• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

19 Jul 2021

Creme de Ia Creme Pommes Frites kentang goreng termahal di dunia berharga RM841

 

Satu hidangan kentang goreng dijual pada harga AS$200 (kira-kira RM841) di sebuah restoran sejak Jumaat lalu.


Itu harga kentang goreng termahal di dunia dijual Serendipity3 yang diiktiraf sebagai kentang goreng termahal di dunia oleh Guinness World Records.



Hidangan itu diperkenalkan sempena Hari Kentang Gitend Dunia diberi nama Creme de Ia Creme Pommes Frites.


Cef eksekutif korporat, Frederick Schoen-Kiewert, berkata, dia teruja dan tidak dalam menggambarkan kegembiraan apabila melalui pengalaman sedemikian.


"Selepas dibuka semula, kami mahu menjadikan restoran ini kembali meriah.


"Kami anggap ini masa paling sesuai untuk memperkenalkan sesuatu yang menarik untuk memeriahkan semula New York," kata Pengarah Kreatif, Joe Calerdone.


Acara pengiktirafan itu dibuat Guinness World Records, baru-baru ini.


"Hari ini saya berbangga untuk mengiktiraf rekod dunia kentang goreng termahal di dunia kepada Serendipity3," kata Kaitlin Vesper.


Schoen-Kiewert berkata, resipi berkenaan mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang dibekalkan pembekal barangan berkualiti tinggi.


"Kami harap peluang ini boleh memperkenalkan bahan yang jarang digunakan setiap hari.


"Kami menggunakan bahan berkualiti tinggi seperti buah trufel, minyak trufel, krim serta sos keju selain menggunakan kentang Chipperbeck," katanya.


Kentang itu kemudian digoreng dengan lemak angsa tulen dari barat daya Perancis.


Selepas siap digoreng, kentang itu kemudiannya akan digaul bersama garam trufel dari Guerande, Perancis.


Ia kemudian akan dihidang dengan Crete Senesi Pecorino Tartufello yang diperbuat daripada susu biri-biri daeu Volterra dan Miniato, Itali.


Kentang goreng RM841!

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/amerika-utara/2021/07/732267/kentang-goreng-rm841

14 Jul 2021

Singapura lancar ladang solar terapung terbesar di dunia seluas 45 padang bola sepak

 

Singapura hari ini melancarkan salah satu ladang solar terapung terbesar di dunia, meliputi kawasan seluas 45 padang bola sepak, sebagai sebahagian usaha negara itu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.


Projek ini adalah yang paling bercita-cita tinggi di negara ini, terdiri daripada 122,000 panel solar yang akan menghasilkan tenaga elektrik mencukupi untuk menggerakkan lima loji rawatan airnya.



Singapura adalah antara pemancar karbon dioksida per kapita terbesar di Asia dan kekurangan tanahnya menjadikan usaha untuk meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui satu cabaran buat negara itu.


Negara itu akan memasang panel di pinggir pantai dan kawasan takungan bertujuan menggandakan pengeluaran tenaga solar pada 2025.


Ladang baru ini dapat menghasilkan tenaga elektrik hingga 60 megawatt, berupaya mengurangkan pelepasan karbon yang setara dengan pelepasan gas dari 7,000 kereta di jalan raya, menurut Sembcorp Industries dan agensi air nasional, PUB.


Sembcorp membina projek itu, seluas kira-kira 45 hektar, dengan sokongan daripada agensi berkenaan.


"Tenaga solar banyak, bersih dan hijau, ia kunci mengurangkan pelepasan karbon di Singapura," kata Ketua Eksekutif PUB, Ng Joo Hee.


Singapura juga sudah membangunkan sebuah ladang solar di Selat Johor, yang memisahkan negeri pulau itu dari Malaysia.


Kerajaannya pada Februari melancarkan 'pelan hijau' yang merangkumi langkah-langkah seperti menanam pokok, mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan dan membina lebih banyak stesen pengisian untuk mendorong penggunaan kereta elektrik.


Singapura berjanji mencapai sifar pelepasan karbon sepenuhnya secepat mungkin pada separuh kedua abad ini.


Pengkritik menyatakan tujuan negara itu jauh untuk mengiringi pencapaian di negara maju yang lain dan ia masih jauh untuk mencapai cita-cita persekitarannya. - AFP


Singapura lancar ladang solar terapung terbesar di dunia

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/07/839502/singapura-lancar-ladang-solar-terapung-terbesar-di-dunia

13 Jul 2021

The Golden Boy burger termahal di dunia berharga RM25,000

 

Harga AS$6,000 (kira-kira RM25,000) untuk sebiji burger dinamakan sebagai The Golden Boy.


Itu harga yang perlu dibayar bagi mereka yang berkeinginan merasai burger termahal di dunia.



Burger berkenaan dibuat menggunakan 100 peratus daging wagyu, kaviar Beluga, ketam gergasi dan pelbagai bahan premium menjadikan harganya melambung.


Menu berkenaan dicipta Robbert Jan de Veen yang juga pemilik restoran Dutch De Daltons.


Dia kemudian melayari internet dan menemui artikel berkaitan burger termahal sebelum ini dengan harga AS$5,000 (kira-kira RM24,000) yang dibuat di sebuah restoran pada 2011.


Ia dilihat sebagai sesuatu yang menarik untuk dicuba, sebelum dia membuat keputusan untuk menawarkan burger lebih mahal daripada itu.


Burger yang dihasilkan juga hanya memfokuskan untuk dihabiskan seorang saja, berbanding jumlah yang ramai seperti sebelum ini.


Burger termahal sebelum ini dihasilkan dengan berat 350 kilogram (kg) yang mengandungi daging dan pelbagai bahan lain.


"Saya berfikir untuk menghasilkan burger termahal tapi hanya untuk dimakan seorang individu saja.


"Itu memperlihatkan burger yang dihasilkan paling mahal," katanya.


Katanya, sepanjang pandemik, operasi restorannya terhenti seketika sehingga di menjadi tertekan.


"Saya berasa tertekan dengan keadaan ini dan apa yang akan berlaku dengan industri restoran selepas ini," katanya kepada The National.


Dia kemudiannya membuat keputusan untuk mencipta burger termahal di dunia dan semua hasil jualan disumbangkan kepada pihak yang terjejas akibat pandemik berkenaan.


Selepas pelbagai cubaan dibuat, dia bagi menghasilkan resipi terbaik dengan kombinasi yang sesuai untuk membolehkan burger itu menjadi burger termahal di dunia.


Burger RM25,000!

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/07/729898/burger-rm25000

11 Jul 2021

Wanita 90 tahun positif Covid-19 varian Alpha dan Beta serentak

 

Seorang wanita berusia 90 tahun yang meninggal dunia akibat COVID-19, dikesan dijangkiti varian Alpha dan Beta serentak, kata penyelidik di Belgium hari ini, yang menyifatkan fenomena luar biasa itu kemungkinan dipandang mudah.


Wanita warga emas yang belum divaksin itu tinggal sendirian dan menerima penjagaan di rumah dimasukkan ke Hospital OLV di bandar Aalst, Belgium, selepas terjatuh dan didapati positif COVID-19 pada hari yang sama.


Tahap oksigen wanita itu pada mulanya baik, namun kemudian merosot dengan cepat dan meninggal dunia lima hari kemudian.


Ketika kakitangan perubatan menjalankan ujian mengesan kehadiran varian membimbang (VOC), mereka mendapati mangsa dijangkiti strain Alpha yang berasal dari Britain dan Beta yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan.


"Kedua-dua varian itu menular di Belgium pada masa yang sama, jadi kemungkinan wanita ini dijangkiti virus berbeza daripada dua orang yang berbeza.


"Malangnya, kami tidak tahu bagaimana dia dijangkiti," kata ahli biologi molekul, Anne Vankeerberghen dari Hospital OLV yang mengetuai penyelidikan itu.


Vankeerberghen berkata, sukar untuk mengatakan jangkitan bersama itu memainkan peranan kepada kemerosotan cepat keadaan pesakit.


Penyelidikan itu yang masih belum dihantar kepada jurnal perubatan untuk penerbitan, dibentangkan pada Kongres Eropah Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit.


Dalam satu kenyataan media, Vankeerberghen berkata, tiada 'kes lain diterbitkan' yang sama dengan jangkitan bersama itu dan menyifatkan 'fenomena itu kemungkinan dipandang mudah'.


Katanya, ini disebabkan ujian terhad yang dijalankan bagi VOC dan menggesa penggunaan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) pantas bagi mengesan mutasi varian yang diketahui. - AFP


Wanita 90 tahun dijangkiti dua varian COVID-19 serentak

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/837989/wanita-90-tahun-dijangkiti-dua-varian-covid-19-serentak

9 Jul 2021

Gaya rambut mangkuk tandas jadi trend

 

Trend menyimpan anak rambut, janggut dan bulu di sekeliling wajah, kini menjadi ikutan segelintir lelaki di United Kingdom (UK).


Daily Star melaporkan gaya itu menunjukkan lelaki terbabit memotong semua rambut kecuali pada bahagian depan dan tepi serta menyimpan jambang.



Ia menjadikan mereka kelihatan mempunyai gaya rambut lingkaran bulat.


Trend itu dikatakan tiba-tiba muncul selepas ada yang mencuba gaya berkenaan akibat bosan kerana duduk di rumah ketika sekatan pergerakan.


Ia juga kembali menjadi trend memandangkan orang ramai tidak dapat ke salun dan kedai gunting rambut.


Dalam pada itu, seorang pengkritik menyamakan gaya rambut dan jambang itu seperti mangkuk tandas.


Sementara itu, ada juga yang menyifatkan gaya itu menjadikan seseorang individu nampak seperti mahu melakukan jenayah.


"Ia buat wajah anda jadi lebih ganas daripada biasa," katanya.


Sementara yang lain mahu gaya itu dihapuskan daripada muka bumi.


"Saya tidak percaya gaya itu adalah trend terkini," katanya.


Salah seorang pengikut trend itu, Jeremy Clarkson, 61, berkata, dia tidak bercukur selama seminggu pada musim bunga yang lalu.


Ia untuk mendapatkan gaya rambut seperti itu.


Bagi sesetengah pihak, trend itu lebih teruk daripada gaya rambut Mullet yang pernah popular pada tahun 80-an.


Mullet ialah gaya rambut yang dipotong pendek di bahagian tepi dan dibiarkan sedikit panjang di belakang.


Gaya rambut itu pernah digayakan oleh ramai selebriti pada zaman berkenaan termasuk penyampai radio dan televisyen di United Kingdom, Pat Sharp.


Selain itu, gaya rambut sama dikenakan pemain bola sepak, Chris Waddle.


Gaya rambut 'mangkuk tandas'

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/728255/gaya-rambut-mangkuk-tandas


Gaya Mullet : sumber wikipedia



Pfizer-BioNTech mohon kebenaran suntikan ketiga

 

Pfizer dan BioNTech semalam mengumumkan mereka akan meminta kebenaran perundangan untuk dos ketiga vaksin COVID-19 yang mereka hasilkan.


Ia hadir selepas data awal dari ujian yang berterusan menunjukkan suntikan ketiga mendorong tahap antibodi lima hingga 10 kali lebih tinggi terhadap strain coronavirus asal dan varian Beta, yang pertama kali dijumpai di Afrika Selatan, berbanding dua dos pertama sahaja, menurut satu kenyataan.



"Syarikat berharap dapat menerbitkan data yang lebih tepat secepat mungkin dalam jurnal yang ditinjau oleh rakan pengeluar dan merancang untuk menyerahkan data terbabit kepada FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubatan), EMA (Agensi Ubatan Eropah) dan pihak berkuasa lain dalam beberapa minggu akan datang," kata kenyataan itu.


Di samping itu, syarikat menjangkakan dos ketiga akan menunjukkan prestasi yang baik terhadap strain Delta yang sangat mudah menular, yang dengan cepat menjadi dominan di seluruh dunia.


Syarikat itu juga sedang membangunkan vaksin khusus varian Delta, kumpulan pertama dihasilkan di kemudahan BioNTech di Mainz, Jerman.


Ia menjangkakan kajian klinikal akan bermula pada bulan Ogos, tertakluk kepada kelulusan perundangan.


Syarikat itu menambah bahawa, berdasarkan penurunan keberkesanan yang dilihat di Israel selepas enam bulan, mereka percaya bahawa dos ketiga mungkin diperlukan dalam masa enam hingga 12 bulan selepas vaksinasi penuh.


"Walaupun perlindungan terhadap penyakit teruk tetap tinggi sepanjang 6 bulan penuh, berlaku penurunan keberkesanan terhadap penyakit simptomatik dari semasa ke masa dan kemunculan varian yang berterusan dijangkakan," kata kenyataan itu. - Foto AFP


Pfizer-BioNTech mohon kebenaran untuk suntikan ketiga

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/07/837310/pfizer-biontech-mohon-kebenaran-untuk-suntikan-ketiga

8 Jul 2021

Istana pasir tertinggi di dunia setinggi 21.16 meter

 

Istana pasir tertinggi di dunia dengan ketinggian lebih 20 meter dan seberat hampir 5,000 tan siap dibina di sebuah bandar tepi pantai di Blokhus, Denmark.


Berukuran 21.16 meter tinggi, istana baharu itu mengatasi istana dibina di Jerman pada 2019 yang memegang rekod Guinness World Records pada ketinggian 17.66 meter.



Sebanyak 4,860 tan pasir digunakan bagi membina struktur berupa piramid.


Perekanya, Wilfred Stijger yang dibantu 30 pengukir pasir terbaik dunia, menampilkan kuasa coronavirus ke atas dunia sejak awal pandemik bermula.


Di puncak binaan istana pasir itu dipaparkan model virus memakai mahkota.


"Ia mengatur kehidupan kita di mana-mana," kata Stijger.


Istana pasir tertinggi di dunia dibina di Denmark

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/836938/istana-pasir-tertinggi-di-dunia-dibina-di-denmark

6 Jul 2021

Bayar gaji RM89.30 guna syiling 5 dan 10 sen

 

Tindakan pengusaha kilang di Valenzuela City membayar gaji pekerjanya dalam bentuk syiling, selain melanggar peraturan buruh hanya mengundang padah apabila digantung permit selama 15 hari.


Kilang itu juga berdepan hukuman lebih berat selepas disiasat susulan aduan pekerjanya mengenai ketidakdilan pengurusan dan pengabaian kebajikan mereka.



Pekerja kilang itu, Russel Manoza membuat laporan mengenai layanan diterima termasuk dibayar gaji 1,056 peso (RM89.30) dalam bentuk syiling lima dan 10 sen.


Pihak berkuasa tempatan diketuai Datuk Bandar Rex Gatchalian bertemu pengurusan kilang itu, Jasper Cheng So dan Manoza pada 30 Jun lalu.


So turut diarah meminta maaf kepada Manoza kerana memarahinya sebaik mengetahui lelaki itu membuat aduan berkenaan.


Menurut Manoza, So memintanya hadir di kilang untuk menerima gaji terakhir selepas dipecat, namun apa yang dia terima adalah segunung syiling.


So pula mendakwa terdapat salah faham kerana syiling berkenaan sepatutnya mahu diserahkan kepada gereja di Malabon.


Bagaimanapun, Gatchalian tidak menerima alasan So dan percaya syiling itu memang sengaja diberikan kepada Manoza sebagai membalas tindakan lelaki terbabit membuat aduan.


Berdasarkan rekod Pejabat Perhubungan Pekerja, Manoza layak menerima gaji 55,614.93 peso (RM4703.12) susulan pemecatan yang tidak sah serta gaji tidak berbayar termasuk kerja lebih masa dan kerja pada perayaan yang bermula April hingga Ogos 2019 dan Mei 23 hingga 23 Jun tahun ini.


Dakwa Manoza dia dan pekerja lain tidak menerima elaun kerja malam dan manfaat kesihatan, sistem keselamatan sosial serta dana Pag-IBIG.


Gatchalian berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan Manoza itu dan memberi amaran kepada kilang berkenaan yang turut disiasat Jabatan Pekerjaan dan Buruh Filipina.


Bayar gaji dalam syiling

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/726960/bayar-gaji-dalam-syiling

5 Jul 2021

Budak menangis Jerman kalah dapat RM150,000

 

Penyokong England menyumbang puluhan ribu pound kepada seorang peminat cilik Jerman yang menangis selepas pasukan negaranya tewas di tangan skuad Three Lions di pusingan kalah mati Euro 2020.


Peminat yang murah hati memberi sumbangan itu selepas warga Wales, Joel Hughes mencipta 'page' atau halaman 'JustGiving' untuk kanak-kanak perempuan itu yang diejek kerana reaksinya terhadap penyingkiran skuad kendalian Joachim Low dari kejohanan.



Sehingga kini mereka sudah menyumbang lebih £ 26,000 (RM149,629) - jauh melebihi sasaran awal £500 (RM2,877) - menjelang pertembungan suku akhir England dengan Ukraine, awal pagi tadi.


Beberapa penyokong pada pertembungan 16 terakhir antara England dan Jerman dilihat bersorak ketika peminat cilik itu dirakam menangis oleh skrin penyiar selepas perlawanan.


Gary Lineker dan Stan Collymore antara bintang bola sepak yang mengkritik ejekan terhadap kanak-kanak itu yang memakai jersi Jerman.


Peminat Burnley, Alistair Campbell yang bertugas sebagai setiausaha akhbar kepada mantan perdana menteri Tony Blair, mengecam tingkah laku penyokong yang terbabit dengan ejekan terhadap kanak-kanak itu.


"Bersyukur dalam kekalahan adalah kualiti yang sangat istimewa. Bersyukur dalam kemenangan semestinya jauh lebih mudah," tulisnya di Twitter. - AGENSI


EURO: Budak menangis kerana Jerman kalah dapat RM150,000

Pautan : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/835461/euro-budak-menangis-kerana-jerman-kalah-dapat-rm150000

4 Jul 2021

Waris seludup rokok ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC)

 

Tidak ubah seperti penyeludup profesional apabila ada antara rokok dirampas ditemui disembunyikan dalam kepingan roti 'tebuk'.


Malah, ada juga kotak rokok yang atau peranti rokok elektrik (vape) disorokkan di dalam bungkusan mi segera dan kotak makanan bijirin.



Itu antara taktik penyeludupan bahan terlarang yang dihantar ahli keluarga kepada pesakit yang dikuarantin serta menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang di sini.


Mendedahkan perkara itu, Pegawai Pemerintah PKRC Maeps Serdang, Superintendan Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan pelbagai taktik dilakukan waris dan ahli keluarga pesakit Covid-19 yang cuba menghantar rokok dan vape menggunakan pelbagai taktik licik.


Menurutnya, anggota polis yang bertugas di pintu masuk Maeps sememangnya diarahkan melakukan pemeriksaan rapi terhadap semua bungkusan atau beg yang mahu dikirimkan kepada pesakit Covid-19.


"Sebelum ini polis sememangnya memberikan kelonggaran kepada waris untuk menghantar makanan, ubat-ubatan atau alat telekomunikasi kepada pesakit dirawat.


"Rata-rata mereka ini menyedari bahawa menghisap rokok atau vape dilarang sama sekali di dalam Maeps terutama dalam kalangan pesakit.


"Ia susulan analisis Kementerian Kesihatan mendapati jumlah kes kematian disebabkan Covid-19 kepada individu yang merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.


"Malah, Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Maka merokok boleh merosakkan fungsi paru-paru yang menjadi sasaran virus Covid-19," katanya.


Norhizam berkata, terbaru pihaknya mengesan cubaan menyeludup beberapa kotak rokok yang disembunyikan di dalam roti dihantar seorang waris pada jam 7.15 malam kelmarin.


"Malah, sehari sebelum itu, kami turut merampas rokok daun dan tembakau yang turut disembunyikan di dalam kepingan roti yang ditebuk.


"Kegiatan penyeludupan ini makin menjadi-jadi apabila anggota saya turut merampas lima kotak rokok yang disembunyikan dalam bungkusan roti pada jam 3.15 petang kelmarin," katanya.


Beliau berkata, ada juga alat vape dirampas selepas disembunyikan dalam bungkusan mi segera, kotak makanan bijirin dan tabung keropok kentang.


"Biasanya pesakit di dalam Maeps akan menghubungi ahli keluarga dan meminta supaya rokok ini dihantar kepada mereka dengan pelbagai taktik penyeludupan kreatif.


"Saya beri amaran kepada mereka (waris) supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Majoriti kesalahan ini dilakukan oleh waris pesakit warga tempatan berbanding pesakit bukan warganegara," katanya yang mula bertugas di Maeps sejak November tahun lalu.


Menurutnya, pihak polis yang bertugas di Maeps turut melakukan pemeriksaan mengejut ke dalam dewan kuarantin bagi memastikan rokok tidak dibawa masuk atau diseludup.


'Sindiket' roti tebuk

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/726164/sindiket-roti-tebuk

3 Jul 2021

Polis buru doktor palsu suntik vaksin air

 

Polis menahan dua jururawat dan memburu seorang lelaki yang menyamar berpakaian doktor dan menjual serta mengendalikan pemberian vaksin kepada ratusan orang.


Doktor palsu itu berjaya meyakinkan beberapa syarikat untuk membiayai pemvaksinan pekerja mereka, lapor Independent.



Dia mengenakan bayaran 20 Pound Sterling sehingga 41 Pound Sterling (kira-kira RM115 hingga RM235) untuk setiap suntikan.


Ketua Unit Pemantau Kesihatan Awam di pejabat presiden Dr Warren Naamara berkata, ia adalah satu penipuan yang jelas untuk mendapatkan wang.


"Kami mengesyaki dia menyuntik orang dengan air kerana ia tidak berwarna, tidak berbau dan tidak berbahaya.


"Kami masih memburunya dan menangkap dua jururawat yang bekerja dengannya," katanya.


Dokumen yang dirampas menunjukkan sekurang-kurangnya 812 orang sudah divaksin namun percaya jumlah itu mungkin lebih banyak.


Semasa serbuan, pihak berkuasa menemui botol yang mempunyai label vaksin palsu dan maklumat penghantaran yang salah.


Penularan dan kematian akibat Covid-19 di Uganda semakin meningkat sejak Mei dengan varian delta menyumbang kepada gelombang jangkitan kedua.


Kempen vaksin yang bermula pada Mac lalu terjejas kerana tiada bekalan Covax mencukupi, yang dihasilkan khusus untuk negara berpendapatan rendah.


Kesannya, orang ramai beratur panjang sepanjang hari untuk mendapatkan suntikan vaksin.


Doktor palsu suntik 812 orang guna air

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/725728/doktor-palsu-suntik-812-orang-guna-air

Korea Utara berdepan ancaman krisis kebuluran

 

Kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun, wanita hamil dan ibu menyusukan anak, warga emas serta mereka yang sakit adalah golongan paling berisiko diancam kebuluran di Korea Utara sekarang.


Sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pandemik COVID-19 yang menyaksikan kawasan sempadan dengan China ditutup dan ancaman kemarau di negara itu memburukkan masalah kekurangan bekalan makanan.



Jika berterusan, tidak mustahil krisis kebuluran yang pernah dialami negara itu pada 1990-an berulang kembali.


Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, bulan lalu mengakui negaranya kini berdepan dengan krisis bekalan makanan.


"Keadaan ketika ini semakin tegang kerana sektor pertanian tidak mampu mengeluarkan hasil yang mencukupi susulan taufan pada tahun lalu, dengan COVID-19 memburukkan keadaan," katanya.


Korea Utara memerlukan 5.2 tan makanan tahun lalu, namun sektor pertaniannya hanya mampu menghasilkan empat juta tan, menyebabkan kekurangan bekalan makanan lebih sejuta tan.


Walaupun dengan import makanan, negara itu tetap berdepan kekurangan bekalan sebanyak 780,000 tan bagi tempoh 2020-2021.


Perkara itu dimaklumkan dalam laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB pada bulan lalu.


"Sekiranya jurang itu tidak dipulihkan menerusi import komersial atau bantuan bekalan makanan, penduduk Korea Utara berdepan dengan kebuluran bermula antara Ogos dan Oktober tahun ini," jelas pertubuhan itu.


Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memaklumkan 10 juta penduduk di Korea Utara terjejas akibat bekalan makanan tidak mencukupi dengan 140,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun bakal mengalami kekurangan zat.


Keadaan itu juga dijangka menyebabkan kadar kematian penduduk Korea Utara meningkat pada tahun ini.


Selepas Pyongyang menutup pintu sempadan sebagai usaha mengekang penularan jangkitan coronavirus, import dari China menurun sehingga 81 peratus pada 2020.


Antara barangan yang dibawa masuk dari China ke negara itu sebelum ini adalah baja serta minyak manakala bekalan perubatan dan keperluan isu rumah ditahan.


Dilaporkan, ribuan kontena yang membawa barang keperluan ke Korea Utara terkandas di beberapa pelabuhan China, malah ada yang sudah sampai tarikh luput. - AGENSI


Bekalan makanan Korea Utara habis Ogos ini

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/834792/bekalan-makanan-korea-utara-habis-ogos-ini

1 Jul 2021

Singapura henti dedah maklumat terperinci kes baru Covid-19

 

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura tidak akan mendedahkan maklumat mengenai kes baru Covid-19 yang dikesan dalam komuniti selepas negara ini menuju ke fasa baru bagi menangani pandemik ini.


MOH dalam satu kenyataan berkata, maklumat mengenai umur dan pekerjaan pesakit serta tempat yang dikunjungi dan tarikh mereka diuji positif, tidak akan diberikan.



Sebaliknya, maklumat harian terkini oleh MOH akan merangkumi kemajuan dalam skim vaksin di negara ini, termasuk jumlah kes harian.


Ia juga akan memberikan perincian jumlah individu yang mengalami gejala teruk, dan status vaksinasi mereka.


Berita Harian Singapura melaporkan, keputusan itu dibuat oleh pasukan bertindak antara kementerian (MTF) untuk mengatasi pandemik ini.


MOH berkata, ia akan "memberikan lebih banyak tumpuan untuk mencegah penularan virus, memvaksinasi penduduk dan memulakan proses untuk beralih ke norma baru" ketika negara ini menuju ke fasa baru dalam perjuangannya menentang Covid-19.


"Selain jumlah harian, kami akan memberikan maklumat mengenai trend setempat utama, kelompok yang diperhatikan, kemajuan vaksin dan jumlah orang yang mengalami sebarang bentuk penyakit teruk," kata kenyataan itu.


Sebanyak 3.28 juta individu di Singapura telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sejak 30 Disember tahun lalu, dengan sekitar 5.38 juta dos telah diberikan setakat ini.


Ini bermakna bahawa 57.5 peratus penduduk Singapura telah menerima satu dos vaksin sementara 36.8 peratus - sekitar 2.1 juta orang - telah melengkapkan dua dos vaksin.


Setakat tengah hari semalam, seramai 49,445 telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 sementara 5,298 diberikan suntikan kedua di bawah program vaksin kebangsaan.


Dalam kenyataan MOH, ia membuktikan bahawa vaksin dapat membantu mencegah gejala serius bagi mereka yang telah dijangkiti.


Sepanjang 28 hari pada bulan Jun, sebanyak 23 kes tempatan memerlukan oksigen, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), atau meninggal dunia.


Daripada jumlah itu, 20 orang tidah divaksin sementara dua lagi hanya divaksin dengan satu dos.


Semalam, seramai 129 pesakit Covid-19 telah dimasukkan ke hospital.


Sebahagian besar antara mereka dalam keadaan baik dan dalam pemerhatian.


Terdapat tiga pesakit dalam keadaan kritikal di ICU di mana mereka berusia lebih 60 tahun dan tidak divaksin.


Singapura henti dedah maklumat kes baru Covid-19

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/06/724806/singapura-henti-dedah-maklumat-kes-baru-covid-19

Terima RM207 bilion dari bank secara tidak sengaja

 

Seorang wanita di Louisiana menjadi bilionair segera apabila wang berjumlah AS$50 bilion (kira-kira RM207 bilion) dimasukkan secara tidak sengaja di dalam akaunnya.


Ini menjadikan isteri kepada Darren James sebagai individu ke-25 terkaya di dunia namun gelaran itu hanya bertahan selama empat hari.



Lelaki berusia 47 tahun dalam temu bual bersama Fox berkata, dia terkejut apabila mengetahui wang sebanyak itu didepositkan ke dalam akaun isterinya, awal bulan ini.


"Saya amat terkejut apabila isteri menunjukkan baki dalam akaun banknya. Kami menjadi bilionair sekelip mata," katanya.


Menurutnya, dia dan isteri terfikir mengenai pemilik duit berkenaan kerana tidak mengenali sesiapa yang mempunyai wang sebanyak itu.


Dia juga ada terfikir mungkin ini adalah peninggalan bapa saudara yang kaya kepadanya.

Jika benar, ini menjadikan dia sekeluarga berada di kedudukan lebih tinggi daripada bilionair yang juga pengasas Nike iaitu Phil Knight dalam senarai individu terkaya Forbes.


"Perasaan ini sesuatu yang menakjubkan kerana melihat banyak angka sifar di dalam akaun bank," katanya.


Isterinya kemudian menghubungi Chase Bank selepas wang itu terus berada di dalam akaunnya selama empat hari.


"Ia sangat mengujakan walaupun saya tidak dapat berbuat apa-apa dengan wang berkenaan," katanya.


Katanya, dia dan keluarga bagaimanapun sedar bahawa wang berkenaan bukan kepunyaan mereka.


Mereka juga boleh didakwa sebagai pencuri jika menggunakan wang berkenaan.


Dalam pada itu, Chase Bank memaklumkan isu berkenaan sudah selesai dan berlaku disebabkan masalah teknikal sistem.


"Kami menghadapi masalah teknikal minggu lalu menyebabkan beberapa kesilapan berlaku," katanya.


Kaya hanya 4 hari

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/724873/kaya-hanya-4-hari

30 Jun 2021

India lulus penggunaan kecemasan vaksin Moderna

 India semalam meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Moderna bagi mempertingkat kadar inokulasi susulan lonjakan jangkitan dan kematian akibat COVID-19.


Negara memiliki 1.3 bilion penduduk itu dibadai penularan COVID-19 yang dahsyat pada April dan Mei lalu sehingga menghimpit sistem penjagaan kesihatannya ke ambang kegagalan.



Moderna adalah vaksin keempat diluluskan New Delhi, selepas Covishield (Oxford-AstraZeneca) dan Covaxin - yang dibangunkan syarikat farmaseutikal India, Bharat Biotech - serta Sputnik V (Russia).


Ahli badan penasihat kerajaan NITI Aayog, Vinod K Paul, memaklumkan kelulusan penggunaan kecemasan (EUA) diberikan selepas permohonan diterima daripada Moderna melalui rakan kerjasama, Cipla.


"Kelulusan itu - yang pertama kepada vaksin jenis mRNA di India - bakal membuka laluan untuk lebih banyak vaksin buatan luar diimport ke negara ini," katanya pada satu sesi taklimat Kementerian Kesihatan.


Beliau sekali gus memaklumkan, usaha juga sedang giat dilakukan bagi memperoleh vaksin Pfizer dan Johnson & Johnson.


Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, berkata kelulusan diperoleh itu adalah langkah penting dalam usaha global memerangi pandemik COVID-19.


"Kami komited untuk memastikan vaksin COVID-19 yang dihasilkan dapat dibekalkan ke seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.


Sejumlah kecil dos Sputnik V diimport ke India selepas mendapat kelulusan pada pertengahan April lalu, namun majoriti bekalan vaksin dijangka dihasilkan dalam negara, seperti Covishield dan Covaxin.


Dua bulan lalu, India memaklumkan akan mempercepat kelulusan kepada vaksin dari luar negara yang sudah diberi EUA oleh badan kawal selia utama seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).


Sebelum ini, Kerajaan India berdepan tekanan hebat daripada pelbagai pihak yang mendesak usaha inokulasi dipertingkat dengan membenarkan pengimportan vaksin buatan luar negara, seperti Pfizer dan Moderna. - AFP


India lulus penggunaan kecemasan vaksin Moderna

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/833778/india-lulus-penggunaan-kecemasan-vaksin-moderna

29 Jun 2021

Mohon pengeluaran i-Citra RM5000 mulai 15 Julai

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenal kemudahan baharu dikenali sebagai i-Citra, membabitkan pengeluaran sehingga RM5,000.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, permohonan i-Citra boleh dibuat mulai 15 Julai ini dengan pembayaran pertama akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos.



Beliau berkata, secara keseluruhan pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.


"Menerusi i-Citra seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.


"Namun ia tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.


"Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai," katanya dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini.


PEMULIH: Pencarum dibenar keluar RM5,000 simpanan KWSP

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833173/pemulih-pencarum-dibenar-keluar-rm5000-simpanan-kwsp

28 Jun 2021

Roberto Mancini lebur rekod 90 tahun Vittorio Pozzo

 

Itali mencipta sejarah baru dalam bola sepak mereka apabila melebarkan rekod tanpa kalah kepada 31 perlawanan berturut-turut ketika menewaskan Austria 2-1 dalam saingan 16 terakhir di Euro 2020, pagi semalam.


Itali mendominasi saingan peringkat kumpulan dan dijangka mudah menewaskan Austria namun perlu menunggu selepas lima minit masa tambahan untuk berada di depan menerusi gol Federico Chiesa.



Matteo Pessina memastikan Azzurri melangkah ke suku akhir namun Austria mencetuskan debaran apabila merapatkan jurang menerusi Sasa Kalajdzic namun sudah terlambat menafikan kemenangan Itali.


Kemenangan itu bermakna Roberto Mancini berjaya membimbing Itali mengharungi 31 perlawanan tanpa tewas sekali gus memecahkan rekod dilakar pengendali Vittorio Pozzo ketika era 1930-an.


Mereka memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020 menewaskan Turki, Switzerland dan Wales di Rom tanpa dibolosi sebarang gol.


Mancini melakukan tujuh perubahan untuk pasukannya yang menewaskan Wales dengan Marco Verratti menjadi pilihan dan bukannya Manuel Locatelli di bahagian tengah manakala Giorgio Chiellini sekali lagi diketepikan kerana kecederaan hamstring.


Mancini berkata, Itali berhak untuk layak ke suku akhir Kejohanan Eropah itu selepas menampilkan penguasaan sebelum perlawanan terpaksa diheret hingga ke masa tambahan.


"Kami memperoleh keputusan ini kerana memang berhak memenanginya. Pada separuh masa pertama kami berpeluang menjaringkan beberapa gol dan kemudian selepas rehat prestasi mula menurun.


"Kami menang kerana pemain yang tampil pada perlawanan ini mempunyai fokus yang tepat dan dapat menyelesaikan keadaan.


"Saya sedar ia perlawanan yang sukar malah mungkin lebih sukar aksi di suku akhir nanti." kata Mancini.


Rekod 90 tahun lebur

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/06/723540/rekod-90-tahun-lebur

27 Jun 2021

Tesla panggil semula 285,000 buah kenderaan kerana masalah sistem pengawalan pemanduan

 

Pengeluar kenderaan eletrik, Tesla memanggil semula lebih 285,000 unit kenderaannya dari pasaran China selepas siasatan mendapati terdapat isu pada perisian bantuan pemanduan yang boleh menyebabkan kemalangan.


Tesla akan menghubungi pemilik kenderaan untuk menaik taraf perisian berkenaan, kata Pihak Berkuasa Pentadbiran Pasaran (SAMR) dalam satu notis.



Katanya, isu berkenaan menjejaskan beberapa unit kenderaan yang dihasilkan secara tempatan dan di pasaran luar membabitkan Model 3 dan Model Y.


"Usaha untuk memanggil semula unit yang terjejas sudah difailkan dan ia akan bermula hari ini," katanya.


Arahan berkenaan secara tidak langsung memburukkan jenama itu yang ketika ini berdepan masalah di China kerana terdapat beberapa kenderaan Tesla terbabit dalam kemalangan maut kebelakangan ini.


"Berikutan masalah berkaitan sistem pengawalan pemanduan, pemandu dengan tidak sengaja boleh mengaktifkan fungsi kawalan peluncuran.


"Kelajuan kenderaan juga akan meningkat mendadak yang seterusnya menyebabkan kemalangan," kata agensi kerajaan China itu dalam satu notis.


Pengeluar kenderaan itu juga menjadi sasaran banyak rungutan media sosial dari pengguna China berkaitan masalah kualiti dan perkhidmatan, yang menyebabkan tercetusnya protes pelanggan berprofil tinggi di Shanghai Auto Show pada April lalu.


Fungsi kawalan peluncuran, yang 'sepadan dengan kelajuan kereta lain dalam keadaan trafik sama' adalah bahagian penting dari fungsi Autopilot, menurut laman web pengeluar.


Tesla sangat terkenal di China di mana satu daripada empat kenderaan elektrik yang dijual adalah dari jenama Tesla.


Bulan lalu, firma itu mengumumkan bahawa ia akan mendirikan pusat data di China, namun ia mengundang reaksi kurang senang pengguna kerana bimbang data mereka diserahkan ke Amerika Syarikat.

24 Jun 2021

Pengasas perisian McAfee meninggal dunia dalam penjara

 

Pengasas perisian antivirus, John McAfee ditemui mati dalam penjara semalam, beberapa hari selepas mahkamah meluluskan ekstaradisinya ke Amerika Syarikat (AS) membabitkan kesalahan cukai.


Menurut jurucakap penjara, lelaki berusia 75 tahun itu ditemui mati dalam bilik kurungannya di penjara Brians 2 berhampiran Barcelona dipercayai kerana membunuh diri.



McAfee disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam waktu tempatan.


Jabatan Kehakiman wilayah Catalonia dalam satu kenyataan berkata, satu siasatan dijalankan berhubung kejadian itu.


"Pengawal dan kakitangan perubatan bergegas melakukan usaha menyelamat namun doktor mengesahkan kematiannya," menurut kenyataan itu.


McAfee dipenjara di Sepanyol sejak beliau ditahan di Lapangan Terbang Barcelona pada Oktober tahun lalu, sebelum menaiki penerbangan ke Istanbul.


Beliau didakwa atas kesalahan membabitkan percukaian antara tahun 2014 dan 2018, biarpun memperoleh pendapatan jutaan euro hasil konsultasi, mata wang kripto dan penjualan hak berhubung kisah hidupnya.


Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.


Mahkamah Sepanyol sebelum ini meluluskan proses ekstradisi McAfee ke AS namun ruang rayuan masih terbuka dan proses terbabit perlu mendapatkan kelulusan Kabinet Sepanyol.


Menurut permohonan ekstradisi dikemukakan AS pada November lalu, McAfee meraih pendapatan lebih 10 juta euro antara tahun 2014 dan 2018, namun gagal memfailkan cukai.


"Untuk menyembunyikan pendapatan dan asetnya daripada Internal Revenue Service (IRS), defendan memerintahkan sebahagian daripada pendapatannya dibayar kepada seorang individu lain dan meletakkan harta atas nama mereka," katanya. - AFP


Pengasas perisian McAfee ditemui mati dalam penjara

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/831448/pengasas-perisian-mcafee-ditemui-mati-dalam-penjara

23 Jun 2021

Broad Group bina bangunan pangsapuri 10 tingkat dalam masa 28 jam 45 minit


Broad Group, pemaju berpangkalan di China mencipta sejarah apabila berjaya menyiapkan projek pembinaan bangunan pangsapuri 10 tingkat dalam tempoh 28 jam dan 45 minit.


Republic World melaporkan, pemaju itu berjaya membangunkan bangunan pangsapuri itu dalam tempoh lebih sehari saja.



Syarikat itu dikatakan menggunakan unit modular bersama-sama yang dikenali sebagai Living Building System.


Video pembinaan berdurasi hampir lima minit dikongsikan di saluran YouTube pemaju itu pada 13 Jun, dengan rakaman menunjukkan keseluruhan struktur itu dibina dengan pantas.


Menerusi reka bentuk modular pasang siap, Broad Group dapat membina bangunan pangsapuri 10 tingkat dalam 28 jam 45 minit.


Perkongsian Broad Group di YouTube juga menyatakan pembinaan membabitkan ukuran kontena standard, pengangkutan murah di seluruh dunia dan pemasangan dilakukan di lokasi.


Pasti ada yang akan mempersoalkan bagaimana pemaju berpusat di Changsha itu membina bangunan itu dalam jangka pendek.


Hakikatnya, ia dibantu teknologi sistem pembinaan pasang siap dengan kaedah memasang unit modular serba lengkap yang dibina terlebih dahulu di kilang.


Sebuah laporan oleh New Atlas bertarikh 16 Jun mendedahkan bangunan pasang siap dirancang untuk 'disatukan' dalam tempoh yang cepat.


Modul bangunan yang kelihatan seperti bekas besar pertama kali dibina di kilang Broad Group dan diangkut ke tapak bangunan dengan trak dan disusun mengikut keperluan.


Salah satu faktor yang paling menarik mengenai sistem ini ialah setiap modul bangunan mempunyai dimensi yang sama dan ia menjadikannya mudah alih.


Syarikat itu mendakwa menggunakan kepingan keluli untuk elemen struktur yang 10 kali lebih ringan dan 100 kali lebih kuat daripada kepingan konvensional yang biasa digunakan.


Broad Group terkenal kerana keupayaannya menyiapkan projek penting dalam tempoh dua kali lebih cepat.


Pada 2015, syarikat itu menyelesaikan pembinaan menara setinggi 57 tingkat menggunakan Living Building System yang siap dalam tempoh hanya 19 hari.


Bina pangsapuri 10 tingkat dalam 28 jam

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/06/721442/bina-pangsapuri-10-tingkat-dalam-28-jam


Video dari Youtube