• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

22 Nov 2021

Mo-Hair sut unik dibuat menggunakan misai lelaki

 

Jenama pakaian lelaki Australia, Politix bekerjasama dengan artis visual Pamela Kleeman-Passi untuk menghasilkan sut unik menggunakan misai lelaki.


Oddity Central melaporkan, inisiatif itu bersempena dengan kempen Movember.



Ia acara kesedaran tahunan yang menggalakkan lelaki di seluruh dunia menumbuhkan misai mereka pada bulan November.


Kempen bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai masalah kesihatan lelaki yang serius, seperti barah prostat dan testis.


Sut yang dipanggil Mo-Hair diperbuat daripada fabrik unik yang dicipta oleh artis visual yang berpangkalan di Melbourne, Pamela Kleeman-Passi.


Passi terbabit dalam projek itu kerana suaminya meninggal dunia akibat barah prostat dan usus, pada 2016.


Bagi menghasilkan sut itu, Passi dibekalkan dengan misai yang diperlukan oleh Sustainable Salons, program kitar semula yang mengumpul dan mengitar semula rambut dari pelbagai salun.


Sejurus berita mengenai projek itu mula tersebar, orang awam mula menghantar bungkusan berisi misai mereka.


Passi menjahit semua rambut misai bersama-sama dengan kapas untuk menghasilkan fabrik asli.


Ia kemudiannya diserahkan kepada pengurus reka bentuk Politix Paul Burden yang memotongnya menjadi sut.


Bagi mengelakkan kegatalan yang biasanya dikaitkan dengan rambut pada kulit, Politix melapik kain itu dan mencetaknya.


Jenama Politix reka sut guna misai

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/11/780005/jenama-politix-reka-sut-guna-misai

19 Nov 2021

Semakan gaji minimum bulan depan

 

Perbincangan dan perincian lanjut membabitkan isu semakan semula terhadap gaji minimum dijangka dibuat melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Disember depan.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN), membentangkan hasil dapatan dan syor Kajian Impak dan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 untuk dipertimbangkan melalui MPGN, semalam.



Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, katanya, termasuk saranan majikan yang mahu kadar gaji minimum sedia ada dikekalkan, manakala pekerja pula mengesyorkan supaya kadar gaji minimum dilaksanakan kini dapat dinaikkan.


"Majlis belum membuat sebarang keputusan pada mesyuarat itu. Perbincangan dan perincian lanjut akan bersambung dalam mesyuarat MPGN akan datang.


"Mesyuarat itu dijangka diadakan pada 9 Disember ini sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri kelak," katanya dalam kenyataan media.


Saravanan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat, Selasa lalu berkata, cadangan kadar gaji minimum baharu ditetapkan kepada RM1,500 sebulan wajar dilaksanakan secara berperingkat.


Ia, katanya, bagi mengelak daripada memberi tekanan dan membebankan majikan serta menjejaskan operasi syarikat terutama sektor Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), di samping mengelak pekerja terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan.


Beliau berkata, beberapa perkara juga perlu diambil kira bagi memberi gambaran mengenai situasi pasaran tenaga kerja semasa, antaranya menetapkan formula gaji minimum dan petunjuk sosio ekonomi meliputi kriteria asas.


Semakan gaji minimum diteliti bulan depan

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/889271/semakan-gaji-minimum-diteliti-bulan-depan

15 Nov 2021

Jemaah dibenar dapatkan visa umrah melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna

 

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kebenaran bagi jemaah dari luar Arab Saudi untuk mendapatkan visa umrah melalui aplikasi telefon pintar, "Eatmarna" dan "Tawakkalna."



Menurut Twitter rasmi kementerian itu, jemaah juga boleh mendapatkan kebenaran untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan menziarahi Masjid Nabawi melalui kedua-dua aplikasi berkenaan, selepas mendaftar melalui platform "Quddum" sebaik tiba di Arab Saudi.


"Bagi mempermudah urusan tetamu al-Rahman, kini jemaah dari luar Arab Saudi boleh mendapatkan visa umrah menerusi aplikasi "Eatmarna" dan "Tawakkalna" yang disediakan pada platform Google Play, App Store, App Gallery, Galaxy Store"," menurut kementerian.


Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kementerian menyatakan kebenaran ini bagaimanapun terhad kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain mereka yang mendapat pengecualian seperti tertera pada aplikasi "Tawakkalna."


Sementara itu, bagi pemegang visa umrah yang belum lengkap dua dos vaksin pula diminta untuk segera mendapatkan suntikan dos kedua dalam masa 48 jam di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di negara berkenaan.


Syarat-syarat ini ditetapkan demi memelihara kesihatan jemaah seperti mana ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.


Guna aplikasi telefon pintar dapatkan visa umrah

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/11/777587/guna-aplikasi-telefon-pintar-dapatkan-visa-umrah

12 Nov 2021

Penuntut sertai kempen pengambilan suntikan vaksin Covid-19 menangi hadiah RM4.15 juta

 

Bertuah seorang penuntut di Australia apabila menjadi jutawan segera selepas mendaftar kempen pengambilan suntikan vaksin Covid-19.


Daily Star melaporkan, Joanne Zhu, 25, memenangi AS$1 juta (kira-kira RM4.15 juta) selepas menjadi seorang daripada 2,744,974 warga Australia yang mendaftar untuk menerima vaksin.



Wanita itu memenangi hadiah utama kempen Million Dollar Vax, yang bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Australia mendapatkan vaksin Covid-19.


"Adakah saya bermimpi, adakah ini benar? Saya tidak percaya," kata Zhu kepada NEWS7.


Zhu mendedahkan dia pada awalnya terlepas panggilan berita gembira itu kerana sedang bekerja.


Dia bagaimanapun cuba menghubungi semula nombor itu dan diberitahu dia memenangi hadiah itu serta menjadi pemenang tunggal di Australia.


Wanita itu dilaporkan mahu berkongsi wang hadiah kemenangannya dengan rakan dan keluarga.


Difahamkan, Zhu tidak berjumpa keluarganya, yang tinggal di China, selama dua tahun kerana wabak Covid-19.


"Saya mahu menerbangkan keluarga saya keluar dari China supaya mereka dapat menginap di hotel lima bintang untuk sambutan Tahun Baru Cina, jika sempadan dibuka.


"Selain itu, saya mahu membeli hadiah untuk keluarga dan laburkan baki wang itu supaya boleh menjana lebih banyak wang pada masa hadapan dan untuk membantu orang ramai," kata Zhu menerusi program Nine's Weekend Today.


Zhu berharap kadar vaksinasi terus meningkat di Australia supaya sempadan boleh dibuka semula.


Kempen Million Dollar Vax Alliance diasaskan sekumpulan dermawan dan syarikat untuk meningkatkan kadar vaksin dengan menawarkan peluang menang ganjaran lumayan.


Kumpulan dermawan itu memperuntukan AS$4.1 juta (kira-kira RM17.01 juta) sebagai hadiah kepada lebih 3,100 individu yang mendaftar pengambilan vaksin.


Bercakap kepada The Australian, Craig Winkler dari Million Dollar Vax Alliance berkata, kejayaan kempen itu dapat dilihat menerusi penyertaan menggalakkan pada saat-saat akhir sebelum penyertaan ditutup.


"Kami menunjukkan secara kolektif apa yang boleh berlaku apabila warga Australia terbabit sama.


"Mari kita selesaikan tugas iaitu kempen Million Dollar Vax yang memainkan peranannya dan semua manfaat kesihatan kepada anda, keluarga anda serta komuniti dengan paling menarik adalah hadiah yang boleh kita menangi," katanya.


Cucuk vaksin dapat RM4.15J

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/11/776070/cucuk-vaksin-dapat-rm415j

10 Nov 2021

Fumio Kishida Perdana Menteri Jepun ke-101

 

Dewan Rakyat Jepun memilih Fumio Kishida sebagai Perdana Menteri ke-101 dengan majoriti 297 undi.


Di Jepun, seorang perdana menteri dipilih berdasarkan undi majoriti.



Setiap parti politik mencadangkan calonnya.


Kishida yang menerajui Parti Demokratik Liberal memperoleh sokongan majoriti di Dewan Rakyat pada 31 Okt, lapor Sputnik. - BERNAMA


Fumio Kishida dilantik Perdana Menteri Jepun ke-101

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/11/885845/fumio-kishida-dilantik-perdana-menteri-jepun-ke-101



Kishida daripada keturunan pemimpin politik Hiroshima, seorang yang lembut ketika berbicara, menewaskan ketua vaksin terkenal, Taro Kono dalam pilihan raya yang menyaksikan kemenangan kepada Parti Liberal Demokrat minggu lalu.


Beliau dengan mudah menang undi di Dewan Rakyat yang mana gabungan parti pemerintah LDP memperoleh majoriti tertinggi, dengan mendapat 311 undi berbanding 124 undi diperoleh pemimpin pembangkang, Yukio Edano.


Kishida dianggap sebagai ahli politik berpotensi dan mendapat sokongan yang baik dari partinya sendiri, LDP dan dijangka meneruskan agenda pemerintah sedia ada.


Fumio Kishida, PM baharu Jepun

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/10/872277/fumio-kishida-pm-baharu-jepun


29 Okt 2021

KPDNHEP tidak tetap harga siling kit ujian kendiri COVID-19

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri COVID-19.


Harga kit berkenaan akan ditentukan pasaran selepas KPDNHEP mendapat jaminan daripada syarikat pengeluar bahawa kit berkenaan akan dijual dengan harga lebih murah berbanding harga siling RM19.90 ketika ini, termasuk menjualnya pada harga bawah RM10.



Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat yang diluluskan tanpa sebarang pindaan, hari ini.


Beliau berkata, kit kendiri COVID-19 itu akan dijual bukan saja di farmasi dan kedai ubat, tetapi akan diperluas ke pasar raya, kedai rangkaian dan stesen minyak dalam masa terdekat.


"Pada asalnya, kementerian bercadang untuk menentukan harga maksimum (kit ujian kendiri COVID-19), mungkin RM15 atau RM13, namun apabila ramai pemain industri datang dan beradvokasi dengan kita, ada yang tawarkan untuk menjualnya di bawah RM10.


"Jika dibenarkan dijual di pasaran terbuka yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), maka mereka boleh jual dengan harga lebih murah.


"Jadi, saya yakin menerusi komitmen dan janji yang dibuat pemain industri ini dan akan dikotakan pada akhir bulan ini. Jadinya kementerian beranggapan tidak perlu tentukan harga maksima, kita biarkan pasaran menentukan harganya," katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perihal Dagangan (Pindaan) 2021. RUU berkenaan diluluskan hari ini tanpa sebarang pindaan.


Mengenai mekanisme bagi menentukan kebolehpercayaan kit ujian kendiri yang akan dijual lebih murah itu, Rosol berkata, kit berkenaan diluluskan MDA.


"Apabila ada cop MDA, maka ia diluluskan kerajaan, jadi tiada kerisauan. Jika tidak diluluskan, maka ia menjadi satu kesalahan untuk alat itu dijual.


"Jika ada hal penipuan dan peralatan palsu, kita terbuka untuk sentiasa menyiasat," katanya.


Sementara itu, mengenai isu minuman keras jenama Timah yang sebelum ini mewujudkan suasana tidak selesa dalam kalangan umat Islam, Rosol berkata, pengeluar minuman itu sudah membuat satu komitmen untuk mengkaji semula nama berkenaan.


"Mereka memahami akan keresahan dan kerisauan umat Islam di negara ini dan ini menunjukkan Keluarga Malaysia ini cukup prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan," katanya.


Mengenai RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 yang diluluskan itu, Rosol berkata, ia adalah penambahbaikan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) supaya lebih komprehensif, bersesuaian dengan peredaran masa dan isu berbangkit masa kini.


Ia antara lain memasukkan seksyen baharu 39A ke dalam Akta 730 bagi memberikan kuasa kepada Penolong Pengawal untuk menahan mana-mana orang yang dipercayainya melakukan atau cuba melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5, 16, 17, 20 atau 51 Akta 730.


Selain itu, ia turut bertujuan memasukkan seksyen baharu 52A untuk memberikan seseorang Penolong Pengawal kuasa untuk meminda, memilih, mengambil atau mendapatkan sampel apa-apa barang bagi maksud analisis, tanpa bayaran daripada mana-mana orang yang mengilang, mengeluarkan, menjual atau mengimport barang itu atau daripada ajen atau perkhidmatannya.


"Seksyen 52A yang dicadangkan juga bertujuan untuk menjadikan suatu kesalahan jika mana-mana orang enggan untuk mematuhi apa-apa permintaan yang dibuat oleh Penolong Pengawal," katanya.


Tiada had siling harga kit ujian kendiri COVID-19 - Rosol

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/881077/tiada-had-siling-harga-kit-ujian-kendiri-covid-19-rosol

Mark Zuckerberg tukar nama facebook kepada Meta

 

Platform sosial media terbesar, Facebook kini dijenamakan semula kepada Meta.


Pengasas platform berkenaan, Mark Zuckerberg mengumumkan perkara berkenaan dan semua aplikasi di bawah Meta iaitu Facebook, Messenger, Instagram dan beberapa platform lain kekal beroperasi seperti biasa.


Penjenamaan semula itu akan memberi fokus kepada segmen dunia meta atau 'Metaverse' yang lebih besar lagi.



Zuckerberg menyatakan bahawa penjenaman itu perlu kerana organisasi berkenaan tidak hanya menjadi pengendali kepada Facebook saja sebaliknya banyak platform lain.


Menerusi majlis Facebook Connect awal pagi tadi, Zuckerberg turut memperlihatkan dunia meta berkenaan akan mengubah cara pengguna berinteraksi antara satu sama lain.


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dunia meta itu akan menjadi evolusi baharu Internet.


Facebook kini dikenali Meta

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/10/771567/facebook-kini-dikenali-meta

28 Okt 2021

Indeks kos bahan binaan meningkat sehingga 9 peratus

 

Indeks kos bahan binaan didapati meningkat pada kadar antara tiga hingga sembilan peratus di seluruh negara, kesan akibat pandemik COVID-19 dan peningkatan harga pasaran global.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata ia berdasarkan kajian terhadap data Jabatan Perangkaan dari Januari hingga Ogos lalu, yang diunjurkan sehingga Disember ini.


Beliau berkata, antara bahan yang terkesan dan berkait secara langsung dengan industri pembinaan adalah besi bertetulang serta crushed aggregates (crusher run).



"Kementerian Kerja Raya mengambil maklum mengenai kenaikan harga bahan binaan seperti pasir dan besi bertetulang agak ketara mengikut lokaliti setempat dan ini turut memberi kesan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam kumpulan dan sub-kumpulan wajaran tertentu serta menjejaskan kelancaran pembinaan projek kerajaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan asal Datuk Ignatius Darell Leiking mengenai langkah diambil kerajaan bagi mengawal harga bahan binaan yang meningkat secara mendadak dan impak kenaikan drastik itu kepada projek kerajaan yang sudah diluluskan.


Arthur berkata, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta agensi pelaksana berkaitan mengambil beberapa langkah bagi menangani isu kenaikan kos bahan binaan itu.


Beliau berkata, ia termasuk mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri untuk memperhalusi perkara itu, seterusnya mengemukakan cadangan untuk mewujudkan semula peruntukan Syarat Perubahan Harga.


"Selain itu, melaksanakan pemantauan harga bulanan dan menerbitkannya melalui Portal National Construction Cost Centre (N3C) (www.n3c.cidb.gov.my), yang mana harga bahan binaan ini dikumpulkan melalui kerjasama dengan beberapa persatuan berkaitan pembinaan dan diperoleh daripada kontraktor," katanya.


Kesan daripada kenaikan harga itu juga, katanya, kerajaan mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan projek kerajaan terus dilaksanakan seperti Kementerian Kewangan bersetuju menguatkuasakan Pekeliling Baharu 2.4 Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) dalam kontrak kerja pada 15 Julai 2021.


"JKR juga mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi meluaskan pemakaian VOP bagi kontrak kerja reka dan bina untuk projek pada 1 September 2021 dan masih menunggu pertimbangan, selain melaksanakan kajian terhadap jadual kadar harga yang dikhususkan kepada perlaksanaan projek secara kontraktor kecil kerja undi kontraktor G1 dan G2.


"Kementerian Kewangan menerusi surat bertarikh 12 Julai lalu turut meluluskan penggunaan Jadual Kadar Kerja (JKK) Kejuruteraan Awam dan Bangunan Tahun 2021 yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu sehingga 31 Disember 2022," katanya.


Indeks kos bahan binaan naik sehingga 9 peratus

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/881046/indeks-kos-bahan-binaan-naik-sehingga-9-peratus

26 Okt 2021

Raja dadah Columbia diberkas pihak berkuasa

 

Raja dadah, Dairo Antonio Usuga David atau lebih dikenali sebagai Otoniel diberkas pihak berkuasa Columbia, kata kerajaan negara itu pada Sabtu.


Pengumuman itu menyaksikan kejatuhan seorang lelaki yang berasal dari keluarga miskin sebelum bertukar menjadi individu paling dikehendaki di Columbia.



Sejak 2012, Otoniel yang mengetuai geng penyeludupan dadah terbesar negara itu, Gulf Clan sering meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.


Sebelum ini, 1,000 anggota penguat kuasa memburunya dan ganjaran berjumlah AS$5 juta (kira-kira RM20 juta) ditawarkan untuk penangkapan lelaki itu.


Ganjaran ditawarkan pada 2009 itu dibuat Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang menganggap geng berkenaan sebagai kumpulan penjenayah bersenjata, ekstrem dan organisasi keganasan.



Menurut laman web jabatan itu, kumpulan berkenaan mampu mengawal laluan penyeludupan dadah menggunakan bot laju dan mengatur tempat pendaratan bahan terlarang itu.


Presiden Ivan Duque menganggap penahanan Otoniel sama seperti kejatuhan Pablo Escobar yang terbunuh dalam serangan dengan polis Colombia pada 1993.


Otoniel yang dilahirkan pada 15 September 1971 di Necocli adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.


Raja dadah Columbia akhirnya tumpas jua

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/amerika-selatan/2021/10/770392/raja-dadah-columbia-akhirnya-tumpas-jua

23 Okt 2021

Mesir tahan Ai-Da robot teknologi kecerdasan buatan Britain

 

Robot teknologi kecerdasan buatan (AI) Britain, Ai-Da ditahan 10 hari oleh pihak berkuasa Mesir kerana disangka pengintip.


Memetik portal Independent, Ai-Da ditahan di lapangan terbang Mesir dan dihantar ke Kaherah menggunakan kargo udara dalam kes penerbangan khas.



Isu itu menimbulkan ketegangan antara diplomat Britain dan Mesir ketika duta besar Britain mengetuai perbincangan untuk menjamin pembebasannya.


Ai-Da dijadualkan mempamerkan karya seninya pada pameran Forever is Now yang bermula Khamis hingga 7 November.


Pemilik Galeri Seni Oxford dan pencipta Ai-Da, Aidan Meller berkata, dia berterima kasih dengan usaha kerja keras Kedutaan Britain dan Art d'Égypte untuk membebaskan Ai-Da yang akhirnya dibebaskan pada petang Rabu.


"Jom kita jelaskan perkara ini. Dia (Ai-Da) bukan perisik. Orang takut robot, saya faham itu.


"Keadaannya berbeza kerana matlamat Ai-Da untuk memberi amaran tentang penyalahgunaan perkembangan teknologi tetapi dia ditahan kerana dia teknologi," katanya.


Mesir 'tahan' robot disangka pengintip

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/10/769316/mesir-tahan-robot-disangka-pengintip

21 Okt 2021

Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC) dibina di Nilai

 

Kementerian Kerja Raya menyerahkan lima Surat Setuju Terima Tender (SST) kepada kontraktor berjaya, termasuk bagi projek pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC).


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek NCDC akan dilaksanakan syarikat Nepturis Sdn Bhd dan Permata Rebana Sdn Bhd dengan nilai kontrak sebanyak RM284 juta.



Katanya, tempoh kontrak bagi projek itu selama 196 minggu di atas Lot 34671, Lengkuk Teknologi, Kawasan Perindustrian Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.


"Tujuan projek ini dilaksanakan untuk mengintegrasi dan memperkukuh aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit serta menyediakan perkhidmatan makmal diagnostik dan pengesahan analitik bertaraf tinggi yang lebih selamat dan teratur.


"Penubuhan NCDC ini juga berupaya menjadi pusat rujukan bagi negara jiran serantau serta Asia Pasifik amnya," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Tender dan Penyerahan Projek Siap di bawah Pelaksanaan Kementerian Kerja Raya, di sini, hari ini.


Pusat Kawalan Penyakit Negara di Nilai

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/878556/pusat-kawalan-penyakit-negara-di-nilai

20 Okt 2021

Lokasi laut terbelah Pantai Mek Mas ditutup

 Kawasan 'laut terbelah' lebih satu kilometer yang menjadi tarikan baharu orang ramai ke Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini, ditutup sejak tiga hari lalu atas faktor keselamatan.


Tinjauan NSTP di sekitar pantai berkenaan mendapati pita amaran dipasang selain terdapat papan tanda amaran dan bendera merah diletakkan di kawasan itu bagi melarang pengunjung menghampiri lokasi.



Ia dipercayai berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di beting pasir berkenaan memandangkan semakin menghampiri musim tengkujuh.


Penghulu Mukim Che Latiff, Zinuddin Daud, 58, berkata, keputusan menutup kawasan itu selepa kata sepakat dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa bencana peringkat jajahan, demi keselamatan semua pihak.


"Sejak beberapa hari lalu, ombak dan air pasang besar menyebabkan benteng pasir yang sebelum ini boleh dilalui kelihatan semakin tenggelam.


"Justeru itu, kita ambil langkah awal dengan menutup kawasan memandangkan ketika tular (mengenai beting pasir) tempoh hari, jumlah pengunjung yang datang ke sini mencecah hampir 500 orang pada hari minggu.


"Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh arahan dan jangan sesekali memasuki kawasan pantai untuk riadah kerana boleh membahayakan nyawa mereka," katanya ketika ditemui, hari ini.


Sementara itu, kakitangan bank, Nur Athirah Zulkaain, 28, berkata, dia datang bersama keluarga untuk melihat fenomena 'laut terbelah' tetapi hampa apabila mendapati ia ditutup.


"Kami datang dari Pasir Mas selepas melihat gambar tular di media sosial. Disebabkan kawasan sudah ditutup, maka dapat lihat dari jauh sahaja," katanya yang memberitahu tindakan penutupan adalah wajar supaya dapat mengelak kejadian tidak diingini.


Fenomena 'laut terbelah' di Pantai Mek Mas dilapor berlaku lebih sebulan lalu yang terjadi disebabkan paras laut surut dan membentuk beting pasir hingga membolehkan ia dilalui.


Demi keselamatan, kawasan 'laut terbelah' ditutup

Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/768340/demi-keselamatan-kawasan-laut-terbelah-ditutup

15 Okt 2021

Tengkorak usia 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri

 

Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis.


Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong.



Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah dan proto sejarah, ribuan tahun dahulu.


Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.


"Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah.


"Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia. Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.



"Berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu. Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.


"Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong, di sini, hari ini.


Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah.


"Kita berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan ini supaya kita dapat membuat kajian lanjut.


"Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab," katanya.


 


Tengkorak manusia berusia 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, Perlis

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/876170/tengkorak-manusia-berusia-10000-tahun-ditemui-di-bukit-keteri-perlis

10 Okt 2021

Mehmet Ozyurek kekal lelaki hidung terpanjang dunia

 

Seorang lelaki Turki diiktiraf Guinness World Records memiliki hidung terpanjang di dunia iaitu berukuran 8.8 sentimeter (sm).


Mehmet Ozyurek, 71, pertama kali memperoleh gelaran paling itu daripada Guinness World Records (GWS) itu, 11 tahun yang lalu.


GWR mengumumkan rekod Mehmet di hadapan semua pesaingnya, lapor The Mirror.



Sejak itu, gelaran itu masih tidak dapat dikalahkan sesiapa.


Terbaharu, Guinness World Records menerusi hantaran di Twitter mengesahkan Mehmet dari Turki secara rasmi masih disahkan pemegang rekod itu.



Ia untuk individu masih hidup yang memiliki hidung terpanjang di dunia.


Hidung Mehmet berukuran 8.8 sm (3,46 inci), dari bahagian atas hingga ke hujung.


Media melaporkan hidung Mehmet pertama kali diukur menerusi rancangan televisyen Itali, Lo Show dei Record pada 2010.


Ia sekali gus mengiktiraf hidung lelaki itu sebagai yang terbesar di dunia.


Tetapi rekod manusia dengan hidung terpanjang yang pernah tercatat dalam sejarah adalah orang Inggeris iaitu, Thomas Wedders.


Pemilik hidung terpanjang di dunia

Pautan : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/10/764470/pemilik-hidung-terpanjang-di-dunia

8 Okt 2021

Malaysia beli pil Molnupiravir rawat Covid-19

 

Keputusan kerajaan menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) bagi pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan syarikat farmaseutikal Merck Sharp & Dohme meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal yang bakal menerima ubat untuk merawat COVID-19.


Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata Molnupiravir adalah sejenis ubat yang diberikan khusus untuk pesakit berada pada tahap tiga, empat dan lima, yang dirawat di hospital.



Beliau berkata, berdasarkan pada maklumat awal, Molnupiravir dibangunkan khusus untuk merawat jangkitan virus SARS-CoV-2, yang diambil secara oral.


"Ia sememangnya ejen antiviral yang khusus untuk melawan SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19. Setahu saya, ia masih baharu dan keputusan kerajaan ini dilihat sangat proaktif untuk mendapatkan ubat bagi merawat pesakit COVID-19 di negara ini.


"Berdasarkan maklumat diberikan, ia mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sehingga 50 peratus," katanya kepada BH.


Amrahi berkata, sama seperti vaksin, kemasukan dan penggunaan untuk Molnupiravir juga akan melalui proses yang sama dan kebenaran masih perlu diperoleh daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).


Katanya, terpulang kepada NPRA untuk menetapkan kelulusan bersyarat atau sepenuhnya terhadap penggunaan ubat berkenaan dan ia akan dibuat berdasarkan kepada data yang sedia ada.


Justeru, beliau berkata, apabila kerajaan sudah menandatangani perjanjian itu, NPRA akan lebih khusus dalam pemantauan terhadap ubat berkenaan.


Bagaimanapun, katanya, negara lain juga berlumba untuk mendapat Molnupiravir, termasuk Singapura.


Berdasarkan laman sesawang Merck Sharp & Dohme, kajian fasa ketiga MOVe-OUT yang dijalankan menunjukkan ubat berkenaan mempunyai keberkesanan yang konsisten terhadap varian jenis Gamma, Delta dan Mu.


Kajian MOVe-OUT dijalankan di peringkat global membabitkan lebih daripada 170 lokasi kajian, termasuk Argentina, Brazil, Kanada, Chile, Mesir, Perancis, Jerman, Guatemala, Israel, Itali, Jepun, Mexico, Filipina, Poland, Russia, Afrika Selatan, Sepanyol, Sweden, Taiwan, Ukraine, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.


Merck Sharp & Dohme juga memaklumkan, Molnupiravir berfungsi sebagai analog ribonukleosida kuat yang menghalang replikasi SARS-CoV-2.


Ubat itu dicipta di Drug Innovations at Emory (DRIVE), LLC, iaitu sebuah syarikat bukan berkeuntungan milik sepenuhnya Emory University dan dibangunkan oleh Merck & Co., Inc. dengan kerjasama syarikat Ridgeback Biotherapeutics.


Laporan portal Bloomberg pula menyatakan, Molnupiravir perlu diambil setiap 12 jam untuk tempoh lima hari oleh pesakit dewasa yang mengalami gejala ringan dan sederhana, manakala kajian juga sedang dijalankan untuk menentukan rawatan yang lebih berkesan.


Turut dilaporkan pada Jun lalu, pengeluar Molnupiravir turut bersetuju untuk membekalkan sejumlah 1.7 juta rawatan sebaik saja ia mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS, manakala kerajaan Australia dikatakan sudah membuat pesanan untuk 300,000 dos.


Selain itu, syarikat berkenaan juga mengumumkan perjanjian dengan pengeluar ubatan generik di India, pada April lalu, yang membolehkan pengeluaran Molnupiravir dimanfaatkan lebih 100 negara berpendapatan rendah dan sederhana sebaik ia mendapat kelulusan yang diperlukan.


Malaysia negara terawal dapat ubat rawat COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/873655/malaysia-negara-terawal-dapat-ubat-rawat-covid-19

7 Okt 2021

Nicole Oliveira ahli astronomi termuda dunia

 

Usianya baru lapan tahun, namun kanak-kanak di Brazil ini 'mengejutkan' dunia apabila diisytihar sebagai ahli astronomi termuda dunia.


Nicole Oliveira adalah peserta dalam program usaha sama dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).



Kanak-kanak itu terbabit dalam misi pencarian asteroid selain turut menghadiri seminar antarabangsa dan pertemuan dengan negara terkemuka dalam bidang sains dan angkasa.


Projek berkenaan dikenali sebagai 'Asteroid Hunters' yang memperkenalkan orang muda kepada sains dengan memberi peluang kepada mereka menjelajah angkasa lepas dengan cara mereka sendiri.


Dalam saluran YouTube miliknya, Nicole diwawancara tokoh berpengaruh bidang itu, ahli astronomi Brazil, Duilia de Mello,



Beliau pernah mengambil bahagian dalam penemuan supernova dikenali sebagai SN 1997D.


Tahun lalu, Nicole bertemu dengan Menteri Sains Brazil dan angkasawan Marcos Pontes di Brasilia.


Marcos, satu-satunya wakil dari Brazil yang berjaya ke angkasa lepas.


Ahli astronomi termuda dunia

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/amerika-selatan/2021/10/761974/ahli-astronomi-termuda-dunia

5 Okt 2021

Nelayan temui muntah ikan paus bernilai RM5 juta

 

Seorang nelayan di Thailand bakal bergelar jutawan segera apabila menemui 'muntah' ikan paus yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.2 juta (RM5 juta).


Narong Phetcharaj pergi ke pantai ketika melihat objek aneh di pantai Niyom di wilayah Surat Thani, selatan Thailand.


Portal The National News melaporkan dia kemudian menjumpai ambergris bersaiz besar.



Objek itu dipercayai dimuntahkan paus sperma dan dijangka dapat dijual dengan harga hingga AS$40,000 (RM167,000) sekilogram.


Phetcharaj menemukan ambergris seberat 30 kilogram dan dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.2 juta.


Kumpulan nelayan itu kemudian membawa 'muntah' itu kepada pakar di Universiti Prince of Songkla yang mengesahkannya sebagai ambergris.


Batu itu dihasilkan oleh ikan paus selepas memakan sejumlah besar sefalopod seperti sotong dan ia terhasil disebabkan tidak dicerna sepenuhnya.


Bahagian itu bergerak ke usus ikan paus, perlahan-lahan menjadi jisim padat dalam perut mamalia besar itu selama bertahun-tahun.


Ikan paus itu kemudian memuntahkannya sebelum ia terapung di permukaan laut.


Baunya ketika basah sangat busuk tetapi selepas mengering ia mengeluarkan aroma manis dan tahan lama, menjadikannya ramuan paling dicari dalam industri minyak wangi.


"Tidak ada penduduk kampung yang pernah melihat atau menyentuh ambergris sebenar dan itulah sebabnya semua orang gembira.


"Saya sangat teruja, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya merancang untuk menjual ambergris ini kerana saya sudah menerima sijil untuk membuktikan ia benar.


"Sekiranya saya dapat harga yang baik, saya akan berhenti bekerja sebagai nelayan dan mengadakan pesta untuk rakan saya," kata Petcharaj.


Objek itu disebut harta karun laut dan diibaratkan seperti 'emas terapung.'


'Emas terapung' RM5 juta

pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/10/762694/emas-terapung-rm5-juta

Russia lancar peluru berpandu hipersonik dari kapal selam

 

Russia selesai melancarkan dua peluru berpandu hipersonik, termasuk satu yang dilancarkan melalui kapal selam dalam ujian terbaru yang digelar Presiden Vladimir Putin sebagai senjata terkini sukar untuk 'dikalahkan'.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Moscow membangunkan senjata baharu bagi menyaingi perlumbaan pembangunan senjata dengan Amerika Syarikat (AS), untuk memberi tekanan kepada Barat.



Teknologi hipersonik mampu mencapai kepantasan lebih dari lima kali daripada kelajuan bunyi dan berubah pada pertengahan penerbangan, menjadikannya jauh lebih sukar untuk dikesan dan dipintas melalui projektil tradisional.


Tentera memberitahu, mereka melancarkan peluru berpandu Zircon dari kapal selam nuklear Severodvinsk dan menuju tepat ke sasaran ujian di Laut Barents di Artik Russia.


Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata; "Ujian peluru berpandu Zircon dari kapal selam nuklear dianggap berjaya."


Kementerian itu turut mengeluarkan rakaman video asal yang menunjukkan tembakan peluru berpandu menerangi langit malam ketika pelancarannya.


Dalam satu kenyataan lain hari ini, kementerian itu mengumumkan mereka berjaya menyelesaikan satu lagi ujian pelancaran Zircon dari kapal selam yang sama tetapi dari jarak 40 meter di bawah permukaan laut.


"Buat 'pertama kalinya' peluru berpandu itu dilancarkan dari posisi tenggelam di dasar laut," menurut kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita Russia.


Beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa ujian dilakukan ke atas peluru berpandu termasuk pelancaran dari kapal perang Laksamana Gorshkov.


Putin dalam satu ucapan pada 2018, mengumumkan mengenai pembangunan senjata hipersonik baru, termasuk Zircon, dengan menyatakan ia dapat menyerang sasaran di laut dan di darat yang dapat mencapai sasaran sehingga 1,000 kilometer.


Zircon meneruskan pembangunan senjata Russia selepas negara itu melancarkan peluru berpandu hipersonik Avangard yang mula digunakan pada 2019 dan peluru berpandu udara Kinzhal (Dagger) yang dilancarkan dari gudang senjata Russia.


Pelancaran itu dilakukan seminggu selepas Korea Utara menyatakan mereka berjaya menguji senjata hipersonik baru, menjadi negara terbaru yang menyertai perlumbaan senjata hipersonik.


Pakar mengakui pada masa ini Russia mempunyai kelebihan dalam pembangunan senjatanya. - AFP


Russia lancarkan peluru berpandu hipersonik dari kapal selam

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/10/872435/russia-lancarkan-peluru-berpandu-hipersonik-dari-kapal-selam

29 Sep 2021

Sanofi henti bangun vaksin Covid-19 guna teknologi mRNA

 

Syarikat Perancis, Sanofi, yang ketinggalan dalam penghasilan vaksin generasi baharu COVID-19, hari ini memutuskan untuk menghentikan penghasilan vaksin menggunakan teknologi messenger Asid Ribonukleik (mRNA)


Sebaliknya, gergasi farmaseutikal itu akan menumpukan kepada vaksin lain bagi memerangi coronavirus.



Walaupun hasil ujian peringkat pertama dan dua ujian klinikal menunjukkan petanda positif, vaksin yang sedang dibangunkan itu tidak akan diteruskan bagi fasa ketiga dan terakhir.


Sanofi percaya vaksin itu akan dibekalkan terlalu lewat di pasaran dengan 12 bilion dos vaksin COVID-19 lain dijangka dikeluarkan menjelang hujung tahun ini.


Keputusan bagi fasa ketiga ujian klinikal membabitkan vaksin lain yang sedang dibangunkan syarikat itu bersama pengeluar dari Britain, GlaxoSmithKline (GSK), dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.


Melalui kerjasama itu, ia menggabungkan antigen dibangunkan Sanofi dengan teknologi adjuvant GSK yang merangsang pengeluaran antibodi pembunuh kuman iaitu bahan bagi meningkatkan tindak balas imun dicetuskan vaksin.


Sanofi berkata, keputusan awal bagi produk MRNA menunjukkan antibodi terhasil sebanyak 91 hingga 100 peratus dalam kalangan penerimanya dua minggu selepas suntikan dos kedua.


Selain itu, hasil ujian itu turut mendapati tidak ada sebarang kesan sampingan dikenal pasti, jika dibandingkan dengan vaksin lain dibangunkan oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna.


Menurut Timbalan Presiden Sanofi, Thomas Triomphe, tindak balas imun daripada vaksin mRNA keluarannya disifatkan sebagai 'kuat'.


Bagaimanapun, beliau mengakui keperluan semasa bukanlah untuk mencipta vaksin ARN COVID-19 yang baharu tetapi menyediakan Perancis dan Eropah dengan senjata vaksin bagi pandemik seterusnya, untuk patologi baharu.


"Tidak ada keperluan kesihatan awam bagi pembuatan vaksin mRNA terhadap COVID-19," katanya.


mRNA berfungsi memberikan petunjuk genetik sel manusia untuk membuat protein pada permukaan coronavirus, yang melatih sistem kekebalan tubuh untuk mengenali virus sebenar.


Sanofi juga sudah melancarkan ujian baharu bagi vaksin selesema bermusim dan berhasrat memulakan kajian klinikal pada tahun depan. - AFP


Sanofi henti bangunkan vaksin COVID-19

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/09/869913/sanofi-henti-bangunkan-vaksin-covid-19

26 Sep 2021

Cecair merah di tanah perkuburan bukan darah

 

Cecair yang mengalir seperti darah daripada Tanah Perkuburan Islam Forest Height Senawang di sini, dikenal pasti bukan darah namun siasatan masih dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sembilan.


Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Ibrahim Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati cecair berkenaan bukan darah seperti yang viral di laman sosial.



Beliau berkata, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan Datuk Bandar cMBS, Datuk Masri Razali serta Setiausaha MBS Mas Midyawan Yahya melawat lokasi kejadian, petang tadi.


Katanya, pihaknya juga sudah diberikan penerangan oleh pegawai dari JMG Negeri Sembilan mengenai fenomena yang berlaku di tanah perkuburan itu.


"Kami dimaklumkan bahawa tapak tanah asal perkuburan terbabit adalah tempat berpaya dan berair serta terdapat beberapa kolam di kawasan itu.


"Malah, batu di tapak berkenaan adalah jenis merah mengandungi mineral besi. Interaksi antara batu, air dan tanah menghasilkan oxide (karat) berwarna merah.


"Sebab itu air yang mengalir di sekeliling kawasan perkuburan itu berwarna merah, namun ia bukan darah seperti dakwaan pelbagai pihak. Jika dilihat dengan mata kasar pun jelas tidak menyamai darah," katanya ketika dihubungi, malam ini.


Terdahulu, viral pelbagai gambar mengenai kawasan perkuburan itu yang dipenuhi cecair berwarna merah seperti darah mengalir di celah-celah kubur sehingga menimbulkan kegemparan dalam kalangan orang ramai.


Mereka mendakwa cecair berkenaan adalah darah yang keluar daripada kubur terbabit.


Ibrahim berkata, tanah perkuburan berkenaan diwujudkan menerusi wakaf dan ketika ini MBS menutup sementara berikutan tapak sedia ada itu sudah penuh.


Katanya, tapak berkenaan akan dibuka semula sebaik projek tapak baharu bersebelahan siap sepenuhnya.


Cecair merah di tanah kubur bukan darah

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/868715/cecair-merah-di-tanah-kubur-bukan-darah