Polis menahan seorang pembantu perawatan kesihatan sebuah hospital di sini untuk siasatan susulan penemuan kamera mini dipasang dalam bilik mandi sebuah wad hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan jam 7.20 malam Khamis lalu di hospital terbabit.
Katanya, kamera mini berkenaan ditemui seorang jururawat, kira-kira jam 6.30 petang hari yang sama selepas curiga melihat peralatan elektronik dalam bilik mandi terbabit sebelum menghubungi polis.
"Siasatan mendapati jururawat terbabit yang berada dalam bilik mandi menemui peralatan elektronik itu dalam kotak tisu yang dilekat pada dinding selepas dia membuat pemeriksaan apabila terdengar bunyi benda terjatuh.
"Jururawat itu kemudian menghubungi polis dan menyerahkan semua barang terbabit. Hasil siasatan, seorang lelaki yang juga kakitangan hospital berkenaan berjaya ditahan di hadapan sebuah wad hospital terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, selain kamera mini, polis turut merampas pengecas mudah alih, sebuah telefon bimbit, dua kad SIM, memori kad dan kabel daripada suspek.
"Hasil siasatan awal, suspek mengaku yang dia membeli kamera mini berkenaan dalam satu aplikasi platform e-dagang secara dalam talian sejak sebulan lalu.
Suspek juga mendakwa meletakkan kamera mini terbabit jam 5 petang hari sama, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Jururawat jumpa kamera mini dalam bilik mandi
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/09/865531/jururawat-jumpa-kamera-mini-dalam-bilik-mandi