• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label Yaakub. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Yaakub. Papar semua catatan

15 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Yaakub & Yusuf ‘Alaihissalam (Bahagian 2)

14) Bagi menutup aib keluarga, Al-Aziz memutuskan untuk memasukkan nabi Yusuf ke dalam penjara - Rujuk al-Quran (12:35). Nabi Yusuf berkongsi sel penjara bersama dua orang lagi banduan. Semasa dalam penjara, nabi Yusuf tidak putus beribadah dan berdoa kepada Allah dan setiap kali waktu makan, nabi Yusuf dapat mengagak dengan tepat makanan apa yang mereka akan dapat. Dua banduan tadi dapat merasakan sesuatu yang istimewa mengenai nabi Yusuf kerana baginda seorang yang beriman dan boleh mentafsir mimpi. Suatu hari, mereka menceritakan tentang mimpi mereka. Banduan pertama telah bermimpi memerah arak dan banduan kedua telah bermimpi beberapa burung mematuk roti dari atas kepalanya. Nabi Yusuf mentafsir, banduan pertama akan dibebaskan dan banduan kedua akan dijatuhi hukuman mati - Rujuk al-Quran (12:36). Dan benar, itulah yang terjadi ke atas mereka.

15) Apabila banduan pertama dibebaskan dan dibenarkan untuk kembali berkhidmat kepada raja Mesir, nabi Yusuf meminta dia berjanji untuk memberitahu raja Mesir tentangnya. Namun syaitan telah menyebabkan dia terlupa tentang nabi Yusuf selama 7 tahun - Rujuk al-Quran (12:42).


16) Tiba suatu masa, raja Mesir telah mengalami mimpi yang sangat aneh. Tiada tukang tilik atau penasihat yang dapat mentafsir mimpinya dan raja itu semakin runsing. Tiba-tiba bekas banduan tadi teringat akan nabi Yusuf, rakannya di penjara. Dia pergi berjumpa dengan nabi Yusuf di penjara untuk meminta bantuan.

17) Bekas banduan itu berkata, raja Mesir telah bermimpi 7 ekor lembu kurus memakan 7 ekor lembu gemuk, kemudian ada 7 batang gandum hijau segar dan 7 batang gandum kering. Nabi Yusuf berkata, “Mesir akan mengalami 7 tahun yang subur dengan tanaman. Makanlah dari hasilnya dengan berjimat dan simpanlah bekalan yang banyak untuk alami kemarau.” Bekas banduan tadi pun pulang ke istana dan sampaikan tafsiran mimpi tadi kepada raja Mesir. Raja Mesir sangat gembira dan kagum dengan tafsiran tersebut dan meminta supaya nabi Yusuf dibebaskan dan dibawa ke istana.



18) Nabi Yusuf menuntut keadilan ke atas dirinya dan raja Mesir pun memanggil Zulaikha datang mengadap. Zulaikha mengaku bersalah atas dakwaan terhadap nabi Yusuf. Baginda akhirnya terbukti tidak bersalah. Raja Mesir melihat ketelusan di dalam diri nabi Yusuf dan menawarkan baginda menjadi penasihat raja. Atas kebolehan yang dimilikinya dalam pengurusan kewangan, Yusuf minta kedudukan sebagai menteri kewangan.

19) 7 tahun kemarau pun tiba. Mesir satu-satunya negara yang mempunyai simpanan makanan yang mencukupi pada masa itu. Pada waktu yang sama, 10 orang abang nabi Yusuf telah merantau ke Mesir dari Palestin untuk membeli bekalan makanan. Nabi Yusuf sangat kenal dengan wajah abangnya namun mereka tidak mengenali nabi Yusuf.

20) Mereka mahu membeli gandum tetapi mahu membeli dengan kadar lebih daripada yang sepatutnya untuk adik mereka, Binyamin. Binyamin tidak ikut bersama kerana tidak mendapat kebenaran daripada bapa mereka. Nabi Yusuf telah menghalang pembelian gandum berlebihan tanpa bukti. Baginda meminta mereka kembali bersama adiknya sebagai bukti. Hal ini kerana jauh di sudut hati baginda ingin berjumpa dengan Binyamin kerana merindui adiknya itu.


21) 10 beradik tersebut pun pulang kepada nabi Yaakub dan memujuk bapanya untuk membenarkan Binyamin mengikut mereka. Nabi Yaakub yang masih menanti kepulangan nabi Yusuf sangat takut baginda akan kehilangan Binyamin pula. Selepas pujuk memujuk, akhirnya nabi Yaakub memberi kepada Binyamin. Baginda menasihatkan anak-anaknya untuk berpecah dan memasuki Mesir dari laluan berbeza [Rujuk al-Quran (12:67)] kerana anak-anak nabi Yaakub semuanya mempunyai rupa yang tampan. Jika mereka masuk bersama-sama, bimbang akan menarik perhatian orang ramai dan perkara tidak elok akan berlaku.

22) Apabila mereka kembali ke Mesir bersama Binyamin, nabi Yusuf menyambut mereka dengan sangat baik. Nabi Yusuf menjemput mereka makan dan bermalam di istananya. Baginda menyediakan 1 bilik untuk 2 orang dan mengajak Binyamin tidur di biliknya. Apabila tinggal nabi Yusuf dan Binyamin berdua, baginda memeluk rindu adiknya dan berkata, “Aku abangmu.”

23) Nabi Yusuf merancang untuk memberi pengajaran kepada abang-abangnya. Keesokan hari, sebelum 11 beradik itu pulang ke Palestin, nabi Yusuf memasukkan mangkuk penyukat diraja ke dalam beg Binyamin. Apabila pengawal istana memeriksa beg mereka, terjumpa alat penyukat tersebut. Abang-abang mereka berkata, “Tidak mustahil Binyamin mencuri kerana abangnya dahulu pun pernah mencuri.” Nabi Yusuf masih mengawal keadaan supaya tidak diketahui baginda adalah abang Binyamin. Kemudian, baginda memutuskan untuk tidak membenarkan Binyamin pulang kerana akan dihukum mencuri. Abang-abang mereka terus merayu keoada nabi Yusuf untuk melepaskan Binyamin kerana risaukan bapa mereka yang sudah tua itu akan menjadi lebih sedih. Mereka berkata, “Hukumlah kami tetapi jangan diambil adik kami.” Abang sulung mereka menyuruh yang lain pulang terlebih dahulu kerana tidak sanngup mengecewakan bapanya buat kali kedua. Maka 9 beradik itu pun pulang ke Palestin.

24) Apabila yang lain pulang tanpa abang dan adik, mereka menceritakan kepada bapanya bahawa Binyamin telah mencuri, nabi Yaakub yang sedang bersedih itu bertambah sedih. Baginda terlalu banyak menangis sehingga matanya menjadi putih dan buta. Baginda berkata, “Kini aku kehilangan 3 orang anak.” Anak-anaknya tidak puas hati kerana bapa mereka selalu teringatkan nabi Yusuf yang telah lama hilang itu. Nabi Yaakub percaya janji Allah itu pasti. Mimpi nabi Yusuf semasa baginda kecil belum menjadi kenyataan maka baginda masih menantikan nabi Yusuf untuk melihat mimpinya menjadi kenyataan. Nabi Yaakub meminta anak-anaknya berjanji untuk mengumpulkan semula kesemua adik beradik mereka.

25) Mereka pun pergi semula ke Mesir dengan barang-barang yang ada. Mereka dan abang sulungnya berjumpa dgn nabi Yusuf dan berkata, “Wahai Al-Aziz, ambillah harta kami yang tidak seberapa ini dan pulangkan adik kami.” Nabi Yusuf pun berkata, “Sekarang kamu merayu padaku? Kamu semua ingat apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya suatu ketika dahulu? Kamu telah memisahkan mereka.” Abang-abangnya terkejut dan bertanya, “Adakah kamu Yusuf?” Mereka melihat nabi Yusuf telah menjadi orang yang sangat berjaya, sebagai pembesar negara! Kemudian mereka meminta maaf atas kesalahan mereka yang lalu.

26) Nabi Yusuf berkata, “Aku tidak akan menyalahkan kamu hari ini. Semoga Allah mengampuni kamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun.” - rujuk al Quran (12:92).

27) Selepas mereka menceritakan keadaan bapa mereka di rumah, nabi Yusuf berikan bajunya kepada abang-abangnya untuk disapukan ke muka bapa mereka. Kemudian baginda meminta mereka membawakan ibu bapanya ke Mesir. Mereka semua dijemput untuk tinggal bersama nabi Yusuf di Mesir.

28) Dalam perjalanan pulang ke Palestin, nabi Yaakub dapat merasakan bahawa nabi Yusuf sedang kembali kepadanya. Kaum nabi Yaakub mengatakan nabi Yaakub sangat obsesi kerana sering mengharapkan nabi Yusuf pulang. Apabila anak-anaknya pulang dan menyapukan baju nabi Yusuf ke muka nabi Yaakub, penglihatannya kembali pulih. Itulah mukjizat Allah. Kemudian mereka sekeluarga pun pergi ke Mesir semula.


29) Sampai di Mesir, nabi Yusuf menyambut keluarganya di istana. Baginda sangat gembira melihat kedua ibu bapanya yang sangat dirindui. Nabi Yusuf pada masa itu telah menjadi seorang yang berkuasa dalam negara, kaya-raya dan sangat rupawan. Baginda membawa ibu dan bapanya duduk di sebelahnya di atas takhta. Mereka semua sangat gembira. Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayah, inilah maksud mimpiku semasa aku kecil. Maha Pencipta sudah memakbulkan mimpiku!” Nabi Yusuf berdoa kepada Allah untuk mati dalam Islam dan digolongkan dalam golongan orang-orang yang benar.

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama

14 Mei 2020

Kisah 25 Rasul : Nabi Yaakub & Yusuf ‘Alaihissalam (Bahagian 1)

1) Allah menceritakan tentang kisah nabi Yaakub dan nabi Yusuf kepada nabi Muhammad dalam surah Yusuf.

2) Isteri pertama nabi Yaakub telah melahirkan 10 orang anak lelaki dan isteri keduanya melahirkan 2 lagi anak lelaki iaitu Yusuf dan Binyamin. Nabi Yaakub dikurniakan mukjizat boleh mentafsir mimpi. Satu-satunya anak yang mempunyai kebolehan mentafsir mimpi sepertinya ialah anak kesayangannya, nabi Yusuf. Nabi Yaakub tahu bahawa Yusuf akan menjadi seorang yang sangat istimewa maka dia memberi Yusuf lebih perhatian berbanding anak-anaknya yang lain.

3) Ketika Yusuf masih kecil, dia telah bermimpi matahari, bulan dan 11 bintang sujud kepadanya. Baginda bangun dan terus mencari bapanya. Dia tidak faham apakah maksud mimpi tersebut. Nabi Yaakub berpesan kepadanya, jangan menceritakan kepada abang-abangnya yang lain kerana khuatir mereka akan cemburu dan mengapa-apakan Yusuf. 10 orang abangnya memang telah lama cemburukan nabi Yusuf kerana Nabi Yaakub melebihkan nabi Yusuf - Rujuk al-Quran (12:8). Oleh kerana ketika itu Yusuf kecil lagi, baginda pun menceritakan kepada abang-abangnya tentang mimpinya. Mereka tertawakan nabi Yusuf dan pada masa yang sama semakin cemburukan nabi Yusuf. Oleh itu, mereka membuat perancangan untuk membunuh nabi Yusuf dan selepas itu bertaubat semula - Rujuk al-Quran (12:9)



4) Nabi Yaakub sentiasa mengawasi Yusuf dan tidak pernah melepaskan nabi Yusuf untuk bermain dengan abang-abangnya. Apabila abang-abangnya meminta izin untuk membawa Yusuf bermain bersama-sama, nabi Yaakub tidak mengizinkan kerana risau mereka akan leka dan serigala akan memakan nabi Yusuf. Abang-abangnya berjanji akan menjaga Yusuf kerana mereka sayangkan adik mereka itu. Nabi Yaakub pun memberi keizinan. Kemudian mereka membawa Yusuf ke suatu tempat yang jauh daripada bapa mereka.

5) Dalam perjalanan, mereka membuli dan menolak Yusuf. Sampai ke suatu tempat yang sesuai untuk membunuh adik mereka itu, salah seorang daripada mereka memberi idea untuk menghumbankan sahaja Yusuf ke dalam perigi yang berada di situ dan menutup perigi tersebut. Pasti akan ada orang yang lalu dan mengambil nabi Yusuf - Rujuk Quran (12:10). Oleh kerana mereka rasakan membunuh itu terlalu kejam, mereka pun bersetuju. Mereka membuka pakaian nabi Yusuf dan menolak baginda jatuh ke dalam perigi yang gelap itu. Kemudian mereka kotorkan baju Yusuf dengan cecair warna merah seakan darah.


6) 10 beradik itu pun pulang kepada bapa mereka sambil menangis dan berkata Yusuf sudah mati ditelan serigala. Alasannya, mereka terleka bermain dan berlari sehingga tidak sedar bahawa adik mereka telah hilang dimakan serigala. Kemudian mereka menunjukkan baju nabi Yusuf yang berlumuran darah kepada bapa mereka. Sebagai orang tua yang bijak pandai, nabi Yaakub tahu bahawa itu semua tidak benar. Jika benar serigala memakan anaknya, mengapa baju nabi Yusuf tidak berkoyak? Nabi Yaakub sangat kecewa dengan anak-anaknya dan baginda menjadi sangat sedih kerana kehilangan anak kesayangannya. Sedihnya berpanjangan sehingga berdekad lamanya.

7) Sementara itu, sekumpulan pengembara telah datang ke perigi tadi untuk mencari air. Apabila mereka menaikkan gayung, mereka mendapati bukanlah air tetapi seorang budak yang cantik rupanya. Mereka membawa budak itu dari Palestin ke Mesir dan menjualnya di pasar dengan harga yang murah.

8 ) Walaupun dijual dengan harga yang murah, dengan kuasa Allah, menteri kewangan Mesir yang bergelar Al-Aziz (org paling berkuasa selepas raja Mesir) telah ditakdirkan pergi ke pasar tersebut dan membeli nabi Yusuf untuk dijadikan hamba di istananya. Al-Aziz tidak ada anak dan apabila melihat nabi Yusuf, beliau teringin membelanya bersama isterinya di istana. Maka Yusuf membesar di istana menteri tersebut. Al-Aziz sayang dan percaya kepada nabi Yusuf seperti anaknya sendiri. Beliau telah mengajar nabi Yusuf ilmu pengurusan kewangan dan baginda diamanahkan untuk melakukan tugasan yang penting.

9) Apabila nabi Yusuf semakin dewasa, baginda menjadi seorang pemuda yang bijak, beriman dan yang paling menonjol, rupanya yang terlalu tampan. Sebuah hadis ada menceritakan nabi Muhammad telah bertemu dengan nabi Yusuf ketika Isra’ Mi’raj dan baginda menggambarkan kecantikan yang ada pada nabi Yusuf sebagai separuh kecantikan daripada seluruh dunia.


10) Satu hari, ketika Al-Aziz tiada di istana, isterinya yang cantik bernama Zulaikha telah memanggil Yusuf masuk ke sebuah bilik. Zulaikha mengunci semua pintu dan tingkap dalam bilik tersebut dan membuka pakaiannya kemudian memanggil nabi Yusuf merapatinya. Nabi Yusuf menolak dan berkata, “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya Allah sedang melihat.” - Rujuk al-Quran (12:24). Zulaikha ditenggelami hawa nafsu dan mula mengejar nabi Yusuf. Bermulalah adegan kejar-mengejar di mana Zulaikha telah mengoyakkan bahagian belakang baju nabi Yusuf. Apabila Al-Aziz pulang ke istananya, beliau terdengar bunyi bising dari dalam bilik dan hamba-hamba di istana pun mula berkumpul. Beliau membuka pintu dan terlihatlah adegan kejar mengejar itu. Zulaikha terus menutup badannya dan menuduh Yusuf telah cuba memperkosanya dan baginda patut dipenjarakan - Rujuk al-Quran (12:25).

11) Nabi Yusuf berkata, “Tidak! Dia yang cuba menggodaku!” Kemudian salah seorang ahli keluarga Al-Aziz yang juga telah menyaksikan adegan kejar-mengejar tadi berkata, “Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian hadapan, Zulaikha berkata benar. Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian belakang, Zulaikha berbohong.” Dan didapati baju nabi Yusuf koyak di bahagian belakang - Rujuk al-Quran (12:27-28). Al-Aziz kecewa dengan isterinya namun tindakan yang diambil hanyalah dengan menyuruh Zulaikha bertaubat dan meminta Yusuf untuk melupakan apa yang telah terjadi dan memintanya untuk tidak menceritakan kepada sesiapa.

12) Khabar angin mengenai Zulaikha menodai hamba istana tersebar dengan pantas. Sebagai wanita yang berstatus tinggi, Zulaikha tidak boleh membiarkan orang lain bercerita mengenai dirinya. Dia menjemput wanita di seluruh kota Mesir untuk datang ke majlis makan di istananya. Mereka dihidangkan dengan buah-buahan dan pisau buah. Apabila para tetamu telah mula memotong buah, Zulaikha memanggil nabi Yusuf untuk datang mengadap. Apabila nabi Yusuf masuk ke dewan makan, mereka semua terpegun dengan ketampanan nabi Yusuf sehingga lupa segala yang sedang berlaku dan tidak sedar bahawa mereka sedang memotong jari mereka sendiri. Kemudian mereka berkata, “Ya Tuhan! Lelaki ini bukanlah manusia, dia seorang malaikat!” - Rujuk al-Quran (12:31).


13) Zulaikha terus mentertawakan tetamunya dan berkata, “Inilah orangnya yang telah membuat kamu semua mengutukku. Sekarang lihat diri kamu sendiri! Kamu juga tertarik dengannya. Ya, aku telah menodainya dan dia telah menolak. Sekiranya dia menolak ajakan aku lagi, akanku humbannya di dalam penjara.” - Rujuk al-Quran (12:32). Tetamunya tadi pun menyuruh nabi Yusuf untuk menerima Zulaikha. Yusuf berdoa, “Ya Allah, aku lebih sanggup dipenjarakan daripada melakukan maksiat seperti yang diajak wanita ini” - Rujuk al-Quran (12:33).

Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.

Kredit : Nisa' Saujana Utama
Pautan : https://www.facebook.com/nisasaujanautama