• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

15 Ogo 2021

Perdana Menteri akan serah surat letak jawatan selepas strategi bipartisan tidak dapat sambutan

 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.



Ketika mengesahkan tindakan itu, beliau berkata keputusan diambil Perdana Menteri itu adalah di antara perkara dibincangkan ketika mesyuarat Ahli Parlimen daripada BERSATU dengan Muhyiddin di Publika, di sini, hari ini.


"Ya benar, peletakan jawatan... esok," katanya ringkas kepada BH.


Beliau ditanya sama ada Muhyiddin akan menawarkan peletakan jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.


Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata peletakan jawatan itu adalah jalan terakhir diambil berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Kita bertanggungjawab dengan keadaan yang berlaku hari ini. Kita sudah usaha yang terbaik untuk memastikan pengurusan COVID-19 berjalan dengan baik dalam pergolakan politik yang melanda.


"Kita sudah sampai ke tahap tidak boleh buat apa-apa pun... yang terakhir ialah strategi bipartisan, namun tidak disambut. Jadi kita kena letak jawatan... kita sudah usaha yang terbaik untuk rakyat," katanya.


Terdahulu, beliau berkata, mesyuarat di Publika pagi tadi adalah antara Muhyiddin dengan Ahli Parlimen daripada BERSATU dan mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN).


'Muhyiddin maklum akan serah surat letak jawatan esok' - Mohd Redzuan

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/851500/muhyiddin-maklum-akan-serah-surat-letak-jawatan-esok-mohd-redzuan

5 Ogo 2021

Kerajaan disaran beri subsidi kit ujian kendiri COVID-19

 

Kerajaan disaran memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri COVID-19 kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mereka yang memerlukan.


Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ketika ini harga kit ujian kendiri itu sekitar RM39.90 di pasaran yang agak membebankan, terutama bagi keluarga mempunyai ahli yang ramai yang perlu membuat ujian menggunakan kit berkenaan.



Katanya, penggunaan kit itu untuk mengesan COVID-19 amat praktikal kerana kurang berisiko berbanding melakukan ujian calitan di klinik atau makmal yang memerlukan seseorang itu keluar rumah.


"Bagaimanapun dengan harga sedemikian, ia agak membebankan terutama jika satu rumah itu mempunyai sehingga empat ahli keluarga yang perlu membuat ujian menggunakan kit berkenaan.


"Justeru, kerajaan perlu mencari inisiatif dengan memberikan subsidi untuk membantu golongan ini bagi memudahkan mereka mendapatkan kit kendiri itu," katanya kepada BH, hari ini.


Lam Thye berkata, cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan kit ujian kendiri itu dalam senarai barangan harga kawalan, perlu dilakukan segera.


Ketika ini, katanya, permintaan terhadap kit terbabit semakin meningkat dan beliau bimbang akan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.


"Saya yakin harga kit ini boleh diturunkan lagi dan berharap Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan dalam usaha mendapatkan harga yang lebih murah," katanya.


Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dipetik berkata, kementerian itu bercadang menyenaraikan kit ujian kendiri COVID-19 sebagai barangan harga terkawal berikutan harganya RM39.90, terlalu membebankan rakyat.


Katanya lagi, perbincangan dengan pelbagai agensi lain termasuk KKM akan dilakukan sebelum kit ujian kendiri itu disenaraikan sebagai barangan harga kawalan.


Sementara itu, Lam Thye meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan segera insentif kepada mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.


Katanya, insentif itu bagi menceriakan mereka yang berjaya membantu kerajaan dalam usaha mencapai komuniti kelompok.


"Kerajaan diharap mula benarkan individu sedemikian makan di restoran atau kedai makan, menonton wayang di pawagam atau benarkan untuk rentas daerah dan negeri. Semua aktiviti itu, jika dibenarkan, tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.


Beliau berkata, dengan kadar vaksinasi yang semakin tinggi setiap hari ketika ini, sudah pasti ramai yang sudah menerima suntikan dan berharap insentif segera daripada kerajaan.


Syor subsidi beli kit ujian kendiri COVID-19 untuk B40

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/847451/syor-subsidi-beli-kit-ujian-kendiri-covid-19-untuk-b40

4 Ogo 2021

Pengetua hasil peta terbesar di dunia daripada penutup botol

 

Seorang pengetua sekolah di Jeddah, Khulood Al-Fadli diiktiraf Guinness World Records apabila menghasilkan peta terbesar di dunia menggunakan penutup botol plastik.


Pengetua Green Leaves Playgroup itu memecahkan rekod tahun lalu dengan mencipta peta dunia seluas 250 meter persegi menggunakan 350,000 penutup botol plastik.


Rekod sebelumnya adalah milik Caroline Chaptini, yang membuat mozek sabit sebesar 196,94 meter persegi di Miziara, Lebanon.



"Saya tidak percaya, saya benar-benar merasakan kerja saya terbayar.


"Imej ini tidak penting kerana ukuran menentukan sama ada saya berjaya memecahkan rekod dan Guinness World Records mempunyai begitu banyak syarat untuk memecahkan rekod atau membuat rekod baharu," katanya kepada Arab News.


Katanya, memenuhi syarat memecahkan rekod terbukti sangat sukar kerana keadaan cuaca tidak menentu yang mempengaruhi mozek luarnya.


"Saya melalui hari sukar apabila tiupan angin menerbangkan semua penutup air sehingga projek ditunda seminggu.


"Tetapi dengan tekad, konsisten dan bantuan sukarelawan terutama keluarga dan suami, saya meneruskan projek ini tanpa putus asa," katanya.


Dia berkata, sukarelawan sasarannya adalah kanak-kanak kerana mereka generasi masa depan.


Al-Fadli mendapat idea melakukan projek itu selepas tindak balas murid sebaik dia memperkenalkan topik pemanasan global dan kitar semula kepada mereka di sekolah.


Katanya, seorang murid bertanya, apakah bererti bumi akan mati.


Dia mengatakan setiap hari semua orang perlu berubah dan langkah penting menyelamatkan bumi adalah mengumpulkan plastik dan melakukan sesuatu yang bermakna untuk bumi.


Dengan bantuan murid, keluarga dan rakannya serta semakin banyak penderma penutup botol plastik, berita itu terus tersebar dalam 40 hari bekerja, dan penduduk dari seluruh Jeddah, Makkah, Madinah dan Taif datang menderma. -Agensi


Dia mengatakan penderma sangat ingin melihat hasilnya, malah sukarelawan termuda teruja melihat hasil akhirnya.


"Mereka kagum dengan keindahan dan saiz peta itu, mereka berjanji menyelamatkan plastik dan menggunakannya semula atau menyumbangkannya kepada saya demi bumi," katanya. -Agensi


Al-Fadli mengatakan mencipta seni daripada barang yang dapat dikitar semula adalah pengalaman yang berharga.


"Sejak saya kecil, saya suka melihat peta. Saya tidak tahu mengapa tetapi rasanya seperti saya terbang. Melihat peta besar seperti mimpi," katanya.


Peta terbesar daripada penutup botol

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/08/738395/peta-terbesar-daripada-penutup-botol

3 Ogo 2021

Samantha Ramsdell wanita mulut paling besar di dunia

 

Samantha Ramsdell yang popular di TikTok berikutan bukaan mulut yang sangat luas, kini secara rasminya dinobat wanita mulut paling besar di dunia oleh Guinness World Records.


Dia sebelum ini mengagumkan 1.7 juta pengikut menerusi perkongsian video memuatkan sejumlah besar makanan ke dalam mulut, termasuk keseluruhan kentang goreng McDonald's.



Berasal dari Connecticut, wanita berusia 31 tahun itu menerima pengiktirafan berkenaan pada 28 Julai lalu selepas ujian ukuran yang dibuat di sebuah klinik di South Norwalk, Connecticut mengesahkan bukaan mulutnya seluas 6.52 sentimeter.


"Berusia 31 tahun dan memperoleh rekod ini untuk sesuatu yang selama ini buat saya rasa tidak yakin dan pernah mahu menjadikan ia kecil, adalah sangat hebat.


"Ia kini menjadi satu daripada perkara terbaik mengenai saya," katanya yang bekerja sebagai wakil jualan peralatan perubatan.



Samantha turut menyokong mereka yang mempunyai anggota badan unik untuk mencatat rekod dalam Guinness World Records.


Lakukan dengan penuh dan jadikan ia aset paling besar anda. Ia adalah kuasa anda, yang menjadikan anda istimewa dan berbeza daripada orang lain di sekeliling," katanya seperti dilapor Mirror.


Menurut wanita itu, dia membuka akaun media sosialnya untuk berkongsi kebolehan nyanyiannya tanpa sedar bahawa bentuk mukanya yang lebih menarik perhatian orang ramai.


Sebelum ini katanya, dia mula mengumpul keyakinan sejak dua tahun lalu apabila mengambil kelas nyanyian serta berkongsi mengenainya di Instagram.


"Kemudian saya jatuh cinta dengan komedi dan parodi serta mula banyak berkongsi mengenai itu sebelum membuka akaun TikTok pada 2019 tetapi tidak begitu aktif sehingga tempoh pandemik pada April 2020.


"Sejak itu saya berkongsi banyak video kelakar dan parodi tetapi setiap kali berkongsi sesuatu yang menunjukkan mulut saya, ia menjadi sangat tular," katanya.


Wanita mulut paling besar di dunia

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/08/737976/wanita-mulut-paling-besar-di-dunia

2 Ogo 2021

Gaun pengantin pelitup muka kitar semula

 

Reka gaun pengantin daripada pelitup muka terbuang kitar semula.


Itu hasil kreativiti pereka fesyen Britain, Tom Silverwood yang menggunakan sisa berkenaan yang kini menjadi masalah kepada alam sekitar.



The Sun melaporkan, pereka itu menjahit 1,500 pelitup muka untuk menghasilkan gaun labuh.


Dia dibiayai perancang perkahwinan Hitched yang turut berkongsi gambar itu di Instagram.


Ia menunjukkan model Jemina Hambro menggayakan gaun itu di Katedral St Paul, London.


Gambar berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial dan mendapat banyak komen netizen.


"Ini memukau," kata seorang netizen, selain seorang lagi menyifatkan ia rekaan menakjubkan, manakala seorang yang lain kagum dan menganggap itu satu idea hebat.


United Kingdom (UK) membatalkan semua sekatan berhubung Covid-19 pada 19 Julai lalu.


Ia membolehkan pasangan melangsungkan perkahwinan dengan kapasiti penuh.


Menurut media tempatan, keputusan Perdana Menteri Boris Johnson membatalkan sekatan itu bagi memulihkan ekonomi yang semakin merosot.


Gaun pengantin daripada pelitup muka

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/08/737272/gaun-pengantin-daripada-pelitup-muka

30 Jul 2021

Masukkan belut dalam dubur rawat sembelit

 

Seorang lelaki di Xianghua, wilayah Jiangsu, telah memasukkan seekor belut berukuran 20 sentimeter ke dalam alat sulitnya bagi mengubati masalah sembelit yang dialaminya, lapor Globaltimes, baru-baru ini.


Tindakan nekad lelaki itu akibat terlalu mempercayai cara perubatan tradisional yang kononnya belut dalam anu boleh melegakan masalah sembelit.



Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mangsa yang bertarung dengan kesakitan serius apabila belut tersebut berenang ke bahagian abdomennya dan mula menggigit usus di dalam.


Mangsa menahan sakit selama 24 jam sebelum ke hospital kerana terlalu malu untuk mengakui tindakannya kepada kepada doktor.


Doktor menjalankan pembedahan ke atas mangsa memberitahu dia hampir kehilangan nyawa  kerana kerana bakteria yang dibawa oleh belut di usus besar boleh menyebabkan hemolisis ketika sampai ke rongga perut.


Belut tersebut masih hidup ketika dikeluarkan oleh doktor. Kes ini bukanlah kali pertama berlaku dalam kalangan penduduk China yang sangat mempercayai perubatan tradisional seperti ini. – Agensi


Sumbat belut dalam anu mahu ubati sembelit

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/07/29/sumbat-belut-dalam-anu-mahu-ubati-sembelit/

28 Jul 2021

Payudara bengkak simptom normal penerima vaksin Pfizer

 

Sebilangan pakar berpendapat simptom payudara membesar selepas suntikan vaksin Pfizer sebenarnya tindak balas imunisasi yang berlaku selepas individu tersebut disuntik pada bahagian lengan, lapor akhbar Daily Star semalam.


Pengarah Pusat Penjagaan Payudara Universiti California San Francisco, Dr. Laura Esserman berkata, apabila individu itu disuntik pada bahagian atas lengan, adalah normal bagi kelenjar limfa untuk membengkak sebagai sebahagian daripada tindak balas imunisasi.

“Saya pasti beratus-ratus ribu wanita akan mengalami keadaan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan yang menyebut bahawa ramai wanita di Amerika Syarikat (AS) berasa bimbang kerana mengalami bengkak pada bahagian payudara selepas menerima suntikan vaksinasi Covid-19 yang dikhuatiri merupakan simptom kanser payudara.


Keadaan itu telah menyebabkan bilangan wanita di negara itu menemui doktor bagi menjalani ujian mamogram meningkat.


Selain di AS, perkara serupa turut dilaporkan di seluruh dunia, di mana ramai wanita mendakwa payudara mereka membesar selepas menerima suntikan vaksin Pfizer sekali gus mewujudkan istilah ‘pembesaran payudara Pfizer’.


Menurut beberapa pakar, selain sakit tekak atau simptom  seperti selesema, payudara membengkak boleh berlaku kepada sesetengah individu selepas mendapatkan suntikan.


Bagaimanapun, Kolej Radiologi Diraja Australia dan New Zealand melaporkan keadaan bengkak seperti itu tidak berlaku dalam kalangan wanita yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca. – AGENSI 


Payudara membesar selepas suntikan Pfizer adalah normal

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/07/27/payudara-membesar-selepas-suntikan-pfizer-adalah-normal/

27 Jul 2021

Malaysia hasil kit ujian Covid-19 Salixium sensitiviti 91.23% ketepatannya 100%

 

Mudah digunakan di rumah, menghasilkan ketepatan 100 peratus dan ujian sensitiviti mencecah 91.23 peratus adalah ciri kelebihan yang ada pada kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 pertama buatan Malaysia, Salixium.


Salixium dihasilkan MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD) yang turut diiktiraf Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, Salixium adalah produk tempatan daripada inovasi dan bakat anak tempatan.


Menurutnya, tercetusnya idea itu pada April lalu apabila MeDKAD berkolaborasi dengan Reszon Diagnostics International Sdn Bhd selepas mendapati kes Covid-19 semakin membimbangkan.


"Kami merasakan sudah sampai masa perlunya Malaysia mempunyai kit kendiri ciptaan tempatan supaya stok itu dalam kawalan tempatan serta membuktikan ia inovasi yang bukan calang-calang.


"Hasil ujian yang dilaksanakan kami menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus, manakala ketepatannya ialah 100 peratus.


"Keputusan sama juga dihasilkan daripada sampel menggunakan Salixium dengan keputusan oleh makmal IMR KKM," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.


Beliau berkata, inisiatif pihaknya adalah mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk sama dari luar negara.


Menurutnya, apabila bergantung kepada produk import, ada masalah harga tinggi apabila berlakunya permintaan tinggi dan stok terhad.


"Daripada segi lain kita boleh juga kawal kualiti, mutu dan memastikan barang digunakan tiada unsur haiwan atau berkaitan halal yang agak sensitif bagi kalangan kita. Halal itu penting untuk membezakan kami dengan produk import luar dan ini juga adalah syarat untuk kami eksport ke Arab Saudi.


"Salixium sudah mula dijual 19 Julai lalu menerusi dalam talian, manakala jualan di farmasi bermula pada 21 Julai lalu dengan harga RM39.90 seunit," katanya.


Ditanya sasaran jualan, Ezuan berkata pihaknya menjangkakan untuk bulan pertama ini sejuta kit dijual dan pada Ogos dijangkakan pihaknya sudah bersedia untuk eksport di Asia Tenggara dengan jualan dijangkakan meningkat kepada lima juta kit.


Buat masa ini katanya, separuh daripada sasaran penjualan sejuta kit sudah pun dicapai.


Salixium digunakan dengan mengambil calitan air liur dan hidung menggunakan dua batang alat calitan dan keputusan boleh diperolehi dalam masa 10 hingga 15 minit apabila ia menunjukkan satu garisan (negatif) atau dua garisan (positif).


Ezuan berkata, antara sebab diperkenalkan uji kendiri itu untuk menggalakkan orang ramai melakukan saringan lebih awal atau persediaan pertahanan diri lapisan pertama secara sendiri.


"Jika rasa bergejala atau kontak rapat dengan pesakit Covid-19, boleh lakukan sendiri di rumah tanpa perlu bergaul dengan orang luar.


"Andainya positif Covid-19 maka boleh terus asingkan diri dan hubungi KKM untuk tindakan seterusnya.


"Kalau tidak mereka perlu pergi ke klinik, bercampur gaul dengan orang lain dan risiko menjangkiti pula. Kita nak saringan berlaku lebih awal, Insha-Allah cara ini boleh membantu," katanya.


Kit ujian Covid-19 kendiri Salixium mudah digunakan, hasil keputusan tepat

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/735427/kit-ujian-covid-19-kendiri-salixium-mudah-digunakan-hasil-keputusan-tepat

Parlimen Perancis lulus pasport vaksin

 

Parlimen Perancis pada Ahad meluluskan untuk penggunaan pasport vaksin di negara itu.


Minggu lalu, Presiden Emmanuel Macron mengarahkan penduduk negara itu menggunakan pas kesihatan itu iaitu bukti pengesahan imunisasi lengkap Covid-19 atau keputusan ujian saringan negatif untuk memasuki venue seperti pawagam dan pusat hiburan.



Langkah itu sebelum ini menimbulkan bantahan daripada banyak pihak atas alasan, hak asasi.


Bagaimanapun, peraturan itu masih perlu diluluskan oleh peringkat kuasa tertinggi iaitu, Lembaga Perlembagaan sebelum ia boleh diwartakan sebagai undang-undang - langkah tambahan yang dipohon oleh Perdana Menteri Jean Castex.


Pengumuman Macron sebelum ini menjadikan pas kesihatan itu wajib untuk pawagam, muzium dan venue di mana membabitkan perhimpunan dengan lebih 50 orang.


Selain itu, pengesahan itu diperlukan untuk pengangkutan udara dan tren antara bandar, termasuk untuk mengunjungi kafe dan restoran.


Pada masa sama, kakitangan kesihatan wajib divaksin.


Perancis merekodkan hampir 23,000 kes baharu Covid-19 pada Sabtu, dua kali ganda berbanding minggu lalu.


Lonjakan kes itu berikutan penularan varian Delta.


Parlimen Perancis luluskan pasport vaksin

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/07/734959/parlimen-perancis-luluskan-pasport-vaksin

26 Jul 2021

Umrah dibuka untuk jemaah luar negara mulai 10 Ogos

 

Arab Saudi mengumumkan ibadah umrah dibuka semula kepada jemaah dari luar negara, bermula 10 Ogos depan.


Menurut laporan Gulf News yang memetik Saudi Press Agency, pengumuman itu susulan kejayaan musim haji tahun ini.



Ibadah umrah bagi rakyat Arab Saudi dan penduduk ekspatriat, sudah dibuka semula mulai semalam.


Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdul Rahman Al-Sudais, mengarahkan semua pihak untuk supaya memuktamadkan persediaan untuk menerima jemaah meliputi umrah di Masjidilharam


Awal bulan ini, Kementerian Haji dan Umrah menggantung sementara permohonan untuk menunaikan solat dan ibadah umrah di Masjidilharam.


Ia bagi membolehkan jemaah menunaikan ibadah haji dengan lancar dan petugas menyelesaikan kerja sanitasi di Masjidilharam menjelang musim haji, tahun ini.


Sementara itu, menurut Twitter Haramain Sharifain, penerbangan langsung dibenarkan dari semua negara kecuali India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan dan Lubnan yang dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga, sebelum tiba di Arab Saudi.


Selain itu, mereka diwajibkan menerima vaksinasi Covid-19 lengkap, sama ada vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson (J&J).


Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China pula dikehendaki berserta dos 'penggalak' sama ada suntikan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau J&J.


Seterusnya, dibenarkan untuk jemaah berusia 18 tahun dan ke atas, serta ketibaan melalui agensi umrah yang ditauliahkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.


Umrah dibuka untuk jemaah luar negara mulai 10 Ogos

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/734904/umrah-dibuka-untuk-jemaah-luar-negara-mulai-10-ogos

24 Jul 2021

Lelaki hadiah cincin diperbuat daripada susu badan untuk kekasih

 

Seorang wanita dari Amerika Syarikat mendedahkan di laman Facebook bahawa teman lelakinya telah melamarnya  dengan memberikan sebentuk cincin diperbuat daripada susu badan wanita itu sendiri, lapor laman Lad Bible semalam.


Dia memuat naik foto jarinya yang disarungkan cincin tersebut dan menulis bahawa hadiah itu amat istimewa.



“Teman lelaki saya menghadiahkan cincin ini yang diperbuat daripada susu badan saya, ia amat istimewa,” tulis wanita itu.


Foto tersebut kemudian menjadi tular dengan netizen meninggalkan pelbagai komen mengenainya.


“Ia hanya susu, boleh juga buat cincin daripada kentang lecek,” tulis seorang netizen.


“Saya tidak faham apa yang begitu sentimental tentangnya. Ia adalah cecair daripada badan anda,” tulis seorang lagi netizen.


Barang perhiasan yang dihasilkan daripada susu badan sudah dikomersialkan selama beberapa tahun.


Pencipta barangan perhiasan sebegini dipercayai menggunakan susu badan yang sudah disejatkan sebelum dimasak dan dikeringkan dan dilapisi dengan resin. -Agensi


Lelaki hadiahkan kekasih cincin diperbuat daripada susu badan

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/07/23/lelaki-hadiahkan-kekasih-cincin-diperbuat-daripada-susu-badan/

23 Jul 2021

UNESCO singkir kawasan dermaga Liverpool dari senarai tapak warisan dunia

 

Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) hari ini memutuskan untuk menyingkirkan kawasan dermaga Liverpool dari senarai tapak warisan dunia berdasarkan undian tipis.


Alasan penyingkiran itu adalah kerana bimbang mengenai pembangunan yang berlebihan termasuk rancangan untuk membina stadium bola sepak baharu.



Pada mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh China, seramai 13 perwakilan mengundi menyokong, lima menentang dan hanya satu lagi diperlukan untuk menjadi dua pertiga bagi 'mengeluarkan' tapak berkenaan dari senarai global.


"Ini bermaksud tapak Bandar Maritim Mercantile Liverpool dibuang dari senarai tapak warisan dunia," kata Pengerusi Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO, Tian Xuejun.


Ia adalah penyingkiran yang ketiga selepas keputusan sebelumnya membabitkan Oman dan Jerman, selepas perbincangan jawatankuasa selama dua hari yang mendedahkan ketegangan mengenai bagaimana bandar-bandar di seluruh dunia dapat mengekalkan seperti masa lalu ketika bergerak kehadapan.


Datuk Bandar Liverpool, Steve Rotheram, menggelar keputusan itu sebagai 'langkah mundur' yang dibuat pegawai 'di sebalik dunia'.


"Tempat seperti Liverpool tidak boleh berhadapan dengan pilihan binari antara mempertahankan status warisan atau menjana semula komuniti yang ketinggalan dan kekayaan dari segi pekerjaan serta peluang yang datang bersamanya," katanya.


Kerajaan United Kingdom (UK) amat kecewa dengan keputusan itu.


Kerajaan percaya warisan dunia di Liverpool layak diberikan peranan signifikan dermaga bersejarah dan bandar yang lebih luas ada peranannya sepanjang sejarah," kata seorang jurucakap.


Tetapi delegasi UNESCO mendapat maklumat pelan pembangunan semula merangkumi pembinaan bangunan tinggi yang akan merosakkan warisan pelabuhan di barat laut England.


Majlis Antarabangsa mengenai Monumen dan Tapak yang memberi nasihat kepada UNESCO mengenai senarai tapak warisan berkata, kerajaan UK sudah berulang kali diminta untuk memberi jaminan yang lebih kuat mengenai masa depan bandar itu.


Stadium baharu yang dirancang untuk kelab bola sepak Everton sudah memperoleh kelulusan kerajaan tanpa sebarang inkuiri awam.


"Ia adalah contoh terbaru projek besar yang sama sekali bertentangan dengan matlamat UNESCO," katanya. - AFP


UNESCO keluarkan Liverpool dari senarai tapak warisan dunia

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/841895/unesco-keluarkan-liverpool-dari-senarai-tapak-warisan-dunia

22 Jul 2021

Dua pertiga populasi India dijangkiti Covid-19

 

Kira-kira dua pertiga populasi India dipercayai sudah dijangkiti Covid-19, menurut kajian yang dijalankan kerajaan.


Kaji selidik berdasarkan serum darah dalam kalangan 29,000 individu pada Jun dan Julai lalu menunjukkan 67.6 peratus yang terbabit dalam kajian itu sudah mempunyai antibodi.



Hasil kajian yang dilakukan Indian Council of Medical Research (ICMR) menunjukkan keadaan menyedihkan di India sekitar April dan Mei di mana ia merekodkan sehingga 400,000 kes dan 4,000 kematian setiap hari.


Pada Disember dan Januari, kurang 25 peratus kumpulan yang menyertai kajian sama memiliki antibodi positif.


Ketua ICMR, Balram Bhargava berkata, kajian berkenaan menunjukkan 'masih ada sinar harapan' untuk India.


"Namun, kita tidak boleh berpuas hati. Kita masih perlu mengekalkan tingkah laku bersesuaian dengan Covid-19," katanya.


Ratusan juta penduduk India yang tidak memiliki antibodi lebih mudah terdedah dengan jangkitan lebih teruk.


Hanya 13 peratus individu dewasa sudah menerima vaksin penuh.


India yang mempunyai 1.3 bilion penduduk hanya berjaya memberikan vaksin kepada lapan peratus individu dewasa, menimbulkan kebimbangan terhadap gelombang baru selepas ia melonggarkan sekatan.


Angka rasmi kematian di India mencecah 418,480, yang ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (609,000) dan Brazil (544,000).


Dua pertiga penduduk India sudah dijangkiti Covid-19

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/07/733251/dua-pertiga-penduduk-india-sudah-dijangkiti-covid-19

Pakistan sekat aplikasi TikTok kali ke-empat

Pakistan menyekat aplikasi perkongsian video popular, TikTok untuk kali keempat kerana 'kandungan tidak sesuai', menurut pengawalselia telekomunikasi negara itu.


Aplikasi dimiliki firma China itu beberapa kali terbabit dengan 'pertempuran perundangan' dengan aktivis agama dan pihak berkuasa di negara konservatif itu.


TikTok pada awal bulan ini pernah ditutup selama dua hari selepas diperintahkan Mahkamah Wilayah.



Penyokong kebebasan bersuara sudah sekian lama mengkritik langkah kerajaan menapis dan mengawal ruang internet serta media di Pakistan.


"Tindakan diambil berikutan kewujudan berterusan kandungan tidak sesuai pada platform berkenaan dan kegagalan untuk mengeluarkan kandungan itu," kata pihak berkuasa telekomunikasi dalam kenyataan.


Susulan ketetapan itu, wakil TikTok tempatan tidak memberikan sebarang komen.


TikTok memiliki pengikut yang ramai di Pakistan yang mana kebanyakannya menggunakan aplikasi itu untuk menjual barang secara dalam talian.


Terdapat kritikan dilontarkan negara Islam konservatif itu bahawa aplikasi TikTok mempromosikan unsur kelucahan dan kandungan lesbian gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).


Pada Jun lalu, TikTok memaklumkan pihaknya sudah mengeluarkan lebih enam juta video pengguna di Pakistan dalam tempoh tiga bulan susulan aduan dari pegawai kerajaan serta pengguna biasa.


Sekitar 15 peratus video dikeluarkan terpaksa dipadam kerana ada unsur 'kebogelan orang dewasa dan aktiviti seksual', kata syarikat.


Selain TikTok, pegawai juga meminta Youtube menyekat kandungan yang dianggap tidak sesuai dan mengharamkan beberapa aplikasi janji temu.


Pakistan sekat TikTok kerana promosi kelucahan dan unsur LGBTQ

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/07/733273/pakistan-sekat-tiktok-kerana-promosi-kelucahan-dan-unsur-lgbtq


21 Jul 2021

Jepun lulus antibodi Ronapreve rawat pesakit COVID-19

 

Firma farmaseutikal gergasi Switzerland, Roche, hari ini memaklumkan Jepun menjadi negara pertama meluluskan rawatan antibodi Ronapreve bagi pesakit COVID-19.


Kelulusan bagi ubat untuk mereka yang menghidap gejala ringan hingga sederhana itu dibuat berdasarkan dapatan ujian fasa 3 membabitkan koktel antibodi.




Ia berkesan bagi mengurangkan secara mendadak risiko pesakit COVID-19 bergejala ringan atau sederhana menjadi lebih serius sehingga terpaksa dikejar ke hospital atau mengundang maut.


Ronapreve, rawatan antibodi yang dibangunkan dengan kerjasama firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Regeneron, diluluskan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, kata Roche dalam satu kenyataan.


Ketua Pegawai Perubatan Roche dan Ketua Pembangunan Produk, Levi Garraway, dalam satu kenyataan bersama, berkata Ronapreve menunjukkan ia mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan dan kematian.


"Keupayaan untuk mempertahan kemunculan varian baharu terutama varian Delta, ditunjukkan dalam kajian praklinikal," katanya.


Menurut Roche, ujian fasa 3 Ronapreve menunjukkan pesakit risiko tinggi yang tidak dimasukkan ke hospital dan dirawat dengan ubat berkenaan mengalami penurunan risiko hingga 70 peratus.


Rawatan sama turut memendekkan jangka masa penyakit bergejala kepada empat hari, kata Roche sambil menambah ujian fasa 1 menunjukkan keselamatan dan penerimaan ubat berkenaan dalam kalangan penduduk Jepun.


Selain Jepun, rawatan yang menggunakan kombinasi antibodi turut diluluskan untuk kegunaan kecemasan atau kegunaan sementara semasa pandemik di beberapa negara termasuk di Kesatuan Eropah (EU), AS, India, Switzerland dan Kanada.


Campuran itu sedang melalui penelitian Agensi Ubat-ubatan Eropah, yang membenarkan penggunaannya sebagai rawatan pilihan untuk pesakit COVID-19 yang tidak memerlukan oksigen tetapi berisiko tinggi menjadi lebih teruk. - AFP


Jepun negara pertama lulus Ronapreve untuk COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/841534/jepun-negara-pertama-lulus-ronapreve-untuk-covid-19

19 Jul 2021

Creme de Ia Creme Pommes Frites kentang goreng termahal di dunia berharga RM841

 

Satu hidangan kentang goreng dijual pada harga AS$200 (kira-kira RM841) di sebuah restoran sejak Jumaat lalu.


Itu harga kentang goreng termahal di dunia dijual Serendipity3 yang diiktiraf sebagai kentang goreng termahal di dunia oleh Guinness World Records.



Hidangan itu diperkenalkan sempena Hari Kentang Gitend Dunia diberi nama Creme de Ia Creme Pommes Frites.


Cef eksekutif korporat, Frederick Schoen-Kiewert, berkata, dia teruja dan tidak dalam menggambarkan kegembiraan apabila melalui pengalaman sedemikian.


"Selepas dibuka semula, kami mahu menjadikan restoran ini kembali meriah.


"Kami anggap ini masa paling sesuai untuk memperkenalkan sesuatu yang menarik untuk memeriahkan semula New York," kata Pengarah Kreatif, Joe Calerdone.


Acara pengiktirafan itu dibuat Guinness World Records, baru-baru ini.


"Hari ini saya berbangga untuk mengiktiraf rekod dunia kentang goreng termahal di dunia kepada Serendipity3," kata Kaitlin Vesper.


Schoen-Kiewert berkata, resipi berkenaan mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang dibekalkan pembekal barangan berkualiti tinggi.


"Kami harap peluang ini boleh memperkenalkan bahan yang jarang digunakan setiap hari.


"Kami menggunakan bahan berkualiti tinggi seperti buah trufel, minyak trufel, krim serta sos keju selain menggunakan kentang Chipperbeck," katanya.


Kentang itu kemudian digoreng dengan lemak angsa tulen dari barat daya Perancis.


Selepas siap digoreng, kentang itu kemudiannya akan digaul bersama garam trufel dari Guerande, Perancis.


Ia kemudian akan dihidang dengan Crete Senesi Pecorino Tartufello yang diperbuat daripada susu biri-biri daeu Volterra dan Miniato, Itali.


Kentang goreng RM841!

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/amerika-utara/2021/07/732267/kentang-goreng-rm841

14 Jul 2021

Singapura lancar ladang solar terapung terbesar di dunia seluas 45 padang bola sepak

 

Singapura hari ini melancarkan salah satu ladang solar terapung terbesar di dunia, meliputi kawasan seluas 45 padang bola sepak, sebagai sebahagian usaha negara itu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.


Projek ini adalah yang paling bercita-cita tinggi di negara ini, terdiri daripada 122,000 panel solar yang akan menghasilkan tenaga elektrik mencukupi untuk menggerakkan lima loji rawatan airnya.



Singapura adalah antara pemancar karbon dioksida per kapita terbesar di Asia dan kekurangan tanahnya menjadikan usaha untuk meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui satu cabaran buat negara itu.


Negara itu akan memasang panel di pinggir pantai dan kawasan takungan bertujuan menggandakan pengeluaran tenaga solar pada 2025.


Ladang baru ini dapat menghasilkan tenaga elektrik hingga 60 megawatt, berupaya mengurangkan pelepasan karbon yang setara dengan pelepasan gas dari 7,000 kereta di jalan raya, menurut Sembcorp Industries dan agensi air nasional, PUB.


Sembcorp membina projek itu, seluas kira-kira 45 hektar, dengan sokongan daripada agensi berkenaan.


"Tenaga solar banyak, bersih dan hijau, ia kunci mengurangkan pelepasan karbon di Singapura," kata Ketua Eksekutif PUB, Ng Joo Hee.


Singapura juga sudah membangunkan sebuah ladang solar di Selat Johor, yang memisahkan negeri pulau itu dari Malaysia.


Kerajaannya pada Februari melancarkan 'pelan hijau' yang merangkumi langkah-langkah seperti menanam pokok, mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan dan membina lebih banyak stesen pengisian untuk mendorong penggunaan kereta elektrik.


Singapura berjanji mencapai sifar pelepasan karbon sepenuhnya secepat mungkin pada separuh kedua abad ini.


Pengkritik menyatakan tujuan negara itu jauh untuk mengiringi pencapaian di negara maju yang lain dan ia masih jauh untuk mencapai cita-cita persekitarannya. - AFP


Singapura lancar ladang solar terapung terbesar di dunia

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/07/839502/singapura-lancar-ladang-solar-terapung-terbesar-di-dunia

13 Jul 2021

The Golden Boy burger termahal di dunia berharga RM25,000

 

Harga AS$6,000 (kira-kira RM25,000) untuk sebiji burger dinamakan sebagai The Golden Boy.


Itu harga yang perlu dibayar bagi mereka yang berkeinginan merasai burger termahal di dunia.



Burger berkenaan dibuat menggunakan 100 peratus daging wagyu, kaviar Beluga, ketam gergasi dan pelbagai bahan premium menjadikan harganya melambung.


Menu berkenaan dicipta Robbert Jan de Veen yang juga pemilik restoran Dutch De Daltons.


Dia kemudian melayari internet dan menemui artikel berkaitan burger termahal sebelum ini dengan harga AS$5,000 (kira-kira RM24,000) yang dibuat di sebuah restoran pada 2011.


Ia dilihat sebagai sesuatu yang menarik untuk dicuba, sebelum dia membuat keputusan untuk menawarkan burger lebih mahal daripada itu.


Burger yang dihasilkan juga hanya memfokuskan untuk dihabiskan seorang saja, berbanding jumlah yang ramai seperti sebelum ini.


Burger termahal sebelum ini dihasilkan dengan berat 350 kilogram (kg) yang mengandungi daging dan pelbagai bahan lain.


"Saya berfikir untuk menghasilkan burger termahal tapi hanya untuk dimakan seorang individu saja.


"Itu memperlihatkan burger yang dihasilkan paling mahal," katanya.


Katanya, sepanjang pandemik, operasi restorannya terhenti seketika sehingga di menjadi tertekan.


"Saya berasa tertekan dengan keadaan ini dan apa yang akan berlaku dengan industri restoran selepas ini," katanya kepada The National.


Dia kemudiannya membuat keputusan untuk mencipta burger termahal di dunia dan semua hasil jualan disumbangkan kepada pihak yang terjejas akibat pandemik berkenaan.


Selepas pelbagai cubaan dibuat, dia bagi menghasilkan resipi terbaik dengan kombinasi yang sesuai untuk membolehkan burger itu menjadi burger termahal di dunia.


Burger RM25,000!

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/07/729898/burger-rm25000

11 Jul 2021

Wanita 90 tahun positif Covid-19 varian Alpha dan Beta serentak

 

Seorang wanita berusia 90 tahun yang meninggal dunia akibat COVID-19, dikesan dijangkiti varian Alpha dan Beta serentak, kata penyelidik di Belgium hari ini, yang menyifatkan fenomena luar biasa itu kemungkinan dipandang mudah.


Wanita warga emas yang belum divaksin itu tinggal sendirian dan menerima penjagaan di rumah dimasukkan ke Hospital OLV di bandar Aalst, Belgium, selepas terjatuh dan didapati positif COVID-19 pada hari yang sama.


Tahap oksigen wanita itu pada mulanya baik, namun kemudian merosot dengan cepat dan meninggal dunia lima hari kemudian.


Ketika kakitangan perubatan menjalankan ujian mengesan kehadiran varian membimbang (VOC), mereka mendapati mangsa dijangkiti strain Alpha yang berasal dari Britain dan Beta yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan.


"Kedua-dua varian itu menular di Belgium pada masa yang sama, jadi kemungkinan wanita ini dijangkiti virus berbeza daripada dua orang yang berbeza.


"Malangnya, kami tidak tahu bagaimana dia dijangkiti," kata ahli biologi molekul, Anne Vankeerberghen dari Hospital OLV yang mengetuai penyelidikan itu.


Vankeerberghen berkata, sukar untuk mengatakan jangkitan bersama itu memainkan peranan kepada kemerosotan cepat keadaan pesakit.


Penyelidikan itu yang masih belum dihantar kepada jurnal perubatan untuk penerbitan, dibentangkan pada Kongres Eropah Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit.


Dalam satu kenyataan media, Vankeerberghen berkata, tiada 'kes lain diterbitkan' yang sama dengan jangkitan bersama itu dan menyifatkan 'fenomena itu kemungkinan dipandang mudah'.


Katanya, ini disebabkan ujian terhad yang dijalankan bagi VOC dan menggesa penggunaan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) pantas bagi mengesan mutasi varian yang diketahui. - AFP


Wanita 90 tahun dijangkiti dua varian COVID-19 serentak

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/837989/wanita-90-tahun-dijangkiti-dua-varian-covid-19-serentak

9 Jul 2021

Gaya rambut mangkuk tandas jadi trend

 

Trend menyimpan anak rambut, janggut dan bulu di sekeliling wajah, kini menjadi ikutan segelintir lelaki di United Kingdom (UK).


Daily Star melaporkan gaya itu menunjukkan lelaki terbabit memotong semua rambut kecuali pada bahagian depan dan tepi serta menyimpan jambang.



Ia menjadikan mereka kelihatan mempunyai gaya rambut lingkaran bulat.


Trend itu dikatakan tiba-tiba muncul selepas ada yang mencuba gaya berkenaan akibat bosan kerana duduk di rumah ketika sekatan pergerakan.


Ia juga kembali menjadi trend memandangkan orang ramai tidak dapat ke salun dan kedai gunting rambut.


Dalam pada itu, seorang pengkritik menyamakan gaya rambut dan jambang itu seperti mangkuk tandas.


Sementara itu, ada juga yang menyifatkan gaya itu menjadikan seseorang individu nampak seperti mahu melakukan jenayah.


"Ia buat wajah anda jadi lebih ganas daripada biasa," katanya.


Sementara yang lain mahu gaya itu dihapuskan daripada muka bumi.


"Saya tidak percaya gaya itu adalah trend terkini," katanya.


Salah seorang pengikut trend itu, Jeremy Clarkson, 61, berkata, dia tidak bercukur selama seminggu pada musim bunga yang lalu.


Ia untuk mendapatkan gaya rambut seperti itu.


Bagi sesetengah pihak, trend itu lebih teruk daripada gaya rambut Mullet yang pernah popular pada tahun 80-an.


Mullet ialah gaya rambut yang dipotong pendek di bahagian tepi dan dibiarkan sedikit panjang di belakang.


Gaya rambut itu pernah digayakan oleh ramai selebriti pada zaman berkenaan termasuk penyampai radio dan televisyen di United Kingdom, Pat Sharp.


Selain itu, gaya rambut sama dikenakan pemain bola sepak, Chris Waddle.


Gaya rambut 'mangkuk tandas'

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/728255/gaya-rambut-mangkuk-tandas


Gaya Mullet : sumber wikipedia