• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label Moderna. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Moderna. Papar semua catatan

28 Ogo 2021

Bekalan vaksin Moderna ke Jepun digantung kerana penemuan bendasing dipercayai unsur logam

 

Bendasing dalam bekalan vaksin Moderna yang dihantar ke Jepun dipercayai mengandungi unsur logam, lapor media rasminya, NHK, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.


Jepun semalam menggantung penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna, lebih seminggu selepas pengedar tempatannya menerima laporan terdapat bahan cemar dalam beberapa botol.



Laporan NHK yang disiarkan semalam memetik kenyataan Kementerian Kesihatan sebagai berkata, unsur itu bertindak balas terhadap magnet, justeru disyaki sebagai logam.


Moderna menjelaskan ia sebagai 'bahan zarah' yang tidak mengundang sebarang isu berkaitan keselamatan atau keberkesanan vaksin berkenaan.


Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, identiti bahan tercemar itu masih belum disahkan setakat ini.


Berita berkenaan dijangka memberi kesan kepada sambutan terhadap program vaksinasi di Jepun yang ketika ini bergelut untuk meyakinkan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda, untuk divaksinasi.


Hari ini, lapan lagi wilayah memasuki perintah darurat, menjadikan 80 peratus penduduk di Jepun kini berada di bawah sekatan bagi menangani penularan COVID-19.


Kerajaan melaporkan 25,000 jangkitan baharu dan 2,000 kes kritikal direkodkan setakat semalam.


Kementerian Kesihatan berkata, tindakan menggantung kumpulan vaksin Moderna itu adalah sebagai langkah berwaspada, namun ia mendorong beberapa syarikat membatalkan keputusan mevaksinasi pekerja mereka.


Perkara itu turut mendapat perhatian pengawal selia ubat-ubatan di Eropah, yang melancarkan siasatan mengenainya.


Sementara itu, syarikat farmasi Sepanyol, Rovi, yang melakukan pembungkusan vaksin berkenaan bagi pasaran selain Amerika Syarikat (AS), berkata pencemaran itu mungkin disebabkan isu pembuatan di salah sebuah kilangnya dan siasatan sedang dijalankan.


Dalam pada itu, pegawai Kementerian Kesihatan berkata ia mungkin mengambil masa untuk mengesahkan berapa banyak suntikan daripada kumpulan botol tercemar itu sudah diberikan di negara itu.


Menurut agensi berita Kyodo, sekurang-kurangnya 176,000 dos suntikan sudah digunakan berdasarkan jumlah yang dilaporkan oleh perbandaran tempatan.


Setakat ini, sekitar 54 peratus penduduk Jepun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin coronavirus. - AGENSI


Bendasing dalam vaksin Moderna dipercayai unsur logam

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/856754/bendasing-dalam-vaksin-moderna-dipercayai-unsur-logam

30 Jun 2021

India lulus penggunaan kecemasan vaksin Moderna

 India semalam meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Moderna bagi mempertingkat kadar inokulasi susulan lonjakan jangkitan dan kematian akibat COVID-19.


Negara memiliki 1.3 bilion penduduk itu dibadai penularan COVID-19 yang dahsyat pada April dan Mei lalu sehingga menghimpit sistem penjagaan kesihatannya ke ambang kegagalan.



Moderna adalah vaksin keempat diluluskan New Delhi, selepas Covishield (Oxford-AstraZeneca) dan Covaxin - yang dibangunkan syarikat farmaseutikal India, Bharat Biotech - serta Sputnik V (Russia).


Ahli badan penasihat kerajaan NITI Aayog, Vinod K Paul, memaklumkan kelulusan penggunaan kecemasan (EUA) diberikan selepas permohonan diterima daripada Moderna melalui rakan kerjasama, Cipla.


"Kelulusan itu - yang pertama kepada vaksin jenis mRNA di India - bakal membuka laluan untuk lebih banyak vaksin buatan luar diimport ke negara ini," katanya pada satu sesi taklimat Kementerian Kesihatan.


Beliau sekali gus memaklumkan, usaha juga sedang giat dilakukan bagi memperoleh vaksin Pfizer dan Johnson & Johnson.


Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, berkata kelulusan diperoleh itu adalah langkah penting dalam usaha global memerangi pandemik COVID-19.


"Kami komited untuk memastikan vaksin COVID-19 yang dihasilkan dapat dibekalkan ke seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.


Sejumlah kecil dos Sputnik V diimport ke India selepas mendapat kelulusan pada pertengahan April lalu, namun majoriti bekalan vaksin dijangka dihasilkan dalam negara, seperti Covishield dan Covaxin.


Dua bulan lalu, India memaklumkan akan mempercepat kelulusan kepada vaksin dari luar negara yang sudah diberi EUA oleh badan kawal selia utama seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).


Sebelum ini, Kerajaan India berdepan tekanan hebat daripada pelbagai pihak yang mendesak usaha inokulasi dipertingkat dengan membenarkan pengimportan vaksin buatan luar negara, seperti Pfizer dan Moderna. - AFP


India lulus penggunaan kecemasan vaksin Moderna

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/833778/india-lulus-penggunaan-kecemasan-vaksin-moderna

14 Apr 2021

Moderna umum penurunan 4.1% kadar keberkesanan vaksin Covid-19 kepada 90% lepas ujian klinikal Fasa Ketiga

 

Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna, mengumumkan bahawa vaksin COVID-19 keluarannya memiliki kadar keberkesanan 90 peratus bagi menangani sebarang bentuk jangkitan wabak itu.


Vaksin Moderna juga didapati merekodkan kadar keberkesanan 95 peratus dalam membendung jangkitan teruk.



Keputusan baharu itu diperoleh hasil ujian klinikal Fasa Ketiga membabitkan lebih 30,000 individu di seluruh AS.


Namun, angka keberkesanan utama vaksin itu dilihat sedikit merosot berbanding kadar 94.1 peratus yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England pada Disember lalu.


Angka terbaru itu dinilai berdasarkan 900 kes COVID-19 diambil kira dalam kajian setakat 9 April lalu, manakala kadar keberkesanan terdahulu membabitkan 185 kes.


Kenyataan media dikeluarkan syarikat itu tidak menyatakan sebarang perincian mengenai punca kemerosotan kadar keberkesanan vaksin Moderna.


Bagaimanapun, satu kemungkinan puncanya ialah kemunculan varian baharu COVID-19 yang dikhuatiri tidak dapat ditangani melalui pembentukan antibodi dalam kalangan penerima suntikan vaksin berkenaan.


Ketika ini, Moderna sedang merintis usaha ke arah penghasilan suntikan penggalak membabitkan dua varian khusus, malah kajian menggunakan tikus makmal menunjukkan wujud peningkatan tindak balas imun.


Hasil kajian saintifik berkenaan dimuat naik dalam talian dan kini menanti penelitian susulan pakar.


Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, berkata data praklinikal baharu berhubung calon vaksin khusus yang dibangunkan syarikat berkenaan, memberi keyakinan dari segi keupayaan membendung penularan COVID-19 membabitkan kemunculan varian baharu.


Menurut syarikat itu lagi, setakat 12 April lalu, Moderna sudah mengedarkan 132 juta dos vaksinnya ke seluruh dunia, termasuk kira-kira 117 juta dos untuk AS.


Berdasarkan prestasi semasa, Moderna menjelaskan syarikat itu berupaya menepati jadual pengeluaran kedua membabitkan 100 juta dos menjelang akhir Mei depan dan diikuti 100 juta dos lagi, dua bulan kemudian.


Ujian klinikal Moderna terhadap individu berusia 12 hingga 17 tahun kini berjalan sepenuhnya dengan 3,000 peserta dalam kalangan warga AS.


Ujian pediatrik bagi kanak-kanak berumur enam bulan hingga 11 tahun pula sedang mendaftarkan 6,750 peserta di AS dan China. - AFP


Keberkesanan vaksin Moderna turun sedikit kepada 90 peratus

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/04/806698/keberkesanan-vaksin-moderna-turun-sedikit-kepada-90-peratus