' (CVST atau pembekuan darah dalam otak) dilaporkan dalam 77 kes dalam kalangan individu berumur purata 47 tahun.


Sebanyak 91 kes lagi, dengan purata usia 55 tahun, menghidap 'major thromboembolic event' bersama dengan 'trombositopenia' iaitu jumlah platelet rendah.


Secara keseluruhan, kata pensyarah pediatrik dari Universiti Bristol, Prof Adam Finn, seramai 93 wanita dan 75 lelaki menghidap pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.


"Saya menjangkakan jumlah sebenar kesan sampingan per juta dos vaksin akan menjadi jelas apabila laporan ini lengkap, tetapi setakat ini ia jelas bahawa simptom darah beku ini sangat jarang berlaku," katanya.


Britain merekodkan jumlah kematian tertinggi di Eropah akibat wabak pandemik COVID-19.


Sejak negara itu menjalankan program vaksinasi yang bermula dengan dos suntikan vaksin jenis AstraZeneca, kadar jangkitan dan kemasukan ke hospital termasuk kematian menunjukkan penyusutan.


Menurut data berasingan yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan, COVID-19 bukan lagi punca utama kematian pada Mac lalu.


Berdasarkan data itu, COVID-19 adalah penyebab kematian ketiga terbesar di England pada bulan lalu, jatuh kedudukan dari tempat teratas buat pertama kalinya sejak Oktober tahun lalu. - AFP


32 maut di UK selepas terima suntikan AstraZeneca

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/04/809746/32-maut-di-uk-selepas-terima-suntikan-astrazeneca

10 Apr 2021

Hong Kong tunda penghantaran vaksin AstraZeneca

 

Hong Kong semalam mengesahkan ia memohon kepada AstraZeneca untuk menangguhkan penghantaran vaksin AstraZeneca berikutan kebimbangan mengenai kesan sampingan dan keberkesanannya terhadap varian baru coronavirus.


Pengawal selia ubat-ubatan Eropah (EMA) minggu ini berkata, vaksin AstraZeneca boleh menyebabkan pembekuan darah yang sangat jarang terjadi pada beberapa penerima, sekali gus mendorong beberapa negara menghentikan pemberiannya kepada orang dalam kelompok usia tertentu.



Sebaliknya Britain enggan terpengaruh dengan situasi itu dan menyatakan bahawa kesan sampingan yang berpotensi itu sangat jarang berlaku dan risiko jatuh sakit teruk akibat COVID-19 jauh lebih besar.


Semalam, Ketua Kesihatan Hong Kong, Sophia Chan, berkata bandar itu telah meminta AstraZeneca untuk tidak menghantar vaksin seperti yang dirancang akhir tahun ini.


"Kami rasa tidak perlu bagi AstraZeneca untuk menghantar vaksin kepada kami dalam tahun ini," katanya sambil menambah, Hong Kong ingin mengelakkan sebarang pembaziran berikutan kekurangan bekalan vaksin di seluruh dunia.


Hong Kong yang kaya telah memperoleh bekalan vaksin yang baik untuk 7.5 juta penduduknya dengan menandatangani perjanjian dengan BioNTech/Pfizer dan Sinovac China, yang sudah memulakan penghantarannya.


Chan berkata, Hong Kong juga ingin melihat vaksin lain yang mungkin mempunyai hasil lebih kuat terhadap rantaian coronavirus baharu.


Awal minggu ini Pakar Kesihatan Awam terkemuka dan penasihat kerajaan, David Hui, meminta Hong Kong untuk menggantikan AstraZeneca dengan vaksin dos tunggal baharu yang dihasilkan oleh Johnson dan Johnson.


Hong Kong dengan kepadatan penduduk yang tinggi, antara yang terawal dijangkiti coronavirus, tetapi peraturan penjarakan fizikal yang ketat dan pemakaian pelitup muka membantu mengelak jangkitan apabila hanya mencatatkan lebih 11,000 kes dengan 205 kematian.


Meskipun persediaan vaksinnya stabil, program vaksinasinya perlahan berikutan ketidakpercayaan terhadap kerajaan apabila Beijing membanteras penyokong demokrasi.


Sehingga kini, hanya 529,000 orang yang mendapat dos pertama dan keyakinan masyarakat juga terhalang oleh pesanan kerajaan.


Sinovac China mendapat kelulusan pantas walaupun tidak menerbitkan data percubaan klinikalnya dalam jurnal yang dikaji oleh penyelidik lain.


Pentadbiran vaksin BioNTech juga ditangguhkan sebentar selepas beberapa botol didapati rosak walaupun pihak berkuasa menyatakan bahawa mana-mana botol yang rosak dibuang sebelum digunakan dalam vaksinasi. - AFP


Hong Kong gantung tempahan vaksin AstraZeneca

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/04/805680/hong-kong-gantung-tempahan-vaksin-astrazeneca