Teleskop ruang angkasa terbesar dan terhebat di dunia membuka cermin emas gergasi buat kali terakhir di bumi semalam, sebelum balai cerap bernilai AS$10 bilion (RM41.24 bilion) dilancarkan akhir tahun ini.
NASA berkata, cermin Teleskop James Webb Space berukuran 6.5 meter (m) mengembang sepenuhnya dan terkunci pada tempatnya, ujian terakhir bagi memastikan ia bertahan dalam perjalanan 1.6 juta kilometer (km) dan sedia untuk mengetahui asal-usul semesta.
Kontraktor utama Northrop Grumman, Scott Willoughby, berkata ia seperti membuat jam tangan Swiss setinggi 12.2 m dan menyediakannya bagi perjalanan memasuki ruang vakum pada suhu -240 celsius (°C), empat kali lebih jauh dari bulan.
Beliau bercakap di lapangan terbang syarikat itu di Pantai Redondo, California, lokasi teleskop itu akan dihantar ke Guiana Perancis untuk dilancarkan menerusi roket Ariane 5 yang dijadualkan NASA, pada 31 Oktober depan.
Cermin utama Webb dibuat daripada 18 segmen heksagon, bersalut lapisan emas sangat nipis bagi meningkatkan pantulan cahaya inframerah.
Ia dilipat seperti origami ketika dilancarkan bagi memastikan muat di dalam reraut roket 5m, sebelum menggunakan 132 penggerak dan motor untuk membengkokkan setiap cermin ke kedudukan tertentu.
Cermin itu akan berfungsi sebagai pemantul besar, membolehkan teleskop melihat lebih jauh ke dalam kosmos berbanding sebelum ini. - AFP