• Maklumat Terkini Covid-19

    Klik untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid-19 seperti jumlah kes baharu, kes sembuh baharu dan kematian baharu.

  • Facebook Fanpage

    Klik untuk mendapatkan perkongsian terus melalui fanpage. Terdapat sesetengah perkongsian yang hanya dibuat melalui fanpage sahaja.

  • Ciapan Twitter

    Klik untuk mengikuti kemaskini secara terus melalui twitter.

  • Youtube Channel

    Klik untuk menonton video tutorial beserta dengan penerangan terperinci di channel youtube.

  • Kisah 25 Rasul

    Bermula 4 May 2020, satu kisah nabi dari 25 Rasul akan dikongsi setiap hari dan dijangka akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Memaparkan catatan dengan label dos. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dos. Papar semua catatan

16 Mac 2022

Pfizer, BioNTech mohon kelulusan dos penggalak kedua

Pfizer dan BioNTech mengumumkan pihaknya secara rasmi meminta pengawal selia ubat Amerika Syarikat (AS) untuk kelulusan kecemasan bagi suntikan penggalak kedua vaksin COVID-19 untuk mereka berusia 65 tahun ke atas, semalam.


Syarikat berkenaan melalui kenyataan akhbar berkata, permintaan mereka berdasarkan dua kajian di Israel yang menunjukkan penggalak mRNA tambahan meningkatkan imunogenisiti dan menurunkan kadar jangkitan yang disahkan serta jangkitan penyakit yang teruk.



Beberapa negara dilihat berada pada paras jangkitan tinggi atau mula meningkat selepas menarik balik sekatan, malah perlindungan daripada dos terdahulu juga mulai pudar.


Kajian pertama Israel yang dipetik Pfizer dan BioNTech menunjukkan bahawa kadar jangkitan yang disahkan adalah dua kali lebih rendah dan kadar penyakit yang teruk pula empat kali lebih rendah dalam kalangan individu yang menerima dos penggalak tambahan, berbanding mereka yang hanya mempunyai satu dos penggalak.


Analisis ini bagaimanapun terhad kepada mereka berusia 60 tahun ke atas yang menerima dos penggalak kedua mereka empat bulan selepas yang pertama.



Kajian kedua pula membabitkan analisis terhadap pekerja penjagaan kesihatan Israel berusia 18 tahun ke atas yang menunjukkan bahawa tahap antibodi mereka yang menerima penggalak kedua jauh lebih tinggi berbanding yang tidak mendapatkan suntikan itu.


"Kajian itu juga mendedahkan tiada kebimbangan keselamatan baharu kepada individu yang menerima dos penggalak tambahan vaksin," kata syarikat itu.


Kajian terbaharu itu turut menawarkan bukti bahawa dos vaksin mRNA ketiga meningkatkan tahap antibodi melebihi suntikan awal dan dos keempat pula mengembalikan ke tahap tinggi yang sama.


Beberapa negara Eropah serta Israel sudah meluluskan penggalak kedua untuk populasi yang lebih berusia dan lemah imun, yang paling berisiko untuk memperoleh jangkitan yang teruk. - AFP


Pfizer, BioNTech mohon kelulusan dos penggalak kedua

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2022/03/934610/pfizer-biontech-mohon-kelulusan-dos-penggalak-kedua

28 Ogo 2021

Bekalan vaksin Moderna ke Jepun digantung kerana penemuan bendasing dipercayai unsur logam

 

Bendasing dalam bekalan vaksin Moderna yang dihantar ke Jepun dipercayai mengandungi unsur logam, lapor media rasminya, NHK, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.


Jepun semalam menggantung penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna, lebih seminggu selepas pengedar tempatannya menerima laporan terdapat bahan cemar dalam beberapa botol.



Laporan NHK yang disiarkan semalam memetik kenyataan Kementerian Kesihatan sebagai berkata, unsur itu bertindak balas terhadap magnet, justeru disyaki sebagai logam.


Moderna menjelaskan ia sebagai 'bahan zarah' yang tidak mengundang sebarang isu berkaitan keselamatan atau keberkesanan vaksin berkenaan.


Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, identiti bahan tercemar itu masih belum disahkan setakat ini.


Berita berkenaan dijangka memberi kesan kepada sambutan terhadap program vaksinasi di Jepun yang ketika ini bergelut untuk meyakinkan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda, untuk divaksinasi.


Hari ini, lapan lagi wilayah memasuki perintah darurat, menjadikan 80 peratus penduduk di Jepun kini berada di bawah sekatan bagi menangani penularan COVID-19.


Kerajaan melaporkan 25,000 jangkitan baharu dan 2,000 kes kritikal direkodkan setakat semalam.


Kementerian Kesihatan berkata, tindakan menggantung kumpulan vaksin Moderna itu adalah sebagai langkah berwaspada, namun ia mendorong beberapa syarikat membatalkan keputusan mevaksinasi pekerja mereka.


Perkara itu turut mendapat perhatian pengawal selia ubat-ubatan di Eropah, yang melancarkan siasatan mengenainya.


Sementara itu, syarikat farmasi Sepanyol, Rovi, yang melakukan pembungkusan vaksin berkenaan bagi pasaran selain Amerika Syarikat (AS), berkata pencemaran itu mungkin disebabkan isu pembuatan di salah sebuah kilangnya dan siasatan sedang dijalankan.


Dalam pada itu, pegawai Kementerian Kesihatan berkata ia mungkin mengambil masa untuk mengesahkan berapa banyak suntikan daripada kumpulan botol tercemar itu sudah diberikan di negara itu.


Menurut agensi berita Kyodo, sekurang-kurangnya 176,000 dos suntikan sudah digunakan berdasarkan jumlah yang dilaporkan oleh perbandaran tempatan.


Setakat ini, sekitar 54 peratus penduduk Jepun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin coronavirus. - AGENSI


Bendasing dalam vaksin Moderna dipercayai unsur logam

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/856754/bendasing-dalam-vaksin-moderna-dipercayai-unsur-logam

17 Mei 2021

40000 dos vaksin Covid-19 untuk warga emas dan OKU

 

Sebanyak 40,000 dos vaksin Covid-19 akan diasingkan bagi tujuan vaksinasi kumpulan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang menjadi kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Program Imunisasi Covid-19 (PICK) fasa kedua.


KPWKM dalam satu kenyataan berkata, permohonan untuk tujuan itu telah dibuat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar proses vaksinasi kepada kumpulan sasar terbabit dapat dipercepatkan.



Katanya, setakat ini, sebanyak enam institusi penjagaan warga emas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diberikan tarikh pemberian vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang bermula 5 Mei lalu.


Untuk rekod, terdapat 15 institusi warga emas di bawah JKM di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan penghuni sebanyak 2,081 setakat 30 April lalu.


“KPWKM melalui JKM telah mengemukakan senarai nama seramai 68,003 kumpulan sasar terdiri daripada 48,564 warga emas dan 19,439 OKU yang berdaftar untuk diberi suntikan vaksin dalam fasa kedua PICK.


“Daripada jumlah 48,564 warga emas, ia merangkumi ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan penghuni institusi-institusi seliaan KPWKM.


“Bagi jumlah 19,439 OKU pula, ia terdiri daripada pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK),” katanya di sini hari ini.


Pada masa sama, KPWKM berkata, kementerian melalui JKM juga sentiasa membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 ke atas 382 buah pusat jagaan warga emas dan 196 buah pusat jagaan OKU yang berdaftar di bawah JKM.


Katanya, sehingga 11 Mei lalu, sebanyak 404 pusat jagaan telah dibuat pemantauan.


“KPWKM juga menyeru kepada seluruh kumpulan sasar agar memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi Covid-19 mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh kerajaan.


“Ini demi memastikan program vaksinasi di negara ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya.


Untuk keterangan lanjut berkenaan, mereka boleh melayari http://www.VaksinCovid.gov.my dan menghubungi Talian Kasih 15999 atau talian WhatsApp 019 – 2615999 yang beroperasi 24 jam sehari.


40,000 dos vaksin untuk warga emas, OKU

Pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/05/17/40000-dos-vaksin-untuk-warga-emas-oku/

16 Apr 2021

Keperluan suntikan dos ketiga vaksin Pfizer masih dalam kajian


Suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 mungkin diperlukan dalam tempoh setahun selepas menjalani inokulasi.


Ketua Pengarah Operasi Pfizer, Albert Bourla, berkata vaksinasi tahunan untuk melawan coronavirus juga mungkin diperlukan.


"Kami perlu melihat apa langkah seterusnya dan bila tiba masanya, kita akan tahu apa yang perlu dilakukan.


"Senario yang ada sekarang menunjukkan kemungkinan dos ketiga diperlukan antara antara enam hingga 12 bulan selepas dos terakhir.


"Malah, vaksinasi bagi COVID-19 juga mungkin perlu dilakukan setiap tahun kerana adalah penting untuk memastikan ramai orang rentan virus itu," katanya dalam temubual bersama CNBC.


Saintis ketika ini masih belum pasti, sejauh mana vaksin COVID-19 memberi ketahanan menentang coronavirus.


Pfizer pada awal bulan ini menerbitkan satu kajian mengatakan suntikan vaksin itu berkesan sehingga 91 peratus untuk melindungi daripada virus.


Ia juga lebih 95 peratus berkesan mengatasi komplikasi teruk akibat COVID-19 sehingga enam bulan selepas suntikan kedua dilakukan, namun perlu dikaji lebih lanjut.


Vaksin Pfizer, yang dibangunkan dengan kerjasama BioNTech, ketika ini memainkan peranan utama dalam kempen vaksinasi di AS dan Eropah.


Syarikat farmaseutikal gergasi itu pada Februari lalu mengumumkan, mereka sedang menguji dos ketiga vaksin itu menambah keberkesanan melawan varian baharu. - AFP


Suntikan vaksin Pfizer mungkin perlu dos ketiga

Pautan : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/04/807394/suntikan-vaksin-pfizer-mungkin-perlu-dos-ketiga

2 Apr 2021

Penerima dua dos Vaksin Covid-19 bebas rentas negeri dan ke luar negara guna sijil pengesahan

 

Rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.



Beliau berkata, sijil akan diberikan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi 'pasport' untuk mereka bergerak.


"Kita sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua dos suntikan merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini, tanpa halangan pihak berkuasa.


"Malah dengan sijil itu juga, mereka boleh melakukan perjalanan ke Jepun, Shanghai, Hong Kong atau Jakarta," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shelly Sheliza Ahmad, peserta pada Sesi 'Townhall' Wawasan Kemakmuran Bersama, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.


Muhyiddin turut mengulangi nasihat kepada rakyat agar tidak bimbang untuk menerima suntikan vaksin itu.


Sebagai individu pertama di negara ini menerima vaksin, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengalami sebarang kesan terhadap kesihatannya.


"Saya sama juga seperti Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg), kekal sihat dan cergas selepas menerima dua dos vaksin itu.


"Tiada apa yang perlu dibimbangkan, vaksin itu selamat dan dijamin melindungi kita," katanya.


Rakyat terima dua dos vaksin boleh rentas negeri, ke luar negara

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/802558/rakyat-terima-dua-dos-vaksin-boleh-rentas-negeri-ke-luar-negara

21 Mac 2021

Bakal jemaah haji 2021 wajib ambil 2 dos vaksin

 

Umat Islam yang ingin menunaikan haji tahun ini diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin Covid-19 terlebih dulu.


Menurut Gulf News yang memetik laporan media tempatan, peraturan terbaharu pihak berkuasa Arab Saudi itu sebahagian usaha kerajaan negara itu mengekang penularan Covid-19.


Peraturan itu diwajibkan ke atas jemaah haji berusia antara 18 hingga 60 tahun yang hanya akan menunaikan ibadah itu berikutan golongan lebih berusia dan berisiko tidak dibenarkan bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.



Jemaah haji yang menetap di Arab Saudi perlu mengambil dua dos suntikan yang dipersetujui kerajaan itu, sebelum hari pertama Zulhijjah.


Bagi jemaah yang datang dari luar pula, diwajibkan mengambil dua dos dari salah satu vaksin yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan suntikan kedua perlu diambil seminggu sebelum berangkat ke Makkah.


Jemaah asing perlu menjalani ujian negatif ujian Covid-19 yang perlu dilakukan 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi.


Semua jemaah perlu menjalani kuarantin selama 72 jam selain akan menjalani ujian kali kedua.


Pergerakan haji tahun ini juga sedikit berubah apabila jemaah dibahagikan kepada beberapa kumpulan tidak melebihi 100 orang.


Semua jemaah haji dan petugas berkaitan perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal 1.5 meter di tempat penginapan dan ketika melakukan pergerakan.


Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi mengenai peraturan haji itu atau jumlah sebenar jemaah yang dibenarkan menunaikan haji tahun ini.


Dos lengkap vaksin syarat untuk jemaah haji

Pautan : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/03/686418/dos-lengkap-vaksin-syarat-untuk-jemaah-haji