• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

7 Okt 2021

Nicole Oliveira ahli astronomi termuda dunia

 

Usianya baru lapan tahun, namun kanak-kanak di Brazil ini 'mengejutkan' dunia apabila diisytihar sebagai ahli astronomi termuda dunia.


Nicole Oliveira adalah peserta dalam program usaha sama dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).



Kanak-kanak itu terbabit dalam misi pencarian asteroid selain turut menghadiri seminar antarabangsa dan pertemuan dengan negara terkemuka dalam bidang sains dan angkasa.


Projek berkenaan dikenali sebagai 'Asteroid Hunters' yang memperkenalkan orang muda kepada sains dengan memberi peluang kepada mereka menjelajah angkasa lepas dengan cara mereka sendiri.


Dalam saluran YouTube miliknya, Nicole diwawancara tokoh berpengaruh bidang itu, ahli astronomi Brazil, Duilia de Mello,



Beliau pernah mengambil bahagian dalam penemuan supernova dikenali sebagai SN 1997D.


Tahun lalu, Nicole bertemu dengan Menteri Sains Brazil dan angkasawan Marcos Pontes di Brasilia.


Marcos, satu-satunya wakil dari Brazil yang berjaya ke angkasa lepas.


Ahli astronomi termuda dunia

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/amerika-selatan/2021/10/761974/ahli-astronomi-termuda-dunia

5 Okt 2021

Nelayan temui muntah ikan paus bernilai RM5 juta

 

Seorang nelayan di Thailand bakal bergelar jutawan segera apabila menemui 'muntah' ikan paus yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.2 juta (RM5 juta).


Narong Phetcharaj pergi ke pantai ketika melihat objek aneh di pantai Niyom di wilayah Surat Thani, selatan Thailand.


Portal The National News melaporkan dia kemudian menjumpai ambergris bersaiz besar.



Objek itu dipercayai dimuntahkan paus sperma dan dijangka dapat dijual dengan harga hingga AS$40,000 (RM167,000) sekilogram.


Phetcharaj menemukan ambergris seberat 30 kilogram dan dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.2 juta.


Kumpulan nelayan itu kemudian membawa 'muntah' itu kepada pakar di Universiti Prince of Songkla yang mengesahkannya sebagai ambergris.


Batu itu dihasilkan oleh ikan paus selepas memakan sejumlah besar sefalopod seperti sotong dan ia terhasil disebabkan tidak dicerna sepenuhnya.


Bahagian itu bergerak ke usus ikan paus, perlahan-lahan menjadi jisim padat dalam perut mamalia besar itu selama bertahun-tahun.


Ikan paus itu kemudian memuntahkannya sebelum ia terapung di permukaan laut.


Baunya ketika basah sangat busuk tetapi selepas mengering ia mengeluarkan aroma manis dan tahan lama, menjadikannya ramuan paling dicari dalam industri minyak wangi.


"Tidak ada penduduk kampung yang pernah melihat atau menyentuh ambergris sebenar dan itulah sebabnya semua orang gembira.


"Saya sangat teruja, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya merancang untuk menjual ambergris ini kerana saya sudah menerima sijil untuk membuktikan ia benar.


"Sekiranya saya dapat harga yang baik, saya akan berhenti bekerja sebagai nelayan dan mengadakan pesta untuk rakan saya," kata Petcharaj.


Objek itu disebut harta karun laut dan diibaratkan seperti 'emas terapung.'


'Emas terapung' RM5 juta

pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/10/762694/emas-terapung-rm5-juta

Russia lancar peluru berpandu hipersonik dari kapal selam

 

Russia selesai melancarkan dua peluru berpandu hipersonik, termasuk satu yang dilancarkan melalui kapal selam dalam ujian terbaru yang digelar Presiden Vladimir Putin sebagai senjata terkini sukar untuk 'dikalahkan'.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Moscow membangunkan senjata baharu bagi menyaingi perlumbaan pembangunan senjata dengan Amerika Syarikat (AS), untuk memberi tekanan kepada Barat.



Teknologi hipersonik mampu mencapai kepantasan lebih dari lima kali daripada kelajuan bunyi dan berubah pada pertengahan penerbangan, menjadikannya jauh lebih sukar untuk dikesan dan dipintas melalui projektil tradisional.


Tentera memberitahu, mereka melancarkan peluru berpandu Zircon dari kapal selam nuklear Severodvinsk dan menuju tepat ke sasaran ujian di Laut Barents di Artik Russia.


Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata; "Ujian peluru berpandu Zircon dari kapal selam nuklear dianggap berjaya."


Kementerian itu turut mengeluarkan rakaman video asal yang menunjukkan tembakan peluru berpandu menerangi langit malam ketika pelancarannya.


Dalam satu kenyataan lain hari ini, kementerian itu mengumumkan mereka berjaya menyelesaikan satu lagi ujian pelancaran Zircon dari kapal selam yang sama tetapi dari jarak 40 meter di bawah permukaan laut.


"Buat 'pertama kalinya' peluru berpandu itu dilancarkan dari posisi tenggelam di dasar laut," menurut kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita Russia.


Beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa ujian dilakukan ke atas peluru berpandu termasuk pelancaran dari kapal perang Laksamana Gorshkov.


Putin dalam satu ucapan pada 2018, mengumumkan mengenai pembangunan senjata hipersonik baru, termasuk Zircon, dengan menyatakan ia dapat menyerang sasaran di laut dan di darat yang dapat mencapai sasaran sehingga 1,000 kilometer.


Zircon meneruskan pembangunan senjata Russia selepas negara itu melancarkan peluru berpandu hipersonik Avangard yang mula digunakan pada 2019 dan peluru berpandu udara Kinzhal (Dagger) yang dilancarkan dari gudang senjata Russia.


Pelancaran itu dilakukan seminggu selepas Korea Utara menyatakan mereka berjaya menguji senjata hipersonik baru, menjadi negara terbaru yang menyertai perlumbaan senjata hipersonik.


Pakar mengakui pada masa ini Russia mempunyai kelebihan dalam pembangunan senjatanya. - AFP


Russia lancarkan peluru berpandu hipersonik dari kapal selam

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/10/872435/russia-lancarkan-peluru-berpandu-hipersonik-dari-kapal-selam

29 Sep 2021

Sanofi henti bangun vaksin Covid-19 guna teknologi mRNA

 

Syarikat Perancis, Sanofi, yang ketinggalan dalam penghasilan vaksin generasi baharu COVID-19, hari ini memutuskan untuk menghentikan penghasilan vaksin menggunakan teknologi messenger Asid Ribonukleik (mRNA)


Sebaliknya, gergasi farmaseutikal itu akan menumpukan kepada vaksin lain bagi memerangi coronavirus.



Walaupun hasil ujian peringkat pertama dan dua ujian klinikal menunjukkan petanda positif, vaksin yang sedang dibangunkan itu tidak akan diteruskan bagi fasa ketiga dan terakhir.


Sanofi percaya vaksin itu akan dibekalkan terlalu lewat di pasaran dengan 12 bilion dos vaksin COVID-19 lain dijangka dikeluarkan menjelang hujung tahun ini.


Keputusan bagi fasa ketiga ujian klinikal membabitkan vaksin lain yang sedang dibangunkan syarikat itu bersama pengeluar dari Britain, GlaxoSmithKline (GSK), dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.


Melalui kerjasama itu, ia menggabungkan antigen dibangunkan Sanofi dengan teknologi adjuvant GSK yang merangsang pengeluaran antibodi pembunuh kuman iaitu bahan bagi meningkatkan tindak balas imun dicetuskan vaksin.


Sanofi berkata, keputusan awal bagi produk MRNA menunjukkan antibodi terhasil sebanyak 91 hingga 100 peratus dalam kalangan penerimanya dua minggu selepas suntikan dos kedua.


Selain itu, hasil ujian itu turut mendapati tidak ada sebarang kesan sampingan dikenal pasti, jika dibandingkan dengan vaksin lain dibangunkan oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna.


Menurut Timbalan Presiden Sanofi, Thomas Triomphe, tindak balas imun daripada vaksin mRNA keluarannya disifatkan sebagai 'kuat'.


Bagaimanapun, beliau mengakui keperluan semasa bukanlah untuk mencipta vaksin ARN COVID-19 yang baharu tetapi menyediakan Perancis dan Eropah dengan senjata vaksin bagi pandemik seterusnya, untuk patologi baharu.


"Tidak ada keperluan kesihatan awam bagi pembuatan vaksin mRNA terhadap COVID-19," katanya.


mRNA berfungsi memberikan petunjuk genetik sel manusia untuk membuat protein pada permukaan coronavirus, yang melatih sistem kekebalan tubuh untuk mengenali virus sebenar.


Sanofi juga sudah melancarkan ujian baharu bagi vaksin selesema bermusim dan berhasrat memulakan kajian klinikal pada tahun depan. - AFP


Sanofi henti bangunkan vaksin COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/09/869913/sanofi-henti-bangunkan-vaksin-covid-19

26 Sep 2021

Cecair merah di tanah perkuburan bukan darah

 

Cecair yang mengalir seperti darah daripada Tanah Perkuburan Islam Forest Height Senawang di sini, dikenal pasti bukan darah namun siasatan masih dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sembilan.


Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Ibrahim Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati cecair berkenaan bukan darah seperti yang viral di laman sosial.



Beliau berkata, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan Datuk Bandar cMBS, Datuk Masri Razali serta Setiausaha MBS Mas Midyawan Yahya melawat lokasi kejadian, petang tadi.


Katanya, pihaknya juga sudah diberikan penerangan oleh pegawai dari JMG Negeri Sembilan mengenai fenomena yang berlaku di tanah perkuburan itu.


"Kami dimaklumkan bahawa tapak tanah asal perkuburan terbabit adalah tempat berpaya dan berair serta terdapat beberapa kolam di kawasan itu.


"Malah, batu di tapak berkenaan adalah jenis merah mengandungi mineral besi. Interaksi antara batu, air dan tanah menghasilkan oxide (karat) berwarna merah.


"Sebab itu air yang mengalir di sekeliling kawasan perkuburan itu berwarna merah, namun ia bukan darah seperti dakwaan pelbagai pihak. Jika dilihat dengan mata kasar pun jelas tidak menyamai darah," katanya ketika dihubungi, malam ini.


Terdahulu, viral pelbagai gambar mengenai kawasan perkuburan itu yang dipenuhi cecair berwarna merah seperti darah mengalir di celah-celah kubur sehingga menimbulkan kegemparan dalam kalangan orang ramai.


Mereka mendakwa cecair berkenaan adalah darah yang keluar daripada kubur terbabit.


Ibrahim berkata, tanah perkuburan berkenaan diwujudkan menerusi wakaf dan ketika ini MBS menutup sementara berikutan tapak sedia ada itu sudah penuh.


Katanya, tapak berkenaan akan dibuka semula sebaik projek tapak baharu bersebelahan siap sepenuhnya.


Cecair merah di tanah kubur bukan darah

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/868715/cecair-merah-di-tanah-kubur-bukan-darah

23 Sep 2021

Umeno Sumiyama dan Koume Kodama kembar seiras tertua di dunia

 

Kembar perempuan di Jepun yang lahir pada 1913 diiktiraf kembar seiras tertua di dunia oleh Guinness World Records.


Umeno Sumiyama dan pasangan kembarnya Koume Kodama direkodkan berusia 107 tahun 300 hari.



Kedua-duanya yang dilahirkan di Pulau Shodo, Wilayah Kagawa pada 5 November 1913 diiktiraf kembar seiras tertua pada 1 September lalu.


Mereka yang kini tinggal berasingan di pusat jagaan menerima sijil pengiktirafan berkenaan secara pos, berikutan pandemik Covid-19.


Sebelum ini, rekod itu disandang warga Jepun, Kin Narita dan Gin Kanie. Namun, Kin Narita meninggal dunia pada 2000 ketika berusia 107 tahun 175 hari.


Dalam pada itu, pekerja pusat jagaan berkata, Sumiyama menangis terharu ketika menerima rekod terbabit, manakala Kodama yang ingatannya semakin merosot kurang memahami kepentingan rekod berkenaan.


Kembar seiras tertua di dunia

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/09/758173/kembar-seiras-tertua-di-dunia

20 Sep 2021

unifi tambah 12 saluran baru bermula 1 Oktober

 

unifi akan menawarkan 12 saluran dan tujuh aplikasi penstriman baharu menerusi unifi TV bermula 1 Oktober 2021, selaras usaha berterusan jenama itu mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan konvergen utama negara.


Ia juga sejajar komitmennya untuk menyediakan hiburan bertaraf dunia dan berkualiti tinggi untuk tontonan di rumah dan di mana sahaja.


12 saluran linear baharu terbabit adalah Celestial Movies, CCM, K-Plus, GEM, AXN, Animax, HITS, HITS MOVIES, TechStorm, Arirang TV, SPOTV dan SPOTV2.


Manakala, tujuh aplikasi penstriman baharu yang diperkenalkan adalah Amazon Prime Video, Lionsgate Play, TVBAnywhere+, iQiyi, Viu, ZEE5 dan Simply South.


Aplikasi penstriman terbabit akan boleh didapati di unifi Plus Box untuk ditonton di rumah atau dimuat turun oleh pelanggan ke peranti pintar mereka untuk ditonton dari mana-mana sahaja.


Ketua Pegawai Komersial Telekom Malaysia Berhad (TM), Anand Vijayan, berkata beliau optimis bahawa penawaran baharu di unifi TV akan mengalakkan pendaftaran pelanggan baharu berikutan kekuatan penawaran konvergen jenama itu.


Katanya, dengan tambahan saluran baharu, unifi TV bakal menawarkan sejumlah 73 saluran dan 10 aplikasi penstriman di platformnya.


"Selain itu, ini julung-julung kalinya aplikasi Lionsgate Play dan Simply South ditawarkan di Malaysia di platform pengumpulan kandungan


seperti unifi TV, yang juga penyedia perkhidmatan kandungan yang pertama di negara ini menawarkan saluran linear serta aplikasi penstriman di dalam satu platform menerusi unifi Plus Box," katanya dalam satu kenyataan.


Aplikasi penstriman Lionsgate Play menempatkan filem-filem pecah panggung, kandungan asal dan premium, selain siri-siri yang gemar ditontoni.


Ia juga menawarkan pilihan program yang tidak luput ditelan zaman dan program yang ikonik untuk seisi keluarga di saluran AXN, HITS serta HITS MOVIES.


Kebanyakan saluran baharu dan aplikasi penstriman terbabit akan menepati citarasa ramai dengan pelbagai pilihan rancangan dan program hiburan vernakular yang lebih meluas untuk semua orang.


Siri-siri Melayu yang terkenal dan ekslusif akan boleh ditontoni di Viu dan iQiyi, manakala untuk peminat-peminat kandungan hiburan Cina, pelanggan akan mempunyai banyak pilihan kandungan di Celestial Movies, CCM, iQiyi dan TVBAnywhere bagi memenuhi citarasa tontonan.


Bagi peminat kandungan dari India, dua rakan aplikasi baharu, Simply South dan ZEE5 ditambah ke dalam penawaran kandungan untuk dinikmati mereka.


unifi TV tambah 12 saluran baru

19 Sep 2021

Jururawat jumpa kamera mini dalam bilik mandi wad hospital

 

Polis menahan seorang pembantu perawatan kesihatan sebuah hospital di sini untuk siasatan susulan penemuan kamera mini dipasang dalam bilik mandi sebuah wad hospital berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan jam 7.20 malam Khamis lalu di hospital terbabit.



Katanya, kamera mini berkenaan ditemui seorang jururawat, kira-kira jam 6.30 petang hari yang sama selepas curiga melihat peralatan elektronik dalam bilik mandi terbabit sebelum menghubungi polis.


"Siasatan mendapati jururawat terbabit yang berada dalam bilik mandi menemui peralatan elektronik itu dalam kotak tisu yang dilekat pada dinding selepas dia membuat pemeriksaan apabila terdengar bunyi benda terjatuh.


"Jururawat itu kemudian menghubungi polis dan menyerahkan semua barang terbabit. Hasil siasatan, seorang lelaki yang juga kakitangan hospital berkenaan berjaya ditahan di hadapan sebuah wad hospital terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, selain kamera mini, polis turut merampas pengecas mudah alih, sebuah telefon bimbit, dua kad SIM, memori kad dan kabel daripada suspek.


"Hasil siasatan awal, suspek mengaku yang dia membeli kamera mini berkenaan dalam satu aplikasi platform e-dagang secara dalam talian sejak sebulan lalu.


Suspek juga mendakwa meletakkan kamera mini terbabit jam 5 petang hari sama, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.


Jururawat jumpa kamera mini dalam bilik mandi

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/09/865531/jururawat-jumpa-kamera-mini-dalam-bilik-mandi

Laluan Seksyen 43.9 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland ditutup kerana tanah runtuh

 

Tanah runtuh dilaporkan berlaku di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini, petang tadi, menyebabkan laluan itu di Seksyen 43.9 ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik bermula 9 malam ini.


Perkara itu disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta yang menyatakan kejadian membabitkan laluan sepanjang 30 meter dengan lebar lima meter yang dikesan 5.45 petang tadi.



Susulan itu, jabatan terbabit bersama syarikat konsesi Belati Wangsa (M) Sdn Bhd, melakukan pemantauan di lokasi terbabit.


JKR Daerah Kinta menerusi kenyataan yang dikongsikan kepada media malam ini berkata, runtuhan laluan di kawasan cerun terbabit berkemungkinan disebabkan faktor hujan berterusan yang menyebabkan struktur tanah menjadi lemah serta tidak kukuh.


Katanya, pengguna jalan raya bagaimanapun masih dapat menggunakan jalan alternatif iaitu Laluan FT059, Jalan Tapah-Ringlet.


Seksyen 43.9 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/756557/seksyen-439-jalan-simpang-pulai-cameron-highlands-ditutup

17 Sep 2021

Cuba mohon kelulusan vaksin Covid-19 Abdala dan Soberana 02

 

Cuba semalam berkata, pihaknya akan memohon kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi dua vaksin COVID-19 dibangunkannya untuk dikomersialkan secara meluas.


Proses pemeriksaan bermula hari ini, dengan pakar WHO memeriksa suntikan vaksin Abdala dan Soberana 02, kata Rolando Perez dari kumpulan farmasi negara BioCubaFarma.



Perez berkata, pakar akan memeriksa keselamatan, kekebalan (kemampuan vaksin memprovokasi tindak balas imun) dan keberkesanan vaksin.


Wakil WHO di Cuba, Jose Moya, memberitahu AFP akan ada 'pertemuan maya pertama' antara pakar di Havana, Geneva dan Washington, hari ini.


Cuba menggunakan vaksin dihasilkannya dalam kempen inokulasi COVID-19, termasuk bagi kanak-kanak.


Vaksin julung kali dibangunkan di Amerika Latin itu belum menjalani kajian antarabangsa.


Penghasilannya menggunakan teknologi gabungan semula protein seperti digunakan Novavax keluaran Amerika Syarikat (AS) dan Sanofi, Perancis.


Tidak seperti kebanyakan pelalian lain, vaksin gabungan protein tidak memerlukan penyejukan melampau.


Perez berkata, kemampuan Cuba menjual vaksinnya ke negara lain tidak bergantung pada persetujuan WHO, kerana ia adalah keputusan pihak berkuasa kesihatan nasional.


Bagaimanapun, ia akan 'memudahkan (vaksin) masuk ke pasaran negara lain, selepas keperluan pulau itu mencukupi'.


Beberapa negara termasuk Argentina dan Mexico menunjukkan minat untuk mendapatkan vaksin Cuba, manakala Venezuela sudah menandatangani kontrak pembelian, dan Iran pula menghasilkan Soberana 02 di negaranya.


Menerusi sekatan AS sejak 1962, Cuba mempunyai tradisi lama membuat vaksin sendiri, sejak 1980-an.


Hampir 80 peratus inokulasi dihasilkan secara tempatan.


Saintis Cuba berkata, Abdala dan Soberana 02 terbukti lebih 90 peratus berkesan mencegah kes COVID-19 bergejala.


Sebanyak 38.5 peratus daripada populasi 11.2 juta negara itu lengkap divaksinasi, yang turut menggunakan Sinofarm keluaran China.


Cuba mencatakjan 786,497 kes COVID-19 membabitkan 6,523 kematian. - AFP


Cuba mohon kelulusan WHO bagi vaksin COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/09/864745/cuba-mohon-kelulusan-who-bagi-vaksin-covid-19

9 Sep 2021

Taliban janji lantik anggota kabinet wanita

 

Kerajaan Afghanistan akan dianggotai kaum wanita pada masa depan, kata jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid.


Pada Selasa, Taliban mengumumkan pembentukan kerajaan sementara Afghanistan yang menyaksikan tiada menteri dilantik dalam kalangan wanita, lapor Sputnik.



"Kerajaan ini bersifat sementara. Kami akan menyediakan jawatan buat wanita, tertakluk dengan undang-undang Syariah. Ini adalah permulaan, tetapi kami akan mencari jawatan sesuai buat mereka untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan. Ia akan dibuat pada fasa kedua," kata Mujahid kepada stesen penyiar BFMTV pada Rabu.


Pada Rabu, rakyat Kabul mengadakan tunjuk perasaan di daerah Dashte Barchi, barat Kabul, menuntut penyertaan wanita dalam menganggotai Kabinet.


Taliban janji lantik wanita anggotai Kabinet, pada masa depan

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/09/752748/taliban-janji-lantik-wanita-anggotai-kabinet-pada-masa-depan

8 Sep 2021

Lelaki telan telefon Nokia 3310

 

Seorang doktor berjaya mengeluarkan telefon bimbit jenama Nokia 3310 yang ditelan seorang lelaki menggunakan kaedah endoskopi.


Portal Mirror melaporkan, telefon bimbit itu ditelan seorang lelaki dari Kosovo, berusia 33 tahun dan ia sudah berada dalam perutnya selama empat hari.



Menurut sekumpulan doktor, saiz telefon bimbit yang terlalu besar menyebabkannya tidak boleh dicerna sekali gus membahayakan nyawa lelaki berkenaan.


Bukan saja itu, asid bateri telefon bimbit itu yang bersifat menghakis boleh mengakibatkan kebocoran usus dan mengancam nyawa.


Dr Skender Teljaku yang mengetuai pasukan perubatan berkongsi beberapa gambar telefon bimbit itu selepas dikeluarkan.


Beliau juga memuat naik imbasan sinar-X yang memaparkan telefon bimbit di dalam perut lelaki itu.


Teljaku berjaya mengeluarkan telefon bimbit Nokia 3310 dari perut lelaki itu tanpa sebarang pembedahan sebaliknya berjaya membawa keluar telefon bimbit itu menggunakan kaedah endoskopi.


"Ia dilakukan dengan membawa keluar tiga bahagian telefon bimbit itu secara berperingkat. Tiada komplikasi ketika prosedur itu dilakukan," katanya.


Berdasarkan laporan media tempatan, lelaki itu datang sendiri ke hospital di Pristina selepas mengalami kesakitan akibat menelan gajet berkenaan.


Lelaki telan Nokia 3310

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/09/752213/lelaki-telan-nokia-3310

7 Sep 2021

90 ahli keluarga mangsa pesawat MH17 mula beri keterangan di mahkamah

 

Kira-kira 90 ahli keluarga kepada 298 mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, akan memberi keterangan di mahkamah di sini, bermula Isnin.


Prosiding untuk tujuan itu dijangka akan mengambil masa tiga minggu.



Menurut NL Times, ada antara waris akan di mahkamah, selebihnya akan memberi keterangan menerusi panggilan video kerana tidak dapat menghadiri prosiding berkenaan


Selain itu, ratusan lagi akan menulis keterangan yang akan dikemukakan dalam kes berkenaan.


Difahamkan, ada kalangan mereka akan menunjukkan foto dan video mangsa atau membawa barangan peribadi yang akan dikemukakan di mahkamah.


Peguam yang mewakili 150 waris kepada mangsa, Arlette Schijns berkata, keterangan waris itu bagi menunjukkan kepada mahkamah dan dunia mengenai impak tragedi itu.


Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila dibedil peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia, menurut penyiasat serta pendakwa antarabangsa.


Tiga rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine yang disyaki memainkan peranan utama dalam kumpulan pemisah kini dibicarakan atas tuduhan bunuh.


Mereka ialah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.


Moscow enggan mengekstradisi mereka yang berada di Rusia, selain menafikan bertanggungjawab seperti didakwa oleh kerajaan Belanda.


Kapal terbang itu terhempas di sebuah padang dalam wilayah dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia yang menentang tentera Ukraine.


Selepas menghimpunkan bukti selama beberapa tahun, pada Mei 2018 sepasukan penyiasat antarabangsa menyimpulkan bahawa pelancar yang digunakan untuk menembak peluru berpandu berkenaan adalah milik Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat Rusia.


Waris MH17 beri keterangan di mahkamah, bermula hari ini

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/09/751726/waris-mh17-beri-keterangan-di-mahkamah-bermula-hari-ini

6 Sep 2021

perjalanan mimpi yang terakhir : Polis akan mohon sambung tempoh reman Sittah Annur

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan permohonan reman tambahan terhadap ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang menggunakan gelaran Sittah Annur berusia 39 tahun.


Reman terhadap suspek dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.



Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya akan memohon untuk menyambung reman suspek kerana terdapat beberapa perkara lagi yang perlu disiasat.


"Setakat ini, siasatan masih berjalan, pihak polis sedang meneliti semua video yang dimuat naik menerusi pelbagai platform seperti Youtube dan Facebook.


"Dokumen-dokumen berkaitan juga sudah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Terdahulu, polis menahan Sittah pada 4 September lalu selepas menyerbu kediamannya di Shah Alam.


Polis turut membuat rampasan lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, sekeping resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan sebanyak RM84,721.42 dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan oleh suspek semasa membuat Live Facebook.


Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.


Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.


Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.


Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.


Lebih membimbangkan, perancangan teliti ala tentera dirancang kumpulan itu membabitkan pergerakan ke 29 lokasi di seluruh negara sebaik berlakunya serangan di Sabah.


Susulan pendedahan Harian Metro, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis di seluruh negara mendesak pihak berkuasa agama dan PDRM mengambil tindakan segera terhadap kumpulan berkenaan yang disifatkan mengganggu ketenteraman awam selain menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.


Pelbagai pihak berkuasa agama negeri termasuk Jakim dan Mufti menyifatkan ajaran ini terpesong daripada Islam.


PMYT: Polis akan mohon sambung reman ketua ajaran

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/751577/pmyt-polis-akan-mohon-sambung-reman-ketua-ajaran

2 Sep 2021

Wanita parah kemaluan dijahit suami

 

Tidak masuk akal, seorang suami di India tergamak menjahit kemaluan isterinya kerana menyangka wanita itu curang.


Lelaki itu bertindak kejam kerana mahu membalas dendam.



Akibatnya, wanita itu parah pada bahagian alat sulitnya dan dirawat di hospital manakala suaminya masih dalam buruan polis.


Sebuah laporan menyebut, insiden yang berlaku di Madhya Pradesh itu terbongkar selepas kempen penderaan dijalankan.


Doktor yang merawat wanita itu memaklumkan, keadaan mangsa kini stabil.



Sementara itu, Asisten Superintendan Polis Singrauli, Anil Sonkar mengesahkan, kes dirujuk kepadanya selepas mangsa membuat laporan dan siasatan masih berjalan.


Portal The Sun melaporkan, walaupun mangsa mengalami penderaan dan kesakitan akibat perbuatan suaminya, namun dia meminta pihak berkuasa bertoleransi dengan suspek.


Suami jahit kemaluan isteri disyaki curang

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/09/749829/suami-jahit-kemaluan-isteri-disyaki-curang

1 Sep 2021

China had masa remaja main permainan video

 

Remaja bawah 18 tahun hanya dibenarkan bermain permainan video dalam talian selama sejam pada Jumaat, hari minggu dan cuti umum, kata pihak berkuasa permainan video di China.


Pihak Pentadbiran Akhbar dan Penerbitan memaklumkan kepada Xinhua, kebenaran itu diberikan bermula antara jam 8 malam hingga 9 malam.



Arahan itu juga diberikan kepada syarikat penyedia perkhidmatan permainan video untuk menghalang kanak-kanak bermain permainan video dalam tempoh itu.


Pemeriksaan terhadap syarikat permainan video juga akan ditingkatkan bagi memastikan pematuhan terhadap arahan baharu itu.


Sebelum ini, peraturan menetapkan kanak-kanak hanya dibenarkan bermain permainan video selama 90 minit sehari untuk hari biasa, manakala ketika hari cuti selama tiga jam.


Tindakan itu dibuat susulan keprihatinan terhadap ketagihan permainan video terhadap generasi muda.


Dalam artikel dikeluarkan Maklumat Ekonomi Harian mendakwa, ramai remaja kini ketagihan permainan video dalam talian sehingga memberi impak negatif kepada mereka.


Artikel itu juga menyebabkan penurunan harga saham beberapa syarikat utama permainan video dalam talian China.


Pada Julai, gergasi permainan video dalam talian China, Tencent menggunakan teknik pengesanan wajah untuk menghalang kanak-kanak bermain permainan video antara jam 10 malam hingga 8 pagi.


Tindakan itu dibuat bagi menghalang kanak-kanak menggunakan identiti individu dewasa untuk bermain permainan video.


Ia ternyata mengecewakan hampir 10 juta peminat permainan video di negara berkenaan.


Pihak berkuasa China mengambil serius ketagihan permainan video yang menjadi masalah kepada kebanyakan remaja. - AGENSI


China hadkan masa remaja main permainan video

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/09/858388/china-hadkan-masa-remaja-main-permainan-video

30 Ogo 2021

Netizen di China cecah 1.011 bilion orang

 

Setakat Jun lalu, jumlah netizen di China telah mencecah 1.011 bilion orang, bertambah 21.75 juta berbanding Disember 2020, memetik data Pusat Maklumat Rangkaian Internet China (CNNIC) semalam.


Jumlah itu bersamaan 71.6 peratus populasi negara ini yang mempunyai akses internet.



Menurut data itu lagi, penggunaan internet perseorangan di China pada separuh pertama tahun ini menunjukkan trend pertumbuhan yang stabil.


Jumlah netizen yang menggunakan aplikasi untuk menempah makanan dan minuman, perubatan dan pengurusan kerja meningkat lebih 10 peratus, sekali gus mencerminkan pertumbuhan paling ketara.


Selain itu, sebanyak 86.3 peratus netizen China pernah melakukan urusan pembayaran melalui internet, dengan mencatat 872 juta orang, iaitu bertambah 17.87 juta orang berbanding Disember 2020.


Data berkenaan menunjukkan sejumlah 80.3 peratus netizen mewakili 812 juta penduduk mempunyai pengalaman membeli-belah dalam talian.


Seiring pembangunan desa digital yang menggalakkan di China, sebanyak 59.2 peratus populasi di kawasan desa sudah mempunyai akses internet.


Model komersial baharu dalam talian terutamanya promosi produk menerusi platform penstriman telah dijadikan saluran baharu dalam pemasaran hasil pertanian. - BERNAMA


Netizen di China cecah satu bilion

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/857386/netizen-di-china-cecah-satu-bilion

28 Ogo 2021

Bekalan vaksin Moderna ke Jepun digantung kerana penemuan bendasing dipercayai unsur logam

 

Bendasing dalam bekalan vaksin Moderna yang dihantar ke Jepun dipercayai mengandungi unsur logam, lapor media rasminya, NHK, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.


Jepun semalam menggantung penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna, lebih seminggu selepas pengedar tempatannya menerima laporan terdapat bahan cemar dalam beberapa botol.



Laporan NHK yang disiarkan semalam memetik kenyataan Kementerian Kesihatan sebagai berkata, unsur itu bertindak balas terhadap magnet, justeru disyaki sebagai logam.


Moderna menjelaskan ia sebagai 'bahan zarah' yang tidak mengundang sebarang isu berkaitan keselamatan atau keberkesanan vaksin berkenaan.


Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, identiti bahan tercemar itu masih belum disahkan setakat ini.


Berita berkenaan dijangka memberi kesan kepada sambutan terhadap program vaksinasi di Jepun yang ketika ini bergelut untuk meyakinkan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda, untuk divaksinasi.


Hari ini, lapan lagi wilayah memasuki perintah darurat, menjadikan 80 peratus penduduk di Jepun kini berada di bawah sekatan bagi menangani penularan COVID-19.


Kerajaan melaporkan 25,000 jangkitan baharu dan 2,000 kes kritikal direkodkan setakat semalam.


Kementerian Kesihatan berkata, tindakan menggantung kumpulan vaksin Moderna itu adalah sebagai langkah berwaspada, namun ia mendorong beberapa syarikat membatalkan keputusan mevaksinasi pekerja mereka.


Perkara itu turut mendapat perhatian pengawal selia ubat-ubatan di Eropah, yang melancarkan siasatan mengenainya.


Sementara itu, syarikat farmasi Sepanyol, Rovi, yang melakukan pembungkusan vaksin berkenaan bagi pasaran selain Amerika Syarikat (AS), berkata pencemaran itu mungkin disebabkan isu pembuatan di salah sebuah kilangnya dan siasatan sedang dijalankan.


Dalam pada itu, pegawai Kementerian Kesihatan berkata ia mungkin mengambil masa untuk mengesahkan berapa banyak suntikan daripada kumpulan botol tercemar itu sudah diberikan di negara itu.


Menurut agensi berita Kyodo, sekurang-kurangnya 176,000 dos suntikan sudah digunakan berdasarkan jumlah yang dilaporkan oleh perbandaran tempatan.


Setakat ini, sekitar 54 peratus penduduk Jepun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin coronavirus. - AGENSI


Bendasing dalam vaksin Moderna dipercayai unsur logam

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/856754/bendasing-dalam-vaksin-moderna-dipercayai-unsur-logam

26 Ogo 2021

Paper Seed Co hasil pelitup muka berasaskan biji benih tumbuhan

 

Aktivis alam sekitar dari Mangaluru, Karnataka, India menonjolkan kreativitinya dengan mencipta inovasi pelitup muka mesra alam yang diperbuat daripada biji benih.


Hindustan Times melaporkan, Nitin Vas, melalui syarikat sosialnya, Paper Seed Co, sudah menghasilkan produk kitar semula dan menggunakan biji benih sejak tahun 2017.



Dia bereksperimen dengan mengeluarkan pelitup muka jenis itu, selepas tercetusnya wabak Covid-19.


Nitin berkata, inisiatif itu dapat membantu melindungi alam sekitar ketika penularan pandemik berkenaan.


"Kami menghasilkan pelbagai barangan berasaskan biji benih, dengan salah satunya pelitup muka.


"Matlamat utama kami adalah untuk memberi produk alternatif iaitu pelitup muka mesra alam," katanya kepada Life Beyond Numbers.


Nitin memperkenalkan pelitup muka itu pada Mac tahun ini.


Antara produk pernah dihasilkan syarikatnya adalah pensil, pen, kad jemputan, kad lawatan, dan buku kecil yang apabila dibuang ke tanah berkembang menjadi tanaman.


"Kami memberikan latihan kepada wanita dan pemuda di kampung terpencil, termasuk penggunaan bahan mentah untuk menghasilkan barangan berkenaan.


"Pelitup muka yang kami hasilkan adalah boleh biodegradasi dengan talinya diperbuat daripada kapas.


"Keistimewaannya kerana ia mengandungi biji benih yang tersimpan di dalamnya dan boleh tumbuh jadi tanaman," katanya.


Menurut Nitin, dia pada mulanya mengedarkan pelitup muka itu secara percuma, tetapi kini tidak lagi.


"Bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar, kami menjualnya dengan harga 25 rupee (kira-kira RM1.40) dan ia adalah buatan tangan sepenuhnya.


"Selain India, syarikat kami turut menerima sebahagian besar pesanan dari luar negara," katanya.


Bahagian luar pelitup muka itu diperbuat daripada kapas yang dikumpulkan dari industri tekstil, manakala lapisan dalam diperbuat daripada kain kapas lembut.


Pelitup muka biji benih

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/08/747090/pelitup-muka-biji-benih

25 Ogo 2021

Lelaki paling tinggi Amerika meninggal dunia

 

Lelaki paling tinggi di Amerika Syarikat (AS), 38, Igor Vovkovinskiy, meninggal dunia Jumaat lalu.


Vovkovinskiy dengan ketinggian 234.5 sentimeter (sm) sebelum ini menerima pengiktirafan itu daripada Guinness World Records pada 2010.



Menurut hantaran (posting) oleh ibunya, Svetlana Vovkovinska di Facebook, anaknya itu meninggal dunia di hospital kerana masalah jantung.


CNN melaporkan Vovkovinskiy yang berasal dari Ukraine berpindah ke Rochester, Minnesota di AS, untuk mendapatkan rawatan perubatan.


Dia dilahirkan dengan pituitary gigantism iaitu keadaan di mana seseorang memiliki hormon tumbesaran lebih daripada individu normal.


Ketinggiannya menyebabkan dia mempunyai masalah mencari kasut sesuai apabila saiz kakinya adalah 24 10-E.


Selain itu, dia sukar untuk memasuki kereta.


AFP pula melaporkan lelaki itu pernah menjalani dua pembedahan tetapi ia tidak menyelesaikan masalah dialaminya itu.


Untuk rekod, lelaki tertinggi di dunia yang masih hidup adalah Sultan Kosen dari Turki dengan ketinggian 251 sm.


Selain itu, rekod dunia untuk lelaki paling tinggi adalah Robert Pershing Wadlow, dengan ketinggian 272 sm. Namun, Wadlow meninggal dunia pada 1940.


Lelaki paling tinggi di AS, meninggal dunia

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/amerika-utara/2021/08/746404/lelaki-paling-tinggi-di-meninggal-dunia