• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label cadangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cadangan. Papar semua catatan

6 Jun 2021

Kerajaan teliti cadangan pendaftaran vaksin Covid-19 secara automatik


Kerajaan akan menambah baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dari semasa ke semasa, termasuk melihat cadangan pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksin dan tiada sesiapa yang akan tertinggal.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, namun kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar serta teratur.



"Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok," katanya dalam perutusan mengenai perkembangan PICK menerusi Facebook hari ini.


Hingga hari ini, Perdana Menteri memaklumkan, hampir 13 juta individu sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan jumlah itu hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin.


Katanya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-​19 (JKJAV) sudah diminta untuk melihat semula proses pendaftaran vaksin supaya dapat dipermudahkan lagi, termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik.


Beliau turut mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan berkaitan menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan rakyat terutama penduduk luar bandar mendapatkan vaksin.


"Saya mendengar keluhan daripada penduduk di kampung dan pedalaman terutama warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin. Saya juga mengambil maklum mengenai keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin masing-masing.


"Justeru, saya mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang sudah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin," katanya.


Selain itu, Perdana Menteri berkata, lebih 280 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedang beroperasi di seluruh negara dan lebih 300 PPV lagi dijangka dibuka secepat mungkin.


Sebanyak 150 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup beroperasi.


Beberapa PPV mega juga diwujudkan dan akan terus ditambah dalam masa terdekat terutama di kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin.


"Saya sendiri sudah melawat beberapa PPV termasuk dua PPV mega iaitu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (​MITEC) bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin ini.


"Daripada maklum balas yang diterima, ramai yang menyambut baik usaha kerajaan untuk memvaksinasi rakyat.


"Bagaimanapun, saya juga turut menerima cadangan konstruktif untuk memperbaiki proses vaksinasi di pusat ini dan ia sudah dimaklumkan kepada Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk diambil tindakan segera," katanya.


Bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan PICK, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan turut membabitkan Pusat dan Klinik Perubatan Swasta dan sehingga hujung bulan ini, sebanyak 1,000 Klinik Perubatan Swasta disasarkan terbabit dalam program itu.


Bagi memastikan tiada yang ketinggalan, kerajaan turut melancarkan unit vaksinasi bergerak ke kampung dan kawasan pedalaman bagi memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.


"Setakat 3 Jun lalu, sembilan negeri sudah mengaktifkan unit vaksinasi bergerak, antaranya di Tenom dan Kinabatangan, Sabah; Gua Musang dan Pasir Puteh, Kelantan serta Hilir Perak dan Kuala Kangsar, Perak.


"Di Pulau Pinang pula, kerajaan memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di lapan rumah jagaan orang tua setiap hari, manakala di Selangor, setiap daerah mempunyai unit vaksinasi bergerak sendiri," katanya.


Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan turut membuka PPV khusus bagi golongan OKU seperti di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia di Brickfields bersama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.


Kementerian Wilayah Persekutuan juga memperkenalkan Trak Vaksin Bergerak dengan sasaran memberi vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur terutama di kawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Pusat Transit Gelandangan.


"Peningkatan kapasiti ini diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk, seterusnya mempercepatkan usaha kita untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.


Pada masa sama, beliau menyeru rakyat untuk tampil sebagai sukarelawan bagi membantu melancarkan proses pemberian vaksin.


"Golongan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk menyumbang tenaga serta masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara," katanya.



Teliti cadangan pendaftaran vaksin secara automatik

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/824484/teliti-cadangan-pendaftaran-vaksin-secara-automatik

28 Mei 2021

Cadangan kompaun dan penalti individu gagal hadir janji temu vaksin Covid-19 akan dibincang

 

Cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagaimanapun langkah mengenakan penalti terbabit dan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, dilihat hanya boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka, dilaksanakan sepenuhnya.



Ketika ini, katanya, maklumat perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa vaksin itu diberikan secara percuma melalui pelaksanaan berfasa.


Selain itu, beliau berkata, kerajaan melalui JKJAV sudah mempunyai jadual penghantaran vaksin daripada syarikat pengeluar terbabit.


"Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab memperoleh vaksin dan kita ada jadual penghantaran daripada calon vaksin yang kita sudah 'procure'.


"Ia membabitkan vaksin AstraZeneca daripada kemudahan COVAX, Pfizer daripada kemudahan pembekalan di Belgium dan syarikat itu sendiri, serta Sinovax melalui Pharmaniaga secara 'fill and finish'.


"Kita juga sedang menunggu pembekalan vaksin daripada Cansino, Gamaleya dan Sputnik V.


"Kita yakin pemberian vaksin akan lebih rancak apabila mendapat lebih banyak bekalan bermula Jun serta Julai depan seperti diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.


BH hari ini melaporkan Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, serta Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, mencadangkan supaya individu yang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin tanpa alasan munasabah, dikenakan penalti atau kompaun.


Jacob dipetik berkata, tindakan golongan itu secara langsung mengganggu kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sekali gus menyebabkan negara lewat mencapai sasaran imuniti kelompok.


Dr Sharifa Ezat pula mengesyorkan penalti bermula dari RM200 dikenakan bagi setiap kali gagal menghadiri janji temu di PPV.


Berdasarkan maklumat dilaporkan sebelum ini, bilangan individu tidak menghadiri janji temu di PPV membabitkan beberapa negeri telah mencecah jumlah berpuluh ribu.


Cadangan kompaun, penalti tidak hadir suntik vaksin diteliti

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/821333/cadangan-kompaun-penalti-tidak-hadir-suntik-vaksin-diteliti

14 Jul 2020

Cadangan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) dengan wang tunai dikaji semula


APAKAH GANTIAN CUTI REHAT?
Gantian Cuti rehat adalah Award wang tunai yang diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.

BILA BERKUATKUASA?
Award Gantian Cuti Rehat telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 1974 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/1974 dan hanya diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang bersara pada atau selepas 1 Januari 1974.

SIAPA YANG LAYAK?
Award Gantian Cuti Rehat hanya diberikan kepada Anggota Tetap (termasuk pegawai dalam tempoh percubaan) dan Anggota Sementara dalam Perkhidmatan Awam.

SIAPA YANG TIDAK LAYAK?
Award Gantian Cuti Rehat tidak dipanjangkan kepada Pegawai Kontrak dan pegawai yang meletakkan jawatan atau dibuang kerja akibat tindakan tatatertib ke atasnya.

BAGAIMANA PENGUMPULAN CUTI DIBUAT?
Pengumpulan cuti bagi tujuan gantian Cuti rehat adalah mengikut peruntukan para 21(1) Peraturan Pencen 1980, Pekeliling Perkhidmatan dan Perintah Am Bab C.

FORMULA PENGIRAAN
Pemberian Award Wang tunai gantian cuti rehat adalah berdasarkan 1/30 daripada gaji akhir diterima, tertakluk maksimum 150 hari.
Gaji akhir diterima adalah meliputi gaji pokok hakiki dan Imbuhan Tetap mengikut gred dan kumpulan perkhidmatan pegawai tersebut.

JABATAN MANA YANG MELULUSKAN?
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah bertanggungjawab meluluskan 'Award' Gantian Cuti Rehat ini.
Semasa meluluskan pembayaran award Gantian Cuti Rehat, JPA berhak untuk menyemak dan memperbetulkan apa-apa kesilapan terhadap butiran jika ada, di dalam kenyataan cuti dan rekod perkhidmatan anggota berkenaan.
Sebarang cuti rehat yang terlebih diambil semasa dalam perkhidmatan boleh ditolak daripada jumlah cuti yang terkumpul.

DARI MANAKAH PERUNTUKAN GCR DIBAYAR?
Bayaran 'award' kepada Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan adalah tanggungan Kerajaan Persekutuan dari Kumpulan Wang Disatukan.
Jika gajinya tidak dibayar dari Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, bayaran adalah tanggungjawab pihak berkuasa masing-masing (Perkhidmatan Negeri, Badan Berkanun dan Kuasa Tempatan).

BILAKAH BAYARAN GCR DIBUAT?
Pembayaran 'award' wang tunai akan dibuat:
pada hari pertama persaraan bagi pegawai yang bersara, dan
bagi pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, bayaran kepada tanggungan pegawai berkenaan akan dibuat dengan kadar segera.

APAKAH DOKUMEN YANG DIPERLUKAN?
1 salinan rekod kenyataan perkhidmatan yang kemaskini.
1 salinan kenyataan cuti
2 salinan penyata kiraan cuti
1 salinan kad pengenalan
1 salinan surat permohonan pesara/waris.
Dokumen-dokumen berikut perlu dikemukakan bersekali dengan dokumen lain bagi urusan persaraan dan pencen selewat- lewatnya 3 bulan sebelum tarikh persaraan.

Gantian Cuti Rehat
Pautan : http://www.jpapencen.gov.my/gcr.html



Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) selama 75 hari kepada wang tunai bagi penjawat yang berkhidmat selama 15 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kajian semula itu adalah wajar kerana penebusan awal GCR ketika dalam perkhidmatan tidak menguntungkan kepada penjawat awam.

Beliau menjelaskan, jumlah yang diterima menerusi penebusan awal semasa dalam perkhidmatan adalah jauh lebih rendah berbanding semasa bersara kerana gaji akhir diterima ketika itu lebih tinggi.

"Dasar untuk penebusan GCR selama 75 hari bukan 150 adalah dasar kerajaan sebelum ini. Oleh itu, apabila dikaji semula dasar ini, kerajaan berhasrat untuk membuat kajian semula.

"Saya nak berikan dua simulasi. Sebagai contoh, sekiranya seorang pegawai bergred M54 menebus GCR ini apabila mereka bersara penuh, mereka akan mendapat sejumlah RM55,107.90.

"Tetapi kalau mereka menebus dalam masa perkhidmatan dengan mengambil 75 hari, mereka mendapat RM15,355.05 dan apabila bersara mereka mendapat lagi RM27,553.95. Jumlahnya hanya RM42,909 berbanding kalau mereka ambil ketika bersara penuh," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, masih ada perbezaan jika dibanding antara jumlah diterima waktu bersara dan ketika masih berkhidmat.

"Bezanya mereka rugi RM12,198.90, maka atas dasar inilah kerajaan bercadang membuat kajian semula demi faedah dan kepentingan penjawat awan sendiri," katanya

GCR adalah faedah persaraan yang dibayar kepada pegawai apabila bersara pilihan, bersara wajib atau meninggal ketika dalam perkhidmatan.

Pemberian pencen, ganjaran dan GCR apabila penjawat awam bersara adalah penghargaan kerajaan atas sumbangan bakti sepanjang perkhidmatan dan sumber pendapatan kepada pegawai dan keluarga.

Cadangan penebusan GCR yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019 sepatutnya dibayar awal Januari lalu tetapi belum dilaksanakan.

Pada 31 Mei lalu, Presiden CUEPACS, Adnan Mat, dalam kenyataannya menggesa kerajaan menyegerakan proses pindaan Peraturan Pencen 1980 bagi membolehkan penebusan awal GCR dilaksanakan.

JPA pada 6 Februari lalu telah memaklumkan bahawa kerajaan perlu melakukan pindaan ke atas peraturan yang berkaitan Peraturan Pencen 1980 untuk melaksanakan GCR.


Langkah itu supaya pelaksanaan penebusan awal GCR itu dibuat teratur mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Cadangan penebusan ganti cuti rehat dengan wang tunai dikaji semula
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/710498/cadangan-penebusan-ganti-cuti-rehat-dengan-wang-tunai-dikaji-semula